20 February 2006

HIMPUNAN MENGENANG DATO ONN JAAFAR, APA MATLAMAT SEBENARNYA?

KENYATAAN MEDIA
(21 Februari 2006)


Satu perhimpunan besar-besaran dijadualkan akan diadakan pada 26 Februari 2006 di Batu Pahat Johor bagi mengenang kembali bagaimana perarakan yang sama telah dibuat oleh masyarakat Melayu yang membangkitkan semangat memperjuangkan kemerdekaan yang membuatkan penjajah Inggeris kecut perut 60 tahun lalu berulang kembali di Batu Pahat, Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perhimpunan dan Perarakan itu, Samsol Bari Jamali, berkata pihaknya menjemput ramai veteran yang pernah menyertai perarakan itu bersama Datuk Onn 60 tahun lalu, sebagai menghargai perjuangan mereka membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Dianggarkan lebih 15,000 orang akan menyertai perarakan dan perhimpunan yang julung kali diadakan selepas Datuk Onn Jaafar, mengetuai perarakan itu bagi menentang gagasan Malayan Union pada 10 Februari 1946.

Perarakan memperingati perjuangan Datuk Onn itu dijadualkan bermula jam 2 petang dari Jalan Sultanah, melalui Jalan Omar, Jalan Rahmat, Jalan Pejabat dan berakhir di Stadium Batu Pahat.

Perarakan dan perhimpunan dikenali Jejak Bertapak itu akan diserikan lakonan semula peristiwa Datuk Onn mengumpulkan masyarakat Melayu di Batu Pahat menentang Malayan Union.

Begitu besar harapan penganjur untuk melihat satu perhimpunan besar-besaran dapat dilaksanakan. Program ini dianjurkan oleh Kerajaan Johor dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor. Saya terpandang di Kluang terdapat sehelai kain rentang yang dinaikkan oleh UMNO Cawangan Bandar yang mengajak masyarakat Kluang untuk turut sama di dalam perhimpunan ini.

Saudara Abd Hamid Jamah, Ketua Penerangan DPPNJ yang juga merupakan bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Johor memberitahu bahawa tujuan program ini diadakan untuk menghimpun seramai mungkin bekas-bekas pejuangan kemerdekaan yang turut serta bersama Allahyarham Dato Onn Jaafar ketika menentang Malayan Union satu ketika dahulu.

Perjuangan Dato Onn Jaafar perlu dilihat bukan sahaja daripada sudut sejarah perjuangan memperjuangkan kemerdekaan tetapi perlu dilihat daripada pelbagai aspek. Perlu juga kita melihat bagaimana Allahyarham telah mengasaskan UMNO dan meninggalkan parti itu pada tahun 1951 dan menubuhkan Independence of Malaya Party (IMP) dan menentang UMNO dalam pilihan raya umum 1955 dan kalah di tangan calon UMNO di Johor Bahru. Dalam tahun 1959 dia menubuhkan Parti Negara dan menang kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Disanjung Ketika Dipuncak, Dipandang Sepi Ketika Terasing

Allahyarham Dato Onn sebenarnya telah melalui saat yang paling menyedihkan apabila telah keluar daripada UMNO. Beliau hanya dijulang semasa berada di dalam UMNO tetapi tidak dipedulikan bila telah tiada bersama UMNO.

Ketika mantan Perdana Menteri, Malaysia Tun Dr. Mahathir melancarkan buku Reflections Of Pre-Independence Malaya yang menghimpunkan pelbagai peristiwa menarik mengenai pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar ,cucu Datuk Onn iaitu Datuk Mohamed Abid yang juga merupakan penulis buku ini menyatakan bahawa antara kandungan dalam buku itu ialah perbualan Datuk Onn bersama isterinya, Datin Halimah Hussein termasuk kesedihan beliau apabila tidak lagi dipedulikan selepas keluar dari UMNO dan menjadi pembangkang.

Di samping itu ia turut memaparkan penghujung hayat Datuk Onn sebagai seorang pemimpin yang meninggal dunia dalam keadaan `miskin'. Pada tahun 1959, beliau (Datuk Onn) terpaksa menjual rumah keluarganya di Johor Bahru kepada kerajaan Johor sebanyak RM100,000 bagi membolehkan beliau membayar tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM10,000. Dengan baki yang ada beliau membeli rumah yang lebih kecil berharga RM30,000.

Sewaktu meninggal dunia, Datuk Onn hanya mempunyai wang RM300 dalam akaun bank dan sebuah kereta jenis Austin 70.

Sejarah Perjuangan Kemerdekaan Sebenar

Saya bukan berhasrat untuk memperakui bahawa hanya Dato Onn sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan dan kenyataan yang disiarkan ini seolah-olahnya mengiakan bahawa Dato Onn adalah perjuangan kemerdekaan.

Lihatlah kembali fakta sebenar menuntut kemerdekaan yang telah menjadi fakta sejarah. Perjuangan menuntut kemerdekaan ini telah bermula sejak kerajaan Melayu Melaka ditumbangkan pada 1511 sehinggalah ke tahun 1957. Umno baru ditubuhkan pada 11 Mei 1946 selepas persidangan Kongres Melayu Se-Malaya yang dipengerusikan oleh Dato’ Onn Jaafar untuk menentang gagasan Malayan Union yang dibawa oleh Inggeris sekembalinya ke Tanah Melayu selepas perang dunia ke dua berakhir pada bulan September 1945.

Pada abad ke 19, ramai tokoh-tokoh Melayu bangun menentang penjajah Inggeris seperti Datuk Dol Said di Naning, Negeri Sembilan, Raja Mahadi di Selangor, Datuk Maharaja Lela peristiwa di Pasir Salak, Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman di Pahang, Tok Janggut di Kelantan dan ramai lagi.
Menjelang abad ke 20 pula, peningkatan orang Melayu dalam pendidikan barat dan agama menyedarkan penduduk tempatan bahawa perjuangan kemerdekaan bukan sahaja boleh dicapai melalui pemberontakan atau peperangan tetapi juga melalui rundingan dan desakan-desakan berasaskan semangat kebangsaan.

Selepas perang dunia kedua, perjuangan diteruskan melalui penubuhan parti-parti politik seperti UMNO, MCA, MIC, Parti Malaya Merdeka (IMP), parti-parti berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr.Burhanuddin Al-Helmi ditubuhkan pada tahun 1945, Angkatan Pemuda Insaf (API) dipimpin oleh Ahmad Boestamam, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dipimpin pula oleh Shamsiah Fakeh, PETA, PUTERA dan parti berasaskan kepada agama Islam pertama iaitu parti Hizbul Muslimin berjuang untuk menubuhkan sebuah Negara Islam yang akhirnya diharamkan oleh penjajah Inggeris pada 29 Julai 1948 dan PAS yang ditubuhkan pada 24 November 1951 bermatlamat menjadikan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan mengetatkan peraturan kerakyatan.

Penutup

Oleh itu, himpunan pada 26 Februari 2006 ini perlulah jelas matlamatnya. Sekiranya ia bertujuan untuk menarik masyarakat melayu kepada UMNO, ingatlah bahawa Dato Onn Jaafar meninggal dunia dalam keadaan tidak bersama UMNO.

Sekiranya hasrat penganjur untuk menilai pengorbanan Dato Onn, ingatlah bahawa Dato Onn mati dalam keadaan miskin, tidak seperti pemimpin negara ketika ini.

Sekiranya himpunan ini bertujuan untuk membangkitkan semangat memperjuangkan kemerdekaan, ingatlah bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan tidak dimulakan oleh Dato Onn sahaja.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: