27 September 2005

Tahanan ISA Johor bebas perintah sekatan

Oleh Salman Hussin
SIMPANG RENGGAM, 26 Sept (Hrkh) – Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Noor Asid Sakib, yang dikenakan perintah sekatan (RO) sejak empat tahun lalu telah dibebaskan sepenuhnya berkuatkuasa mulai 23 September lalu.Noor Asid, 37, yang didakwa terbabit dengan kumpulan militan sebelum ini telah ditahan di bawah ISA selama 54 hari, selepas itu beliau dikenakan perintah sekatan di bawah seksyen 8 (5) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 selama empat tahun bermula 24 Sept 2001 hingga 23 Sept 2005.

Surat pembebasan beliau telah diserahkan pegawai cawangan khas di Balai Polis Simpang Renggam, dekat sini, tengahari 23 September lalu.
Di bawah seksyen 8 (5) perintah sekatan ini Noor Asid hanya dibenarkan bergerak di Daerah Kluang sahaja dan sekiranya beliau mahu keluar dari daerah Kluang maka permohonan perlu dibuat dua minggu lebih awal.
Selain itu beliau juga perlu mematuhi arahan untuk berada di rumah mulai 9.00 malam hingga 6.00 pagi serta melapur diri di Balai Polis Simpang Renggam seminggu sekali.
Noor Asid yang ditemui dalam kunjungan Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, sebaik saja mengetahui berita pembebasan ini kelihatan begitu gembira dan ceria dengan pembebasan beliau ini.
Menurut Faizi, seluruh warga pemuda dan ahli PAS Johor amat bersyukur kepada Allah SWT dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau dengan pembebasan ini.
Selepas ini Noor Asid dan keluarganya boleh bebas bergerak ke mana saja tanpa sebarang sekatan lagi.
"Sebelum ini kita merasa amat simpati kerana beliau sekeluarga terpaksa berkurung di rumah disebabkan perintah sekatan ini," kata Khairul Faizi.
Ketika ditanya apakah rancangan beliau selepas ini, Noor Asid memberitahu, antara perkara utama yang akan dilakukan ialah mengadakan ‘road show’ ke seluruh negara bagi memperomosi Madrasah Al—Masriyyah.
Promosi ini bertujuan menarik minat ibu bapa bagi menghantar anak-anak mereka mengikuti pendidikan yang lebih Islamik yang disediakan di madrasah ini di mana pelajar juga berpeluang mendapatkan pendidikan akademik selain pendidikan dalam bidang agama.
Usaha untuk mengembalikan semula kecemerlangan madrasah ini perlu dilakukan memandangkan sejak akhir-akhir ini bilangan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke madrasah ini sangat berkurangan, katanya.
Mutu pendidikan yang diajar di madrasah ini dikira setanding jika dibandingkan dengan institusi pendidikan lain terutama institusi pendidikan milik kerajaan.
Ini terbukti bilamaa terdapat ramai pelajar lepasan madrasah ini berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar Mesir dan juga institusi pendidikan tinggi lainnya, kata beliau.
Justeru kerana itu tambah beliau lagi, promosi, kempen yang bersepadu secara berterusan perlu dibuat supaya masyarakat khususnya orang Islam lebih berminat untuk menghantar anak mereka belajar di madrasah ini.
Faizi mengucapkan tahniah kepada Noor Asid yang dibebaskan dari perintah sekatan bermula hari ini.

Ceroboh kawasan tadahan air, Pemuda PAS dan PKR buat laporan polis

Oleh Salman Hussin
JOHOR BAHRU, 26 Sept (Hrkh) – Berikutan kegagalan Kerajaan Negeri bertindak terhadap penceroboh kawasan tadahan hujan di Empangan Semberong yang mengakibatkan berlakunya krisis bekalan air yang begitu teruk di Kluang dan Batu Pahat sejak beberapa bulan lalu, satu lapuran polis dibuat. Lapuran polis ini dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPP NJ) dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia telah dibuat ekoran dari kenyataan Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman pada 4 Mei lalu yang mengakui berlakunya pencerobohan tanah seluas 718 hektar di kawasan tadahan hujan di empangan Semberong.
Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, pada sidang media selepas membuat lapuran di Balai Polis Central, dekat sini, kelmarin berkata, laporan itu dibuat selepas tiada tindakan terhadapnya.
Hadir sama Ketua Angkatan Muda PKR Johor, Nurin Aina Abdullah serta beberapa Exco Pemuda PAS Johor dan Angkatan Muda PKR Johor.
Menurut Faizi, lapuran polis ini dibuat setelah tiada sebarang tindakan dilakukan kerajaan negeri terhadap pihak terbabit yang didakwa melakukan pencerobohan tanah di empangan Semberong ini.
"Kegagalan kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit ini amat dikesalkan dan kita melihat seolah-olah semacam ada sesuatu yang cuba disembunyikan kerajaan dalam isu ini, sebab itu sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan," kata Faizi.
Berdasarkan kepada maklumat yang terkandung dalam lapuran yang dibuat, Pemuda PAS meminta polis melakukan siasatan dengan telus dan terperinci, walau pun mungkin kes ini membabitkan MB Johor sendiri kerana ianya membabitkan kepentingan rakyat.
"Justeru kerana itu kita meminta polis melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kenapa kerajaan negeri yang dipimpin Ghani sehingga hari ini tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pihak yang didakwa melakukan pencerobohan ini,"katanya.
Selanjutnya menurut Faizi, beliau sangat bimbang sekiranya terdapat unsur-unsur penyelewengan yang menyebabkan berlakunya pencerobohan terhadap kawasan tadahan hujan di empangan Semberong ini.
Pencerobohan tanah di kawasan yang sangat penting ini tidak mungkin boleh berlaku sekiranya tidak mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak yang berkuasa dan ini menunjukkan seolah-olah apa yang berlaku ini mempunyai kaitan dengan pihak terbabit khususnya kerajaan negeri, dakwanya.
Dalam kenyataannya baru-baru ini, kata Faizi, Ghani cuba mengalihkan pandangan rakyat daripada isu sebenar iaitu isu pencerobohan tanah kepada usaha yang sedang dilakukan bagi mengatasi masalah bekalan air ini.
Kenyataan beliau menyebut, tindakan untuk mengatasi masalah bekalan air di Kluang sedang dilakukan dengan menukar punca bekalan air, kalau sebelum ini air diperolehi dari empangan Semberong Barat tetapi sekarang ini akan diambil dari empangan Semberong Timur.
"Persoalan sebenar yang sepatutnya menjadi tanggungjawap utama kerajaan negeri untuk diselesaikan sekarang ini bukan masalah dari mana dan bagaimana punca bekalan air ini diperolehi tetapi isunya adalah kenapa penceroboh tanah kawasan tadahan hujan ini sehingga kin masih tidak didakwa, ini yang menjadi tanda tanya di kalangan rakyat.
"Soal bagaimana dan dari mana sumber bekalan air ini boleh diperolehi biarlah perkara ini diatasi oleh pihak yang telah diberi amanah untuk menguruskan perkara ini sebaliknya kerajaan yang mempunyai bidang kuasa yang penuh terhadap tanah di negeri ini hendaklah menguatkuasakan undang-undang ini sekiranya berlaku pencerobohan ke atas tanah milik kerajaan," tegasnya lagi. -zs

24 September 2005

LAPORAN POLIS : ADUAN TENTANG PENCEROBOHAN KAWASAN TADAHAN HUJAN EMPANGAN SEMBERONG DAN KELEWATAN KERAJAAN NEGERI JOHOR

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Tarikh :


23 September 2005

Daripada
:

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pejabat Pentadbiran Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
No 17 Jalan Berlian 3, Taman Renggam Jaya
86200 Simpang Renggam
Johor Darul Takzim

Kepada :


KETUA POLIS DAERAH JOHOR BAHRU
Balai Polis Central Johor Bahru

Tuan,

ADUAN POLIS TENTANG PENCEROBOHAN KAWASAN TADAHAN HUJAN EMPANGAN SEMBERONG DAN KELEWATAN KERAJAAN NEGERI JOHOR BERTINDAK TERHADAP PENCEROBOH TANAH KERAJAAN.

Saya Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil nombor kad pengenalan 730111-01-6625 di alamat Pejabat Pentadbiran Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, No 17 Jalan Berlian 3, Taman Renggam Jaya, 86200 Simpang Renggam, Johor Darul Takzim; berbangsa Melayu; beragama Islam dengan ini mengemukakan laporan polis seperti mengikut kata-kata aduan berikut:

Saya seorang warganegara Malaysia ingin mengemukakan aduan saya ke atas perkara-perkara yang mana pada pandangan dan anggapan saya adalah penyelewengan dan salah guna kuasa :

1. Kenyataan Menteri Besar Johor bahawa telah berlaku pencerobohan kawasan tadahan hujan di Empangan Semberong.

· Berita Harian pada 4 Mei 2005 telah melaporkan bahawa Datuk Abd Ghani Bin Haji Othman selaku Menteri Besar Johor telah mendakwa bahawa berlaku pencerobohan kawasan tadahan hujan seluas 718 hektar di Empangan Semberong dan diceroboh untuk penanaman Pokok Kelapa Sawit.

2. Ekspidisi Selamatkan Air Johor oleh Dewan Pemuda PAS Johor

· Bagi membuktikan bahawa sememangnya telah berlaku pencerobohan ini, Dewan Pemuda PAS Johor (DPPN Johor) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan lawatan ke Empangan Semberong pada 13 Mei 2005 dan melihat sendiri kawasan yang didakwa telah diceroboh sehingga menyebabkan berlakunya krisis Air.

· DPPN Johor juga dapat mengesan beberapa kawasan yang diteroka untuk penempatan seperti Kampung Banjir Bersatu dan Kampung Sri Semangat yang terletak berhampiran kawasan tadahan hujan.

· Terdapat penebangan pokok hutan tanpa kawalan disekitar Empangan Semberong sehingga dapat dilihat dengan jelas bukit-bukit yang gondol disekitarnya. Fenomena ini telah menjejaskan pembenihan awan di dalam kawasan empangan dan menjadikan hujan yang lebat tidak turun di sekitar empangan ini . Penebangan hutan secara rakus ini juga telah menyebabkan hakisan tanah dan meningkatkan pendedahan permukaan tanah kepada matahari. Fenomena ini telah mempercepatkan sejatan air seterusnya menyebabkan empangan menjadi kering. Sebagai catchment area, Empangan Semberong yang menyalurkan air ke Loji Air Semberong adalah bergantung sepenuhnya kepada punca air daripada hujan sahaja.

· Aktiviti Pertanian Secara Haram. Kawasan tanah yang telah diceroboh di sekitar empangan telah di tanam dengan tanaman kelapa sawit dan sayur-sayuran seperti penanaman lada Tanaman secara haram ini menggunakan baja secara intensif. Baja ini akan menyerap ke dalam tanah dan sebahagiannya masuk ke dalam empangan dan seterusnya mencemarkan air di dalamnya.

3. Penyerahan Memorandum kepada Menteri Besar Johor

· DPPN Johor telah menyerahkan memorandum kepada MB Johor pada 20 Mei 2005 beserta dengan pelbagai maklumat dan bukti dengan harapan Datuk Abd Ghani Bin Haji Othman dapat mengambil tindakan segera termasuklah mendakwa mereka yang menceroboh tanah kerajaan di sekitar empangan semberong.

Atas beberapa keadaan inilah maka saya berpandangan bahawa:

· DPPN Johor tidak berpuas hati kerana memorandum yang telah diserahkan kepada Menteri Besar Johor telah dihantar lebih daripada 4 bulan yang lalu dan sehingga kini tidak ada jawapan ataupun tindakan daripada pihak beliau.

· Kerajaan Negeri Johor sepatutnya mengambil tindakan segera di atas aduan yang telah diserahkan oleh DPPN Johor kerana ia melibatkan kepentingan rakyat, bukannya kepentingan pengadu sebagai rakyat Johor semata-mata.

· Sikap tidak serius yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri telah menyebabkan krisis air di Kluang, Sri Gading, Batu Pahat dan Air Hitam semakin membimbangkan.

· Kelewatan MB Johor mengambil tindakan terhadap penyelewengan dan peneroka haram di sekitar Empangan Semberong adalah kerana terdapat kepentingan pertubuhan parti politik pemerintah.

Oleh yang demikian, saya menggesa pihak tuan supaya menyiasat dengan segera aduan saya di atas bagi menentukan ketelusan Menteri Besar Johor dalam menjalankan tugas beliau dan menyelamatkan rakyat daripada terus diselubungi masalah ketiadaan air.

Sekian, inilah aduan saya.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL

Jawatan : Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
No Telefon : 019-7701830 / 012-7811830

15 September 2005

KEGAGALAN BANK NEGARA MALAYSIA (BNM) MENGAWAL PEMALSUAN WANG SYILING RM1 MERUGIKAN RAKYAT

KENYATAAN MEDIA
(15 September 2005)

Utusan Malaysia hari ini memaklumkan bahawa penarikan semula penggunaan syiling RM1 berkuat kuasa 7 Disember ini bertujuan mengelak berlakunya sindiket mengeluarkan syiling palsu. Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan bahawa kes pemalsuan wang syiling RM1 adalah terpencil dan tidak melibatkan jumlah yang ketara. Bank pusat itu berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan polis dan mengambil tindakan segera terhadap sebarang kegiatan pemalsuan wang itu.

Di antara sebab-sebab lain penarikan semula ini adalah disebabkan oleh permintaan yang rendah dan kegunaannya tidak lagi popular dalam pembelian barangan dan membayar perkhidmatan di negara ini.

Sebelum ini BNM dalam satu kenyataan pada 5 September lalu mengumumkan orang ramai diberi tempoh tiga bulan untuk menjalankan urus niaga menggunakan syiling berkenaan dan mereka boleh menukarnya pada nilai muka tanpa sebarang caj.

Semalam (14 September 2005) laporan muka depan Utusan Malaysia menggemparkan masyarakat kerana diberitakan bahawa hampir separuh daripada RM34 juta syiling RM1 yang kini berada di dalam pasaran dipercayai wang palsu. Ini bermakna terdapat lebih kurang RM 17 juta syiling RM 1 palsu berada di pasaran. Senario itu, kata sumber itu, mungkin antara sebab utama mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah drastik menghentikan penggunaannya selepas 7 Disember ini. Jika tidak dibendung, menurut sumber tersebut, ia boleh menjejaskan ekonomi negara.

Apa yang pelik, kata sumber itu, BNM sudah menghentikan pengeluaran syiling RM1 sejak tahun 2000 namun masih banyak kepingan syiling di pasaran yang mempunyai tahun cetakan 2004.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Ng Yen Yen pula berkata, sejak kebelakangan ini syiling RM1 itu banyak dipalsukan dan ia sukar dikesan (Utusan Malaysia, 7 September 2005). Tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menarik balik penggunaan duit syiling RM1 berkuat kuasa 7 Disember ini bertujuan mengelak berlakunya sindiket mengeluarkan syiling palsu.

Bukti bahawa telah berlakunya pengeluaran wang syiling RM 1 palsu setelah beberapa tangkapan telah dilakukan pada tahun ini yang melibatkan sindiket memproses wang syiling palsu.

1. Pada 22 Januari 2005, satu sindiket pengeluaran wang syiling RM1 palsu turut dibongkar di Klang dan Seri Kembangan selain rampasan sejumlah RM20,000 dipercayai baru dibuat di sebuah kedai yang ditinggalkan kosong

2. Pada 24 Mac 2005, polis melumpuhkan satu sindiket memproses wang syiling RM1 palsu serta merampas kira-kira 30,000 keping syiling bersama dua mesin memproses dalam serbuan di Puchong, Selangor. Difahamkan, wang syiling tersebut diproses untuk dijual dengan harga RM200 bagi setiap 1,000 keping kepada sindiket dan dipercayai digunakan untuk pembayaran wang menggunakan mesin termasuk di pusat permainan dan kasino. Sebahagian wang syiling palsu yang dirampas itu masih belum siap dicetak.

3. Pada 7 April 2005 pula, seorang lelaki dari Sarawak yang baru lima hari bekerja di sebuah kilang memproses wang syiling palsu dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan memproses dan memiliki mesin membuat wang syiling RM1 palsu. Dalam serbuan yang dijalankan, polis menemui sebanyak 900 keping duit syiling RM1 Malaysia palsu yang telah siap dan 22,000 kepingan logam dalam bentuk serta saiz duit syiling yang belum siap dicetak.

4. 14 April 2005 pula tujuh lelaki termasuk seorang juvenil masing-masing dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memproses wang syiling RM1 palsu sebanyak 22,097 keping. Pertuduhan mengikut Seksyen 232 Kanun Keseksaan membolehkan mereka dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan. Tertuduh turut didakwa atas tuduhan memiliki empat peralatan iaitu mesin mencetak wang syiling RM1 yang mereka ketahui boleh digunakan untuk tujuan memalsu.

Tindakan menarik semula penggunaan syiling RM1 daripada pasaran sememangnya dapat menghentikan sama sekali sindiket memproses wang palsu ini. Namun kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa kes pemalsuan wang syiling RM1 adalah terpencil dan tidak melibatkan jumlah yang ketara perlu diteliti semula.

Sekiranya benar dakwaan bahawa terdapat lebih kurang RM 17 juta syiling RM1 palsu berada di pasaran, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana RM 17 juta adalah merupakan jumlah wang yang banyak. Adakah kerana untuk menutup kelemahan BNM maka perkara ini dilihat sebagai kejadian terpencil?.

BNM mestilah mengambil tanggungjawab terhadap pemalsuan syiling RM 1 ini bukan sekadar menyalahkan sindiket yang mengambil kesempatan di atas kelemahan BNM. BNM sepatutnya telah mengambil langkah kawalan lebih awal terutamanya telah berlaku beberapa tangkapan yang melibatkan sindiket memproses wang syiling palsu.

Sekian.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830

14 September 2005

PENGLIBATAN PELAJAR SEKOLAH DALAM KES JENAYAH SEMAKIN SERIUS.

KENYATAAN MEDIA

(14 September 2005)

Harakahdaily hari ini mengeluarkan berita berkaitan dengan gejala sosial di sekolah yang semakin serius seperti yang dinyatakan oleh Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Dato’ Siva Subramaniam. Beliau berkata gejala sosial di sekolah termasuk masalah pelajar hamil sangat serius sehingga kadang-kadang masyarakat dan pihak sekolah khasnya bersikap lebih bercakap daripada membantu.
Sebuah akhbar harian, hari ini dipetik sebagai melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Lima yang hamil lapan bulan ditikam oleh teman lelakinya iaitu seorang pelajar Tingkatan Enam selepas pertengkaran mengenai kedudukan kandungan itu di Kampung Indah, Tanjung Sepat, Banting, Selangor.
Sebelum ini, masyarakat terkejut dengan pendedahan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) bahawa perlakuan jenayah membabitkan kanak-kanak atau pelajar bukan sahaja kesalahan ringan seperti mencuri atau pecah rumah malah jenayah berat termasuk bunuh, rogol, samun bersenjata api dan keganasan, malah dalam tempoh tujuh tahun pertama tahun ini sahaja, kanak-kanak terbabit dengan 27 kes rogol, bunuh (tiga), keganasan yang menyebabkan kecederaan parah (76), kesalahan yang menyebabkan kecederaan ringan (33), samun berkumpulan (2), samun bersenjata api (1) dan 10 kes samun tanpa senjata api. Selain daripada itu, 246 kes membabitkan kes curi kenderaan, curi malam hari (112), curi siang hari (29), ragut (18) dan 188 kes jenayah lain. (6 September 2005, Berita Harian)

Menurut Setiausaha Kehormat YPJM, Superitendan Rosniah Ramli, statistik yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah ini seawal usia tujuh tahun. Dalam tempoh tujuh bulan pertama, 76 kes melibatkan mereka yang berusia 7 tahun, 668 kes melibatkan di antara 13 dan 15 tahun manakala 1,008 kes melibatkan pelajar yang berusia 16 sehingga 18 tahun. Daripada 1,591 kes yang dilaporkan, 1,295 kes atau 79 peratus melibatkan pelajar melayu.

Pada 5 September 2005 pula, Berita Harian melaporkan berita bertajuk “Kenakalan Budak Melampau, Polis cadang kajian ilmiah kenal pasti punca kanak-kanak terbabit jenayah” yang mana dilaporkan kejadian tiga orang kanak-kanak berusia 9, 10 dan 11 tahun di tahan kerana disyaki terlibat dengan kes membakar sebuah bas sekolah milik Ean Joo Bus Transport Services Sdn Bhd di Langkawi.

Pendedahan maklumat ini seharusnya dilihat oleh semua pihak terutamanya kerajaan betapa seriusnya masalah disiplin dan sosial dikalangan pelajar sekolah sehinggakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Fauzi Saari yang terkejut dengan pembabitan kanak-kanak sekolah di dalam kejadian jenayah, mencadangkan agar satu kajian dilakukan bagi mengenalpasti punca kanak-kanak terbabit dengan jenayah serta dijadikan asas mencari penyelesaian.

Kalau sebelum ini banyak kejadian masalah disiplin seperti samseng dan buli yang didedahkan melibatkan kejadian di dalam kawasan sekolah atau asrama, kini masalah disiplin pelajar yang melibatkan kejadian jenayah sudah menular keluar dari persekitaran sekolah.
Banyak punca yang boleh disenaraikan sehingga menyebabkan sosial pelajar sekolah pada hari ini semakin buruk keadaannya tetapi saya melihat bahawa guru-guru pada hari ini terbeban dengan pelbagai tugas pentadbiran sehingga kurang tumpuan untuk pembangunan manusia terhadap pelajar sekolah. Saya bersetuju dengan kenyataan Dato’ Siva Subramaniam bahawa masalah menjadi tidak terkawal apabila guru-guru terbabit lebih banyak menghadiri masyuarat daripada menjalankan tugasnya.
Utusan Malaysia pada 7 Julai 2005 pernah mendedahkan bahawa guru-guru di Selangor, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur dikategorikan sebagai “guru terbeban” kerana mereka terpaksa mengambil masa 74 seminggu untuk menjalankan tugas termasuk 50.4 jam atau 68 peratus berkaitan kurikulum. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Menangani Beban Tugas Guru ini, 12.7 peratus masa guru di negara ini dihabiskan untuk aktiviti ko-kurikulum, 8.9 peratus untuk hal ehwal murid dan 1.2 peratus untuk pengurusan asrama. 4.3 peratus masa guru digunakan untuk pengurusan, 2.4 peratus kewangan, 1.1. peratus untuk latihan dan hubungan komuniti manakala 0.1 peratus untuk pembangunan fisikal sekolah.

Justeru itu, Kementerian Pelajaran Malaysia perlu serius untuk mengurangkan bebanan guru disekolah, bukan sahaja mampu mengurangkan ‘stress’ guru-guru seperti yang pernah dilaporkan oleh NUTP tetapi juga membolehkan guru-guru ini memberikan tumpuan terhadap tugas mereka sebagai seorang pendidik kepada anak-anak murid disekolah yang semakin terbiar pada hari ini.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

Pemuda PAS Johor saran 10 perkara untuk PLKN

Date: Wednesday, September 14 @ 10:54:28 MYT
Topic: lead story
"Menyedari pembentukan generasi yang utuh memerlukan program yang mantap bukannya ad-hoc, berterusan, bersepadu serta tidak bertentangan dengan nilai agama dan budaya"

Oleh Salman Hussin JOHOR BAHRU, 14 Sept (Hrkh) – Pemuda PAS Johor mengemukakan 10 cadangan bagi memperbaiki Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).Antara lain PAS mencadangkan Kementerian Pelajaran merangka subjek wajib berkaitan Masyarakat dan Kenegaraan di peringkat sekolah menengah lagi selain pelaksanaan PLKN itu sendiri perlu dibahagi kepada beberapa tahap tertentu.
Syor Dewan Pemuda PAS Negeri Johor itu dibuat pada Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia Mengenai Perpaduan dan Khidmat Negara yang telah diadakan di Bukit Timbalan, dekat sini, baru-baru ini.
Perbahasan ala Mini Parlimen yang membabitkan Pertubuhan Politik, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta Jabatan Kerajaan ini telah dipengerusikan oleh Anggota Parlimen Kota Marudu, Dato’ Dr Maximus Johnity Ongkili manakala DPP NJ diwakili Ketuanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan exco DPP NJ, Suhaizan Kaiat.

DPP NJ mencadangkan supaya pelaksanaan PLKN dibahagi kepada tiga tahap iaitu tahap pertama membabitkan peserta berumur 15 tahun (lepasan PMR) yang mana pada tahap ini peserta dididik dengan Latihan Kemantapan Peribadi.
Tahap kedua pula membabitkan peserta berumur 17 tahun (lepasan SPM) yang dididik dengan Latihan Kemasyarakatan dan Kenegaraan yang mana pada tahap ini peserta dilatih dengan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, bangsa, sosial, budaya, politik, ekonomi, masyarakat dan kenegaraan.
Manakala pada tahap ketiga pula membabitkan peserta yang sudah atau belum bekerja (21 - 25 tahun), mereka diberi latihan berkaitan politik antarabangsa, ancaman musuh dan kaedah mempertahankan negara secara fizikal dan psikologi.
DPP NJ juga mencadangkan supaya penyertaan remaja lelaki dan perempuan diwajibkan pada tahap satu dan dua manakala pada tahap ketiga hanya remaja lelaki diwajibkan manakala remaja perempuan adalah pilihan.
Selain itu DPP NJ juga mengesyorkan beberapa cadangan lain seperti mewujudkan modul khas berkaitan ajaran agama setiap peserta, pengasingan jantina peserta PLKN serta melakukan penilaian pada setiap tahap.
Memasukkan keputusan setiap tahap ke dalam sijil PMR, SPM dan Universiti, menjadikan keputusan lulus tahap satu dan dua sebagai syarat masuk IPTA/IPTS atau pusat kemahiran dan latihan manakala keputusan lulus bagi tahap ketiga dijadikan sebagai syarat untuk mendapatkan pekerjaan di sektor awam dan swasta.
Mengelakkan sebarang unsur atau kecenderungan dan manipulasi terhadap peserta PLKN ke arah mana-mana parti politik, menubuhkan badan bebas terdiri dari agensi kerajaan, NGO dan pertubuhan politik bagi memantau setiap program yang dilaksanakan memenuhi objektif yang digariskan.
DPP NJ juga memberi amaran keras terhadap sebarang penyelewengan dan amalan kronisme terutama projek yang membabitkan kewangan seperti tender kantin, pakaian, pengurusan kem dan lain-lain lagi. -zs

06 September 2005

PELBAGAI PROGRAM PEMUDA PAS JOHOR

Date : Tuesday, September 06 @ 17:52:25 MYT
Topic: Local NewsOleh ANIS NAZRI
KUALA LUMPUR, 6 Sept (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Johor akan mengadakan ceramah di beberapa kawasan di negeri itu sepanjang September ini.Pada 11 Sept ini, Ustaz Azman Shafawi akan menyampaikan ceramahnya di Kampung Parit Lapis Semerang, Air Hitam, Johor.

Pada 17 Sept pula, Pemuda Barisan Alternatif (BA) menganjurkan Ekspedisi Selamatkan Air Johor di Dun Yong Peng, manakala pada malamnya, satu ceramah akan diadakan dan disampaikan oleh Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli di Kampung Parit Tengah, Yong Peng.

Sementara pada 18 Sept, sekali lagi Pemuda BA ekspidisi diteruskan di Dun Parit Raja.

Ekspedisi itu diserikan dengan majlis ceramah pada malamnya di Markaz Kampung Baru, Sri Gading oleh Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Mazlan Aliman dan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KeADILan Pusat, Badrul Hisham Shaharin.-wn.

02 September 2005

Pemuda PAS dakwa SAJH diperalat lindungi kegagalan kerajaan negeri

Oleh Salman Hussin
KLUANG, 2 Sept (Hrkh) – Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, berkata, Syarikat Air Johor Holdings Berhad (SAJH), telah diperalat oleh kerajaan untuk menutup kegagalan Kerajaan Negeri dalam mengurus air di negeri ini.SAJH dijadikan mangsa untuk berhadapan dengan rakyat yang marah berikutan krisis bekalan air yang berlaku di daerah Kluang dan Batu Pahat sejak beberapa bulan lalu dan sehingga kini krisis ini masih gagal ditangani kerajaan, katanya dekat sini.

Krisis bekalan air yang telah sampai ke peringkat kritikal ini menyebabkan SAJH bertindak melakukan catuan air di Kluang dan Batu Pahat sejak beberapa bulan lalu.

Ini menyebabkan pengguna di kedua-dua daerah tersebut meghadapi kesukaran dan kesengsaraan.
Beliau berkata demikian pada majlis Taklimat Status Bekalan Air yang disampaikan Ketua Bahagian Operasi SAJH, Haji Zainuddin Md Ghazali.

Majlis anjuran Dewan Perniagaan Cina Kluang yang diadakan dekat sini baru-baru ini turut dihadiri Pengerusi Persatuan Tionghua Kluang, Dato’ Jimmy Low Boon Hoong.

Menurut Faizi, Pemuda PAS merasa simpati dengan pegawai dan kakitangan SAJH yang menjadi mangsa dalam krisis bekalan air ini walau pun mereka tidak sepatutnya dipersalahkan sepenuhnya dalam hal ini tetapi inilah yang berlaku, mereka dijadikan mangsa semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan.

Dengan menjadikan SAJH sebagai mangsa maka Kerajaan Johor yang sepatutnya dipersalahkan dalam krisis air ini telah terselamat daripada cemuhan dan kemarahan rakyat yang kecewa dengan tahap pengurusan air di daerah Kluang dan Batu Pahat yang telah berlarutan sejak sekian lama.

"Kita sudah menghantar memorandum yang mendedahkan punca berlakunya pencemaran di kawasan tadahan air di Kluang dan Batu Pahat kepada Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, beberapa bulan lalu tetapi sehingga kini nampaknya masih tiada sebarang tindakan drastik diambil terhadap mereka yang menyebabkan berlakunya pencemaran air di kedua-dua daerah ini.

"Berdasarkan maklumat dari memorandum yang kita hantar ini, MB dalam satu kenyataannya selepas itu mendedahkan terdapat 718 hektar tanah di kawasan empangan telah diceroboh oleh pihak-pihak tertentu yang mengusahakan tanaman kelapa sawit dan sayur tetapi beliau tidak pula mendedahkan pihak yang terbabit melakukan pencerobohan ini."

Faizi selanjutnya berkata, apa yang menjadi persoalan sekarang kenapa kerajaan masih tidak bertindak mengheret mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran ini ke muka pengadilan, ini menunjukkan semacam ada sesuatu yang tidak kena yang cuba disembunyikan oleh kerajaan.

Justeru kerana itu, beliau mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap mereka yang melakukan pencerobohan haram seperti mana yang didakwa Ghani baru-baru ini, rakyat mahu melihat sejauh mana ketelusan kerajaan dalam menangani isu yang membabitkan kepentingan rakyat.

Apa yang lebih penting tegas Faizi lagi, rakyat di Kluang dan Batu Pahat mahu air sepertimana yang dinikmati penduduk di tempat lain, "kita sudah terlalu lama menderita disebabkan gangguan bekalan air yang berlaku selama ini dan kerajaan perlu segera menangani masalah bekalan air ini."

"Tidak timbul soal penswastaan atau tidak tetapi apa yang kita mahu bekalan air hendaklah dipulihkan seperti sediakala," katanya.

UNIT AMAL SERAH CENDERAHATI KEPADA BAYI MERDEKA

Date: Friday, September 02 @ 09:57:52 MYT
Topic: Local News
BATU PAHAT, 2 Ogos (Hrkh) – Bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang Ke-48 31 Ogos lalu, buat pertama kalinya Unit Amal Johor (UAJ) telah mengambil kesempatan ini dengan memberi cenderahati kepada bayi yang dilahirkan pada hari bersejarah ini.Cenderahati berupa peralatan keperluan bayi ini telah diberi kepada bayi yang dilahirkan sepanjang tempuh 24 jam detik kemerdekaan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Dr Mohd Ramli Md Kari, telah menyampaikan cenderahati kepada bayi-bayi yang dilahirkan dalam tempuh tersebut di Hospital Batu Pahat, 31 Ogos lalu.
Hadir sama, Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pengarah Unit Amal Johor, Noor Khalim Haji Sakib. -SH/zs