24 October 2007

Muar dilanda banjir teruk, Unit Amal PAS beri bantuan segera

MUAR, 22 Okt (Hrkh) - Hujan lebat berterusan selama empat jam mengakibatkan banjir kilat melanda tiga buah kampung dekat sini, memaksa penduduk dipindahkan ke tempat selamat.

Setakat ini, lebih 50 orang dari beberapa keluarga telah dipindahkan ke Pasti Parit Jawa berikutan pusat pemindahan banjir agak lewat dibuka pihak berkenaan.

Unit Amal PAS Kawasan Muar bertindak pantas menyelamatkan keluarga terbabit dan membekalkan bantuan makanan serta menyiapkan sarapan pagi untuk mangsa-mangsa terbabit sementara menunggu bantuan kerajaan.

Tiga buah kampung terbabit adalah Kampung Payar Lebar, Kampung Parit Shafie dan Kampung Parit Salman.
Harakahdaily difahamkan kawasan perkampung ini tidak terbabit dalam banjir besar yang melanda Johor tahun lalu dan dianggap antara kawasan penempatan yang selamat.

Bagaimanapun, hujan lebat sejak beberapa hari lepas membimbangkan penduduk.
Kampung-kampung terbabit mengalami banjir kilat yang agak teruk kerana air naik mendadak sehingga ke paras 1.5 meter dan di sesetengah kawasan air naik hingga ke tahap pinggang.

23 October 2007

Kenyataan Media DPPNJ: WPI : KEBIMBANGAN YANG MENJADI KENYATAAN

Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Tajuk : WPI : KEBIMBANGAN YANG MENJADI KENYATAAN

Kebimbangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) terhadap masa depan tanah-tanah milik golongan melayu/bumiputera akan tergadai mula menjadi kenyataan apabila Buletin Utama TV3 malam ini memaparkan bagaimana pemaju pembangunan sudah mula menawarkan kepada pemilik tanah untuk membeli tanah-tanah milik mereka sejak berkurun lama dengan harga yang cukup tinggi.

Seorang pemilik tanah telahpun mengakui bahawa telah menerima tawaran jualbeli tanah dengan harga RM 350 ribu bagi satu ekar tanah. Beliau menyebut bahawa proses jualbeli tanah tersebut telah diproses dan sedang menunggu penyerahan milik sahaja.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) yakin bahawa ramai lagi pemilik tanah yang telahpun merelakan tanah-tanah mereka untuk dibeli oleh mana-mana broker atau pemaju tanah dengan tawaran yang cukup lumayan.

Ketua Pergerakan UMNO Bahagian Gelang Patah yang turut ditemuramah mengharapkan agar penduduk yang terlibat supaya jangan mudah termakan pujuk rayu daripada broker-broker tanah tersebut. Beliau juga berharap agar agensi-agensi kerajaan dapat membantu memajukan tanah-tanah orang melayu yang terlibat dengan pembangunan dalam WPI.

Inilah ‘bencana’ yang cukup membimbangkan PAS seolah-olahnya pembangunan yang dicanangkan oleh kerajaan UMNO/BN kononnya akan membantu rakyat Johor terutamanya kepada orang melayu/bumiputera dalam WPI sebenarnya masih tidak dirancang dengan teliti sehingga menyebabkan agensi-agensi kerajaan terlambat untuk memikirkan apakah bentuk ekonomi yang dapat dibangunkan terhadap tanah-tanah milik orang melayu.

Bagi pemilik tanah, dengan tawaran RM 350 ribu untuk seekar tanah bukanlah satu tawaran yang mudah untuk dilepaskan dengan begitu sahaja. Menanti perancangan daripada agensi-agensi kerajaan sudah tentu melambatkan usaha pemilik tanah untuk menjadi ‘orang kaya segera’.

DPPNJ cukup bimbang dengan perkembangan ini kerana sudah pasti kampung-kampung tersebut akan hilang ditelan pembangunan sekiranya tanah-tanah kampung sudah terjual kepada broker dan pemaju tanah.Walaupun belum diketahui siapa yang menjadi pembeli tanah-tanah milik melayu/bumiputera ini tetapi ia akan tetap hilang daripada pemiliknya yang asal.

Kebimbangan DPPNJ bahawa sejarah kesilapan Sultan Husin Syah dan Temenggong Ibrahim menyerahkan Singapura kepada British serta kesilapan Tunku Abdul Rahman mengeluarkan Singapura kepada Malaysia pada tahun 1965 akan berulang bagaikan ‘luka lama berdarah kembali’ kepada seluruh rakyat Malaysia.Inilah nilai pembangunan yang digilai oleh pemimpin UMNO/BN yang tidak memikirkan pembangunan masa panjang.

Walaupun mereka tahu kesan buruk akan diterima oleh generasi depan terhadap pembangunan ini tetapi mereka lebih mementingkan keuntungan peribadi mereka sahaja.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://dppnjohor.blogspot.com/
http://minda-kembara.blogspot.com/
20 Oktober 2007

19 October 2007

Kenyataan Media DPPNJ - Isu Mat Rempit

Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Tajuk : Program Sukan Malam Gagal Tangani Masalah Mat Rempit

Pada 9 Januari 2007, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Datuk Seri Azalina Othman Said telah melancarkan program Sukan Malam bagi menangani masalah mat rempit di kalangan remaja.

Azalina menyatakan bahawa kajian terkini Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) mendapati para belia amat berminat dan optimis terhadap sukan tetapi tiada kemudahan disediakan untuk mereka.

Kesuntukan masa pada waktu siang menyebabkan para belia tidak mempunyai ruang yang cukup untuk bersukan justeru program seumpama ini dapat membantu mereka beriadah.

Program tersebut merangkumi program sukan bermotor seperti motosikal, kereta dan go-kart sementara bagi program sukan konvensional termasuk bola jaring, futsal dan 3 x 3 bola keranjang.

Saya pasti bahawa program Sukan Malam ini telahpun dijalankan di seluruh negara dengan perbelanjaan yang cukup besar melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana Azalina yakin bahawa kajian IPPMB telah dibuat dengan teliti.

Di Parlimen Kluang sebagai contohnya, penekanan terhadap Sukan Malam diberikan terhadap sukan Futsal. Kain rentang dan poster-poster diedarkan ke serata tempat bagi menarik golongan muda khususnya Mat Rempit untuk berhenti merempit dan beralih arah ke sukan Futsal.

Hakikatnya, mereka yang menyertai Futsal adalah golongan muda yang sememangnya menjadikan aktiviti tersebut sebagai aktiviti rutin mereka tetapi mat rempit terus memperuntukkan masanya dilitar lumba haram.

Hari ini, Azalina menyarankan pula agar semua kerajaan negeri dan kerajaan tempatan menyediakan kemudahan litar lumba sebagai kaedah terbaik membanteras gejala "Mat Rempit" atau lumba haram di kalangan golongan muda yang semakin berleluasa sekarang.

Apakah Sukan Malam telah gagal mencapai matlamat dan hasrat untuk menangani masalah mat rempit? Ataupun program Sukan Malam sememangnya dibuat untuk menghabiskan wang rakyat?

Saya bukan mempertikaikan kajian terkini IPPBM dan ‘hasrat murni’ Azalina untuk membenteras gejala Mat Rempit kerana mungkin pendekatan tersebut selari dengan pendekatan Islam Hadhari tetap adakah itu adalah masalah sebenar yang dihadapi oleh anak-anak muda sehingga mereka merempit.

Beliau perlu ingat bahawa mat rempit bukan sahaja menghabiskan masa dan nyawa mereka di atas jalanraya tetapi mat rempit terlibat juga dalam pelbagai kejadian jenayah seperti meragut, mencedera, memukul dan menyamun. Adakah dengan menyediakan litar lumba mampu menghalang mereka daripada menghentikan tindakan jenayah tersebut?.

Anak-anak muda yang merempit ini sebenarnya telah hilang pedoman dalam hidup mereka. Perlaksaan aktiviti yang tidak berlandaskan kepada Islam sudah tentu akan gagal mencapai matlamat untuk mengatasi masalah rempit ini.

Azalina seharusnya mengakui bahawa beliau masih gagal untuk menangani masalah mat rempit ini. Arahan kepada kerajaan negeri agar menyediakan kemudahan litar lumba sudah pasti akan menemui kegagalan sekiranya pembinaan insan berlandaskan Islam tidak dijadikan asas utama.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://dppnjohor.blogspot.com/
http://minda-kembara.blogspot.com/
18 Oktober 2007

18 October 2007

Kenyataan Media DPPNJ - Isu Feri Terbakar

Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Tajuk : Keselamatan Rakyat Mesti Diutamakan

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang telah maut dalam tragedi kebakaran sebuah feri penumpang Seagull Ekspress kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Tioman itu.

Empat mangsa yang maut dipercayai lemas dikenali sebagai Hoo Lee Lan, 67, dari Kuala Lumpur; Hong See Tiew, 53 dan Teh Siew Lian, 52, masing-masing dari Klang dan Tee Moi @ Haw Lee Maoi, 68, dari Batu Pahat.

Peristiwa yang berlaku pada 13 Oktober 2007 bersamaan 1 Syawal 1428 itu telah menggemparkan negara kerana ianya berlaku pada saat umat Islam sedang menyambut Hari Raya Idil Fitri yang pertama dan langkah keselamatan yang begitu rapi diberikan tumpuan di jalanraya bagi kenderaan darat.

Kemalangan ini yang melibatkan tiga anak kapal dan 103 penumpang feri Seagull Express turut mengakibatkan beberapa penumpang cedera parah ialah Yong Sai Yoon, 26; Lee Jhi Yin, 35; Chong Wing Yi, 7 dan Nga Lee Ling, 14 manakala tiga yang masih hilang ialah Wong Sing Ling, 37; Chong Yong Kim, 43, kedua-duanya dari Klang dan Wong Han Wan, yang umur dan alamatnya belum diketahui.

Pelbagai gambaran dan maklumat awal terhadap kejadian ini telah disiarkan oleh media. Kejadian berlaku ketika feri itu dalam perjalanan dari Jeti Mersing ke Jeti Genting Tioman. Diantaranya;

i. Jabatan Laut mengesahkan feri itu beroperasi secara haram dan tidak memiliki sijil untuk mengangkut penumpang. Maklumat terkini, Dua pegawai Jabatan Laut di Mersing berpangkat merinyu kapal telah digantung tugas berkuatkuasa serta merta, sementara menunggu siasatan tragedi malang feri terbakar dan karam di perairan Pulau Tioman Sabtu lepas.

ii. Pejabat Pelabuhan Mersing mengakui feri berkenaan pernah ditahan awal tahun ini kerana melakukan beberapa kesalahan dan masih belum dibenarkan beroperasi semula kerana gagal mematuhi syarat ditetapkan.

iii. Kapten feri bersama dua krewnya telah terjun awal tanpa mengambil apa-apa tindakan terhadap kebakaran feri tersebut. Feri tersebut juga dikatakan tidak mempunyai jaket keselamatan yang mencukupi dan berada dalam keadaan yang uzur.

Namun begitu, pengurusan Seagull Express menafikan pelbagai dakwaan terhadap ferinya yang terbakar dan karam dalam kejadian berhampiran Pulau Tioman, Pahang itu. Pengarahnya, Liew Ah Hua berkata bahawa;

i. Semua feri milik syarikatnya mempunyai lesen dan permit yang sah untuk menyediakan perkhidmatan penumpang ke Pulau Tioman dan pulau peranginan lain di negeri ini.

ii. Kejadian feri terbakar itu adalah kali pertama terjadi kepada syarikatnya juga menafikan ia membawa muatan berlebihan.

iii. Pihaknya hanya membawa kira-kira 100 penumpang pada hari berkenaan walaupun kapasiti feri ialah 120 penumpang.

iv. Feri Seagull menempatkan 150 jaket keselamatan di ruangan atas pada kiri dan kanan kabin.

v. Dua bot penyelamat yang ditempatkan di belakang feri.

vi. Kapten feri telah membuat pengumuman pada masa kejadian mengarahkan semua penumpang mendapat dan memakai jaket keselamatan tetapi mereka tidak mengendahkannya kerana terlalu panik.
Begitu juga kenyataan daripada kapten feri tersebut, Wan Fahrorozi Wan Naman yang menafikan bahawa beliau dan pembantu-pembantunya telah terjun awal ke laut sambil menegaskan beliaulah orang terakhir mencecahkan diri ke dalam air laut.
Apa yang membimbangkan adalah, setiap kali berlakunya bencana dan malapetaka maka barulah arahan tegas dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Apabila berlaku tanah runtuh maka arahan supaya setiap projek pembangunan dicerun-cerun bukit diperiksa supaya mematuhi syarat serta spesifikasi yang ditetapkan, apabila berlakunya kemalangan dan kematian yang melibatkan bas ekspress maka semua bas ekspress diperiksa sama ada mematuhi syarat serta spesifikasi yang ditetapkan dan begitulah juga kepada apa jua yang berlaku.

Persoalannya, adakah kita perlu menunggu sehingga saat berlakunya kemalangan dan kematian barulah penguatkuasaan diperketatkan? Ini adalah fenomena yang ‘normal’ dalam negara kita.

DPPNJ menegaskan bahawa unsur rasuah dan penyelewengan sudah pasti menjadi topik utama dalam peritiwa ini. Petuduhan oleh pihak berkuasa dan penafian oleh pihak pengusaha feri perlu diambil kira untuk menentukan siapakah yang bersalah terhadap isu ini.

Jika benar feri tersebut telah beroperasi secara haram dan tidak memiliki sijil untuk mengangkut penumpang serta pernah ditahan pada awal tahun ini masih boleh beroperasi tanpa sebarang tindakan maka sudah tentu terdapat kelemahan dalam penguatkuasaan yang sudah pasti dikaitkan dengan rasuah dan penyelewengan.

DPPNJ juga menegaskan bahawa sudah tiba masanya kerajaan mengambil serius terhadap keselamatan rakyat yang ketika ini sudah semakin tidak selamat berada dimana-mana pada setiap ketika. Jika sebelum ini keselamatan di jalanraya diberikan perhatian serius maka keselamatan penumpang dijalan laut juga perlu mendapatkan keutamaan.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://dppnjohor.blogspot.com/
019-7701830
Tarikh : 17 Oktober 2007
----------------------------------
Kepada Pak Lah : Bangunlah daripada tidurmu…

10 October 2007

Rombakan Jawatankuasa Pemuda BA Negeri Johor

Pemuda BA JOHOR








Jawatankuasa Pemuda Barisan Alternatif (BA) Negeri Johor yang telah mengadakan mesyuarat pada 7 Oktober 2007 telah bersetuju untuk membuat beberapa perubahan dalam struktur organisasi Pemuda BA Johor setelah berlakunya perubahan dalam jawatankuasa DPPNJ dan AMKNJ.

Sdr Jalil Bin Adam, Ketua AMKNJ telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Pemuda BA Johor menggantikan Puan Nurin Aina Binti Abdullah manakala sdr Mohd Faizul Mohd Salleh telah dilantik sebagai Setiausaha Pemuda BA Johor yang baru.
Bendahari Pemuda BA Johor pula telah diserahkan kepada sdr Zainal daripada AMKNJ. Perlantikan penuh jawatankuasa Pemuda BA Johor akan dimaklumkan kemudian.
Pemuda BA Johor juga merakamkan jutaan terima kasih kepada Puan Nurin Aina yang telah memberikan komitmen yang sangat tinggi selama ini terhadap penubuhan dan pengembangan Pemuda BA Johor.

Sesungguhnya pemergian beliau daripada AMKNJ dan Pemuda BA Johor sangat-sangat dirasai. Mudah-mudahan beliau akan terus menyumbangkan tenaga dan buah fikiran walaupun tidak bersama lagi dengan Pemuda BA Johor.

Pemuda BA Johor Turun Padang ke Kluang

Pemuda Barisan Alternatif Negeri Johor (BA Johor) telah mengadakan aktiviti turun padang di DUN Mahkota Kluang bersempena dengan bulan Ramadhan pada kali ini pada 7 Oktober 2007. Tahun lalu, aktiviti yang sama telah dijalankan di Batu Pahat.

Pada kali ini, bubur lambuk istimewa resipi dari negeri Trengganu telah diedarkan kepada masyarakat yang berada di sekitar Hentian Pengangkutan Awam Kluang, bazar Ramadhan Jalan Omar dan bazar Ramadhan Jalan Penghulu Kassim.

Risalah berkaitan dengan Tragedi Batu Buruk dan penjelasan tentang Wilayah Pembangunan Iskandar telah diedarkan. Pas kawasan Kluang yang turut hadir bersama dalam aktiviti ini juga mengambil peluang mengedarkan kad ucapan Idil Fitri. Sebanyak 3000 keping kad raya telah dan sedang diedarkan oleh PAS Kluang pada tahun ini.

Bagaimanapun, kehadiran Pemuda BA Johor di bazar Ramadhan Jalan Omar telah mendapat tentangan dan gangguan daripada Pemuda UMNO yang mendakwa bahawa kawasan tersebut adalah kawasan mereka. Pemuda BA daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah dikasari oleh petugas pemuda UMNO yang tidak berpuashati dengan tindakan mereka mengedarkan risalah tanpa mendapat kebenaran daripada mereka.
Tindakan yang telah dilakukan oleh pemuda UMNO ini sebenarnya mencerminkan sikap mereka yang tidak berfikiran terbuka terhadap parti politik yang lain sehingga mendakwa bahawa orang melayu di Kluang hanya menerima UMNO sahaja sebagai parti yang mewakili mereka.

Walau bagaimanapun, tindakan pemuda UMNO ini tidak melemahkan semangat anak-anak muda ini daripada meneruskan usaha mereka untuk menegakkan kebenaran. Selaku Pengerusi Pemuda BA Johor, saya merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh anak muda AMKNJ yang terus gagah untuk berdepan dengan situasi seperti ini.

Ikuti temuramah isu ini dalam tvpas.com dalam sehari dua ini.

Politik Kampus UTM: Tekanan ke atas PMI menjadi agenda utama.

Oleh: MM-mujahidah

Sejak awal lagi PMI (Persatuan Mahasiswa Islam) UTM, telah menerima pelbagai ugutan pembubaran andai kata PMI memasuki PRK(Pilihanraya Kampus) kali ini. Ini kerana HEP (Hal Ehwal Pelajar) UTM merasakan 14 kerusi yang dimenangi oleh mahasiswa pro-pembangkang pada sesi lepas terlalu banyak dan untuk kali ini, mereka seboleh-bolehnya mahu mencapai zero-pembangkang di UTM.

Jadi, antara usaha yang dilakukan oleh pihak HEP adalah seperti menghantar surat amaran kepada semua MT(Majlis Tertinggi) PMI supaya tidak terlibat dengan PRK(Pilihanraya Kampus), menukar penasihat PMI dengan mengambil individu yang dikatakan musuh utama PMI menjadi penasihat PMI yang baru, membekukan program-program , dan memberikan amaran-amaran terbuka.

Pada mulanya pihak PMI UTM menganggap semua yang berlaku sebagai perkara biasa dan mereka tidak boleh sewenang-wenangnya membubarkan PMI. Namun setelah beberapa insiden yang berlaku dalam organisasi mereka, mereka mendapati kemungkinan terdapat pihak yang bersembunyi dalam organisai mereka yang bersedia membongkar apa sahaja yang berkaitan gerak kerja organisasi bagi menghapuskan mereka sekaligus.

Justeru, setelah mempertimbangkan situasi tersebut, PMI UTM memutuskan untuk tidak berlawan secara terbuka untuk PRK kali ini, bagi memastikan survival PMI terjamin di masa akan datang. Oleh itu dengan kebijaksanaan dan strategi yang diambil oleh mereka, golongan pro-mahasiswa ini dipercayai memenangi 14 kerusi daripada 45 kerusi yang dipertandingan iaitu 8 di skudai , 4 di kampus KL dan 2 orang chinese juga telah menang di skudai menjadikan jumlah kerusi yang dimenangi oleh pro-mahasiswa adalah 14 kerusi. Maka ini menidakkan terus kenyataan yang dibuat oleh HEP iaitu " ..the opposition won only 4 general seats with 1 faculty seat" http://web.utm.my/today. Dengan itu, pro-mahasiswa UTM masih lagi menjaga reputasi mereka dengan baik kerana berjaya mengekalkan jumlah kerusi yang dimenangi pada musim PRK yang lalu.

Lagi tentang provokasi terhadap PMI

Antara provokasi yang dilakukan oleh pihak aspirasi menjelang hari pengundian termasuklah pengedaran risalah pembongkaran 'strategi PMI’ yang tidak diketahui dari mana sumbernya. Terdapat juga surat terbuka daripada gerakan kristianisasi yang menyatakan sokongan terhadap aspirasi dan mengecam PMI kerana menyekat pergerakan mereka.

Apapun HEP sentiasa menuding jari kepada PMI atas segala sebaran haram yang diedarkan dan ini memberikan keselesaan kepada puak aspirasi untuk mengeluarkan apa sahaja dan terus menuduh PMI mnyebarkan fitnah walaupun ianya tidak berasas. Namun, sedikit sebanyak dakwaan-dakwaaan tersebut menjadi gangguan kepada pihak PMI kerana menyebabkan persepsi yang buruk dan perasaan curiga/syak wasangka dikalangan pelajar.

Begitulah antara tekanan yang dilalui oleh PMI UTM menjelang PRK baru-baru ini. Penulis juga meyakini bahawa perkara yang sama juga turut menimpa PMI di kampus-kampus yang lain. Dengan tekanan-tekanan yang dikenakan ke atas organisasi Islam kampus ini, menunjukkan demokrasi PRK ke atas mahasiswa Islam telah dicabul haknya.

Apabila ini berlaku, mana mungkin golongan pro-mahasiswa yang rata-ratanya juga adalah pro-Islam dapat menampilkan diri untuk memperjuangkan nasib mahasiswa. Bagaimanakah mahasiswa Islam yang tinggi sahsiyahnya, dan terserlah keintelektualannya dapat diberi mandat untuk mengisi tempat tertinggi di kampus. Apakah alasan yang sebenarnya sehinggakan mahasiswa Islam ditindas sebigini rupa.
Ini, tidak lain dan tidak bukan, adalah kesan-kesan kotor jari jemari pihak atasan universiti yang bermukakan Islam tetapi dimurtadkan minda dan hatinya. Buat mahasiswa-mahasiswa Islam di luar sana, teruskan perjuangan kalian. Sudah semestinya perjuangan yang mahal itu, adalah penuh dengan onak dan durinya.

07 October 2007

Ihya' Ramadhan bersama Imam Muda Negara China

Petang semalam, Lujnah Perpaduan Nasional DPPNJ dengan kerjasama DPPK Tebrau telah mengadakan Program Ihya' Ramadhan bersama-sama dengan 3 orang Imam Muda dari Tanah Besar China. Mereka seramai 30 orang dihantar ke sini bagi menghidupkan lagi karnival ibadah sempena bulan Ramadhan dengan menjadi imam terawih dan pentazkirah di seluruh Malaysia.

Johor merupakan antara negeri yang mereka lawati sepanjang bulan Ramadhan ini. Dan, pada petang semalam, kami sempat menjemput 3 daripada 30 orang imam ini untuk bersama-sama dengan pemuda PAS bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan puasa ini. Sebelum ini mereka menyebut bahawa mereka telah melawat Kelantan dan amat bergembira kerana negeri itu dipimpin oleh Hizbi Islami saat ini.

Dari kiri, Akhi Uthman, Akhi Huda dan hujung sekali adalah Imam Muda yang paling muda iaitu Akhi Adam.
Sewaktu Akhi Huda memberi tazkirah, beliau banyak kali menyebutkan kekesalannya kerana ramai orang Cina di Malaysia langsung tidak tahu mengenai Islam. Mereka berkata bahawa Islam di sini yang mereka fahami adalah agama yang semata-mata khusus untuk orang Melayu sahaja. Lantas, ramai yang terus berada dalam kesesatan dan menyembah berhala.

Ini merupakan satu musibah dan masalah yang amat besar apabila golongan Cina merasakan bahawa Islam hanyalah untuk orang Melayu semata-mata.
Beliau juga menyebut bahawa orang Islam di negara ini khasnya orang Melayu perlu menampilkan akhlak yang baik untuk menyeru golongan Cina ini kepada Islam. Bagaimana mereka boleh dan mampu tertarik kepada Islam seandainya akhlak muslim sendiri adalah sama ataupun lebih teruk daripada mereka.
Khairul Faizi yang hadir sebagai Ketua DPPNJ dan juga Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional DPPP sempat memberikan sedikit kata-kata harapan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha untuk membentuk gerak kerja dakwah yang lebih berkesan pada masa yang akan datang.
Saudara Adam menjadi wakil menerima sedikit cenderamata daripada DPPNJ berbentuk kain samarinda.
Saudara Uthman pula menerima tiga naskhah Tafsir Al-Quran dalam bahasa Cina.

---------------------------------------------------------

Admin : DPPNJ mengucapkan tahniah kepada sdr Nazman yang terus proaktif dalam menggerakkan Lajnah Perpaduan Nasional DPPNJ.

06 October 2007

Isu Perkahwinan dan Percintaan Campur




DPPNJ memandang serius berkaitan perkahwinan campur yang mula memasuki fenomena Malaysia. Berikut bebrapa pandangan daripada rakan blog DPPNJ.

------------------------------------------------------------------------

Kisah ini tiada kaitan dengan Tan Hong Ming rakan baikku daripada DAP Skudai (Hehe, Tan, jangan marah yea (^_^) ).
Ianya adalah iklan yang kita lihat di TV baru-baru ini. Bagiku ianya adalah lanjutan daripada indoktrinasi yang Sepet, Gubra dan Mukhsin ingin tanamkan dalam minda dan sanubari anak-anak Islam hari ini.
Ramai sahabat-sahabat daripada NGO dan parti lain yang bertanyakan kepadaku kenapa tidak boleh kahwin campur? Kenapa menyekat cinta antara dua insan atas alasan mereka berlainan agama? "Ini telah menyekat hak asasi manusia", kata rakan-rakanku.

Hari ini kita dapat melihat pada kebanyakan kereta di Malaysia, di cermin belakang kereta warga kita akan tertulis "Islam is the way of life", "Hinduisme is the way of life", "Jesus is Lord" dan sebagainya. Bermakna ramai antara penganut-penganut agama yang berlainan di negara kita mahu mengamalkan ajaran masing-masing secara serius dan ingin memberitahu orang lain (melalui pelekat-pelekat di cermin kereta ini) bahawa agama merekalah 'the way of life'.
Apabila agama masing-masing dianggap sebagai cara hidup, ia juga bermakna bahawa agama mereka mempunyai sistem dan hukum hakam, ataupun ajaran yang tersendiri. Maka setiap daripada kita mahu mengamalkan sistem beragama mereka dalam kehidupan harian.Begitulah juga dengan orang Islam, yang mahu, dan perlu (wajib) mengamalkan seluruh ajaran agamanya sebagai satu sistem hidup yang lengkap. Dalam kes perkahwinan campur misalnya, Islam menetapkan bahawa muslim hanya boleh ataupun dibenarkan berkahwin dengan muslim sahaja. Dan, semua muslim wajib menerima arahan ini sebagai salah satu hukum, dan syarat yang terletak di dalam ajaran Islam, sebagai satu sistem hidup.
Sama seperti orang Hindu yang tidak dibenarkan memakan daging lembu kerana itu adalah ajaran agama mereka. Mereka menurut arahan itu dengan patuh sebagai satu sistem hidup mereka. Orang Kristian pula hadir ke gereja pada hari Ahad kerana itu suruhan paderi dan 'alim ulama' mereka.
Lantas, tidak adil dan zalimlah kita jika memaksa orang Hindu untuk memakan daging lembu. Kita juga jahat jika memaksa orang Kristian untuk ke gereja pada hari yang lain selain Ahad, malahan tidak membenarkan mereka ke gereja pada hari tersebut. Zalim jika begitu wahai sahabat-sahabat. Kerana apa? Kerana mereka menerima perkara itu sebagai satu arahan agama mereka yang dianggap sebagai sistem hidup mereka. Samalah juga dalam kes ini. Perkahwinan campur antara orang Islam dan penganut agama lain tidak dibenarkan. Ianya adalah aturan hidup kami. Cara hidup kami. Sistem kami. Dan yang paling terutamanya adalah ia merupakan perintah daripada
Lantas, marilah kita saling menghormati sistem dan ajaran agama setiap daripada kita. Janganlah kita bercakap soal hak asasi secara wewenang pada tempat yang tidak sepatutnya ia disebut.
Bersama membina jaringan kefahaman yang lebih mendalam antara kita semua.
PAS For All..

-------------------------------------------------------------------

Iklan tersebut memaparkan sesi temubual seorang wanita kepada seorang pelajar lelaki cina bernama Tan Hong Ming. Pertanyaan adalah berkaitan soal cinta. Tan Hon Ming berkata ia suka kepada seorang pelajar perempuan bernama Umi Qazrina. Bila ditanya pula kepada Umi Qazrina siapa 'boyfriend'nya ia menjawab Tan Hong Ming. Iklan itu diakhiri dengan dua pelajar tersebut berlalu sambl berpegang tangan dan yang akhirnya adalah tulisan 'Kanak-kanak memahaminya.
Apa yang kanak-kanak itu faham? Apa mesej yang mahu disampaikan kepada rakyat oleh Petronas? Adakah mahu menyatakan bahawa bercinta sudah boleh sejak dari sekolah rendah? Dan yang paling utama, bolehkah percintaan berlainan agama sudah tiada halangan lagi bersempena dengan kemerdekaan negara yang ke 50? (iklan itu adalah sempena hari merdeka yang ke 50)
Adakah melalui iklan ini, memberi gambaran bahawa selepas ini, perkahwinan campur yang melibatkan berlainan agama sudah tak menjadi masalah lagi. Setiap pasangan bebas memilih siapa sahaja yang berlainan agama tanpa susah-susah untuk menukar kepada agama islam. Perkara ini adalah satu fenomena janggal yang mula diperkenalkan kepada masyarakat bahawa sudah tidak ada gunanya lagu hukum hakam agama. Alasannya mungkin: Kasih sayang melebihi segalanya!
Adakah petronas sudah tidak ada idea lain yang sebelum ini terkenal dengan penyampaian iklan yang sarat mengandungi mesej berjiwa rakyat. Apabila iklan seperti ini rakyat memandang dengan sambil lewa, ini adalah satu isyarat bahawa keadaan semakin bertambah bahaya. Tidak mustahil anak-anak kita yang sekolah akan terjamin keselamatannya! Mungkin anak-anak kita juga terjerat seperti mana adegan di dalam iklan itu. Anda mahu anak anda berkahwin dengan orang yang berlainan agama? Selepas itu, lahir anak, anak itu pula agama apa?
Nah, inilah satu agenda terancang yang disusun secara teliti oleh pihak penjahanam Islam. Jika sebelum ini terdapat pihak seperti IFC yang secara terang mendesak melakukan gubalan khas berkaitan perihal agama termasuk antaranya perkahwinan bebas antara agama, sekarang mereka sudah tidak bergerak secara terangan. Mereka bergerak secara halus melalui iklan2, drama2, filem2 dan sebagainya.
Jika kita masih ingat, dulu pelakon Bollywood ramai yang berlakon begini. Tidak ada siapapun yg marah. Kini keadaan yg sama akan berlaku di Malaysia secara berperingkat. Melihat iklan petronas ini dan juga drama Daun Kesum Daun Kari yang yang tonton siang tadi, saya berpendapat, inilah dia satu agenda pemusnah Islam. Islam akan dimusnahkan secara senyap. Secara diam-diam. Dan kemuncaknya, kuantiti murtad akan menjadi semakin bertambah. Dan akhirnya nanti, Islam akan terus dipandang asing. Orang yang menutup aurat dianggap kolot. Orang yang bersolat dikatakan membuang masa. Orang yang berkata perihal agama akan dianggap pengacau dan mesti dihapuskan segera.

02 October 2007

Ketua Pemuda Sri Gading Kemalangan!

Malang tidak berbau. Begitulah yang menimpa kepada sahabat pemuda daripada kawasan Sri Gading yang terlibat di dalam kemalangan sewaktu di dalam perjalanan pulang daripada program Himpunan Pemuda Pas Johor.

Turut terlibat dalam kemalangan tersebut adalah Ketua Pemuda Pas Kawasan Sri Gading iaitu Sdr Jamaludin bin Husin beserta dua orang AJKnya iaitu Sdr Rizal dan Sdr Md Noh.

Kereta Proton Wira yang dipandu Sdr Rizal melanggar sebuah lagi kereta Proton Wira hitam yang datang dari arah yang bertentangan. Pemandu Proton Wira yang berketurunan Cina tersebut melarikan diri. Kejadian berlaku berhampiran Pusat Pertanian di Sungai Sudah, Muar.

Sahabat yang terlibat dalam kemalangan tersebut dihantar dengan ambulan ke klinik Sri Menanti dan menerima rawatan sebagai pesakit luar. Keadaan mereka dilaporkan stabil.

Himpunan Pemuda Berjaya!

Himpunan Pemuda PAS Negeri Johor yang telah berlangsung di Markas PAS Parit Pechah telah berjalan dengan baik dan sempurna. Kehadiran pada malam 29 September 2007 juga amat membanggakan bagi memberi suntikan kepada semangat pemuda khususnya untuk terus berusaha memberikan kerjasama yang terbaik kepada PAS.

Bermula dengan program gotong royong menyembelih dan melapah lembu pada pagi Sabtu 29 September, hinggalah doa wehdah dibaca pada pagi Ahad 30 September 2007. Semua program berjalan dengan baik dan lancar. Gotong royong menyembelih lembu telah disempurnakan oleh Dato Dr Mahfudz Bin Muhammad, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ust Abu Bakar Bin Lajat, Yang Di Pertua PAS Kawasan Muar dan Saudara Malik Bin Mohd Diah, Setiausaha PAS Kawasan Muar.

Seterusnya hasil sembelihan tersebut telah di agihkan kepada masyarakat di sekitar Kawasan Muar berserta dengan beberapa barangan lain. Himpunan Pemuda ini telah mendapat suntikan dari Naib Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Bin Sabu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Saudara Salahuddin Ayub dan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi. Semoga kerja-kerja seumpama ini akan dapat dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memberikan natijah yang baik khususnya kepada PAS Kawasan Muar, dan imej PAS secara keseluruhannya.

Sumber: Blog DPP Muar

Sociable