17 February 2006

SAMY VELLU BARU TERSEDAR BAHAWA SUKARNYA JADI MENTERI DAN WAKIL RAKYAT YANG SEBENARNYA

KENYATAAN MEDIA
(17 Februari 2006)

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu dilaporkan telah menerima kira-kira 2,600 Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada orang ramai sejak tiga hari lalu. Penerimaan SMS ini terjadi apabila beliau dengan penuh keyakinan menyebut nombor telefon bimbitnya dan dipaparkan kepada penonton oleh TV3 pada hari Ahad yang lalu.

Mungkin pada peringkat awalnya ramai yang tidak percaya bahawa nombor tersebut adalah nombor telefon bimbit peribadi beliau kerana sebelum ini mana mungkin seorang bertaraf menteri sanggup berbuat sedemikian.

Tetapi realitinya telah berlaku dan Samy Vellu telah membuktikannya. Tempoh 3 hari sahaja sebanyak 2,600 SMS diterimanya. Ramai yang tertanya-tanya kenapa beliau sanggup berbuat begitu, adakah kerana faktor tanggung jawab sebagai seorang menteri atau kerana ingin membuktikan kepada Pak Lah bahawa beliau sebenarnya masih layak menjadi Menteri Kerja Raya.

Bagaimanapun, katanya daripada jumlah itu, 200 SMS berkaitan isu jambatan retak manakala 1,000 lagi mengucapkan tahniah dan selebihnya adalah aduan biasa

Semalam, beliau telah muncul kembali di dalam kaca televisyen di atas perkara yang serupa. Cuma bezanya nada beliau lebih kepada mengharapkan simpati masyarakat.

``Saya sukar nak tidur sehingga pukul 4 pagi. Pagi ini sahaja saya terima 130 SMS''
“ Hand phone saya dah tak boleh pakai, dah rosak, sebab banyak terima SMS la”

Akhirnya, dalam sidang media tersebut beliau mengumumkan bahawa Kementerian Kerja Raya telah bersetuju menubuhkan Biro Pengaduan Awam yang beroperasi 24 jam bagi meneliti dan mengurus aduan yang diterima daripada orang ramai.

Katanya, biro yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian itu akan dianggotai oleh wakil-wakil daripada Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).

Menurut beliau, biro itu juga bertanggungjawab untuk meneliti dan merancang tindakan yang perlu diambil ke atas setiap aduan yang diterima berkaitan perkhidmatan diberikan oleh kementerian serta agensi-agensi di bawahnya.

Pada peringkat awalnya saya berpendapat bahawa Samy Vellu telah mula ‘insaf’ dan cuba untuk memperbaiki reputasinya sebagai seorang menteri sehingga sanggup menyerahkan nombor peribadi beliau kepada umum dan belum tentu lagi dapat dilakukan oleh menteri yang lain khususnya daripada UMNO.

Tetapi dalam tempoh jangka masa 3 hari, Samy Vellu baru tersedar bahawa sukarnya menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai Menteri.

Saya yakin bahawa sekiranya beliau terus membuka ruang kepada rakyat untuk menyalurkan terus masalah yang berkaitan dengan kementerian kepadanya, reputasi beliau akan berjaya dipulihkan. Tetapi inilah realitinya, beliau dan menteri-menteri sebenarnya tidak sanngup untuk mendengar rintahan rakyat di bawah.

Cuma, janganlah kerana ketidaksanggupan beliau untuk menerima aduan secara terus, beliau memberikan alasan ‘budak-budak’ dengan menyatakan bahawa telefon bimbitnya rosak kerana telah menerima banyak SMS. Pelbagai jenis telefon bimbit yang canggih dan berkualiti dijual di pasaran, tidak mampukah beliau untuk membelinya?

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: