09 April 2006

PAS berhimpun bantah jualan pasir dan hak guna ruang udara oleh Singapura

JOHOR BHARU, 7 April (Hrkh) - PAS tidak jadi menyerahkan memorandum berkaitan dengan jualan pasir dan penggunaan ruang udara Malaysia oleh Singapura kepada Menteri Besar Johor apabila hanya wakilnya sahaja yang hadir untuk menerima memo itu.

Sebaliknya, memo bantahan itu akan diserahkan Ketua Pemuda PAS yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub kepada Menteri Luar di Parlimen Isnin ini.

Kira-kira 100 orang pemimpin dan penyokong PAS di Johor berhimpun di perkarangan Masjid An Nur, Johor Bharu selepas Jumaat tadi bagi membantah rancangan penjualan pasir kepada Singapura.

Mereka juga membantah rancangan untuk memberikan hak kepada pesawat tentera Singapura melalui ruang udara Malaysia.

Bagi mereka kedua-dua perkara itu akan mencabul hak Malaysia dan menyusahkan rakyat negara ini di masa depan.

Perhimpunan itu disertai oleh Salahudin Ayub dan juga Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mahfodz Muhamad. Turut sama adalah Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman dan Ketua Pemuda PAS Johor serta lain-lain pemimpin PAS Johor.

Selepas berhimpun dan berucap kira-kira 15 minit mereka berarak ke Pejabat Menteri Besar Johor bagi menyerahkan memorandum bantahan itu.
Disekat polis

Mereka disekat oleh polis. Setelah perundingan dijalankan, hanya lima orang sahaja dibenarkan terus ke perkarangan pejabat Menteri Besar.

Bagaiamanapun, selepas menunggu kira-kira 30 minit hanya Ketua Setiausaha Sulit MB Johor sahaja yang turun untuk menerima memorandum itu.

Ekoran itu, mereka mengambil keputusan tidak menyerahkan memo itu kerana menyifatkan pegawai itu hanya 'budak suruhan MB' sebaliknya akan menyerahkannya kepada Menteri Luar di Parlimen Isnin ini.

PAS Johor membantah ura-ura kerajaan Malaysia mahu menerima tekanan kerajaan Singapura agar menjualkan pasir kepada negara itu dalam tempoh masa yang lama dengan kuantiti yang banyak untuk pembinaan di pulau itu.

Singapura juga mahukan hak untuk jet pejuang dan kapal terbang tenteranya lalu di ruang udara Malaysia sebagai timbal balas untuk bersetuju meneruskan pembinaan jambatan kedua menghubungkan kedua-dua negara.

Singapura baru-baru ini telah membantah cadangan pembinaan yang hendak dimulakan oleh Malaysia di bahagiannya itu dengan alasan persetujuan belum dicapai oleh kedua-dua belah pihak.

No comments: