23 March 2006

KERAJAAN MALAYSIA JANGAN TUNDUK DENGAN PERMINTAAN SINGAPURA

Kenyataan Media
(21 Mac 2006)

Kenyataan media ini dibuat selepas Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) yang dibuat di Johor Bahru pada 20 Mac 2006 yang lalu.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa dukacita teramat sangat dan membantah sekeras-kerasnya terhadap tindakan mahu menyerahkan ruang udara dan menjual pasir laut kepada Singapura semata-mata hanya mahu mereka bersetuju membina jabatan lurus menggantikan Tambak Johor.

Perkara ini telah disebut oleh Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar (Mingguan Malaysia, 19 Mac 2006) hasil daripada rundingan kali ke 5 dengan Singapura berhubung dengan pembinaan jambatan baru ini.

Dalam ruangan yang sama juga Syed Hamid berkata, isu tuntutan tambahan itu tidak harus dijadikan pertikaian kerana ia adalah keputusan kabinet yang sudah pasti mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia.

DPPNJ membuat satu kesimpulan yang mudah ; perkara ini sebenarnya menunjukkan sikap sebenar pemimpin UMNO/BN dalam soal menjaga maruah dan kedaulatan Negara.

DPPNJ kecewa dengan Menteri Luar Malaysia kerana sebelum ini memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada apa jua desakan kerajaan Singapura. Syed Hamid telah menyatakan dengan tegas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang isu termasuklah isu pasir dan ruang udara (Utusan Malaysia, 13 Mac 2006).

Pada 14 Mac 2006 pula, Berita Harian melaporkan pula bahawa tiada syarat tambahan akan dimetrai untuk membina jabatan ini.

Mana perginya kejujuran seorang pemimpin kerajaan?. Sanggup menggadaikan negara walaupun kesannya amat memedihkan kepada generasi akan datang.

Dalam hal ini, DPPNJ tertarik dengan kenyataan oleh Pengarah Urusan Gerbang Perdana Sdn Bhd, Datuk Yahya A. Jalil, yang merupakan kontraktor utama pembinaan jambatan ini. Walaupun syarikat beliau telah dianugerahkan projek mega ini namun dalam soal kepentingan rakyat Malaysia beliau telah menyatakan bahawa ;

“Sebagai rakyat Malaysia dan anak kelahiran Johor saya tidak rela dan saya sanggup mati untuk tanah air daripada menyerahkan martabat, maruah dan kedaulatan Negara ini”.

“Ruang udara dan pasir adalah simbolik kepada kedaulatan tanah air ini. Mengapa perlu diperdagangkan?. Saya tidak sanggup untuk melihat ini berlalu. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.”

DPPNJ menegaskan bahawa DPPNJ tidak berkompromi dengan apa jua syarat yang bakal menjahanamkan negara. Sekiranya mesyuarat Kabinet yang berlansung pada hari esok (Rabu) bersetuju dengan cadangan hasil daripada rundingan kali ke 5 itu maka DPPNJ tidak akan mendiamkan diri. Pastinya tindakan susulan akan dilakukan.

No comments: