08 March 2006

KES ROGOL SEMAKIN MEMBIMBNGKAN, KERAJAAN MASIH TIDAK YAKIN UNDANG-UNDANG ISLAM MAMPU SELESAIKAN MASALAH INI

Berita Harian : Kerana VCD lucah adik dirogol, abang ke penjara
8 Mac 2006

MUAR: Seorang pekerja kilang dihukum 30 tahun penjara dan 16 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas mengaku salah atas dua tuduhan merogol adik kandungnya berusia 17 tahun, di rumah mereka pada November 2004 dan Januari lalu.
Pemuda berusia 23 tahun itu, yang mengaku dipengaruhi aksi filem lucah, dihukum penjara 15 tahun dan lapan sebatan bagi setiap tuduhan.
Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir memerintahkan tertuduh menjalani hukuman secara berasingan bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan semalam.
Ketika Mohd Fauzi bertanya kenapa merogol adik sendiri, tertuduh yang terdiam beberapa seketika kemudian menjawab, perbuatan itu dilakukan akibat menonton cakera padat video (VCD) lucah.
Di mahkamah yang sama, Mohd Fauzi memerintahkan pendakwa menyediakan laporan akhlak seorang lagi abang mangsa berusia 19 tahun, yang turut mengaku salah terhadap dua tuduhan merogol adiknya.
Mahkamah memerlukan laporan akhlak sebelum menjatuhkan hukuman kerana tertuduh berusia bawah 21 tahun.
Hakim menetapkan 14 Mac ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan pertama, pemuda berusia 23 tahun itu dituduh merogol adik kandungnya di sebuah rumah di Jalan Abdul Rahman, Parit Jawa, dekat sini pada November 2004.
Dia juga dituduh melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di tempat yang sama pada 24 Januari lalu.
Pemuda berusia 19 tahun pula menghadapi tuduhan merogol mangsa di tempat yang sama pada Mei 2005 dan 14 Februari lalu.
_______________________________________________
KOMEN :
Manusia sudah tidak mengenali diri, sedangkan binatang pun tahu yang mana jantan yang mana betina, binatang pun tahu mana yang dah cukup umur dan yang mana belum.
Yang sedihnya majoriti yang terlibat adalah orang melayu/Islam.
Mengikut rekod Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, sebanyak 71.2 peratus atau 974 orang daripada 1,369 mangsa sumbang mahram di negara ini bagi tempoh empat tahun lalu, adalah kanak-kanak Melayu yang kebanyakannya berusia 16 tahun ke bawah.
Dalam tempoh itu, sebanyak 98 orang kanak-kanak India turut menjadi mangsa diikuti oleh kaum Cina 48 orang serta kaum-kaum lain, 243 orang.Sebanyak 905 orang daripada keseluruhan mangsa atau 66.1 peratus ialah mereka yang berusia 16 tahun ke bawah manakala 408 orang lagi berumur 16 tahun ke atas.Mengikut rekod itu, Selangor mencatatkan kes sumbang mahram paling tinggi di negara ini iaitu 190 kes.
Ia diikuti oleh Johor iaitu 179 kes, Sabah (164), Pahang (118), Sarawak (106), Kedah (103), Perak (95), Negeri Sembilan (88), Terengganu (80), Kelantan (64), Pulau Pinang (60), Kuala Lumpur (52), Melaka (47) dan Perlis (23),'' katanya ketika ditemui di Bukit Aman baru-baru ini.
Dalam tempoh empat tahun itu, paling ramai dilaporkan melakukan kesalahan sumbang mahram ialah bapa kandung iaitu 380 orang dan diikuti bapa tiri (249), bapa saudara (231) dan abang ipar atau adik ipar (119).
Pesalah lain ialah abang kandung iaitu 87 orang, sepupu (82), saudara (40), bapa angkat (35), datuk (34), abang tiri (29), datuk saudara (19), abang angkat (16), datuk tiri (7), bapa mertua (5), adik (4) dan anak tiri (1).
__________________________________________________
Adakah Undang-Undang negara tidak cukup tegas ?
Petikan : Berita Harian Online
Sabtu, 14 Jun 1997

Hukum mati bagi sumbang muhrim
KUALA LUMPUR, Jumaat - Polis hari ini mencadangkan supaya lelaki yang merogol ahli keluarga sendiri berusia kurang 12 tahun, dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 10 kali.

Bagi mangsa berusia lebih 12 tahun pula, sesiapa melakukan kesalahan sumbang muhrim atau hubungan seks di kalangan mereka yang mempunyai tali persaudaraan seperti itu, dicadangkan dikenakan hukuman penjara mandatori 20 tahun dan tidak kurang 10 kali sebatan.

Kertas cadangan bagi beberapa peruntukan baru, pindaan dan pemansuhan beberapa seksyen dalam undang-undang sedia ada itu, sedang disiapkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dihantar kepada pihak berkenaan sebelum dibawa ke Parlimen.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Datuk Ismail Che Rus memberitahu sidang akhbar, cadangan mewujudkan hukuman setimpal dengan kesalahan itu serta pindaan beberapa undang-undang sedia ada itu berikutan jenayah sedemikian semakin meningkat setiap tahun.

Menurutnya, cadangan itu dibuat hasil perbincangan antara polis dengan wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bukit Aman semalam, dalam usaha mencari jalan membendung gejala 'haruan makan anak' itu daripada terus berleluasa.

Polis amat prihatin dengan peningkatan jumlah kes sumbang muhrim setiap tahun dan menganggap perbuatan tidak bermoral itu harus dikenakan hukuman lebih setimpal berbanding sekarang.

Pada 1995, seramai 173 orang ditahan kerana merogol ahli keluarga sendiri dan jumlah itu meningkat kepada 200 orang tahun lalu, manakala sehingga April lalu bagi tahun ini, 56 orang ditahan kerana kesalahan serupa.

Statistik juga menunjukkan perbuatan terkutuk itu banyak dilakukan bapa kandung yang merogol anak sendiri. Pada 1995, 62 yang ditahan ialah bapa kandung mangsa; bapa saudara (27); abang kandung (10); datuk (7); saudara terdekat (23); bapa tiri (27); abang ipar (9); abang tiri (3) dan saudara jauh (5).

Tahun lalu, daripada 200 yang ditahan, 65 ialah bapa kandung; bapa saudara (28); abang kandung (15); adik kandung (seorang); datuk (5); saudara terdekat (21); bapa tiri (41); abang tiri (2); saudara jauh (9).

Daripada Januari hingga April lalu pula, 20 orang yang ditahan ialah bapa kandung mangsa; bapa saudara (10); abang kandung (2); datuk (seorang); saudara terdekat (11); bapa tiri (8); abang ipar (seorang); abang tiri (2) dan saudara jauh (seorang).

Lebih menarik perhatian, kata Ismail, lapan kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah ditahan pada 1994, 10 orang pada 1995 dan empat orang pada tahun lalu, kerana merogol.

"Perbuatan jenayah rogol yang membabitkan pertalian keluarga amat membimbangkan dan meningkat setiap tahun. Perbuatan terkutuk ini membabitkan bapa merogol anak, abang dan adik perempuan, datuk dan cucu, bapa saudara dan anak saudara.

"Jika tidak dibendung, perbuatan ini bukan sahaja akan meruntuhkan institusi kekeluargaan malah merosakkan struktur sosial masyarakat negara ini," katanya.

Antara NGO yang hadir dalam perbincangan semalam ialah Angkatan Wanita Malaysia (Awam); Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO); Persatuan Peguam Wanita Malaysia; Persatuan Peguam Wanita Muslim; Pusat Islam; Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan; Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Prof Hadi Karim dan isterinya, Prof Dr Mimi Kamariah.

Ismail berkata, empat kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah ditahan kerana mencabul kehormatan pada 1994, 17 orang pada 1995 dan 15 orang pada tahun lalu.

"Mereka ini juga tidak dituduh di mahkamah kerana pengecualian am Seksyen 83 Kanun Keseksaan yang memberi peruntukan bahawa kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun jika tidak mengetahui keadaan dan akibat perbuatannya, tidak melakukan kesalahan kerana pemikiran belum matang.

"Manakala Seksyen 82 Kanun Keseksaan memperuntukkan apa-apa yang dilakukan oleh kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah tidak menjadi apa-apa kesalahan," katanya.

Berdasarkan statistik dan kesalahan yang dilakukan golongan terbabit, polis membuat tujuh cadangan untuk disyorkan untuk pertimbangan pihak berkuasa:

* kesalahan sumbang muhrim atau hubungan seks di kalangan mereka yang mempunyai tali persaudaraan harus diperuntukkan hukuman lebih berat iaitu hukuman penjara mandatori 20 tahun dan disebat tidak kurang sepuluh rotan.

- jika gadis (mangsa) berusia 12 tahun ke bawah, pesalah akan dikenakan penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 10 rotan atau hukuman mati;

* meminda hukuman rogol yang diperuntukkan sekarang dengan hukuman lebih berat iaitu penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 20 tahun dan disebat tidak kurang 10 rotan;

- jika gadis berusia 12 tahun ke bawah akan dihukum penjara mandatori 20 tahun dan disebat tidak kurang 10 rotan;

* meminda atau memansuhkan Seksyen 113 Akta Keterangan berkenaan peranggapan yang memperuntukkan kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun ke bawah tidak berupaya melakukan rogol;

* meminda Seksyen 133A Akta Keterangan membolehkan keterangan kanak-kanak diterima tanpa sokongan keterangan saksi lain, tetapi mencukupi dengan keterangan material;

* meminda Seksyen 82 Kanun Keseksaan pengecualian untuk menurunkan had umur kanak-kanak tidak melakukan kesalahan kepada 7 tahun daripada 10 tahun yang diperuntukkan sekarang;

* memansuhkan Seksyen 83 Pengecualian Am yang memberi peruntukan kanak-kanak berusia lebih 10 tahun tetapi kurang 12 tahun yang belum cukup, akan untuk menimbangkan keadaan dan akibat perbuatannya pada masa perbuatan itu dilakukan; dan

* mengesyorkan mangsa rogol/keganasan rumahtangga/penderaan kanak-kanak untuk memberi keterangan melalui rakaman video atau persidangan video tanpa perlu hadir di mahkamah.
Apa pandangan anda ?

No comments: