25 July 2006

KINI KU MENGERTI BETAPA ISA MENZALIMI RAKYAT - BICARA 3

KINI KU MENGERTI BETAPA ISA MENZALIMI RAKYAT – BICARA 3
(Satu Catatan Khas Untuk Kak Norlaila Othman)

Pembuka Bicara

Catatan ketiga ini saya ingin mencoretkan kisah seorang isteri tahanan ISA yang akhir-akhir ini agak terserlah kegigihannya menjadi seorang isteri tanpa suami di sisi iaitu Puan Norlaila Othman atau saya kenali sebagai Kak Laila.

Saya memilih untuk membicarakan tentang Kak Laila setelah saya ditakdirkan telah bertemu dengan beliau semasa Muktamar PAS Pusat di Kedah pada bulan Jun 2006 yang lalu dan saya melihat beliau sangat gigih untuk memperjuangkan hak dan kebebasan tahan ISA.

Pertemuan tersebut berlaku di saat suami Kak Laila, Mat Sah Mohd Satray akan melengkapkan tahanan ISA selama 4 tahun. Pada jangkaannya pada 12 Jun 2006, ada kemungkinan suami Kak Laila akan dibebaskan untuk meneruskan hidup bersama keluarga tercinta.

Sebuah Catatan: Suamiku Pulang

Pada bulan Jun yang lalu, harakahdaily telah menyiarkan sebuah artikel yang dicoretkan oleh Kak Laila bertajuk 'Sebuah Catatan': Suamiku Pulang'. Berkali-kali saya mengulangi pembacaan terhadap coretan ini dan saya dapat melihat betapa beliau adalah seorang isteri yang gigih, tabah, sabar, dan berdikari.

Saya mengambil beberapa perkara daripada coretan tersebut untuk tatapan semua. Kata Kak Laila : -

i. “Rindu? Tiada bahasa yang dapat diucapkan untuk menyatakan perasaan tersebut, hingga ada kalanya, seolah-olah aku takut untuk melihat potretnya (suami), kerana terlalu khuatir, dia akan pulang ke rumah dalam bentuk mimpi dan akhirnya, hanya linangan airmata yang setia untuk mengubati rindu ini.”

Bicaraku : Siapa tidak rindukan suami. Suami yang tercinta ditahan tanpa bicara dipisahkan secara paksa. Bayangkan, setiap kali terbangun daripada tidur, orang disayangi tidak ada disisi.

ii. “Walau sesibuk mana pun dengan dunia baru ini, aku bahagia. Kenapa? Kerana, aku dapat menyalurkan segala dendam dan marahku pada saluran yang sepatutnya. Aku dapat menyatakannya pada wartawan, aku dapat ruang untuk berceramah mengenai kezaliman ISA dan aku juga mula belajar menulis pengalaman dizalimi ini untuk tatapan rakyat Malaysia yang kekurangan maklumat tentang kekejaman ISA.”

Bicaraku : Kezaliman akhirnya melahirkan seorang pejuang yang menegakkan kebenaran. Sikap ini perlu dicontohi oleh semua, dengan hanya berdiam diri melihat kezaliman terus bermaharaja lela tidak akan merubah apa-apa.

iii. “Buat masa ini, aku dan Suhaib telah membulatkan tekad, sama ada dia bebas atau tidak, kehidupan wajib diteruskan dan kami akan terus memperjuangkan nasib semua tahanan ISA yang masih menghuni Kem Kamunting. Aku yakin, lambat laun, kezaliman akan dapat dikalahkan oleh keadilan dan kebenaran.Hanya masa yang menentukan segalanya. Lagi pun, kami berdua tidak akan rugi apa-apa kerana sepanjang kami dianiaya dan dizalimi, kami yakin, Allah akan menggantikan segala kesusahan itu dengan pahala yang tidak ternilai harganya.”

Bicaraku : Keyakinan Kak Laila dan anaknya bahawa Allah akan memberikan pahala menunjukkan proses tarbiyah berlaku di sini. Seruan ini perlu disambut oleh kita semua.

iv. “Saya terima semua ini sebagai ujian dariNya. Mungkin jika tidak diuji seperti ini, saya tetap akan diberi ujian yang lain, yang mungkin setaraf dengan apa yang sedang dihadapi sekarang.Ya, Allah lebih mengetahui hikmah sesuatu kejadian itu.”

Bicaraku : Keimanan yang tinggi akan lahir dengan ujian yang mendatang.

v. “Saya reda dengan ujian ini, tapi saya tetap tidak redha dengan perbuatan insan lain menzalimi kami sekeluarga. Selagi ada nyawa, usaha mesti diteruskan, dan selebihnya saya serahkan pada Allah SWT untuk menyelesaikannya.Jika didunia hak kami dinafikan, maka kami akan tuntut segalanya diakhirat kelak.”

Bicaraku : Dalam hidup kita ini, keredhaan Allah yang kita cari bukannya keredhaan manusia. Ingatlah wahai pemerintah yang telah melakukan penindasan dan kezaliman, anda akan menerima balasan yang setimpalnya dari apa yang telah anda lakukan.


Segenggam Tabah

Bila saya mendapat maklumat bahawa suami Kak Laila tidak dibebaskan, saya telah menghantar SMS sebagai ucapan simpati kepada beliau dan keluarga. Kak Laila membalas SMS tersebut pada 16 Jun 2006 pukul 10 .56 malam :-

" Maaf, lewat balas. Balik dari Kedah letih. Dapat berita pula tahanan suami disambung lagi 2 tahun. Akak rasa 'down' sikit. But now quite ok.."

Mungkin ada yang mengharapkan dengan lanjutan penahanan Mat Sah ini akan melemahkan semangat Kak Laila untuk terus berjuang tetapi sehingga hari ini harapan jahat itu masih belum berjaya. Kak Laila masih meneruskan perjuangannya.

Buktinya, Ketika saya menziarahi keluarga mangsa ISA di Johor baru-baru ini, saya menerima SMS daripada beliau :

Ok, ALHAMDULILLAH, syukran 4 everything. My regards 2 them n may Allah return wt th best rewards 2 U.
(9 Julai 2006, 6.31 petang)

Apabila saya menerangkan kepada beliau tentang tindakan yang diambil oeh Pemuda BAJ terhadap isu ini, Kak Laila berpesan kepada saya supaya memberikan semangat agar semua isteri tahanan ISA di Johor perlu dididik untuk berdikari dan bekerja dalam satu pasukan. Beliau sering menghubungi isteri-isteri tahanan di Johor tetapi kerana jarak yang jauh memisahkan mereka untuk kerap bersama.

Kak Laila juga masih meneruskan agenda perjuangannya. Saya menerima SMS daripada kak Laila pada 21 Julai 2006 yang memberitahu bahawa beliau telah berceramah di Baling Kedah atas isu ISA pada 20 Julai 2006.


Perjuangan mesti diteruskan


Perjuangan Kak Laila untuk membebaskan suaminya bukanlah satu tugas yang mudah. Luahan yang disalurkan melalui coretan ini sudah cukup membayangkan betapa tiada tertulis makna kecewa atau sentuhan kecundang dalam perjuangan untuk membebaskan suami tercinta serta tahanan ISA yang lain.

Penglibatan sebagai jawatankuasa Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) membolehkan beliau bergerak dengan lebih aktif. Aktiviti penerangan, ceramah, dialog dan bantahan terus dilaksanakan demi kebenaran.


Penutup Bicara

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanannya. Memang berat rasanya hati tetapi apakan daya, kerajaan masih terus mahu dilihat sebagai penguasa yang zalim.

Kisah Kak Laila ini dapat saya gambarkan melalui sebuah lagu Nasyid yang sedang diminati sekarang ini. Bila saya amati lagu terbaru daripada Kumpulan Inteam – Segenggam Tabah, saya rasa amat sesuai saya tujukan kepada Kak Laila. Lagu yang menggambarkan kehidupan seseorang yang menghadapi rintangan dan halangan dalam meneruskan kehidupan yang penuh cabaran. Atas segenggam ketabahan yang untuk terus mengharungi liku-liku kehidupan demi meneruskan kehidupan dan perjungan, setiap halangan terus dirempuh.

Semoga Kak Laila akan terus tabah seperti tabahnya camar di dalam lagu ini. Teruskan perjuangan Kak Laila…
Segenggam Tabah

Bertali arus dugaan tiba
Menakung sebak airmata
Namun tak pernah pun setitis
Gugur berderai di pipi

Tidak ditempah hidup sengsara
Suratan nasib yang melanda
Menongkah badai bergelora
Diredah bersendirian

Bagaikan camar pulang senja
Patah sayapnya tetap terbang jua
Sekadar secicip rezeki
Buat yang sedang rindu menanti

Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan di perjalanan
Kau bebat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar
Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu
Biarpun keruh air di hulu
Mungkinkah jernih di muara
Biarpun jenuh hidup dipalu
Pasti bertemu tenangnya

Akan datang...Bicara 4 : Khas Untuk Pak Abu Urwah & Kak Aliza Jaafar : Tunggu ….

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pengerusi Pemuda BA Negeri Johor
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.
019-7701830/013-7257085
24 Julai 2006, 3.38 petang
Lawati : http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: