27 September 2005

Tahanan ISA Johor bebas perintah sekatan

Oleh Salman Hussin
SIMPANG RENGGAM, 26 Sept (Hrkh) – Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Noor Asid Sakib, yang dikenakan perintah sekatan (RO) sejak empat tahun lalu telah dibebaskan sepenuhnya berkuatkuasa mulai 23 September lalu.Noor Asid, 37, yang didakwa terbabit dengan kumpulan militan sebelum ini telah ditahan di bawah ISA selama 54 hari, selepas itu beliau dikenakan perintah sekatan di bawah seksyen 8 (5) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 selama empat tahun bermula 24 Sept 2001 hingga 23 Sept 2005.

Surat pembebasan beliau telah diserahkan pegawai cawangan khas di Balai Polis Simpang Renggam, dekat sini, tengahari 23 September lalu.
Di bawah seksyen 8 (5) perintah sekatan ini Noor Asid hanya dibenarkan bergerak di Daerah Kluang sahaja dan sekiranya beliau mahu keluar dari daerah Kluang maka permohonan perlu dibuat dua minggu lebih awal.
Selain itu beliau juga perlu mematuhi arahan untuk berada di rumah mulai 9.00 malam hingga 6.00 pagi serta melapur diri di Balai Polis Simpang Renggam seminggu sekali.
Noor Asid yang ditemui dalam kunjungan Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, sebaik saja mengetahui berita pembebasan ini kelihatan begitu gembira dan ceria dengan pembebasan beliau ini.
Menurut Faizi, seluruh warga pemuda dan ahli PAS Johor amat bersyukur kepada Allah SWT dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau dengan pembebasan ini.
Selepas ini Noor Asid dan keluarganya boleh bebas bergerak ke mana saja tanpa sebarang sekatan lagi.
"Sebelum ini kita merasa amat simpati kerana beliau sekeluarga terpaksa berkurung di rumah disebabkan perintah sekatan ini," kata Khairul Faizi.
Ketika ditanya apakah rancangan beliau selepas ini, Noor Asid memberitahu, antara perkara utama yang akan dilakukan ialah mengadakan ‘road show’ ke seluruh negara bagi memperomosi Madrasah Al—Masriyyah.
Promosi ini bertujuan menarik minat ibu bapa bagi menghantar anak-anak mereka mengikuti pendidikan yang lebih Islamik yang disediakan di madrasah ini di mana pelajar juga berpeluang mendapatkan pendidikan akademik selain pendidikan dalam bidang agama.
Usaha untuk mengembalikan semula kecemerlangan madrasah ini perlu dilakukan memandangkan sejak akhir-akhir ini bilangan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke madrasah ini sangat berkurangan, katanya.
Mutu pendidikan yang diajar di madrasah ini dikira setanding jika dibandingkan dengan institusi pendidikan lain terutama institusi pendidikan milik kerajaan.
Ini terbukti bilamaa terdapat ramai pelajar lepasan madrasah ini berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar Mesir dan juga institusi pendidikan tinggi lainnya, kata beliau.
Justeru kerana itu tambah beliau lagi, promosi, kempen yang bersepadu secara berterusan perlu dibuat supaya masyarakat khususnya orang Islam lebih berminat untuk menghantar anak mereka belajar di madrasah ini.
Faizi mengucapkan tahniah kepada Noor Asid yang dibebaskan dari perintah sekatan bermula hari ini.

No comments: