05 February 2006

PEMBINAAN JAMBATAN BARU MALAYSIA-SINGAPURA UNTUK KEPENTINGAN BERSAMA

KENYATAAN MEDIA
(5 Februari 2006)


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyambut baik kenyataan Menteri Luar Singapura George Yeo bahawa kesediaan untuk bertemu dengan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Syed Hamid Albar pada sukan tahunan menteri luar mereka hari ini dan esok dalam usaha mencapai kedudukan yang memberi manfaat bagi semua. Ini dilihat sebagai tanda persefahaman kedua-dua negara untuk mencapai persepakatan di atas isu pembinaan jambatan baru yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura.

Yeo menyebut bahawa adalah penting untuk mengadakan perbincangan atas asas semangat kemesraan jiran dan muhibbah.

Sebelum ini, Malaysia telah mencadangkan pembinaan sebuah jambatan untuk menggantikan Tambak Johor yang berusia 80 tahun itu dengan Singapura dan Malaysia masing-masing menanggung kos pembinaan setiap sebahagian daripada jambatan itu.

Selepas selesai mengadakan perbincangan selama 40 minit di Singapura, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Syed Hamid Albar dan rakan sejawatannya George Yeo, bersetuju pegawai kedua-dua negara meneruskan rundingan mereka mengenai jambatan itu dan isu lain.

Yeo bersetuju dengan Syed Hamid bahawa rundingan itu tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa sebarang keputusan tetapi mengekalkan pendirian Singapura bahawa negara itu hanya bersetuju dengan cadangan untuk menggantikan tambak dengan jambatan sekiranya ia membawa manfaat seimbang kepada kedua-dua negara.

DPPNJ melihat bahawa perkembangan ini akan mempercepatkan lagi proses pembinaan jambatan baru yang telah tertanggung sekian lama sehingga telah menyebabkan kesesakkan di tambak Johor.

Sebelum ini, berlaku sedikit ketegangan apabila Kerajaan Singapura memberitahu bahawa ia sudah menghantar nota pihak ketiga ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan penjelasan berhubung laporan tentang rancangan Malaysia meneruskan pembinaan jambatan merentasi Selat Johor

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran beberapa soalan daripada pihak media berhubung laporan Bernama yang bertajuk Malaysia teruskan projek pembinaan jambatan untuk elak kenaikan kos, kata PM.

Laporan itu memetik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai berkata bahawa Malaysia akan meneruskan projek pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor untuk mengelak kos tinggi pembinaannya.

Singapura sebelum ini sudah menyatakan keengganannya kepada rancangan untuk menggantikan jambatan berusia 81 tahun yang menghubungkan Malaysia dengan negara pulau itu.

Menteri Luarnya, George Yeo memberitahu Parlimen pada bulan Oktober lalu bahawa pandangan tentang jambatan itu tetap tidak berubah, dan mengatakan bahawa Singapura boleh bersetuju dengan rancangan Malaysia untuk menggantikan jambatan itu dengan yang baru, hanya sekiranya ada keuntungan yang seimbang kepada kedua-dua pihak.

Singapura juga memberi amaran tentang implikasi undang-undang yang serius sekiranya Malaysia meneruskan rancangannya untuk menggantikan jambatan di sebelah bahagiannya, dengan memberi alasan berhubung peraturan antarabangsa bahawa jambatan itu tidak boleh diruntuhkan secara sah tanpa persetujuan Singapura.

Semoga kedua-dua negara yang berjiran ini akan menyelesaikan isu pembinaan jambatan baru ini dengan baik dan memberikan manfaat untuk semua.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: