19 July 2006

BERITA DARI HARAKAHDAILY

UMAT ISLAM DIGESA SEKAT KUMPULAN ARTIKEL 11
Wed Jul 19, 06 10:22:59 AM
Oleh Salman Hussin

JOHOR BAHRU, 19 Julai (Hrkh) - PAS Johor dan umat Islam di negeri ini mendesak Kerajaan Negeri menghalang cubaan Kumpulan Artikel 11 yang berhasrat untuk menganjurkan forum mengenai Kebebasan Hak (Human Rights) kerana tindakan mereka ini boleh menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam selain mengancam keselamatan negara.

Justeru kerana itu PAS Johor serta umat Islam di negeri ini mendesak Kerajaan Negeri membatalkan forum yang dijangka akan diadakan di Hotel Selesa Johor Bahru pada 22 Julai ini, kata Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfoods Muhamad, di sini, kelmarin.

Sebelum ini difahamkan Kumpulan Artikel 11 yang terdiri daripada 13 NGO ini telah cuba mengadakan forum yang sama di Pulau Pinang tetapi disebabkan bantahan yang hebat oleh umat Islam di negeri itu maka mereka terpaksa membatalkan forum ini atas arahan polis, katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Central, dekat sini, semalam.

Katanya lagi, kalau di negeri yang diperintah oleh pemimpin bukan Islam forum yang menyentuh sensitiviti umat Islam ini boleh dibatalkan maka tidak ada sebab mengapa negeri yang diperintah oleh pemimpin Islam tindakan yang sama tidak boleh dilakukan.

"Kita memandang serius tindak tanduk kumpulan ini, walaupun forum ini diadakan atas nama hak asasi tetapi mereka sebenarnya lebih cenderung untuk mencampuri hal ehwal urusan agama Islam sedangkan mereka bukan golongan yang berotoriti untuk bercakap soal Islam, mereka langsung tiada hak untuk bercakap soal Islam apatah lagi bila membabitkan isu-isu sensitif yang boleh menyentuh sensitiviti umat Islam,"katanya.

Sebaliknya jelas Dato’ Mahfoods lagi, kumpulan ini sebenarnya adalah pelobi kepada gerakan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang ditangguhkan penubuhannya oleh kerajaan tidak berapa lama dulu, hari ini mereka bergerak ke negeri-negeri bagi mendapatkan sokongan rakyat dalam usaha untuk merealisasikan penubuhan IFC ini dan seluruh umat Islam di negara ini mesti menentang usaha ini.

"Apa yang lebih menyedihkan kita, golongan yang hendak menghancurkan Islam ini turut dianggotai anak-anak pemimpin negara dan umat Islam sendiri.

"Kita sangat bimbang penglibatan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin negara ini akan lebih memudahkan usaha mereka untuk menghancurkan umat Islam

"Bantahan ini dibuat bukan kerana kita tidak menerima konsep kebabasan hak tetapi kita ingin mempertegaskan bahawa sebarang usaha untuk mengadakan program yang bertujuan menghina Islam dan Undang-Undang Syariah sama ada secara langsung atau tidak mestilah dihentikan kerana ianya bakal mengundang perbalahan dan pertikaian antara penganut-penganut agama sehingga memungkinkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku,"jelasnya.

Dato’ Mahfoods juga mendesak, agar pihak-pihak terbabit seperti Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan juga pihak pengurusan hotel terbabit membatalkan forum ini.

Selain membuat laporan polis, Dato’ Mahfoods yang diiringi Timbalannya, Haji Dzulkifly Ahmad; Ketua Dewan Ulama, Ustaz Abdullah Husein; Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil serta beberapa pimpinan PAS Johor lainnya telah mengadakan pertemuan serta menyerahkan memorandum bantahan berhubung forum ini kepada Timbalan Mufti Johor, Dato’ Tahrir Shamsuddin, Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Dato’ Haji Mohd Zaini Osman, Ketua Setiausaha Sulit MB Johor, Lokman Abu Bakar serta Pengurus Besar Hotel Selesa Johor Bahru, Sy Hon.

Bagaimanapun usaha untuk menyerahkan memorandum ini kepada CEO Johor Corporations (Jcops), Tan Sri Mohd Ali Hashim, tidak dapat dilakukan kerana beliau tiada di pejabatnya. Jcops adalah anak syarikat Kerajaan Negeri yang memiliki Hotel Selesa tempat di mana forum ini dijangka akan diadakan pada Sabtu ini.

Sehubungan itu tegas Dato’ Mahfoods lagi, PAS Johor meminta PDRM melakukan siasatan terhadap forum yang hendak diadakan itu termasuk kumpulan artikel 11 yang terbabit dalam forum ini, selain meminta polis tidak mengeluarkan permit kepada penganjur forum ini. - mks.

No comments: