04 March 2006

MEMORANDUM MEMBANTAH KENAIKAN HARGA MINYAK

Memorandum ini telah diserahkan kepada wakil Menteri Besar Johor semalam pada pukul 3.00 petang. Sangat mendukacitakan apabila memrandum diserahkan hanya melalui pintu pagar Bukit Timbalan. Gambar akan disiarkan nanti.
GABUNGAN MEMBANTAH KENAIKAN HARGA MINYAK
Coalition Against Fuel Price Increase

Gabungan Membantah Kenaikan Harga Minyak ini terdiri daripada :

Parti Islam Se Malaysia (PAS) Negeri Johor

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Johor

Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Johor

MEMORANDUM
MEMBANTAH KENAIKAN HARGA MINYAK

Kepada

Datuk Seri Abdullah Bin Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia

Melalui

Datuk Abdul Ghani Bin Haji Othman
Meteri Besar Johor

Oleh

GERAKAN MEMBANTAH KENAIKAN HARGA MINYAK

Tarikh

3 Mac 2006

PENDAHULUAN

KAMI, Gabungan Membantah Kenaikan Harga Minyak yang terdiri daripada beberapa Parti Politik di negeri Johor ingin menyerahkan memorandum bantahan di atas keputusan yang di ambil oleh kerajaan Malaysia menaikkan harga runcit petrol, diesel dan gas petroleum cecair sebanyak 30 sen yang telah dikuatkuasakan pada 28 Februari 2006.

Tindakan yang diumumkan lewat malam pada 27 Februari 2006 ini sebenarnya telah membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat keseluruhannya.

KAMI merasa kesal dan membantah tindakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana menaikkan harga minyak petrol dan diesel pada 28 Februari 2006. Tindakan ini memperlihatkan kelemahan dan kegagalan kerajaan dalam menyelesaikan masalah kewangan Negara.

Perdana Menteri memberi alasan bahawa penjimatan kira-kira RM4.4 bilion daripada pengurangan subsidi minyak pada tahun 2006 ini akan `dipulangkan semula' secara tidak langsung kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, penjimatan itu yang diperoleh berikutan peningkatan harga runcit petrol dan diesel mulai hari ini, akan dilabur semula seberapa segera bagi menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam Malaysia.

KENAPA HARGA MINYAK NAIK SECARA MENDADAK

Beberapa persolan dan keraguan timbul apabila dengan tidak semena-mena kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak pada lewat malam 27 Februari 2006.

Sebelum ini, ketika kerajaan mengumumkan kenaikan harga runcit petrol pada 5 Mei 2005 dan 31 Julai 2005 sebanyak RM 0.10, alasan yang digunakan adalah kerana harga pasaran dunia meningkat mendadak sehingga kerajaan terpaksa menanggung kos subsidi yang tinggi. Tetapi kenaikan yang dibuat pada kali ini berada dalam keadaan harga minyak dunia yang stabil (AS$62 satu tong).

Kenaikan pada kali ini juga adalah kenaikan yang tertinggi di dalam sejarah Negara.

Kerajaan dilihat mencari jalan penyelesaian dengan menekan rakyat sedangkan keuntungan yang dicatatkan oleh Petronas pada tahun 2005 adalah RM 50 billion, kenapa tidak diambil sebanyak RM 4.4 billion daripada keuntungan Petronas ini untuk mengurangkan bebanan kerajaan.

KESAN DARIPADA KENAIKAN HARGA MINYAK

Apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak, masyarakat menjadi kebingungan dan keliru. Rakyat menanggung bebanan yang tidak diundang sehingga peniaga-peniaga menaikkan harga perkhidmatan dan barangan. Berita Harian pada 1 Mac 2006 menyiarkan beberapa kenyataan yang membimbangkan rakyat :

1. Kira-kira 10,000 ahli Persatuan Pengusaha Lori Pan Malaysia mengenakan surcaj bahan api sebanyak 15 sen setiap kilometer berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah mengatasi kenaikan harga minyak.

Presidennya, Err Sui See memberitahu kenaikan itu tidak dapat dielakkan bagi memastikan pemilik lori tidak mengalami kerugian dalam operasi mereka berikutan langkah kerajaan menaikkan harga diesel sebanyak 30 sen seliter mulai 28 Februari 2006.

2. Datuk Aslah Abdullah, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli) menyatakan bahawa pihaknya meminta kerajaan memberi insentif kepada teksi dan kereta sewa yang menggunakan petrol.

Beliau berkata, kerajaan harus membiayai separuh daripada kos pemasangan alat menggunakan LPG pada kenderaan yang bernilai kira-kira RM3,000 bagi menggalakkan pemandu teksi menggunakan bahan api berkenaan.

3. Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Alang Zari Ishak, pula berkata kenaikan harga bahan api berkenaan turut menambah beban pengusaha stesen minyak

Beliau berkata, keputusan kerajaan itu menyebabkan pengusaha semakin gelisah kerana perlu meningkatkan jumlah modal pusingan sedangkan keuntungan yang diperoleh tidak berubah.
Beliau berkata, perkhidmatan kad kredit tidak memberi keuntungan kerana penggunaannya dikira sebanyak satu peratus daripada harga jualan minyak, iaitu RM1.92 seliter berbanding RM1.62 seliter sebelum ini.

Akhbar-akhbar berbahasa Mandarin pula memberikan ruangan yang sangat luas terhadap isu ini dan secara keseluruhannya kenyataan yang dibuat adalah menentang kenaikan harga minyak ini.

KAMI yakin bahawa bukan setakat itu sahaja yang akan dinaikkan tetapi selepas ini harga barangan runcit, perkhidmatan dan makanan akan mengikuti langkah yang sama atas alasan yang serupa.

KAMI tidak yakin dengan janji kerajaan bahawa pemantauan yang lebih kerap akan dapat membendung tindakan peniaga menaikkan harga jualan.

TUNTUTAN

KAMI menuntut agar kerajaan Malaysia supaya ;

Menarik semula kenaikan harga runcit petrol, diesel dan gas petroleum cecair sebanyak 30 sen yang telah dikuatkuasakan pada 28 Februari 2006. Sekiranya tidak ditarik balik, rakyat akan menanggung derita dengan dibebani kenaikan-kenaikan lain seperti tambang bas, kenaikan tariff air, kenaikan tariff elektrik, kenaikan cukai tanah dan sebagainya.

KAMI bimbang sekiranya rakyat sudah tidak tahan lagi dengan tindakan kerajaan ini, pelbagai perkara buruk akan berlaku.

Penguatkuasaan perlu diperhebatkan terhadap masalah ketirisan perbelanjaan kewangan kerajaan.

Sebagai contohnya, Pada tahun 2002 nelayan diberi bekalan diesel sebanyak 326 juta liter yang menghasilkan tangkapan 1.2 bilion tan metrik.Tetapi pada tahun 2005, bekalan diesel telah naik mendadak 1.2 bilion liter, sedangkan tangkapannya sama lebih kurang dengan tahun 2002. Ini menunjukkan berlakunya penyelewengan.

Menggunakan dan menyerapkan keuntungan yang diperolehi oleh PETRONAS untuk menampung perbendaharaan dan perbelanjaan kerajaan. Dengan itu, rakyat tidak dibebankan dengan kenaikan harga minyak.

Sekian.


KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Pengerusi
Gabungan Membantah Kenaikan Harga Minyak

No comments: