14 September 2005

PENGLIBATAN PELAJAR SEKOLAH DALAM KES JENAYAH SEMAKIN SERIUS.

KENYATAAN MEDIA

(14 September 2005)

Harakahdaily hari ini mengeluarkan berita berkaitan dengan gejala sosial di sekolah yang semakin serius seperti yang dinyatakan oleh Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Dato’ Siva Subramaniam. Beliau berkata gejala sosial di sekolah termasuk masalah pelajar hamil sangat serius sehingga kadang-kadang masyarakat dan pihak sekolah khasnya bersikap lebih bercakap daripada membantu.
Sebuah akhbar harian, hari ini dipetik sebagai melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Lima yang hamil lapan bulan ditikam oleh teman lelakinya iaitu seorang pelajar Tingkatan Enam selepas pertengkaran mengenai kedudukan kandungan itu di Kampung Indah, Tanjung Sepat, Banting, Selangor.
Sebelum ini, masyarakat terkejut dengan pendedahan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) bahawa perlakuan jenayah membabitkan kanak-kanak atau pelajar bukan sahaja kesalahan ringan seperti mencuri atau pecah rumah malah jenayah berat termasuk bunuh, rogol, samun bersenjata api dan keganasan, malah dalam tempoh tujuh tahun pertama tahun ini sahaja, kanak-kanak terbabit dengan 27 kes rogol, bunuh (tiga), keganasan yang menyebabkan kecederaan parah (76), kesalahan yang menyebabkan kecederaan ringan (33), samun berkumpulan (2), samun bersenjata api (1) dan 10 kes samun tanpa senjata api. Selain daripada itu, 246 kes membabitkan kes curi kenderaan, curi malam hari (112), curi siang hari (29), ragut (18) dan 188 kes jenayah lain. (6 September 2005, Berita Harian)

Menurut Setiausaha Kehormat YPJM, Superitendan Rosniah Ramli, statistik yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah ini seawal usia tujuh tahun. Dalam tempoh tujuh bulan pertama, 76 kes melibatkan mereka yang berusia 7 tahun, 668 kes melibatkan di antara 13 dan 15 tahun manakala 1,008 kes melibatkan pelajar yang berusia 16 sehingga 18 tahun. Daripada 1,591 kes yang dilaporkan, 1,295 kes atau 79 peratus melibatkan pelajar melayu.

Pada 5 September 2005 pula, Berita Harian melaporkan berita bertajuk “Kenakalan Budak Melampau, Polis cadang kajian ilmiah kenal pasti punca kanak-kanak terbabit jenayah” yang mana dilaporkan kejadian tiga orang kanak-kanak berusia 9, 10 dan 11 tahun di tahan kerana disyaki terlibat dengan kes membakar sebuah bas sekolah milik Ean Joo Bus Transport Services Sdn Bhd di Langkawi.

Pendedahan maklumat ini seharusnya dilihat oleh semua pihak terutamanya kerajaan betapa seriusnya masalah disiplin dan sosial dikalangan pelajar sekolah sehinggakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Fauzi Saari yang terkejut dengan pembabitan kanak-kanak sekolah di dalam kejadian jenayah, mencadangkan agar satu kajian dilakukan bagi mengenalpasti punca kanak-kanak terbabit dengan jenayah serta dijadikan asas mencari penyelesaian.

Kalau sebelum ini banyak kejadian masalah disiplin seperti samseng dan buli yang didedahkan melibatkan kejadian di dalam kawasan sekolah atau asrama, kini masalah disiplin pelajar yang melibatkan kejadian jenayah sudah menular keluar dari persekitaran sekolah.
Banyak punca yang boleh disenaraikan sehingga menyebabkan sosial pelajar sekolah pada hari ini semakin buruk keadaannya tetapi saya melihat bahawa guru-guru pada hari ini terbeban dengan pelbagai tugas pentadbiran sehingga kurang tumpuan untuk pembangunan manusia terhadap pelajar sekolah. Saya bersetuju dengan kenyataan Dato’ Siva Subramaniam bahawa masalah menjadi tidak terkawal apabila guru-guru terbabit lebih banyak menghadiri masyuarat daripada menjalankan tugasnya.
Utusan Malaysia pada 7 Julai 2005 pernah mendedahkan bahawa guru-guru di Selangor, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur dikategorikan sebagai “guru terbeban” kerana mereka terpaksa mengambil masa 74 seminggu untuk menjalankan tugas termasuk 50.4 jam atau 68 peratus berkaitan kurikulum. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Menangani Beban Tugas Guru ini, 12.7 peratus masa guru di negara ini dihabiskan untuk aktiviti ko-kurikulum, 8.9 peratus untuk hal ehwal murid dan 1.2 peratus untuk pengurusan asrama. 4.3 peratus masa guru digunakan untuk pengurusan, 2.4 peratus kewangan, 1.1. peratus untuk latihan dan hubungan komuniti manakala 0.1 peratus untuk pembangunan fisikal sekolah.

Justeru itu, Kementerian Pelajaran Malaysia perlu serius untuk mengurangkan bebanan guru disekolah, bukan sahaja mampu mengurangkan ‘stress’ guru-guru seperti yang pernah dilaporkan oleh NUTP tetapi juga membolehkan guru-guru ini memberikan tumpuan terhadap tugas mereka sebagai seorang pendidik kepada anak-anak murid disekolah yang semakin terbiar pada hari ini.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: