16 August 2008

ISU SUMPAH OLEH SAIFUL ADA KEGANJILAN-DATO' DR HARON DIN













Isu liwat yang membabitkan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan merupakan suatu keganjilan.

Demikian menurut Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din kepada Harakahdaily hari ini di Muktamar Tahunan PAS kali ke-54.

"Apa yang berlaku dalam konteks Saiful Bukhari bersumpah memperlihatkan keganjilan, bilamana sepatutnya yang bersumpah adalah pihak yang kena tuduh, tetapi apa yang berlaku adalah pihak yang menuduh," katanya. Image

Bahkan tambahnya, pihak yang kena tuduh (Anwar) pula sedang menunggu perbicaraan. Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu juga bertambah hairan apabila Saiful bersungguh-sungguh meminta Allah melaknat dirinya beserta keluarganya dalam sumpah tersebut.

"Mendengar Saiful melibatkan memohon kepada Allah melaknatinya beserta keluarga dan keturunannya tanpa menyebutkan berapa lama seolah-olah sampai ke hari kiamat, mana ada sumpah yang meminta Allah melaknati keturunan?"

"Tidak sepatutnya keturunan yang akan mewarisi kita dilaknati Allah bersama atas permintaan kita sedangkan mereka (keluarga) tidak melakukan kesalahan," ujarnya. Beliau turut mempertikaikan dalang di sebalik majlis angkat sumpah semalam oleh Saiful.

"Saya tidak nampak ini suatu cara yang sebenarnya berlaku dalam hukum syarak.

"Iaitu siapa yang menasihati dirinya, sama ada orang politik atau siapa?" tegasnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan Saiful dinasihati orang politik yang mempergunakan agama untuk memenuhi agenda politik mereka malah menggunakan masjid atau mempergunakan pegawai masjid untuk melakukan perkara yang amat janggal serta tidak kena pada tempatnya. Image

Dalam pada itu, Haron turut mempertikaikan sumpah yang dilafazkan oleh Saiful sebagai tidak dibuat dengan persiapan yang rapi apabila Saiful tersasul menyebut kalimah sumpah tersebut.

"Ianya seolah-olah tidak diprogramkan secara teliti, dengan persiapan yang tidak cukup sehingga sampai ke peringkat menyebutkan kalimah sumpah pun tersasul," katanya lagi.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa mesej Saiful yang kononnya tidak mengetahui tarikh penamaan calon Anwar dengan mengatakan ianya suatu kebetulan adalah bermotif politik.

"Ianya dibuat secara tergesa-gesa sebab dirujuk kepada orang yang benar-benar mengetahui prosiding sumpah sperti ini atau mungkin Saiful tidak diberi penerangan yang sejelas-jelasnya tentang akibat sumpah.

"Kenapa beliau tidak boleh menunggu sehingga proses mahkamah berjalan dan hukuman dijatuhkan dan apa kepentingan dirinya untuk bersumpah?

"Adakah ia agenda dirinya atau orang lain," ujarnya lagi.

Walau apapun, Haron berkata ia hanya boleh dijawab dengan meninggalkan tanda tanya. Image

Semalam upacara 'bersumpah' Saiful telah dijalankan di Masjid Wilayah Persekutuan terletak berdekatan dengan Kompleks Mahkamah Jalan Duta. - (tmj)

Upacara itu diadakan sehari sebelum Anwar mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh.

Sebelum Saiful 'bersumpah', pihak media telah berkumpul sejak selepas Asar, setelah diberitahu upacara sumpah 'mubahalah' akan dilakukan oleh Saiful.

Sebelum itu, Saiful didapati telah hadir di masjid tersebut sekitar pukul 4.30 petang semalam. Adalah difahamkan, Saiful telah 'disorokkan' di salah sebuah bilik dalam masjid itu.

Kelihatan dua orang pengawal keselamatan bersama seorang lelaki dan dua orang wanita sedang menunggu di hadapan pintu bilik tersebut yang sementara di hadapan pintu pejabat pentadbiran masjid, kelihatan seorang lelaki yang memakai baju Melayu berwarna ungu sedang berbual-bual dengan pengawal keselamatan.

Juga kelihatan bapa saudara Saiful, yang lebih dikenali dengan nama 'Uncle Pet' sedang bercakap dalam telefon bimbitnya dan dari sumber percakapan seperti mengatakan sesuatu tentang mengambil 'wudhu.'

Sejurus selepas itu, Uncle Pet memberitahu kepada wartawan yang Saiful ada di dalam.

"Dia kat dalam...," kata Uncle Pet tapi enggan mengulas dengan lebih lanjut.

Cadangan 'bermubahalah' ini pertama kali diusulkan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin Julai lalu.

Gesaan ini dibuat untuk meredakan kekalutan yang sedang berlaku sekarang di mana Anwar menghadapi tuduhan meliwat oleh Saiful Bukhari. Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi isu dakwaan meliwat. Kali pertama ialah pada tahun 1998.

Menurut Asri, "Kedua-dua mereka (Saiful dan Anwar), baik yang menuduh atau yang dituduh meliwat hendaklah bermubahalah kerana inilah cara yang pernah Nabi buat dulu.

No comments: