18 October 2011

POSTING TERAKHIR BLOG : KOLEKSI SEJARAH DPPNJ 2005 - 2011

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Sebagai admin asal blog ini yang asalnya adalah sebuah blog yang menjadi blog rasmi Ketua Dewan Pemuda PAS Johor sehinggalah dinaiktaraf kepada blog rasmi Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) dengan ini saya ingin mengumumkan bahawa blog ini akan menjadi blog rujukan kepada perkembangan DPPNJ daripada tahun 2005 sehinggalah bulan Mei 2011.

Perkembangan baru DPPNJ bagi sesi 2011 - 2013 tidak dimasukkan di dalam blog ini.

Saya mengucapkan terima kasih kepada beberapa individu yang terlibat secara langsung dalam mengemaskini blog ini selama tempoh yang telah saya nyatakan di atas.

Mudah-mudahan kandungan blog ini akan memberikan manfaat kepada perkembangan DPPNJ pada masa akan datang.

Wassalam

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL

19 April 2011

01 April 2011

ISU KLUANG COFFEE RAIL : JABATAN AGAMA JOHOR PERLU BERI PENJELASAN



TAJUK : ISU KLUANG COFFEE RAIL : JABATAN AGAMA JOHOR PERLU BERI PENJELASAN


Saya merujuk kepada berita yang disiarkan di dalam Sinar Harian Edisi Johor muka surat J3 dan Harian Metro Edisi Johor yang menyebut tentang premis Kluang Rail Coffee (KRC) telah disamak oleh Jabatan Agama Johor (JAJ) susulan daripada isu campuran kopi yang mengandungi DNA Babi dan madu yang mengandungi alkohol.

Saya ingin menyatakan tentang beberapa perkara yang menjadi tanda-tanya bagaimana proses menyamak 4 premis Kluang Rail Coffee dilakukan dalam masa yang singkat selepas berita ini tersiar di dalam media massa dan telah mengejutkan banyak pihak khususnya masyarakat di Kluang.

Isu alkohol dan DNA Babi ini telah disahkan oleh oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Datuk Zainal Abidin Osman (Harian Metro 25 Mac 2011) dan difahamkan bahawa pengusaha premis Kluang Coffee Rail akan hadir ke pejabat JAJ pada hari tersebut bagi memberikan penjelasan.

Manakala pada 26 Mac 2011, Harian Metro telah mengeluarkan berita yang menyatakan bahawa perniagaan KRC telah terjejas teruk dan mereka pengusaha KRC menyatakan ia adalah satu sabotaj terhadap perniagaan keluarganya. Pengarah Urusan KRC juga telah mengesahkan bahawa mereka sudah memohon untuk mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kira-kira sebulan yang lalu dan permohonan tersebut sedang diproses.

Namun, semalam, JAJ telah pun mengambil tindakan untuk menyamak kesemua premis KRC yang berada di Kluang. Tindakan ini dilakukan dengan segera namun ia telah mendatangkan beberapa kemusykilan yang perlukan penjelasan daripada JAJ.
Perkara-perkara itu adalah seperti berikut :-

1. Isu yang ditimbulkan adalah berkaitan dengan terdapatnya kandungan alkohol di dalam madu dan DNA Babi di dalam serbuk kopi yang digunakan oleh KRC. Jika kedua-dua unsur ini baru sahaja didedahkan kepada masyarakat dan saya percaya ia juga baru sahaja dikesan oleh Jabatan Kimia maka adalah JAJ telah memastikan bahawa kopi dan madu yang digunakan oleh KRC telah bebar-benar suci?.

2. KRC mendakwa bahawa apa yang berlaku ini adalah merupakan satu sabotaj sedangkan saya tidak pasti apakah yang dimaksudkan sabotaj kerana ia tidak dikemukakan dengan bukti bahawa telah berlakunya sabotaj. Adakah ia benar-benar sabotaj ataupun ia sememangnya telah digunakan sejak sekian lama.

3. Mengikut maklumat yang telah disiarkan di dalam media bahawa permohonan untuk mendapatkan sijil JAKIM baru sahaja dikemukakan dalam tempoh sebulan dan ia sudah pasti perlu melalui proses yang teliti dan terperinci. Permohonan ini dibuat sebelum ‘terbongkarnya’ penggunaan alkohol dan DNA Babi. Semasa proses permohonan mendapatkan sijil JAKIM dilakukan tiba-tiba terdedah bahawa terdapat beberapa kandungan alkohol dan DNA Babi digunakan dalam madu dan campuran kopi. Maka, bagaimana JAJ telah bertindak untuk menyamak dengan kadar yang segera ke premis KRC. Adakah JAKIM telah pun mengeluarkan sijil Halal sebelum mengesahkan bahawa DNA Babi dan Alkohol benar-benar telah tiada dalam madu dan campuran kopi?.


4. Saya ingin mendapat kepastian sama ada menyamak KRC telah mengikut prosedur yang betul ataupun ia dilakukan kerana permintaan KRC tanpa mengikut prosedur?.

Oleh itu, JAJ perlu memberikan penjelasan segera terhadap persoalan-persoalan yang dikemukakan ini untuk merungkai kemusykilan yang sedang berlaku.

Sekian

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
1 April 2011
0197701830

26 March 2011

Pas gesa kerajaan biaya tambang pelajar ke Mesir

Pas gesa kerajaan biaya tambang pelajar ke Mesir - Sinar Harian

SENAI – Pemuda Pas negeri menggesa Kerajaan Negeri untuk membiayai tiket penerbangan pulang semua pelajar Mesir yang berasal dari negeri ini.

Ketuanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, Kerajaan Negeri seharusnya mencontohi tindakan yang dilakukan Kerajaan Negeri Kedah yang sebelum ini menyatakan akan membiayai sepenuhnya tambang pulang pelajar-pelajar ini.

“Kita difahamkan, tiada sebarang keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri mengenai perkara ini, dan menyarankan agar pihak kerajaan dapat membiayai penerbangan pulang pelajar ini sepenuhnya.

“Selain pembayaran tambang, saya melihat Kerajaan Negeri juga boleh memberi insentif dalam bentuk duit poket kepada pelajar ini bagi meneruskan pengajian yang tertunggak akibat pergolakan politik di sana,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, disini, semalam.

Khairul Faizi berkata, difahamkan seramai 400 pelajar yang berasal dari Johor menuntut di Mesir dan telah dibawa pulang secara berperingkat menerusi Ops Piramid, baru-baru ini.

Menurutnya, kos tiket penerbangan pelajar ini membabitkan nilai RM1,500 hingga RM1,700 seorang yang dijangka akan pulang ke Mesir 12 Mac ini.

Sebelum ini, beberapa negeri memperuntukkan lebih RM500,000 bagi menghantar pulang semua pelajar tajaan mereka ke Mesir serta memberi duit poket sebanyak RM500 setiap seorang bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan di sana.