05 April 2006

PEMUDA BA JOHOR MENYUSUN LANGKAH

Dipetik daripada Malaysia-Today
Tuesday, April 04, 2006

Pemuda BA Johor menyusun langkah

Jawatankuasa Pemuda Barisan Alternatif (BA) Negeri Johor telah mengadakan Konvensyen Pemuda BA Negeri Johor kali Pertama, di Hotel Kelana, Skudai, Johor Bahru pada 2 April 2006.
Dua kertas kerja telah dibentangkan oleh Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil dan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Johor, Nurin Aina Binti Abdullah.
Khairul Faizi meminta perwakilan meneliti dan membahaskan beberapa persoalan, di samping meneliti tahap pecapaian Pemuda BA selama ini.
Persoalan yang dilontarkan ternyata menggesa Pemuda BA bangkit memacu perubahan dan pembaharuan bagi persediaan menempatkan BA selaku kerajaan menanti di Johor.
Apakah Pemuda BA semakin mendapat keyakinan rakyat khasnya pengundi Melayu-Islam dan seluruh rakyat di negara ini dengan isu, penampilan polisi dan gagasan yang dipelopori? soal Khairul lagi.
Kerusi tunggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang tidak cukup untuk mengenengahkan isu demi menjaga kepentingan rakyat serta menyanggah penyelewengan yang berlaku.
Bilangan tersebut perlu ditambah bagi memastikan suara kebenaran kedengaran dalam persidangan DUN Johor, tambah beliau.Perbezaan pendapat jangan dijadikan sebab melebarnya jurang antara Pemuda BA, sebaliknya sentiasa mencari titik pertemuan dan berlapang dada dengan sebarang perbezaan, jelas Nurin dalam kertas kerja yang dibentangkan.
Permasalahan sosial yang melanda negeri Johor sudah menjadi perkara yang diketahui umum. Kecenderungan anak muda pada hari ini dapat dilihat lebih menjurus kepada hiburan sehingga mereka berjaya dilekakan.
Nurin mengajak Pemuda BA agar memfokuskan usaha kepada golongan muda dan melipatgandakan usaha bagi menyelamatkan golongan muda daripada terus hanyut di bawa arus kelalaian.
Golongan muda perlu dibentuk dan dicanai menjadi pelapis dan pewaris perjuangan.
Mereka perlu sedar bahawa di bahu mereka itu terpikul tanggungjawab yang dituntut untuk mereka laksanakan, jelas beliau lagi.Di akhir konvensyen sehari itu, Pemuda BA telah mencapai satu resolusi bagi mengukuhkan perpaduan serta bangkit berdepan dengan pemerintah yang menindas rakyat.
Antara resolusi yang telah dipersetujui ialah berusaha membuang perkara-perkara yang menjadi hambatan kepada perpaduan Pemuda BA Negeri Johor serta merealisasikan penjelmaan baru yang boleh diterima oleh masyarakat Johor.

No comments: