28 July 2006

KINI KU MENGERTI BETAPA ISA MENZALIMI RAKYAT – BICARA 4

KINI KU MENGERTI BETAPA ISA MENZALIMI RAKYAT – BICARA 4
(Satu Catatan Khas Untuk Pak Abu Urwah & Kak Aliza)


Pembuka Bicara 4

Saya ada terbaca dalam satu ruangan komen terhadap tulisan saya (BICARA 2) dalam ruangan Malaysia Today. Seorang yang mengenalkan namanya sebagai ipcmc telah mengajukan berapa persoalan kepada saya. Beliau menyebut..

kenapa keluhan isteri2 perllu diperdengarkan kepada umum....kenapa keluhan mereka lebih utama sekiranya nak dibandingkan dengaan keselamatan negara...
seharusnya kamu sedar bahawa ISA itu adalah penyelamat negara dari tindakan tangan-tangan mereka yang merosakkan....
kenapa kamu tidak memikirkan kebajikan anak2 dan isteri2 kamu terlebih dahulu sebelum kamu menyusahkan mereka dan pihak berkuasa....
adakah kepentingan diri kamu lebih utama daripada kepentingan negara...kamu jawablah sendiri....

Saya ingin menyimpulkan begini, kesemua tahanan ISA ini ditahan dalam keadaan kesalahan yang dituduh kepada mereka tidak dibicarakan. Tiada Mahkamah, tiada pendakwaan, tiada pembelaan, yang ada hanyalah tuduhan bahawa mereka terlibat dalam keganasan.

Sekiranya mereka terbukti bersalah setelah melalui proses pengadilan di mahkamah maka saya akur terhadap keputusan tersebut tetapi hakikatnya mereka tidak dibicarakan.

Saya teringat kepada pertuduhan yang dilemparkan kepada teman-teman Reformis seperti Ezam Mohd Nor, Shaari Sungip, Gobalakrisnan dan yang lain-lain yang ditahan dibawah ISA kerana terdapat bukti bahawa mereka terlibat untuk menjatuhkan kerajaan dengan keganasan dan terdapat bukti bahawa mereka mempunyai senjata seperti Pelancar Roket, sehingga ke hari ini tuduhan tersebut tidak dapat dibuktikan.

Justeru saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar memahami kedudukan sebenar.

Pak Abu Urwah terus berjuang

Seperti yang pernah saya sebut dalam BICARA 1 bahawa kesempatan bertemu dengan Haji Saari Bin Sungip (Abu Urwah) dan isterinya Puan Aliza Binti Jaafar (Kak Aliza) di dalam program Retreat Pemuda BA Johor dan Hari Keluarga Pemuda BA Johor pada 1 & 2 Julai 2006 baru-baru ini telah membuka ruang kepada saya untuk mengenali beliau dengan lebih dekat.

Saya mula mengenali Pak Abu apabila beliau menjadi Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) tetapi ketika itu saya belum ‘berminat’ untuk mengadakan apa-apa ‘engagement’. Tetapi saya agak teruja dengan semangat beliau dalam perjuangan menghapuskan ISA daripada muka bumi ini.

Buktinya sejak daripada dibebaskan daripada ISA, beliau terus aktif dengan aktiviti Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Ceramah, motivasi, mengedar risalah malah beliau sendiri menerbitkan beberapa buku seperti Suara Dari Kamunting, SB oh SB…dan Shit Too serta artikel-artikel yang ditulis dan disiarkan di dalam harakahdaily (Terkini : Ramai yang tidak tahu hak dan fahami kezaliman ISA : 6 Julai 2006) dan Malaysia Today (Terkini : Sengsara Kem Kemunting siri ke 19 : 28 Julai 2006) mendorong saya untuk mendekati dan mengenali beliau.


Penulisan daripada Pengalaman Pak Abu

Pak Abu banyak menghasilkan buku dan artikel berbentuk rencana. Bleh dikatakan kesemua penulisannya mengaitkan ISA sama ada ia berbentuk gesaan menghapuskan ISA ataupun berkaitan dengan pengalaman beliau menjadi tahanan ISA, keperitan berada di dalam tahanan ISA yang zalim dan juga memberikan gambaran kepada kita tentang liku perjalanan yang akan dilalui oleh tahanan.

Sebagai contohnya, Pak Abu dalam artikelnya menyebut bahawa tujuan keempat ISA digunakan adalah untuk mematahkan semangat juang para pejuang Islam, penegak keadilan serta aktivis politik dan hak asasi manusia. (ISA diguna untuk patahkan semangat tahanan : 23 Jun 2006).

Dalam artikelnya yang bertajuk “ISA : Salah satu kemanisan ujian Allah” beliau menyatakan bahawa orang sepertinya jika Allah uji dan selepas itu Allah anugerahkan kepadanya dengan thabat, maghfirah dan sakinah pun sudah jauh mencukupi.
”Dengan anugerah thabat saya berharap Allah akan terus bukakan hati saya untuk mengenal dakwah dan jihad di jalan-Nya. Semoga Allah terus reda untuk saya dapat harungi sisa-sisa hidup saya di jalan-Nya dengan ikhlas, sidq dan istiqamah“
”Dengan maghfirah daripada Allah, saya amat berharap segala dosa, kecuaian dan kealpaan saya yang silam akan digantikan oleh Allah dengan kesungguhan untuk memikul amanah dan tuntutan-tuntutan-Nya dalam mendaulatkan Islam.”
”Dengan sakinah pula saya benar-benar berharap Allah menghiaskan jiwa saya dengan sifat zuhud. Zuhud dengan erti kata saya tidak terlalu bergembira mendapat kesenangan hidup dan tidak pula saya berkeluh kesah terhadap sebarang kesempitan yang saya hadapi.”


Kak Aliza isteri yang tabah

Saya ada menghadiahkan kepada isteri saya sebuah buku tulisan Kak Aliza bertajuk “Diari Perjuangan”. Buku ini sebenarnya telah diterbitkan pada Oktober 2002 tetapi saya hanya membelinya pada 8 Jun 2006 semasa Muktamar PAS Pusat di Kedah.

Menariknya, buku ini mencoretkan perjalanan kehidupan Kak Aliza berjuang bersama-sama isteri-isteri tahanan yang lain memperjuangkan pembebasan suami mereka.

Semasa memberikan ucapan pada hari Keluarga Pemuda BA Johor bulan yang lalu, Kak Aliza telah diberi peluang untuk menyampaikan ucapan khususnya kepada seluruh keluarga Pemuda BA Johor.

Kak Aliza menarik perhatian kami dengan menceritakan bagaimana keadaan beliau di saat Pak Abu mula ditahan. Keluarga menjadi tak keruan kerana tidak tahu apa tujuan penahanan tersebut. Sejurus selepas Pak Abu ditahan, bermulalah episod dukacita apabila Kak Aliza dan keluarga cuba untuk menghubungi di mana Pak Abu ditahan.

Kak Aliza juga berpesan agar sentiasa memberikan sokongan kepada keluarga yang ditahan kerana ketika keadaan ini terjadi, isteri dan anak-anak tahanan aka berada dalam keadaan tertekan.

Semangat yang kental ditunjukkan oleh beliau seharusnya dicontohi oleh isteri-isteri pejuang BA. Bukan sekadar merelakan suami berjuang tetapi sanggup berkorban bagi memastikan suami tidak dizalimi.

Penutup Bicara

Apa yang boleh saya perkatakan terhadap pasangan ini, mereka pada ketika ini sebenarnya sudah boleh melupakan derita dan kesengsaraan ISA. Apa perlu bersusah payah ke merata tempat sedangkan Pak Abu telah pun bebas dan sentiasa berada di samping Kak Aliza. Silap percaturan, boleh disumbat semula ke dalam ISA.

Namun saya percaya bahawa pasangan ini tidak peduli dengan semua tekanan dan ancaman. Yang pentingnya, masih ada lagi insan yang tidak bersalah ditahan dalam ISA. Masih ada lagi keluarga yang merintih ditinggalkan oleh para suami secara paksa. Masih ada anak-anak yang kerinduan belaian ayah tersayang.

Pasangan ini juga perlukan sokongan kita semua. Semoga Pak Abu Urwah dan Kak Aliza akan terus istiqamah di dalam perjuangan.

Bicara 5 : : Sahabatku Ust Nor Ashid Sakib,Tunggu ….

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pengerusi Pemuda BA Negeri Johor
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.
019-7701830/013-7257085
28 Julai 2006, 9.13 malam
Lawati : http://dppnjohor.blogspot.com/




1 comment:

Khairul Faizi said...

Bicara 1 ada dalam Archives Julai 2006, klik saja...