10 February 2006

Sisa toksid: Penduduk Sungai Gatom disaran tubuh Jawatankuasa Bertindak

Tue Feb 07, 06 11:21:42 AM (from Harakahdaily)
Oleh Salman Hussin


LABIS, 5 Feb (Hrkh) – Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPP NJ) menyarankan penduduk Kampung Sungai Gatom Labis yang terbabit dengan isu pembuangan haram sisa toksik baru-baru ini segera menubuhkan Jawatankuasa Bertindak bagi menuntut hak mereka.

Ini kerana sekiranya penduduk menunggu sehingga kerajaan mendakwa pihak terbabit dikhuatiri tuntutan gantirugi yang mereka alami akibat pembuangan sisa toksik haram ini akan lenyap begitu sahaja, kata Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, dekat sini.Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak pembuangan sisa toksik haram di Kampung Sungai Gatom dekat sini, Ahad kelmarin.Dalam tinjauan ini, mereka mendapati kerja-kerja pembersihan masih belum diteruskan sejak dihentikan operasinya sebelum Sambutan Tahu Baru Cina, Ahad minggu lalu.

Difahamkan sehingga kini lebih 2,000 tan sisa toksik sudah diangkut keluar dan dianggarkan jumlah keseluruhan sisa toksik yang dibuang di sini melebihi 5,000 tan.Menurut Faizi, gantirugi daripada pihak yang terbabit dengan pembuangan sisa toksik haram ini masih tidak boleh dibuat kerana kerajaan masih belum mendakwa mereka lagi.

Bagaimana penduduk mempunyai hak menuntut gantirugi melalui Tabung Bencana Alam Negeri.Kalau kerajaan boleh mengeluarkan kos yang begitu besar daripada tabung bencana alam negeri untuk menampung kos pembersihan tapak pembuangan sisa toksik ini maka tidak ada sebab mengapa kerajaan tidak boleh memberi bantuan kepada penduduk terbabit menggunakan dana yang sama, katanya.
Menurut Faizi lagi, penduduk yang menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab pihak-pihak tertentu ini menghadapi berbagai masalah berikutan kejadian ini termasuk kerugian dan juga trauma."
Justeru kerana itu kita minta kerajaan negeri segera memberi pampasan sewajarnya kepada penduduk terbabit kerana kerajaan negeri juga bertanggungjawab dalam hal ini maka tidak sewajarnya penduduk terbabit dibiarkan begitu sahaja tanpa pembelaan kerajaan.
Beliau yang juga Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar PAS Johor, selanjutnya berkata, penubuhan jawatankuasa bertindak ini amat penting bagi membolehkan pertemuan dan perbincangan dengan Menteri Besar, Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, diadakan dengan seberapa segera.
"Bagi kita apa yang penting segala kerugian serta masalah yang dihadapi penduduk akibat kejadian ini perlu diberi perhatian yang serius oleh kerajaan negeri dan kita tidak mahu rakyat terus menjadi mangsa kerakusan pihak-pihak tertentu," kata beliau.
PAS Johor katanya lagi, sekali lagi mengulangi kesanggupan untuk memberikan khidmat guaman secara percuma kepada penduduk terbabit dalam usaha untuk membela nasib mereka.
Sehubungan itu beliau menyeru semua penduduk terbabit bersatu hati serta tidak mengira fahaman politik bagi memperjuangkan nasib mereka, “bagi kita yang penting nasib penduduk terbela," ujarnya lagi. - zs

No comments: