25 September 2007

KENYATAAN MEDIA

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mengucapkan tahniah kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kerana telah berjaya mengadakan kempen memboikot para peniaga yang menaikkan harga barang keperluan pada 23 Oktober 2007 yang lalu.

Kempen yang dijangka akan disambut oleh tiga juta ahli gabungan kedua-dua kesatuan ini bertujuan untuk mengembalikan hak pengguna dalam menentukan harga barang serta menundukkan kuasa pembekal dan peniaga menjelang musim perayaan.

Ahli kedua-dua pertubuhan itu disarankan tidak ke pasar selama dua hari dalam seminggu bagi menyokong langkah tersebut kerana ianya akan memberikan kesan yang besar terhadap peniaga dan pembekal barangan keperluan.

Presiden CUEPACS, Omar Osman bersama dengan Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud telah bersama-sama dalam kempen Boikot Harga Barangan Keperluan di Plaza Tol Sungai Besi arah Seremban telah menyebarkan sebanyak 30 ribu risalah kepada pengguna.

Kempen ini telah mendapat sokongan daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd. Shafie Apdal walaupun beliau tidak dapat menyertai kempen tersebut walaupun telah dijemput oleh kesatuan-kesatuan tersebut. Beliau mengingatkan agar orang ramai tidak memboikot semua peniaga kerana ia secara langsung akan memberi kesan tidak baik kepada ekonomi negara tetapi hanya memboikot peniaga yang menaikan harga barangan.

Sebelum itu, Presiden CUEPACS telahpun membuat kenyataan supaya penguna memboikot membeli ayam sebagai tanda protes terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan sewenang-wenangnya harga siling ayam menjelang musim perayaan.

Sebelum daripada bermulanya bulan Ramadhan, kebimbangan penguna bahawa pesta menaikan harga barang akan bermula. Pengumuman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai pemantauan harga 17 jenis barang kawalan sebenarnya bukan melegakan pengguna tetapi menambahkan kebimbangan bahawa harga barangan ini akan dinaikkan oleh pembekal dan peniaga.

Bermula dengan pengumuman kerajaan pada 21 Mei 2007 bahawa akan berlakunya kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus berkuatkuasa 1 Julai 2007, Gesaan agar KPDNHEP terus mengadakan pemantauan terhadap kenaikan harga barang kerana kebimbangan tersebut adalah berasaskan kepada pengalaman terdahulu dan dilihat seperti memberikan impak yang baik kepada pengguna.

Namun, sikap pemantauan bermusim yang cukup sinonim dengan KPDNHEP berterusan ditambah lagi dengan pelbagai isu yang melanda seperti masalah disiplin pelajar, masalah cuti bersalin, kemalangan jalan raya membabitkan bas ekspres di Bukit Gantang Perak, kehilangan Nurin Jazlin dan masalah keselamatan yang menimpa negeri Johor serta seluruh negara telah melenyapkan seketika isu kenaikan dan pemantauan harga barangan.

Apabila hampir tiba bulan Ramadhan barulah usaha untuk memantau harga barangan dipergiatkan semula sedangkan sebelum daripada Ramadan lagi terdapat barangan kawalan telahpun dinaikan harga.

DPPNJ menyokong kempen yang dilancarkan oleh gabungan kesatuan ini tetapi tindakan susulan yang proaktif mestilah disusun dengan lebih baik agar ianya memberikan kesan kepada peniaga-peniaga yang masih berdegil untuk menaikkan harga barang.

Kempen kesedaran kepada pengguna mestilah berterusan agar mereka memahami kenapa kempen untuk tidak ke pasar basah selama 2 hari seminggu dilancarkan.

DPPNJ juga ingin mempertegaskan bahawa ketidakmampuan untuk mengawal kenaikan harga barangan kawalan dan bukan kawalan menambahkan lagi episod kelemahan dan kegagalan kerajaan yang memerintah ketika ini.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Pengerusi Lajnah Penguna & Alam Sekitar PAS Johor
http://dppnjohor.blogspot.com/
25 September 2007

No comments: