15 February 2006

NEGERI JOHOR TERUS MENJADI PUSAT PEMBUANGAN SIS TOKSIK SECARA HARAM

Berita Harian : 15 tan lagi sisa toksik haram dikesan di Muar
Oleh Junita Mat Rasid dan Johan Afandi

JOHOR BAHRU: Satu lagi kawasan pembuangan sisa toksik haram dikesan di Muar apabila sejumlah 15 tan sisa serdak aluminium dibuang di Kawasan Perindustrian Tangkak, dekat sini.
Pembuangan sisa toksik berkenaan dipercayai dilakukan kontraktor sama yang terbabit dengan kes di Batu 14, Jalan Labis-Muar sejak pertengahan minggu lalu.
Bagaimanapun, kegiatan dipercayai dilakukan pada sebelah malam itu, disedari penduduk tempatan yang curiga dengan pergerakan lori keluar masuk dari kawasan perindustrian itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Freddie Loong Hoo Hin mengesahkan mengenai penemuan kawasan baru itu selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri menerima maklumat daripada orang ramai.
"JAS kemudian ke kawasan berkenaan dan mendapati sisa berkenaan dilonggok di satu kawasan lapang yang tersorok pada Sabtu lalu dan kerja pembersihan kemudian dilakukan dengan kerjasama Kualiti Alam," katanya di sini, semalam.
Bulan lalu, tiga tempat pembuangan sisa toksik haram dikesan iaitu di Kampung Sungai Gatom, Labis serta Batu 8 3/4 dan 9, Jalan Labis-Yong Peng, semuanya membabitkan sisa serdak aluminium.
Pada 4 Februari lalu, satu lagi kawasan pembuangan sisa toksik haram turut dikesan di Batu 14, Jalan Labis-Muar berhampiran Felda Chempelak Barat yang mengandungi sejumlah 2.5 tan metrik aliminium 'dross'.
Loong berkata, kerja pembersihan siap sepenuhnya pada Ahad lalu dan semua bahan buangan itu dibawa Kualiti Alam ke Bukit Nanas, Negeri Sembilan.
Sementara itu, tinjauan Berita Harian di kawasan perindustrian Tangkak kira-kira 25 kilometer dari Muar, mendapati kawasan pelupusan sisa toksik berjadual secara haram itu terletak di kawasan semak yang agak terpencil dan bersebelahan dengan tanah persendirian.
Tinjauan mendapati sisa toksik itu sudah dibersihkan dan dipindahkan dengan kesan tayar jentera berat dan masih ada beberapa ketul sisa toksik dipercayai serdak aluminium yang tercicir.
Beberapa kakitangan Majlis Daerah Tangkak (MDT) turut dilihat meninjau keadaan sekitar semak itu dan turut mengambil gambar kawasan berkenaan.
©The New Straits Times Press (M) Berhad
Khairul Faizi : Ini sebenarnya membuktikan bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) gagal menjalankan kerja mereka untuk mengawasi setiap aktiviti yang akan mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat. Semakin lama rakyat semakin bimbang kerana mungkin di kawasan rumah atau taman mereka tinggal juga di tanam dengan sisa toksik.

No comments: