14 March 2006

ISU KENAIKAN HARGA MINYAK ; UMNO/BN MULA GELABAH

KENYATAAN MEDIA
(14 Mac 2006)

TAJUK :

ISU KENAIKAN HARGA MINYAK ; UMNO /BN MULA GELABAH

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPNNJ) melihat bahawa perkembangan terbaru hasil daripada ucapan pimpinan UMNO/BN yang menyelarkan PAS dan parti pembangkang sebenarnya menggambarkan kegelabahan mereka untuk menyerap tekanan daripada rakyat yang telah mula sedar mereka ditipu oleh kerajaan yang mereka pilih.

Walaupun selama ini kerajaan BN pimpinan ‘Mr Clean’ dilihat bergitu stabil dan hebat khususnya apabila ditekan oleh PAS dan parti pembangkang yang lain, tetapi isu kenaikan harga minyak baru-baru ini yang telahpun masuk hari yang ke 15 penguatkuasaannya telah menampakkan katakutan dan kegelisahan yang mengerikan pimpinan UMNO/BN.

Rakyat sudah mula berani bersuara dan membantah tindakan kerajaan ini. Persatuan dan perniaga sudah mula sedar dan bertindak untuk kepentingan perniagaan mereka.

Paling menarik, PAS dan semua parti pembangkang dipersalahkan kerana ‘menghasut’rakyat supaya menentang kenaikan harga minyak ini.

Beberapa kenyataan yang disiarkan dalam media massa menggambarkan keadaan ini;

Kata Perdana Menteri Malaysia, Pak Lah

“ Macam-macam orang kata pada kerajaan. Orang marah, saya tahu dan tidak kurag juga golongan yang mengeksploitasikan untuk kepentingan politik mereka. Tetapi sebagai kerajaan kita mesti bertanggung jawab, agar kesannya tidak teruk kepada rakyat”
Utusan Malaysia 11 Mac 2006

Kata Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin,

Parti pembangkang diselar kerana cuba mengambil kesempatan menjadikan isu kenaikan minyak sebagai `senjata' untuk kepentingan politik murahan mereka.

``Demonstrasi bukan satu penyelesaian yang bijak, mereka ini macam peniaga yang mahu ambil kesempatan, cuma motif mereka untuk politik.

``Jangan hanya pandai kritik apa yang kita sudah buat. Apa yang kerajaan Pas Kelantan bagi untuk subsidi? Berapa banyak dah bagi? Hanya bagi ceramah politik sahaja. Jangan dengarlah kata pembangkan,'.
Utusan Malaysia, 14 Mac 2005

Kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamad ;

``Kita perlu ingat bahawa mengadakan rusuhan, demonstrasi dan keganasan bukan budaya rakyat Malaysia yang dikenali sebagai rakyat berhemah dan bersopan''
``Walaupun harga minyak naik 30 sen, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM13 bilion tahun ini untuk menolong rakyat''
Utusan Malaysia, 14 Mac 2005

Apa yang sebenarnya yang ingin disampaikan oleh pimpinan UMNO/BN adalah rakyat Malaysia adalah terdiri golongan manusia yang tidak mampu berfikir dan mudah terpengaruh dengan ‘penipuan’ dan ‘pembohongan’ parti pembangkang khususnya PAS.

Pimpinan UMNO/BN menganggap apabila rakyat menerima pandangan PAS maka rakyat Malaysia berfikiran sempit dan mudah tertipu. Tetapi, apabila rakyat menolak pandangan PAS dan parti pembangkang maka rakyat dilihat cerdik dan bijak.

Dalam isu kenaikan harga minyak ini, DPPNJ yakin andaikata PAS tidak melakukan apa-apa tindakan rakyat tetap akan bangkit juga kerana pengguna yang tertekan sekarang ini adalah rakyat Malaysia yang mahu nasib mereka dibela oleh kerajaan yang mereka pilih.

Rakyat mahukan kerajaan yang mampu meringankan bebanan mereka, bukannya kerajaan yang menyenangkan dan mengenyangkan tembolok beberapa kerat pimpinan UMNO/BN.

DPPNJ melihat bahawa dalam isu kenaikan harga minyak ini, UMNO/BN berada dalam keadaan yang tertekan. PAS perlu lebih aggresif untuk ‘menekan’ kerajaan yang dipimpin oleh UMNO/BN ini.

Oleh itu, DPPNJ menyeru kepada semua pimpinan PAS agar jangan berhenti untuk memberi penerangan kepada rakyat agar mereka yakin bahawa PAS mampu membela nasib rakyat.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: