14 April 2006

PADAH BILA PEMIMPIN NEGARA LEMAH PEMIKIRAN, BERPANDANGAN SEMPIT DAN BONGKAK

Kenyataan Media
(14 April 2006)


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa dukacita terhadap beberapa tindakan dan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Malaysia di atas isu pembinaan Jambatan yang menghubungkan Malaysia – Singapura. Kecelaruan di dalam membuat segala keputusan membayangkan betapa lemahnya cara pemikiran pemimpin UMNO yang menerajui negara sekarang ini.

Sebelum ini pemimpin negara kelihatan ‘garang’ dan tegas sehingga seolah-olahnya tiada sebab untuk kerajaan Malaysia menghentikan pembinaan jambatan walaupun tidak dipersetujui oleh Singapura;

1. Pada 3 Mac 2006, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa Malaysia memutuskan akan meneruskan cadangan membina jambatan bagi menggantikan Tambak Johor tanpa menunggu kata putus daripada Singapura bagi melengkapkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) baru yang akan siap tidak lama lagi.

2. Bila kerajaan Singapura melahirkan rasa tidak setuju dengan tindakan Malaysia, pada 13 Mac 2006 Datuk Seri Syed Hamid Albar telah menyatakan dengan tegas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang isu termasuklah isu pasir dan ruang udara. Beliau juga memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada apa jua desakan kerajaan Singapura.

3. Apabila rakyat sudah mula mempertikaian tuntutan tambahan Singapura, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar pada 19 Mac 2006 mengingatkan bahawa isu tuntutan tambahan untuk membina jambatan tidak harus dijadikan pertikaian kerana ia adalah keputusan kabinet yang sudah pasti mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia.

4. Apabila kabinet gagal mengeluarkan keputusan berkaitan dengan isu pembinaan jambatan ini, pada 26 Mac 2006 sekali lagi Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi pendirian kerajaan bahawa projek pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor tidak akan ditangguhkan.

Pada 4 April 2006, Menteri di Jabatan Perdana dan Menteri Luar Kedua, Raymond Lim membuat kenyataan bahawa Singapura tidak dapat menerima bahawa Malaysia berhak membuat keputusan sendiri membina separuh daripada jambatan menggantikan Tambak Johor kerana tindakan itu juga mempunyai kesan terhadap republik itu. Beliau berkata sebarang langkah merobohkan tambak berusia 81 tahun itu di kawasan Malaysia akan melibatkan kedua-dua negara termasuk paip yang membekalkan air ke Singapura.

Akhirnya pada 12 April 2006, kerajaan Malaysia mengumumkan pembatalan projek pembinaan jambatan ini. Apabila kerajaan mengumumkan pembatalan, bermakna segala apa kenyataan yang telah dikeluarkan adalah retorik dan hampas belaka. Rakyat tidak menolak supaya jambatan baru dibatalkan pembinaannya tetapi rakyat mahukan maruah negara dipertahankan kerana rakyat tahu pemimpin UMNO/BN memang terkenal dengan sikap untuk menggadaikan hak rakyat.
Persoalannya sekarang ;

1. Sebelum ini, di antara alasan untuk membina jambatan baru ini adalah untuk mengembalikan aliran air di selat Tebrau, serta merapatkan hubungan antara dua pelabuhan penting di selatan tanah air. Maka, kenapa pula kerajaan memilih untuk membatalkan pembinaannya dengan alasan untuk kepentingan rakyat?.

2. Sangat memalukan apabila kerajaan ‘baru tersedar’ bahawa apabila Tambak Johor itu dipotong maka laluan paip air dan laluan kereta api yang sedia ada akan turut terjejas. Dimanakah kebijaksanaan pemimpin UMNO/BN sehingga perkara seperti itu terlepas pandang?.

3. Begitu juga dengan implikasi dan komplikasi undang-undang terpaksa dihadapi oleh Malaysia apabila jambatan ini dibina, tidakkah negara kita mempunyai ramai pakar undang-undang yang mampu menasihatkan pemimpin-pemimpin ini agar jangan berfikiran sempit?.

4. Akhirnya dengan pembatalan ini maka kerajaan terpaksa membayar wang pampasan kepada Gerbang Perdana sebanyak RM100 juta, dari mana datangnya wang ini kalau tidak datangnya daripada keringat rakyat Malaysia. Inilah tanda betapa lemahnya pemimpin UMNO/BN berfikir dan bertindak sehingga negara dengan mudahnya kerugian RM 100 juta.

Inilah harga yang perlu dibayar oleh rakyat apabila tersalah memilih kerajaan yang sememangnya telah terbukti semakin menyusahkan rakyat akhirnya.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830

http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: