21 April 2006

SEJAUH MANA KERAJAAN MAMPU BERPEGANG KEPADA JANJI UNTUK TIDAK MENAIKKAN HARGA MINYAK.

Kenyataan Media
(21 April 2006)

TAJUK :

SEJAUH MANA KERAJAAN MAMPU BERPEGANG KEPADA JANJI UNTUK TIDAK MENAIKKAN HARGA MINYAK.

Perkembangan baru kenaikan harga minyak dunia sekarang ini telah mula dirasai oleh kerajaan lebih-lebih lagi oleh Perdana Menteri Malaysia yang sebelum ini telah mengumumkan bahawa tiada kenaikan lagi pada tahun 2006.

Jika dilihat daripada kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Pak Lah kelihatan agak tertekan dengan kenaikan terbaru harga minyak dunia, membayangkan betapa kerajaan pada hari ini sudah mula terasa bebanan yang mesti dipikul dengan kenaikan ini sedangkan semasa kenaikan kali terakhir pada 28 Februari 2006 yang lalu, kerajaan berjanji bahawa tiada lagi kenaikan sepanjang tahun 2006.

Bernama.Com semalam telah menyiarkan kenyataan Pak Lah bahawa kerajaan akan menghadapi tekanan untuk menyediakan peruntukan subsidi lebih tinggi tahun ini sekiranya harga minyak terus meningkat di pasaran dunia. Beliau mengakui kenaikan harga minyak di pasaran dunia kini yang mencecah paras US$75 (US$1=RM3.66) setong akan memberikan lebih banyak kesusahan kepada kerajaan.

Pak Lah berkata :

"Ini adalah satu kesusahan yang besar yang akan dihadapi oleh kerajaan (disebabkan kenaikan tinggi harga minyak di pasaran dunia).

"Saya memahami semasa kita menaikkan harga minyak dulu kita dah kaji sampai akhir tahun (harga minyak) tidak akan dinaikkan lagi"


Daripada kata-kata ini, terdapat tanda-tanda bahawa Pak Lah telah tersilap ercaturan apabila mengumumkan bahawa tiada lagi kenaikan tahun ini.

Walau bagaimanapun, berbeza dengan kenyataan Datuk Seri Najib Razak selaku Timbalan Perdana Menteri yang dilihat lebih yakin bahawa kerajaan akan terus bertahan dengan apa jua keadaan yang berlaku.

Beliau berkata;

“Kita masih tetap dengan pengakuan yang sudah dibuat bahawa harga minyak tidak akan dinaikkan sepanjang tahun ini, walaupun harganya di pasaran dunia sekarang lebih AS$70 setong”.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) yakin bahawa rakyat sedang tertunggu-tunggu apakah yang akan dilakukan oleh kerajaan selepas ini. DPPNJ menjangkakan bahawa perkembangan kenaikan harga minyak dunia ini akan digunakan oleh kerajaan khususnya Pak Lah untuk merayu supaya rakyat ‘bersimpati’ dengan beliau dan kerajaan untuk membolehlah harga runcit minyak petrol/diesel dinaikkan kerana kita tahu bahawa Pak Lah kerap kali mengambil jalan mudah untuk menyenangkan kerajaan walaupun yang menderitanya rakyat.

Jika ini berlaku, kerajaan UMNO/BN sudah tentunya akan dilihat sebagai kerajaan penipu dan zalim kepada rakyatnya. DPPNJ menyeru kepada semua perjuangan keadilan dan hak rakyat agar bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang pastinya akan berpihak kepada kita.

Sekian, wassalam.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: