16 February 2006

JABATAN PEGUAM NEGARA PERLU TEGAS DALAM MENGAMBIL KEPUTUSAN

Posted by Picasa

KENYATAAN MEDIA
(16 Februari 2006)

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mengharapkan agar ketegasan Jabatan Peguam Negara dalam tindakan yang bakal diambil ke atas pihak yang terlibat dalam kes pembuangan sisa toksik di Kampung Sungai Gatom, Labis, Johor.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan berita mengenai tindakan yang akan dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara di Putrajaya esok sama ada akan mendakwa atau sebaliknya.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, JAS kini dalam peringkat akhir melengkapkan bukti-bukti kes bagi membolehkan kertas siasatan dibentangkan pada pertemuan tersebut.

Laporan lengkap daripada JAS negeri berhubung siasatan ke atas kilang itu diserahkan kepada Ketua Pengarah JAS, Datuk Rosnani Ibrahim dan Penasihat Undang-undang JAS, Khairani Alaudin pada 20 Januari lalu.

Menurut beliau, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu melibatkan kesalahan larangan terhadap menempatkan, meletakkan atau melupuskan bahan buangan terjadual di darat atau perairan negara.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kertas siasatan yang telah lengkap itu akan diserahkan kepada Unit Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara untuk diteliti dan diberi pertimbangan pendakwaan.

DPPNJ yang meneliti dan turut sama menangani kes ini mengikut saluran yang ada mengingatkan agar keputusan yang bakal diambil mestilah mengambil kira juga kesengsaraan yang telah dan sedang dihadapi oleh penduduk di sekitar kawasan pembuangan sisa toksik tersebut.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: