26 April 2006

KETERBUKAAN MENERIMA KRITIKAN MAMPU MENYELESAIKAN MASALAH PLKN

Kenyataan Media
(26 April 2006)

TAJUK :

KETERBUKAAN MENERIMA KRITIKAN MAMPU MENYELESAIKAN MASALAH PLKN

Saya terpanggil untuk mengulas satu berita yang dipetik daripada laman Web Pemuda UMNO Malaysia yang disiarkan pada hari ini bertajuk “Tidak Perlu Ada Keraguan, PLKN Terbukti Beri Nilai Positif Pada Remaja”.

Timbalan Pengerusi Biro Latihan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shahrir Zaman Abdul Wahab hari ini menggesa semua pihak agar tidak terburu-buru membuat penilaian dan tohmahan terhadap program tersebut ekoran beberapa insiden yang tidak diingini menimpa para peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Apa yang ingin saya sentuh adalah berkaitan dengan kenyataan beliau yang menyentuh dengan tuduhan bahawa pembangkang cuba mengambil kesempatan untuk mengekspoitasi isu ini. Beliau menyatakan bahawa parti-parti pembangkang telah melemparkan tohmahan terhadap PLKN berikutan beberapa insiden yang menimpa para pelatih program terbabit sejak akhir-akhir ini.

Beliau meminta kerajaan agar tidak melayani sebarang tuduhan remeh temeh mengenai pelaksanaan program tersebut serta membidas sikap pembangkang yang hanya berusaha mencari kelemahan untuk kepentingan politik mereka.

Tegas beliau jika pembangkang ikhlas mereka sepatutnya turut sama memberi sumbangan untuk memperbaiki lagi mana-mana kelemahan yang terdapat dalam PLKN ini dan bukan hanya menanti peluang untuk mencuri kesempatan menghentam kerajaan.

Saya melihat bahawa kenyataan beliau ini adalah berasaskan kepada emosi tanpa melihat realiti sebenar yang berlaku. Adakah benar parti-parti pembangkang ini terutamanya PAS tidak memberikan apa-apa pandangan terhadap penambahbaikan PLKN?.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) sendiri pernah mengemukakan 10 cadangan bagi memperbaiki PLKN. Syor DPPNJ ini telah dibuat pada Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia Mengenai Perpaduan dan Khidmat Negara yang telah diadakan di Bukit Timbalan, Johor pada bulan September 2005.

Di antara cadangan yang pernah dikemukakan adalah :-

i. Mencadangkan Kementerian Pelajaran merangka subjek wajib berkaitan Masyarakat dan Kenegaraan di peringkat sekolah menengah lagi selain pelaksanaan PLKN itu sendiri perlu dibahagi kepada beberapa tahap tertentu.

ii. Mencadangkan supaya pelaksanaan PLKN dibahagi kepada tiga tahap iaitu tahap pertama membabitkan peserta berumur 15 tahun (lepasan PMR) yang mana pada tahap ini peserta dididik dengan Latihan Kemantapan Peribadi.
Tahap kedua pula membabitkan peserta berumur 17 tahun (lepasan SPM) yang dididik dengan Latihan Kemasyarakatan dan Kenegaraan yang mana pada tahap ini peserta dilatih dengan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, bangsa, sosial, budaya, politik, ekonomi, masyarakat dan kenegaraan.
Manakala pada tahap ketiga pula membabitkan peserta yang sudah atau belum bekerja (21 - 25 tahun), mereka diberi latihan berkaitan politik antarabangsa, ancaman musuh dan kaedah mempertahankan negara secara fizikal dan psikologi.

iii. Mencadangkan supaya penyertaan remaja lelaki dan perempuan diwajibkan pada tahap satu dan dua manakala pada tahap ketiga hanya remaja lelaki diwajibkan manakala remaja perempuan adalah pilihan.

iv. Mengesyorkan beberapa cadangan lain seperti mewujudkan modul khas berkaitan ajaran agama setiap peserta, pengasingan jantina peserta PLKN serta melakukan penilaian pada setiap tahap.

v. Memasukkan keputusan setiap tahap ke dalam sijil PMR, SPM dan Universiti, menjadikan keputusan lulus tahap satu dan dua sebagai syarat masuk IPTA/IPTS atau pusat kemahiran dan latihan manakala keputusan lulus bagi tahap ketiga dijadikan sebagai syarat untuk mendapatkan pekerjaan di sektor awam dan swasta.

vi. Menubuhkan badan bebas terdiri dari agensi kerajaan, NGO dan pertubuhan politik bagi memantau setiap program yang dilaksanakan memenuhi objektif yang digariskan untuk mengelakkan sebarang unsur atau kecenderungan dan manipulasi terhadap peserta PLKN ke arah mana-mana parti politik.

Ini adalah bukti bahawa PAS terlibat sama dalam memperbaiki kelemahan yang berlaku dalam PLKN. Jangan mudah membuat tuduhan hanya kerana parti-parti pembangkang seperti PAS bukan peneraju kepimpinan negara kerana dalam isu PLKN ini, PAS sangat mementingkan masa depan anak-anak yang bakal menjadi waris kepimpinan negara.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

1 comment:

Anonymous said...

I've gotta get it all done cus I won't hаve thе сhance to get іt
ԁone if nоt!

Mу ωeb blog :: fast cash payday advance