21 July 2005

Najib diminta selesaikan kemelut peneroka Felda Air Hitam segera

Oleh Salman Hussin KLUANG, 20 Julai (Hrkh) – Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPP NJ) mendesak Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato’ Seri Najib Tun Razak, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Felda supaya segera campurtangan bagi mengatasi kemelut yang berlaku di Felda Air Hitam, dekat sini.Berbagai perkara yang membabitkan penyelewengan dalam pengurusan tanah rancangan yang berlaku sejak 1962 ini perlu diselesaikan segera demi kepentingan serta kebajikan 336 peneroka generasi pertama Felda ini.

Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan wakil peneroka terbabit di Felda Air Hitam, semalam.

Katanya, memandangkan majoriti peneroka generasi pertama yang masih hidup tidak begitu ramai maka sewajarnya kemelut yang berlaku sejak 43 tahun lalu ini segera diselesaikan supaya tidak timbul masalah kepada generasi kedua yang bakal mengambilalih kelak.

Walau pun sebelum ini peneroka terbabit telah membawa perkara ini ke pengetahuan Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya kes ini disiasat namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan dilakukan pihak terbabit dan peneroka merasa amat kecewa dengan sikap acuh tak acuh pihak-pihak terbabit dalam menangani kemelut yang melanda mereka.

Katanya lagi, antara penyelewengan yang didakwa berlaku termasuk pengagihan baja kepada peneroka.

Pendapatan hasil mereka dipotong untuk membayar baja ini tetapi baja tidak diberi tetapi sebaliknya mereka mendakwa ada pihak yang menjual baja ini kepada pihak lain.

Selain itu wang bantuan Hari Raya yang diperkenalkan kerajaan kepada seluruh peneroka Felda di negara ini sejak tiga tahun lalu juga didakwa telah diselewengkan.

Mereka mendakwa, bantuan bagi tahun pertama sebanyak RM100 kepada setiap peneroka langsung tidak diberi kepada peneroka.

Manakala bantuan untuk tahun kedua yang berjumlah RM200 pula terdapat seramai 41 peneroka yang tidak menerima bantuan ini sebaliknya apabila penyelewengan pihak-pihak terbabit ini terbongkar barulah bantuan untuk tahun ketiga (2004) berjumlah RM300 diberikan kepada semua peneroka.
Selain itu, menurut Faizi lagi, mengikut perjanjian asal setiap peneroka akan diberi tanah seluas 10 ekar dan mereka juga dikenakan bayaran balik untuk nilai tanah seluas 10 ekar ini tetapi peliknya ada kalangan peneroka sehingga sekarang ada yang dapat cuma enam, tujuh dan lapan ekar sahaja sedangkan mereka semua telah selesai membayar hutang.

Daripada sejumlah 336 peneroka ini hanya 16 sahaja yang mendapat tanah cukup 10 ekar iaitu lapan ekar untuk kebun manakala selebihnya untuk tapak rumah dan dusun seluas dua ekar.
Keadaan ini telah berlarutan sejak 1962 sehingga kini, katanya.

Peneroka juga, tambah beliau lagi, turut mempertikaikan bagaimana tanah seluas 900 ekar yang diperuntukkan untuk menambah kebun peneroka yang masih belum cukup 10 ekar ini hanya tinggal 426 ekar saja.

"Kemana perginya 474 ekar lagi, sudahlah tanah ini tidak diagihkan terus kepada mereka malah hasil getah selama lebih 20 tahun pun tidak diberi kepada peneroka," soal beliau.
Peneroka juga tidak puashati dengan jumlah bayaran yang diberi kepada mereka hasil pendapatan penjualan kayu getah berikutan projek tanam semula.

"Pada mulanya setiap peneroka dijanjikan bayaran sebanyak RM7300 tetapi selepas itu dikurangkan kepada satu pertiga sahaja iaitu RM2200 tetapi selepas itu dikurangkan lagi kepada RM1800.
"Sudahlah jumlah yang sepatutnya mereka dapat terus dikurangkan kepada nilai yang jauh lebih rendah daripada harga asal yang dijanjikan, tambah mengecewakan lagi sewaktu peneroka menandatangani borang untuk menerima bayaran ini mereka hanya dibayar RM1160 sahaja, kurang dari jumlah asal sebanyak RM1800.

"Bila ditanya kenapa bayaran yang diterima kurang, pihak pengurusan Felda memberitahu kononnya sejumlah RM640 telah dipotong sebagai bayaran sara hidup untuk tempoh empat bulan.
Pengurangan jumlah bayaran yang sepatutnya diberi kepada peneroka ini menimbulkan tandatanya dalam pembahagian hasil jualan kayu getah ini dan perlu disiasat segera," kata beliau kepada Harakahdaily.

Selain itu peneroka juga hairan bagaimana pada setiap bulan akan berlaku kehilangan antara 10 hingga 14 tan jumlah jualan getah yang dihantar ke kilang getah di Pasak Kota Tinggi.
Kehilangan yang sangat besar jumlahnya ini menyebabkan peneroka pula terpaksa menanggung beban.

"Sudahlah harga belian getah yang oleh Felda jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan peraih di luar malah setiap 10 kilogram getah akan ditolak 2 kilogram.

"Potongan yang agak besar ini menyebabkan sebahagian besar peneroka menjual hasil mereka kepada peraih di luar yang membeli dengan harga yang lebih tinggi selain tidak mengenakan potongan ke atas jumlah getah yang dijual,"beritahu beliau lagi.

Berikutan dari keengganan peneroka menjual hasil mereka kepada Felda menyebabkan pihak pengurusan Felda tidak memberi baja kepada peneroka walau pun baja ini telah dibayar oleh peneroka.

Inilah secebis daripada berbagai lagi penderitaan yang terpaksa dilalui oleh sebahagian besar peneroka Felda yang mendakwa mereka telah ditipu dan dianiaya sejak sekian lama.
Sehubungan itu Pemuda PAS Johor sekali lagi mendesak TPM segera turun padang bagi menangani masalah besar yang sedang melanda peneroka felda Air Hitam ini.

"Inilah waktu dan ketika yang amat sesuai bagi pemimpin negara turun padang menjenguk nasib rakyat.

"Jangan hanya ketika menjelang pilihanraya barulah masing-masing sibuk berkampung menemui rakyat dengan membawa pelbagai harapan dan jaminan yang hanya sekadar janji manis di mulut sahaja," kata Faizi.

18 July 2005

UMNO TERUS MENJADIKAN "AGENDA MELAYU" SEBAGAI AGENDA UTAMA, AGENDA ISLAM TERUS TERPINGGIR


KENYATAAN MEDIA
(16 Julai 2005)


Sekali lagi rakyat Malaysia khususnya yang mendaftar sebagai ahli UMNO sedang menunggu untuk berlangsungnya Perhimpunan Agong UMNO ke 56 tidak lama lagi pada 19 ~ 23 Julai 2005 sekali lagi rakyat Malaysia akan dihidangkan dengan pelbagai agenda Melayu yang akan dibahaskan. Seluruh media sama ada media cetak dan elektronik telah mula dikerah untuk mendapatkan pelbagai pandangan daripada masyarakat dan ketika persidangan berlansung, sudah semestilah Perhimpunan Agong UMNO ini akan mendapat liputan yang meluas dan dipancarkan secara langsung daripada media massa mengenai perkembangan terkini persidangan UMNO ini termasuklah daripada Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) ingin menyentuh berkaitan Agenda Melayu yang akan dibentang dan dibahaskan di dalam persidangan UMNO ini. Apabila tiba musim Perhimpunan Agong UMNO, seperti biasa isu kepentingan Melayu akan dibangkitkan.

1. Gambaran awal bagi tahun 2005 yang boleh dilihat daripada wawancara Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di dalam Mingguan Malaysia baru-baru menggariskan beberapa perkara yang akan dibincangkan di dalam Persidangan Pergerakan itu yang membabitkan isu meritokrasi, Malaysia maju tahun 2020, UMNO sebagai wadah orang melayu di Malaysia serta isu berkaitan dengan politik wang.

2. UMNO Pahang pula menyahut isu pelajar pintar seramai 120,000 pelajar pintar Melayu yang tercicir kerana gagal mendapat tempat di dalam Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 15 Julai 2005.

3. UMNO Johor pula dilihat akan membawa isu meritokrasi dan agenda melayu sebagai isu utama. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Abdul Ghani Othman berkata ketika merasmikan Konvensyen UMNO Johor pada 9 Julai 2005 yang lalu, Umno Johor menganggap sistem meritokrasi bukan sahaja membawa kemerosotan pelajar Melayu dalam bidang-bidang kompetitif malah merupakan satu bentuk diskriminasi dan penindasan. Sistem itu didapati telah menindas ribuan anak Melayu di luar bandar yang tidak berpeluang mendapat pendidikan berkualiti.

4. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu juga telah melahirkan rasa kebimbangan dan keresahannya terhadap perkembangan UMNO pada masa kini telah lari daripada perjuangan asalnya sehingga orang-orang melayu pada masa kini berasa malu untuk berkata sesuatu mengenai idealisme Hidup Melayu. Beliau menyatakan bahawa UMNO akan hanya menjadi relaven jikalau UMNO dapat mewakili dan mempertahankan bangsa, yang memungkinkan kita wujud dan berkembang, yakni bangsa Melayu.

Pada tahun 2004, apabila semakin hampir dengan Perhimpunan Agong UMNO, pelbagai pihak telah ditemu ramah untuk mendapatkan pandangan, kritikan, teguran dan idea sebelum persidangan bermula. Di antara wawancara yang disiarkan di dalam media termasuklah rencana yang bertajuk "Lonjakan Mega Melayu" oleh Datuk Dr Sulaiman Mahbob selaku bekas Setiausaha MTEN, Profesor Diraja Ungku Aziz di dalam satu wawancara bertajuk "Menang Bentuk Kalah Isi – Melayu tidak kisah Bangsa" dan Profesor Datuk Dr. Ismail Md. Salleh di dalam satu wawancara bertajuk "Ada orang -orang Melayu di persimpangan jalan. Persaingan globalisasi masa depan"

Dalam wawancara bersama Profesor Diraja Ungku Aziz yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 15 Ogos 2004 yang diwawancara tentang isu agenda Melayu yang berbangkit ekoran tulisan ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Norraesah Mohamad, beberapa perkara telah dibangkitkan oleh beliau yang saya kira amat menarik untuk dilihat secara telus oleh kepimpinan UMNO walaupun pandangan ini telah diutarakan hamper setahun yang lalu. Di antara perkara yang disentuh oleh Pak Ungku adalah pembasmian kemiskinan orang melayu yang sudah ada dalam Laporan Majlis Perunding Ekonomi Negara II tetapi kerajaan selalu mahu mencari cara-cara baru. Pak Ungku juga menyentuh isu agenda sosioekonomi orang Melayu yang harus dibincangkan selalu kerana hanya dengan cara itu saja dapat dicari jalan penyelesaiannya yang berkesan dan Agenda Melayu ini tidak terbatas sehingga bulan September nanti saja (Perhimpunan Agung UMNO tahun 2004). Pak Ungku juga menyebut bahawa pemimpin Melayu seringkali mengelak daripada menyentuh isu-isu yang sebenarnya relatif iaitu kemiskinan, kekurangan fizikal dan kelemahan mental.

Begitu juga dengan Profesor Datuk Dr. Ismail Md. Salleh di dalam satu wawancara bertajuk "Ada orang-orang Melayu di persimpangan jalan. Persaingan globalisasi masa depan" yang mana beliau menyentuh bahawa melayu sekarang berada di persimpangan. Pencapaian orang Melayu yang dibangga-banggakan sejak Dasar Ekonomi Baru tamat sudah semakin terhakis. Yang menariknya, beliau menyuarakan kebimbangannya terhadap perbincangan isu ini melalui media massa yang nampak cukup rancak dalam tempoh seminggu ini. Beliau juga menyatakan bahawa "Janganlah hendaknya kita memperkatakan hal ini hanya kerana perhimpunan agung UMNO tidak lama lagi".

DPPN Johor melihat bahawa selepas berakhirnya Perhimpunan Agong UMNO ini, setelah selesai memilih kepimpinan UMNO di peringkat Majlis Tertinggi termasuklah yang menang setelah menaburkan wang, semua agenda demi kepentingan melayu telah dilupakan dan diabaikan. Segala janji yang ditabur untuk membela bangsa dijadikan bahan catatan dan akhirnya dikumpulkan untuk di bawa ke Perhimpunan Agong tahun 2005.

Tahun 2005, seperti tahun-tahun sebelumnya, sekali lagi beberapa isu kepentingan Melayu dibangkitkan dan kita akan menyaksikan betapa UMNO akan dilihat seolah-olah mampu untuk membela nasib orang melayu tetapi seperti biasa ia akan berakhir setelah semua perwakilan pulang ke bahagian masing-masing. Akhirnya Agenda Melayu berkubur dan Agenda Islam terus terpinggir.

Sekian, wassalam


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7219913/012-7811830


UMNO TERUS KUASAI MASJID UNTUK LAKSANA AGENDA POLITIK ISLAM HADHARI

KENYATAAN MEDIA
(15 Julai 2005)


Saya merujuk kepada berita yang disiarkan oleh harakahdaily pada 15 Julai 2005 yang bertajuk "AJK masjid Johor dipilih untuk laksana Islam Hadhari". Berita ini memaparkan jawapan bertulis kepada soalan asal Dr Mohd Ramli Md Kari (PAS-Senggarang) yang ingin tahu tatacara pemilihan AJK masjid dan surau yang dikendalikan Jabatan Agama Johor. Ini membuktikan bahawa jawatankuasa masjid dan surau yang ada di semua 2,528 masjid dan surau di negeri Johor bagi sesi 2005-2007 yang sedia ada pada hari ini adalah ditentukan oleh kerajaan UMNO/BN di mana AJK masjid dan surau hendaklah terdiri dari kalangan yang menganut fahaman politik pemerintah.

Berita ini juga menyatakan bahawa bagi memastikan visi kerajaan terhadap konsep Islam Hadhari ini berjalan lancar maka semua AJK Masjid dan surau yang dilantik di kalangan ahli kariah setempat ini terdiri dari kalangan yang dikenalpasti mempunyai kemampuan dan kebolehan dalam pengurusan dan pentadbiran masjid dan surau.

Walau apa jua bentuk jawapan yang diberikan, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) tetap melihat bahawa telah berlaku campur tangan UMNO di dalam urusan yang sepatutnya diberikan kepada kalangan ahli kariah setempat yang lebih mengenali dan memahami dikalangan mereka lebih layak untuk mengatur program keagamaan ditempat mereka.

Perkara yang sama juga berlaku di Trengganu apabila BN mula merampas kerajaan daripada tangan PAS/BA. Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Datuk Engku Mohamed Engku A. Rahman membuat kenyataan pada 14 April 2004 mengumumkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu akan mewujudkan pengurusan baru di masjid-masjid seluruh negeri ini yang bebas sepenuhnya daripada campur tangan politik bagi memupuk perpaduan di kalangan penduduk setempat. Katanya, Bagi mencapai hasrat itu, semua Pejabat Agama Daerah telah diarah supaya mengendalikan pemilihan jawatankuasa masjid terdiri daripada anak mukim kawasan masing-masing mengikut pilihan kariah.

Apa yang penting bagi UMNO/BN adalah mereka mesti menguasai masjid/surau ini untuk kepentingan politik mereka bertopengkan kepada Islam Hadhari. Sebab itulah masjid/surau yang sepatutnya dijadikan sebagai pusat percambahan ilmu, pembentukan akhlak dan pusat kegiatan masyarakat telah dilihat gagal memainkan peranannya. Statistik gejala sosial yang semakin parah, keruntuhan sistem pendidikan yang pada hari ini melahirkan kumpulan gansterisme dan pembuli serta kes rogol dan zina yang semakin menjadi-jadi membuktikan bahawa masjid/surau gagal menjalankan fungsi mereka dengan sebaiknya.

Sekian, wassalam


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7219913/012-7811830

TIADA USUL MENGENAI RASUAH ATAU POLITIK WANG MEMBUKTIKAN UMNO TIDAK SERIUS MENBENTERAS RASUAH KE AKAR UMBI.


KENYATAAN MEDIA
(15 Julai 2005)


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) melihat bahawa UMNO sebenarnya tidak serius untuk membenteras politik wang atau rasuah politik di dalam UMNO seperti yang digembar–gemburkan selama ini. UMNO yang akan bersidang pada 19 ~ 23 Julai 2005 di dalam Perhimpunan Agung UMNO ke 56 tidak lama lagi.

Kenyataan Datuk Sri Najid Tun Razak pada yang disiarkan pada 14 Julai 2005 di didalam Utusan Malaysia menyebut bahawa tiada usul khas mengenai Lembaga Disiplin UMNO, rasuah politik dan kaedah pemilihan Majlis Tertinggi (MT) parti akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-56. Beliau menyebut bahawa pada prinsipnya perhimpunan tersebut akan membahaskan usul ucapan presiden sebagai usul utama dan dua usul lain iaitu ekonomi dan agama serta pendidikan.

Gambaran ini membayangkan bahawa UMNO sebenarnya tidak serius untuk membendung dan menghapuskan rasuah di dalam parti mereka. Isu rasuah politik yang hari ini menjadi perbualan dan perbincangan hangat dalam masyarakat khususnya apabila melibatkan ramai kepimpinan UMNO termasuklah Naib Presidennya iaitu Tan Sri Isa Bin Samad yang telah digantung selama 6 tahun oleh Lembaga Disiplin UMNO yang sepatutnya dijadikan usul utama di dalam Perhimpunan UMNO pada tahun ini. Janggal rasanya apabila isu rasuah politik UMNO disiarkan secara meluas di dalam media tetapi tiada usul khas untuk membincangkan isu ini!

UMNO perlu melihat kepada kenyataan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah di dalam titahnya semasa bertitah melancarkan Buku Local and Global Social Transformation in Southeast Asia - Essays in Honour of Professor Datuk Dr. Syed Hussein Alatas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 14 Julai 2005 yang mengharapkan agar masyarakat perlu bangkit membendung rasuah dan menegakkan undang-undang bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan terus kukuh. Baginda bertitah, jika rasuah dibiarkan berleluasa ia akan berkembang menjadi `satu industri' hingga mengakibatkan keadilan tidak dapat dipertahankan. Walaupun baginda tidak menyentuh berkaitan dengan gejala rasuah yang sedang menimpa UMNO tetapi kenyataan ini dibuat ketika UMNO sedang menghadapi isu ini.

DPPN Johor melihat bahawa hari ini UMNO sedang mengalami trauma dengan bayang-bayang sendiri. Setelah Lembaga Disiplin UMNO mendedahkan nama-nama pemimpin UMNO yang terlibat dengan salah laku termasuklah memberi rasuah kepada perwakilan, maka kepercayaan dikalangan orang melayu terhadap UMNO telah mula goyah. Di tambah lagi dengan kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa pendirian Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak membuka semula tempoh menerima aduan politik wang semasa pemilihan September tahun lalu yang tamat pada 18 April lalu, adalah muktamad.(Utusan Malaysia, 4 Julai 2005). Kenyataan ini mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad sebelum itu bahawa walaupun tarikh membuat aduan berhubung rasuah politik dan kesalahan melanggar tata etika pemilihan parti ditutup 18 April lalu, MT masih boleh membuat pertimbangan untuk membuka semula tempoh berkenaan.

DPPN Johor yakin bahawa sikap Pak Lah yang tidak terbuka untuk menerima laporan politik wang ini telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati khususnya dikalangan ahli UMNO yang selama ini mengharapkan beliau melakukan perubahan di dalam UMNO. Apa yang diharapkan agar ahli-ahli UMNO dapat melakukan perhitungan dan membuat perubahan terhadap sokongan mereka terhadap UMNO.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7219913/012-7811830

06 July 2005

KES ROGOL DAN PENZINAAN KHUSUSNYA DI KALANGAN REMAJA TERUS SUBUR BERSAMA GAGASAN ISLAM HADHARI.

KENYATAAN MEDIA
(5 Julai 2005)

Hari ini muka hadapan akhbar Harian Metro Edisi Selatan telah mendedahkan isu yang berkaitan dengan kejadian rogol yang bertajuk “Habuan nafsu kekasih”. Berita ini yang disiarkan dengan maklumat yang diperolehi melalui Bahagian Seksual Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, yang menyatakan semakin ramai golongan remaja perempuan terutama gadis bawah umur tempatan didapati menjadi mangsa kerakusan nafsu mahupun terlanjur bersama kekasih berikutan bersikap terlalu berani serta mudah percaya dengan janji manis teman lelaki masing-masing.

Mengikut maklumat ini, sejak awal tahun 2000, lebih 80 peratus kes rogol yang difailkan membabitkan remaja perempuan yang menjadi habuan seks teman lelaki sendiri dan lebih membimbangkan lagi, hampir 70 peratus atau majoriti daripada mangsa rogol berkenaan terdiri daripada remaja bawah umur iaitu 16 tahun ke bawah.

Beberapa faktor dikenalpasti sebagai pendorong kepada kejadian rogol ini. Di antaranya terpengaruh dengan taktik kotor teman lelaki mereka dan tersilap langkah apabila sanggup melayan kerenah teman lelaki masing-masing termasuk berani keluar bersiar-siar pada lewat malam walaupun lelaki itu hanya dikenali beberapa hari sebelum kejadian berlaku. Kekurangan kasih sayang dan pengawasan ibu bapa mahupun ahli keluarga selalunya dijadikan alasan remaja wanita yang menyimpang dalam masalah seks.

Perkara ini juga disokong oleh seorang jurucakap pusat perlindungan sementara tahanan di Johor Bahru, berkata penyimpangan masalah seksual khususnya di kalangan remaja semakin berleluasa sejak kebelakangan ini. Menurutnya, sehingga kini pusat berkenaan memberi perlindungan sementara kepada remaja wanita bawah umur termasuk terlanjur dengan kekasih mahupun mangsa rogol teman lelaki sendiri.
Semalam harakahdaily juga telah mendedahkan perangkaan polis menyiarkan bahawa setiap hari terdapat 15 orang remaja berumur 14 sehingga 21 tahun dilaporkan hilang. Sebahagian besar daripada 12,118 rakyat Malaysia hilang dalam tempoh 24 bulan lalu. Golongan ini lari kerana pujukan kekasih, terpengaruh dengan rakan sebaya, perbalasan keluarga atau mencari pekerjaan. Dari jumlah itu, 7,256 sudah ditemui manakala baki 4,592 masih hilang
Masalah kes perogolan ini dapat dibuktikan lagi dengan jawapan yang diberikan ketika menjawab soalan daripada Senator Ustaz Hassan Shukri dalam sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Negara pada 10 Jun 2005 yang lalu. Setiausaha Parlimen KKDN, Abu Seman Yusop menyatakan bahawa sejak tahun 2001, hingga April 2004 kira-kira 1,688 kes rogol melibatkan kenalan; 1,141 melibatkan teman lelaki dan 747 melibatkan orang yang tidak dikenali.

Jelasnya, kejadian rogol melibatkan kenalan bagi tahun 2001 ialah 448 kes, 2002 - 493, 2003 - 549 dan Januari hingga April 2004, 198 kes. Seterusnya kejadian rogol yang melibatkan teman lelaki bagi 2001 ialah 250 kes, 2002 - 501, 2003 - 290 dan 2004 setakat Januari hingga April ialah 100 kes. Sementara itu bagi kejadian rogol yang melibatkan bukan kenalan bagi tahun 2001 ialah 201 kes, 2002 - 215, 2003 - 246 manakala bagi tahun 2004 dari Januari hingga April 85 kes.

Dr Mariani Md.Noor daripada Jabatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Malaya melalui kajiannya yang bertajuk “Punca Perlakuan Psikologi Seks Bebas di Kalangan Remaja” mendapati pelajar awal remaja berusia 12 hingga 15 tahun menggunakan seks bebas sebagai alasan untuk berseronok dan melepaskan tekanan perasaan ekoran terlalu banyak tegahan daripada ibu bapa. Dr. Mariani berkata faktor persekitaran yang mendorong remaja melakukan seks bebas. Contohnya lambakan VCD lucah, dan ini dibuktikan dengan kejayaan Polis Johor Baharu Selatan merampas sebanyak 6,500 keping video cakera padat (VCD) berharga RM 50,000 di dalam operasi selama tiga hari berturut-turut di Johor Bahru (Harian Metro, 7 Februari 2005).

Kecenderongan remaja khususnya di bawah umur membuktikan masalah sosial yang dilakukan oleh umat Islam itu jelas membuktikan bahawa kehidupan mereka sebenarnya jauh daripada panduan al-Quran dan tidak menghayati Islam sebagai panduan hidup. Kehidupan remaja pada hari ini semakin jauh daripada ajaran Islam yang sebenar. Al-Quran yang merupakan petunjuk jalan yang benar kepada manusia dan merupakan jalan penyelesaian yang baik bagi mengatasi masalah gejala sosial yang terus berleluasa.

Remaja pada hari ini lebih cenderong terhadap budaya hedonistik iaitu budaya berhibur, bergembira, dan bersuka-suka serta menjalani kehidupan yang sebebasnya demi memenuhi nafsu manusia yang tiada batasnya sekarang ini menjadi budaya hidup dikalangan remaja kita. Hiburan yang dipilih remaja hari ini, sering melangkaui batasan norma sosial masyarakat timur. Misalnya lirik-lirik lagu yang sering didengar oleh remaja kini hanya berkisar kepada persoalan cinta, seks, dan kebebasan tanpa batasan. Secara langsung ia membina norma negatif kehidupan remaja seperti menidakkan batasan pergaulan antara lelaki dan wanita, berhibur hingga melanggar batasan budaya dan sebagainya.

Lebih malang lagi, sudahlah mereka jauh daripada agama, kerajaan Islam Hadhari Malaysia pula tidak mahu mengambil bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan unsur-unsur yang boleh membawa kepada kebinasaan dihentikan tetapi merekalah yang menjadi penyubur kepada program maksiat seperti konsert dan yang terbaru dilaporkan seramai 30 ribu orang telah menghadiri Konsert Akademi Fantasia 3 di dataran Putrajaya, Presint 3 pada 2 Julai 2005. Siapa lagi kalau bukan mereka majoritinya yang hadir itu terdiri daripada kalangan remaja melayu Islam.

Maka, selagi mana kerajaan Barisan Nasional masih terus menyuburkan budaya hedonisme dan Al-Quran tidak dijadikan sebagai petunjuk dan rujukan maka harapan untuk menghapuskan kejadian rogol dan penzinaan akan pudar malah akan terus meningkatkan pada masa akan datang.

Sekian

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7219913/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

01 July 2005

TAHNIAH KEPADA MAJLIS FATWA DAN JABATAN MUFTI JOHOR


KENYATAAN MEDIA
(30 Jun 2005)


TAHNIAH KEPADA MAJLIS FATWA DAN JABATAN MUFTI JOHOR

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) mengucapkan tahniah dan memberikan sokongan di atas fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Johor (MFJ) dan Jabatan Mufti Johor (JMJ) yang telah mengeluarkan arahan bahawa lapan barang termasuk jubin yang tertera tulisan ‘Allah’ supaya membuang, menukar atau menampal kalimah suci itu selepas difatwakan sebagai haram dan masyarakat Islam perlu mengelak daripada membeli atau menggunakannya. Berita ini telah tersiar di dalam akhbar Harian Metro Edisi Johor dan Utusan Malaysia pada 30 Jun 2005.

Pengerusi MFJ yang juga Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut semalam telah membuat kenyataan tersebut di dalam sidang media semalam telah menekankan bahawa antara barangan yang dimaksudkan ialah jubin, kain ela, pakaian dan selipar. Beliau telah menyenaraikan lapan barang yang difatwakan sebagai HARAM yang sebelum ini telah didedahkan di dalam media massa. Lapan barang tersebut adalah :

- Jubin berwarna hijau bercorak jelas menunjukkan kalimah “ALLAH”
- Kain ela bercorak bunga batik menandungi ayat 37 surah Ar-rahman
- Kain ela untuk dibuat langsir dan sarung bantal mempunyai kalimah “ALLAH” dan diatasnya terdapat tanda salib.
- Pakaian kanak-kanak mempunyai kalimah “ALLAH” dan “AKBAR”
- Selipar jenama Maybach dan Bowling yang di tapaknya mempunyai kalimah “ALLAH” daripada jenis tulisan khat kufi.
- Baju batik yang mempunyai kalimah “ALLAH” walaupun tidak jelas.
- Sejadah yang mempunyai tanda salib dan apabila disujud, ia berada betul-betul di atas dahi.
- Naskah Al-Quran sederhana kecil bewarna hijau merah terbitan Biron kerana tersalah cetak surah Ali-Imran pada muka surat 63 iaitu ayat 148 terus ke surah yang sama ayat 174 dan tidak mempunyai pengesahan daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Keputusan fatwa ini diharapkan dapat memberikan pengajaran terutamanya kepada rakyat Johor khususnya yang beragama Islam agar lebih prihatin terhadap kesucian agama daripada dipergunakan dan diperdagangkan oleh orang lain dengan sesuka hati. Kejadian seperti meletakkan nama Allah di bawah tapak kasut dan di atas jubin dilihat seolah-olahnya sengaja dilakukan oleh pihak tertentu untuk menghina Al-Quran dan kesucian agama islam. Perbuatan ini akan menyebabkan nama Allah akan dipijak dan dihina oleh pengguna sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak.

Setidak-tidaknya, fatwa yang dikeluarkan ini akan memberikan peringatan supaya sensitiviti umat Islam mestilah dijaga oleh peniaga. Kenyataan Datuk Mufti Johor bahawa ketika ini barangan yang disenarai ini didapati masih dijual dengan secara meluas di premis perniagaan mestilah dipandang serius dan tindakan mestilah diambil dengan segera agar fatwa yang dikeluarkan ini tidak dipermainkan oleh peniaga-peniaga. Sudah tentulah Kementerian Hal Ehwal Pengguna yang bertanggungjawab untuk mengarahkan setiap barangan ini ditarik balik penjualannya.

DPPN Johor juga mencadangkan agar MFJ atau JMJ mewujudkan laman web khas untuk memudahkan masyarakat mengetahui fatwa-fatwa terbaru terutamanya di Johor dan mendapatkan informasi dengan lebih cepat dan jelas seperti mana yang sekarang ini dipraktikkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak (
http://mufti.perak.gov.my/) yang sentiasa pro-aktif terhadap perkembangan semasa.

DPPN Johor mengharapkan semoga Majlis fatwa Negeri Johor selepas ini akan lebih konsisten mengeluarkan pelbagai fatwa yang mampu menyelesaikan masalah ummah khususnya yang berkaitan dengan perkara yang boleh menjejaskan akidah umat Islam di negeri Johor.

Sekian

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7219913/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/