07 August 2007

Runtuhnya Akhlak Pelajar Sekolah di Malaysia


Harian Metro bertarikh 4 Ogos 2007 menyiarkan berita bertajuk “9 pelajar menangis minta maaf”. Berita ini berkaitan dengan isu bagaimana seorang pelajar perempuan telah dibelasah dan dirakamkan aksi bogel di Felda Keratong baru-baru ini. Dilaporkan bahawa Sembilan pelajar yang terlibat dalam ‘keganasan’ ini telah memohon maaf sambil menitis air mata keinsafan sebaik mengulurkan sepuluh jari kepada mangsa.

Majlis penuh pilu itu diadakan di Sekolah Menengah Felda Keratong I, di sini, dengan disaksikan ibu bapa sembilan pelajar terbabit dan Shashim Shah Harun, Pegawai Khas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar kira-kira jam 3.30 petang semalam (3 Ogos 2007).


Saya tidak pasti apakah punca sebenar pelajar-pelajar perempuan ini bertindak ganas sebegitu rupa tetapi alasan yang diberikan bahawa tindakan mereka kerana terdorong kerana sikap panas baran meninggalkan pelbagai tanda-tanya kepada saya dan mungkin juga kepada masyarakat umum.

Harian Metro pada 31 Julai 2007 melaporkan bagaimana kronologi kejadian ini ;

i. mangsa dikunjungi dua rakan sebelum dipelawa minum air batu campur di sebuah warung, kira-kira jam 4 petang. Tanpa mengesyaki sesuatu, mangsa kemudian menunggang motosikal manakala dua rakan menaiki kereta Perodua Kancil ke rumah seorang lagi rakan tidak jauh dari rumah mangsa untuk mengajaknya keluar.

ii. Sebaik tiba di rumah itu, tujuh rakan menunggu di ruang tamu manakala ibu bapanya tiada di rumah.

iii. Mereka kemudian bertanya kepada mangsa sama ada mengejek seorang daripada mereka dengan gelaran ‘gemuk’ dan apabila mangsa mengakuinya, kumpulan pelajar sangseng ini menarik rambut, menumbuk dan menyepak mangsa sehingga tersungkur.

iv. Kumpulan pelajar samseng ini bertindak ganas seperti `singa betina’ terlepas sangkar terus membuka baju-T dan seluar jeans dipakai mangsa sebelum memotong tali baju dalam dan seluar dalam mangsa.

v. Mangsa cuba meronta dan menangis serta merayu tidak diperlakukan sedemikian dan dilepaskan tetapi sembilan rakan itu tidak mempedulikan mangsa.

vi. Ketika dibogelkan, tiga daripada mereka merakamkan gambar mangsa tanpa pakaian menggunakan telefon bimbit sebelum diugut tidak menceritakan kejadian itu kepada keluarga.

vii. Jika mangsa ingkar, mereka mengancam menyebarkan gambar bogel itu selain mengupah lelaki merogol mangsa di depan mereka.

Peristiwa hitam ini bukannya berlaku di New York, Manhattan atau di Los Angeles tetapi berlaku di Felda Keratong di negeri Pahang yang melibatkan anak-anak melayu beragama Islam yang juga generasi kedua FELDA. Sudahlah dibelasah tanpa belas kasihan, pakaian ditanggalkan, pakaian dalam dipotong dan dirakamkan perbuatan terkutuk itu melalui kamera telefon bimbit.

Ustazah seks?

Sebelum itu, pada 2 Ogos 2007 Harian Metro telah melaporkan mengenai ketua kumpulan yang membelasah dan merakamkan gambar bogel ini digelar ‘ustazah seks’. Gelaran itu dilabelkan kepada beliau kerana perangai dan perwatakkan beliau yang berbeza diluar dan di dalam waktu sekolah.

Difahamkan, ketika di sekolah, ketua kumpulan samseng terbabit dikatakan begitu baik termasuk bertudung seperti ‘ustazah’, sebaliknya berubah perangai dan gaya seperti ‘bohsia’ dan gemar bertukar teman lelaki di luar waktu sekolah. Pelajar terbabit didakwa :-

i. gemar bergaul dengan ramai lelaki tanpa mengira usia tidak kira siang atau malam selain dikatakan sering bertukar teman lelaki.

ii. semua lelaki muda dikatakan mengenali pelajar terbabit berikutan perangainya itu selain memiliki daya ‘penarik’ untuk menggoda lelaki terbabit sebelum diajak keluar bersama.

iii. watak penggodanya mampu memanggil beberapa lelaki lain supaya merogol mangsa jika mangsa menceritakan kejadian malang itu kepada keluarganya.

iv. mengugut mangsa membuktikan pelajar itu tidak takut dengan undang-undang kerana yakin perbuatannya akan dimaafkan ibu bapa mangsa selain dapat meneruskan semula persekolahan seperti biasa.

Inikah ertinya kemerdekaan kita?

Mungkin inilah nilai kemerdekaan kita dibawah kepimpinan UMNO/Barisan Nasional sejak 50 tahun yang lalu. Rakyat didesak untuk meraikan kemerdekaan tetapi terlalu banyak kepincangan yang menghantui rakyat termasuklah isu ekonomi, keselamatan dan masa depan generasi muda.

Kita mungkin tidak dapat pernah menyangka bahawa pada ketika ini kita akan berhadap dengan masalah sosial generasi muda yang runtuh akhlaknya. Kisah yang melibatkan penderaan terhadap seorang pelajar perempuan oleh rakannya sendiri di Felda Keratong ini sudah pastinya menggusarkan kita.

Apa yang cukup bimbang adalah kejadian ini melibatkan sekumpulan pelajar perempuan yang merupakan anak-anak melayu daripada generasi kedua FELDA. Bayangkan, anak-anak perempuan kini mampu dilabelkan sebagai ‘samseng’ bukan sekadar mengugut tetapi sanggup memukul, membogelkan dan merakamkan gambar bogel rakan mereka sendiri.

Saya tidak nafikan ramai generasi anak-anak melayu FELDA berjaya dalam akedemik dan kehidupan mereka tetapi ramai juga yang tercicir dan akhirnya menimbulkan masalah kepada keluarga dan masyarakat.

Gelaran ‘ustazah seks’ sudah tentu merosakkan imej golongan ustazah di dalam negara kita. Bila digelar seperti itu, kita boleh bayangkan bagaimana hebatnya ‘lakonan’ pelajar bermasalah ini, ibubapa, keluarga dan guru-guru tentu telah terpedaya dengan watak yang waraknya sedangkan hakikatnya segala-galanya adalah muslihat belaka.

Pergaulan bebas tanpa batasan merangsang sikap buruk anak-anak muda dan akhirnya mencambahkan sikap degil dan kurang ajar serta biadap. Mengugut untuk mengupah kumpulan lelaki merogol mangsa dihadapan mereka sekiranya perbuatan keji mereka ini dilaporkan kepada ibubapa sudah tentunya menggambarkan kebiadapan pelajar-pelajar ini.

Saya percaya bahawa peristiwa ini meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada mangsa. Rakaman gambar mangsa yang didera dan dibogelkan telah disebarkan dan bukan mudah untuk menghilangkannya. Mangsa terpaksa bertukar sekolah kerana tidak sanggup berhadapan dengan keadaan.

Sebab itulah apabila saya membaca berita “9 pelajar menangis minta maaf” saya tidak percaya bahawa peristiwa ini telah menginsafkan kumpulan pelajar ini. Tindakan pelajar-pelajar ini perlu diambil tindakan disiplin yang tegas. Kesemua pelajar-pelajar ini mesti dihantar ke pusat pemulihan akhlak supaya mereka sedar bahawa tindakan mereka ini bukannya perkara kecil yang mampu dilupuskan dengan linangan air mata.

Selamatkan masa depan anak-anak kita

Kejadian ini juga mesti dipandang serius oleh pihak-pihak berwajib termasuklah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bahawa sistem yang ada pada hari ini perlu dikaji semula. Walaupun kejadian ini berlaku di luar waktu sekolah tetapi mereka yang terlibat adalah merupakan golongan pelajar. Alasan ‘kes yang terpencil’ yang sering menjadi jawapan Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Hishamudin Tun Hussien tidak boleh dijadikan alasan untuk menidakkan kelemahan yang berlaku.

Saya pernah menyarankan agar kuasa mendisiplinkan pelajar mesti diserahkan semula kepada guru. Berilah kepercayaan kepada guru untuk membentuk jati diri anak-anak yang masih bersekolah kerana guru adalah insan yang paling hampir dengan pelajar serta mampu memahami psikologi mereka.

Keprihatinan ibubapa terhadap perlakuan dan aktiviti anak-anak juga mesti dipertingkatkan kerana cabaran yang dihadapi oleh anak-anak pada hari ini sangat tinggi dan tidak cukup dengan hanya memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada anak-anak.
Masa depan anak-anak muda ini adalah masa depan kita bersama. Runtuhnya akhlak mereka akan meruntuhkan masa depan negara.

Sekian

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://minda-kembara.blogspot.com/
7 Ogos 2007

ISU EMPANGAN DI JOHOR

Ghani di jangkiti penyakit Pak Lah?

Tempohari (Rabu, 1 Ogos 2007) DPPMuar mengucapkan terima kasih kepada TV3 yang telah menyiarkan masalah ancaman pencabulan di empangan Bekok.
Hari ini (Isnin 6 Ogos 2007) TV3 menyiarkan temuramah dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Osman tentang isu berkenaan.
Sedihnya apabila Menteri Besar menyatakan bahawa beliau tidak maklum mengenai pencemaran yang telah berlaku di Empangan berkenaan.
Seandainya kita terima bahawa beliau tidak mempunyai maklumat tentang apa yang telah berlaku di Empangan Bekok, Persoalannya setelah hampir 2 tahun memorandum yang di serahkan kepada beliau berkenaan pencemaran di Empangan Semberong, apa tindakan beliau setakat ini?
Walaupun ianya berlaku di dua empangan yang berbeza, namun isunya adalah sama, Penebangan Hutan, Penanaman Sawit, pencemaran air. Semua itu turut berlaku di Empangan Semberong, Bekok dan juga Machap.
Memorandum yang dihantar oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Johor 2 tahun lalu memberikan maklumat lengkap tentang lokasi, bentuk pencemaran dan gambar-gambar yang jelas menggambarkan apa yang berlaku di empangan-empangan berkenaan.
Namun apa tindakan beliau? Mungkinkah Menteri Besar Johor juga telah di jangkiti virus el-tiduri yang dihidapi oleh Pak Lah?

06 August 2007

Blog - Senjata Yang Digeruni!

Kelahiran blog-blog semakin menggalakkan pada hari ini. Di dalam pas sendiri, kehadiran blog seolah-olah satu senjata yang amat ampuh bagi menyerang pihak lawan. Kehadiran blog seumpama senjata berbisa yang mampu menyerang tepat sehingga ke sasarannya.

Dengan kemudahan ini, bagi pihak Dewan Pemuda Pas Johor, telahpun menggunakan kemudahan ini dengan sebaiknya. Kehadiran syarikat penyedia tapak blog seperti blogspot, blogdrive, wordpress dan sebagainya telah dimanfaatkan dengan baik oleh setiap peringkat jentera pemuda.

Jika dilihat struktur Dewan Pemuda Pas Johor, kebanyakan Dewan Pemuda Kawasan juga telah mempunyai blog sendiri. Ini menampakkan kesedaran betapa peri pentingnya peranan blog bagi menjadi salah satu aksesori wajib di dalam memperkasa struktur kekuatan parti. Selain daripada blog kawasan, blog peribadi juga tidak kurang hebatnya bagi melengkapkan pakej ini.

Kehadiran blog jangan dipandang sebelah mata. Ia mampu menggugat. Namun bagi peringkat pemilik blog pula, jangan pula membabi buta. Tindakan kerajaan yang pada hari semakin memfokuskan kepada blog-blog pembangkang dilihat satu ancaman yang dibuat di atas kuasa kerajaan. Hakikatnya kehadiran blog ini bukanlah mengancam negara tetapi hakikat sebenarnya adalah menggugat BN!

Jika mahu dilihat pada semua blog ini, mereka semua bukanlah menentang kerajaan. Tetapi mereka menentang kebobrokan kepimpinan negara di bawah label UMNO dan BN. Disebabkan khuatir kedudukan UMNO terjejas dek kerana serangan bertubi-tubi ini, maka sekatan-sekatan mula dibuat bagi membataskan kebebasan bersuara di dalam Malaysia. Pemilik blog akan ditangkap bagi menakut-nakutkan bloggers yang lain agar tidak menulis perihal kepincangan pemimpin negara.

Sebagai pemilik blog, Dewan Pemuda Pas Johor menyedari bahawa perlunya satu strategi tersusun bagi menghadapi suasana ini. Persembahan blog seharusnya tidak hanya sekadar main-main. Tidak hanya mengikut kepada sendiri. Hanya mengikut selera sendiri. Aayat atau artikel yang ditulis hendaklah disemak beberapa kali supaya tidak ada ayat yang menyentuh sesnsitiviti pihak lain atau berkaitan agama. Begitu juga gambar-gambar yang tidak sepatutnya disiarkan. Budaya 'copy-paste' juga harus dikurangkan dan binalah kekuatan artikel sendiri di dalam blog anda.

Selain itu, themplete blog juga mestilah di ambil kira. Jangan menggunakan image yang sangat besar untuk banner dan sisipan tepi. Sebagai blog matang bagi mewakili parti atau peribadi pemimpin, amat tidak digalakkan meletak radio blog di sisipan tepi yang meletakkan lagu pelbagai. Orang masuk blog bukan mahu dengar lagu, tapi mahu baca artikel! Kurangkan juga meletak gamar yang terlalu banyak di dalam satu post, elakkan menggunakan perisian yang menyediakan sistem flash gambar, elakkan juga dariapada meletakkan video dari youtube dan sebagainya. Perkara ini semua akan memberi beban dan melambatkan proses loading. Pastikan juga bilangan posting di dalam muka utama tidak terlalu banyak.

Semoga dengan adanya blog ini boleh memberi sedikit sebanyak kesedaran kepada rakyat Malaysia. Kempen membina blog kepada semua pendokong perjuangan juga amat releven bagi menambahkan koleksi blog yang peka kepada arus perubahan di dalam Malaysia. -DPPNJ

Himpunan Petugas Pilihan Raya Johor

BATU PAHAT, 2 Ogos (Hrkh) – Sebagai persiapan menghadapi Pilihan raya Umum Ke-12, PAS Johor telah mengadakan Himpunan Petugas Pilihan Raya baru-baru ini yang bertujuan menyatakan kesediaan PAS menghadapi pilihan raya ini.Lebih seribu ahli PAS dari seluruh negeri ini menghadiri himpunan ini. Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, telah merasmikan himpunan ini, manakala majlis penutup pula disempurnakan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar. Sementara itu Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani, telah menyampaikan ceramah motivasi kepada peserta himpunan ini. Hadir sama pada himpunan ini, Adun Senggarang, Dr Mohd Ramli Md Kari, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkifly Ahmad, Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Atiah Ahmad.

Semasa berucap merasmikan himpunan ini Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, menggesa semua kegiatan parti di semua peringkat ditangguhkan dahulu sebaliknya tumpuan khusus mesti diberikan kepada gerak kerja pilihan raya sahaja. “Semua program parti selain gerak kerja pilihan raya hendaklah ditangguhkan buat sementara waktu ini, tumpuan khusus mestilah diberikan kepada kerja-kerja pilihan raya, ini kerana bahang pilihan raya umum ke-12 sudah begitu terasa dan berkemungkinan besar ia akan diadakan dalam tempoh terdekat ini," katanya. Bagaimanapun beliau yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian Kelantan, berkata, tidak kira sama ada pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat ini atau tidak, namun semua yang terlibat harus sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kebarangkalian ini. “Kita tidak mahu apabila berlaku pilihan raya secara mengejut, persiapan kita masih di tahap yang rendah, ini sudah tentu akan menyukarkan gerka kerja selanjutnya, selain turut memberi kesan kepada PAS untuk mencapai kemenangan," tambahnya.

Justeru katanya, persiapan yang dilakukan lebih awal adalah langkah yang terbaik, di samping itu setiap petugas pilihan raya PAS juga perlu meningkatkan komitmen mereka dan menjadikan agenda pilihan raya ini sebagai suatu keutamaan. “Semuga dengan persiapan yang kita bina sekian lama ini mampu menghadapi musuh dengan kekuatan semaksimum mungkin, namun begitu semua usaha dan ikhtiar ini kita sandarkan kepada kekuasaan dan pertolongan Allah s.w.t.," katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, semasa berucap pada majlis yang sama berkata, segala gerak kerja pilihan raya ini tidak sama dengan kerja-kerja lain yang kita lakukan. “Tidak dinafikan kerja-kerja lain yang kita lakukan untuk kepentingan hidup kita, keluarga dan masyarakat juga penting dan mendapat ganjaran pahala jika dilakukan kerana Allah semata-mata tetapi kerja-kerja pilihan raya ini mempunyai roh dan semangat yang berbeza. “Ini kerana kerja-kerja pilihan raya ini mempunyai matlamat yang sangat besar yang melebihi kepentingan lain dalam kehidupan kita, matlamat tersebut adalah untuk mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini. "Tanpa kita sudah tentu Islam tidak akan dapat direalisasikan di negara ini, sebab itu peranan kita sebagai petugas pilihan raya ini amat besar dan sangat penting, ia bukan satu tugas yang boleh diambil ringan oleh setiap pejuang Islam. “Komitmen serta keikhlasan kita dalam kerja-kerja pilihan raya ini bukan sekadar untuk menang semata-mata sebaliknya lebih jauh lagi gerak kerja yang kita lakukan ini akan menentukan nasib dan masa depan Islam, bangsa dan rakyat negara ini," katanya.

Sebab itu katanya, kerja-kerja pilihan raya ini perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, ini kerana setiap kerja yang ada hubungan dengan Allah s.w.t mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas, apatah lagi kerja yang dilakukan ini untuk menyempurnakan satu tugas yang sangat besar iaitu mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini, maka sudah tentulah ia tidak boleh sama sekali dilakukan secara sambil lewa atau secara suka-suka sahaja. “Oleh kerana itu perlu ada dalam pemikiran setiap kita tanggapan bahawa parlimen akan dibubarkan esok, walaupun tidak mungkin ianya akan berlaku tetapi ini bertujuan untuk menimbulkan rangsangan dalam diri kita betapa perlunya kerja-kerja pilihanraya ini perlu segera dilakukan tanpa bertangguh-tangguh lagi," jelasnya lagi.

Sehubungan itu beliau yang juga bekas Anggota Parlimen Pokok Sena Kedah, mengajak setiap petugas pilihan raya memulakan segala gerak kerja mulai sekarang. “Jangan tunggu sehingga parlimen dibubarkan baru kerja-kerja pilihan raya ini dimulakan, ini suatu amalan serta sikap yang tidak sepatutnya ada pada diri setiap pejuang Islam, sebaliknya kita semua perlu bersiap-sedia lebih awal supaya dengan ini penyertaan kita dalam pilihanraya nanti akan lebih berkesan selain peluang lebih besar untuk mencapai kemenangan," ujar beliau lagi. - mns

02 August 2007

TERIMA KASIH TV3

Rabu 01 Ogos 2007

Terima Kasih TV3
Sejak Hari isnin 30 Julai 2007, TV3 telah membuat liputan berkenaan keadaan Empangan Bekok yang dikatakan telah di rosakkan dengan teruk. Walaupun sangat lambat isu ini di bangkitkan oleh TV3, namun sekurang-kurangnya satu usaha telah diambil diperingkat media untuk isu ini di ambil perhatian oleh pihak-pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.
Sebenarnya disamping Empangan Bekok, empangan-empangan lain turut terjejas akibat kerakusan pihak-pihak tertentu. Antaranya termasuk Empangan Machap dan SemberongDiperingkat Dewan Pemuda PAS, perkara ini telah ditimbulkan iaitu sejak tahun 2005 melalui Memorandum yang di hantar kepada Menteri Besar Johor.
Disamping itu selepas tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak yang berwajib, satu Laporan Polis telah dibuat kerana bimbangkan keadaan empangan ini semakin terancam.
Selain dari itu, sewaktu banjir besar melanda negeri Johor baru-baru ini, Tengku Mahkota, Tengku Ibrahim Ismail turut menegur pengurusan Empangan Semberong yang dilihat sangat lemah.
Apa pun adalah diharapkan agar tindakan segera dapat diambil oleh semua pihak untuk memastikan agar sumber air ini agar dapat dipulihkan secepat mungkin sebelum ianya menjadi bertambah kronik

01 August 2007

KENYATAAN MEDIA

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyokong penuh keputusan kabinet yang melarang semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen daripada menyandang sebarang jawatan dalam badan-badan sukan (Bernama.com, 1 Ogos 2007)

Keputusan ‘bijak’ ini adalah langkah yang paling baik untuk meningkatkan prestasi sukan yang dilihat semakin bercelaru khususnya prestasi pasukan Bolasepak kebangsaan akhir-akhir ini.

Kabinet memberikan alasan bahawa arahan ini dibuat kerana :-

i. bertujuan menjaga imej mereka daripada dijadikan “kambing hitam” apabila pencapaian sukan yang diketuai mereka merosot.

ii. Ia tidak ada kena-mengena dengan pencapaian sukan-sukan tertentu sejak akhir-akhir ini.

iii. Kabinet mengambil keputusan itu untuk memastikan semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen dapat menumpukan seluruh perhatian mereka pada tugas masing-masing dan tidak terlalu dibebankan dengan masalah dalam persatuan.

Arahan itu berkuatkuasa serta-merta dan semua yang terbabit telah diarahkan agar meletakkan jawatan masing-masing bagi membolehkan pertubuhan yang mereka wakili mencari pengganti di kalangan yang sesuai dan berkebolehan.

Difahamkan bahawa lima menteri ketika ini sedang memegang jawatan dalam pertubuhan-pertubuhan sukan. Mereka ialah ;

i. Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Fong Chan Onn (presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia),

ii. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy (presiden Persatuan Ping Pong Malaysia),

iii. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Jamaludin Jarjis (presiden Persatuan Ekuestrian Malaysia),

iv. Menteri Tenaga Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik (naib presiden Persekutuan Wusyu Antarabangsa) dan

v. Menteri Pelancongan Datuk Tengku Adnan Mansor (presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur dan presiden Persatuan Bolasepak Melayu).

DPPNJ melihat bahawa penglibatan orang politik dalam menerajui badan sukan sebenarnya telah melemahkan dan memudaratkan sukan dalam negara. Walaupun keputusan kabinet ini diambil dalam suasana sukan terutamanya bolasepak yang telah parah tetapi setidak-tidaknya langkah ini telah membuktikan bahawa sukan tidak memerlukan campur tangan politik.

DPPNJ yakin bahawa kecaman demi kecaman terhadap prestasi pasukan bolasepak dalam Piala Asia baru-baru ini menjadi punca utama kabinet mengambil keputusan tersebut walaupun cuba dinafikan oleh Datuk Azalina Othman yang menyatakan bahawa ia tidak ada kena-mengena dengan pencapaian sukan-sukan tertentu sejak akhir-akhir ini.

Apa yang penting, sudah tiba masanya mereka yang mempunyai kelayakan dalam memimpin persatuan sukan diberikan keutamaan sebagai peneraju. Semoga perubahan ini akan memajukan sukan tanahair.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://dppnjohor.blogspot.com
019-7701830

Sociable