06 March 2006

Mangsa gas Ammonia mahu mahkamah kenakan tindakan maksimum kepada pesalah

Petikan daripada Harakahdaily
Thu Mar 02, 06 03:55:25 PM Oleh Salman Hussin

SEGAMAT, 2 Mac (Hrkh) – Kerajaan khasnya mahkamah diminta mengenakan hukuman maksimum kepada pihak terbabit dalam pembuangan sisa toksik secara haram di Labis baru-baru ini.

Hukuman berat perlu dikenakan kepada pesalah terbabit memandangkan kesan perbuatan mereka ini begitu membahayakan keselamatan orang ramai, kata Penasihat Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Gatom Labis, Khairul Faizi Ahmad Kamil, dekat sini.

Katanya, kerajaan tidak sewajarnya berlembut atau berkompromi dengan pihak-pihak yang tidak mematuhi undang-undang negara sebaliknya tindakan tegas perlu diambil supaya kejadian sama tidak berulang lagi.

"Kita tidak mahu ada pihak cuba memperlekeh undang-undang negara semata-mata untuk kepentingan mereka sendiri tanpa memikirkan kepentingan umum," katanya semasa ditemui di Mahkamah Sesyen Segamat, baru-baru ini.

Faizi bersama penduduk kampung Sungai Gatong ke situ sebagai pemerhati ke atas tindakan mahkamah terhadap pihak yang terlibat membuang sisa toksid di kampung mereka.

Kata Faizi, setelah mengenal pasti pihak yang terbabit dalam pembuangan sisa toksik ini maka selepas ini, pihaknya akan mengemukakan saman bagi menuntut gantirugi daripada pihak terbabit.

Sehingga kini penduduk hanya menerima bantuan RM150.00 sahaja sedangkan kerugian yang mereka alami jauh lebih besar berikutan kejadian ini, "oleh kerana itu kita mahu syarikat terbabit membayar ganti rugi kepada penduduk terbabit."

Sementara itu seorang penduduk terbabit, Haji Kamusi Darman, ketika ditemui di luar Mahkamah, melahirkan harapan agar kerajaan bertindak tegas terhadap pihak yang terbabit melakukan pembuangan sisa toksik secara haram di kampung mereka.

Beliau bagaimanapun merasa agak terkilan dengan wang ikat jamin yang dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh sambil berkata, “jika dibandingkan dengan risiko serta penderitaan dialami penduduk yang terbabit dengan pencemaran ini maka wang jaminan RM60,000 dan RM30,000 adalah tidak memadai, sepatutnya kerajaan mengenakan jumlah yang lebih tinggi lagi supaya menjadi pengajaran kepada mereka dan juga pihak-pihak lain yang cuba melakukan kesalahan sama."

Terdahulu Faizi bersama beberapa penduduk Kampung Sungai Gatom Labis menghadiri sebutan kes terhadap dua pengarah syarikat yang didakwa atas tuduhan melakukan pelupusan sisa toksik berjadual secara haram di Sungai Gatom Labis, dekat sini.

Dua pengarah Syarikat Hong Poh Metal Sdn. Bhd, yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai Melaka, termasuk seorang daripadanya warga Singapura, mengaku tidak bersalah atas dakwaan tersebut dan mereka minta dibicarakan.

Warga Singapura, Lim Soh Hua,48, dan Chong Ah Chit, 46, rakyat tempatan dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 5 petang dan 11 malam di Lot 41 dan Lot 47, pada antara awal Disember 2005 hingga 8 Januari lalu.

Mereka dituduh melakukan pembuangan berjadual mengikut kod SW 501 iaitu sisa daripada pemerolehan kembali buangan terjadual yang termasuk dalam kategori bahan buangan yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Bahan itu dilupuskan di premis yang tidak ditetapkan iaitu di Lot 41 dan 47,Labis, Segamat, tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Alam Sekeliling.
Mereka yang didakwa mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Alam Sekeliling 1974 (Akta 27) bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan, Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir menetapkan 27 April ini sebagai tarikh perbicaraan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Muhamad Azzam Zainal Abidin dan Mohd Famey Yusoff, manakala tertuduh diwakili peguambela Tan Hock Chuan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pendakwa raya supaya Chong diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin, manakala Lim RM60,000 dengan seorang penjamin, sementara menunggu tarikh perbicaraan.

No comments: