17 February 2006

2 LELAKI BERJIRAN BANTU SIASATAN KES BUNUH SYAFIQAH

Posted by Picasa 2 lelaki berjiran bantu siasat kes bunuh Syafiqah
Oleh Johan Afandi
JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki berjiran yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim, Syafiqah Mohd Borhan (gambar), akhir bulan lalu.
Seorang daripada lelaki itu, berusia 21 tahun, ditahan di sebuah rumah di Taman Senai Baru, jam 1.15 tengah hari semalam, empat hari selepas jirannya – remaja berusia 17 tahun, ditahan Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar, menyifatkan penahanan kedua-dua lelaki terbabit sebagai sesuatu yang positif dalam menyelesaikan kes berkenaan.
“Saya yakin tiada lagi tangkapan kerana mengikut maklumat, mereka ini disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan," katanya.
Syafiqah ditemui mati dalam longkang di Jalan Padi Huma 1, Bandar Baru Uda jam 3.30 petang 27 Januari lalu, dalam keadaan sebahagian bajunya tersingkap.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang tiga hari selepas keluar dari rumahnya di Jalan Barli, Bandar Baru Uda, kira-kira jam 5.50 pagi untuk menghadiri majlis persaraan pengetua sekolahnya.
Abdul Rahim berkata, lelaki berusia 21 tahun itu, yang tidak mempunyai pekerjaan serta memiliki empat rekod jenayah mencuri motosikal, tinggal berjiran dengan remaja terbabit di Kampung Muafakat, kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.
Polis percaya mangsa tidak dilarikan dengan sebarang kenderaan. Bagaimanapun, polis masih menyiasat motif sebenar pembunuhan itu.Abdul Rahim juga enggan mengulas sama ada Syafiqah dirogol sebelum dibunuh kerana polis masih belum menerima laporan patologi.
“Kita difahamkan, doktor yang menjalankan bedah siasat masih menunggu laporan Jabatan Kimia sebelum dapat menentukan punca sebenar kematian Syafiqah," katanya.
Sementara itu, ibu Syafiqah, Nora Abu Bakar, 45, ketika ditemui Berita Harian di rumahnya, bersyukur kerana polis sudah menahan suspek kes pembunuhan anaknya.
"Saya berterima kasih kepada polis yang tidak putus asa mengesan pembunuh Syafiqah dan selepas 20 hari kami sekeluarga berdoa, akhirnya pembunuh anak kami ditangkap," katanya.
©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments: