26 January 2010

Kenyataan Media - SIASATAN TERHADAP BLOG MENGHINA ALMARHUM SULTAN JOHOR PERLU DISIASAT SECARA MENYELURUH

KENYATAAN MEDIA
(26 Januari 2010 , 10 Safar 1431)
No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(05/10)

TAJUK

SIASATAN TERHADAP BLOG MENGHINA ALMARHUM SULTAN JOHOR PERLU DISIASAT SECARA MENYELURUH

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) meminta supaya pihak Polis menyiasat mana-mana juga blog yang terlibat dalam isu penghinaan Almarhum Sultan Johor dan penghinaan terhadap Allah. DPPNJ memohon jangan hanya menyiasat blog-blog yang tertentu sahaja sedangkan banyak lagi blog lain yang terlibat.

DPPNJ menyokong kenyataan DPP Wilayah Persekutuan yang menggesa polis turut menyiasat mana-mana penulis blog dan facebook yang menghina Almarhum Sultan Johor.


Sebagai contohnya, seorang blogger yang mengunakan nama samaran “Gutter Malaysia” di url: guttermalaysia.blogspot.com/ telah membuat satu artikel biadap dengan tajuk “Sultan of Johor is Dead ! Bravo!”. Artikel ini bukan sahaja menghina Almarhum Sultan tetapi turut menghina penganti baginda dan, Sultan Ibrahim dan Allah. Beberapa komen biadap juga terdapat dalam artikel berkenaan.


Diharapkan Pasukan Siasatan Khas Polis membuat siasatan serius terhadap isu ini kerana masih terdapat lagi blog atau laman web yang menghina Almarhum Sultan tetapi belum disiasat.


Tujuan DPPNJ mendesak pihak polis bertindak adalah supaya mana-mana blog tidak sewenang-wenangnya menulis sasuatu perkara sensitive yang mengguris hati semua pihak.


Sekian


PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN


Yang benar,


KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://minda-kembara.com/
http://www.facebook.com/khairul.faizi1

25 January 2010

Kenyataan Media :- MENGECAM TINDAKAN BLOGGER YANG MENGHINA ALMARHUM SULTAN ISKANDAR IBNI AL-MARHUM SULTAN ISMAIL

KENYATAAN MEDIA
(25 Januari 2010 , 9 Safar 1431)
No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(04/10)

TAJUK

MENGECAM TINDAKAN BLOGGER YANG MENGHINA ALMARHUM SULTAN ISKANDAR IBNI AL-MARHUM SULTAN ISMAIL

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mengecam tindakan seorang blogger yang telah menggunakan media maya untuk membuat penulisan bertajuk “Dah mampos buat cara mampos la” yang telah disiarkan di dalam blog http://adukataruna.blogspot.com/ yang cukup menghiris hati Kerabat Di Raja Johor dan rakyat Johor secara keseluruhannya. Walaupun ‘posting’ tersebut telah dibuang daripada laman blog tersebut dan disusuli dengan permohonan maaf blogger yang menggelarkan dirinya Aduna Teruna namun penulisannya cukup biadab tanpa tatasusila dan adab.

Aduka Teruna telah menulis :-

“Dah mampos buat cara mampos la. Boleh plak simpan mayat nak tunggu Datuk Bendahara balik dari shopping. Boleh meeting isytihar sedang terlentang. Pada hal dah mampos pagi tadi. Pergi mampos sama lu. Bodoh punya kerajaan spesis stupid”

Sebagai anak jati Johor, saya cukup kecewa dengan sikap dan tindakan blogger tersebut dan menggesa agar siasatan segera perlu dilakukan dan tindakan perlu di ambil terhadap beliau kesalahan tersebut adalah sangat serius dan tidak dapat dimaafkan. Melalui penulisan rakan-rakan blogger saya yang lain juga tidak bersetuju penulisan yang telah dibuat Aduka Teruna yang dilihat sebagai keterlaluan.

Saya juga menyokong tindakan segera Polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat blog yang menghina Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, yang mangkat pada hari Jumaat yang lalu.


Sekian

PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN

Yang benar,


KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://minda-kembara.com/
http://www.facebook.com/khairul.faizi1
Tel : 019-7701830

23 January 2010

RAFAK TAKZIAH DI ATAS KEMANGKATAN SULTAN ISKANDAR IBNI AL-MARHUM SULTAN ISMAIL

KENYATAAN MEDIA
(23 Januari 2010 , 7 Safar 1431)
No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(03/10)

TAJUK

RAFAK TAKZIAH DI ATAS KEMANGKATAN SULTAN ISKANDAR IBNI AL-MARHUM SULTAN ISMAIL

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) merakamkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultanah Johor, Sultanah Zanariah serta anakanda-anakanda iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor Tunku Hajah Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah minah Maimunah, Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah Ismailiah, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri Tunku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah di atas kemangkatan Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Negeri dan Jajahan takluk Johor Darul Takzim.

Sesungguhnya, kemangkatan baginda Sultan adalah merupakan satu kehilangan yang cukup besar kepada rakyat jelata di negeri Johor khususnya dan Malaysia amnya kerana baginda adalah merupakan seorang Raja yang cukup prihatin dengan masalah rakyat dan mengambil berat tentang perkembangan semasa.

Justeru saya menyeru kepada seluruh rakyat Johor untuk memanjatkan doa agar Roh Tuanku akan dicucuri RahmatNya, Al-Fatihah.

Sekian

PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN


Yang benar,


KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://minda-kembara.com/
http://www.facebook.com/khairul.faizi1
Tel : 019-7701830

22 January 2010

ELAKKAN SEBARANG SPEKULASI DAN BERTENANG TERHADAP KES KEBAKARAN DUA BUAH SURAU DI MUAR

KENYATAAN MEDIA
(22 Januari 2010 , 6 Safar 1431)
No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(02/10)

TAJUK

ELAKKAN SEBARANG SPEKULASI DAN BERTENANG TERHADAP KES KEBAKARAN DUA BUAH SURAU DI MUAR


Sejak 8 Januari 2010 yang lalu telah berlakunya kebakaran yang melibatkan rumah ibadat yang kebanyakkannya melibatkan gereja yang dipercayai berikutan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang mengetepikan larangan kerajaan ke atas bukan Islam daripada menggunakan perkataan Allah sebagai terjemahan bagi perkataan 'God'.

Di Johor pula, sebuah gereja Katholik St Elizabeth di Jalan Kota Kecil, di Kota Tinggi, Johor dilempar cat merah pada 14 Januari 2010 yang lalu dan ia adalah merupakan kejadian vandelisme pertama dilakukan terhadap rumah ibadah di Johor. Namun, kini dua buah surau pula yang menjadi sasaran untuk dirosakkan dan dimusnahkan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Kedua-dua surau tersebut adalah Surau Silaturahim dan Surau Kampung Parit Beting terletak di dalam Parlimen Bakri dpercayai telah dibakar dengan menggunakan minyak tanah dalam dua kejadian berasingan berlaku di mana jarak kedua-dua surau tersebut kira-kira dua kilometer. Difahamkan bahawa kedua-dua surau itu hanya mengalami kerosakan kecil membabitkan langsir, permaidani dan cermin, selain kesan terbakar di pintu surau.

Saya melahirkan rasa kesal di atas perkara yang telah berlaku ini memandangkan surau adalah merupakan rumah ibadat bagi umat Islam dan kejadian membakar surau ini akan menyebabkan keresahan di kalangan masyarakat awam.

Dalam menghadapi perkara ini, saya berharap agar semua pihak dapat bertenang dan elakkan daripada mewujudkan sebarang spekulasi berhubung kejadian kebakaran dua surau ini dan serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci.

Melalui laporan media, saya difahamkan bahawa Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman menyatakan bahawa melalui siasatan awal pihak polis tidak menolak kedua-dua kebakaran itu dilakukan oleh pihak yang sama berikutan taktik yang sama dan berlaku di kawasan hanya terletak antara jarak kira-kira dua kilometer.

Difahamkan juga bahawa sejak kes pertama pembakaran gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 8 Januari lalu pihak polis telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu. Justeru saya meletakkan kepercayaan kepada pihak polis untuk menyelesaikan perkara ini dengan segera dan membawa mereka yang terlibat kemuka pengadilan.

Sekian

PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN


Yang benar,



KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

19 January 2010

Kenyataan Media DPPNJ (01/10) - Pengguguran Dakwaan Terhadap Cik Cheng Lee Whee

KENYATAAN MEDIA

(19 Januari 2010 / 3 Safar 1431)

No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(01/10)

TAJUK

PENGGUGURAN DAKWAAN TERHADAP CIK CHENG LEE WHEE ADALAH MERUPAKAN KEJAYAAN KEPADA PEJUANG HAK ASASI MANUSIA

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara Malaysia yang telah menggugurkan dakwaan terhadap Orang Kena Tuduh (OKT) iaitu Cik Cheng Lee Whee yang telah didakwa di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 182 kerana telah membuat laporan polis untuk mempertahankan hak-hak penduduk Kampung Baru Plentong Tengah (KBPT) yang diroboh pada 16hb Oktober 2008.

Keputusan menggugurkan dakwaan yang dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara (Bahagian Pendakwaan) ini adalah merupakan satu kemenangan kepada pejuang hak asasi manusia kerana usaha berterusan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) termasuklah menghantar petisyen kepada Peguam Negara pada 24 November 2009 yang mana memorandum ini telah disokong oleh parti-parti politik dan badan Bukan Kerajaan (NGO) khususnya yang beroperasi di negeri Johor.

Memorandum tersebut diserahkan kepada JPN kerana pendakwaan JPN ke atas saudari Cheng Lee Whee dilihat sebagai satu penindasan berlanjutan ke atas seorang pejuang hak asasi manusia kerana laporan polis dan aduan yang dibuat oleh Saudari Cheng bukan merupakan tindakan individu, malah tindakan itu mewakili SUARAM serta seluruh NGO-NGO dan individu-individu lain di negeri Johor mahupun di seluruh negara yang memperjuangkan hak asasi khususnya yang berkaitan dengan mempertahankan hak-hak penduduk KBPT.

Pendakwaan ke atas Cheng juga merupakan penindasan terhadap SUARAM dan Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga penindasan ke atas mana-mana persatuan dan parti yang mempertahankan kebenaran dan menghormati hak asasi manusia.

SUARAM berpendapat bahawa Saudari Cheng selaku Ketua Bahagian Perkhidmatan Hak Asasi Suaram Johor Bahru telah membuat aduan dan laporan polis tersebut atas arahan daripada Suaram Johor Bahru membuat aduan di Balai Polis merupakan satu tindakan yang menjalankan hak demokrasi serta menjalankan kewajiban sebagai seorang rakyat Malaysia. Tindakan beliau tidak berniat buruk dan tidak bermotifkan kemudaratan mana-mana pihak tetapi hanya untuk membela penduduk KBPT.

Laporan polis yang telah dibuat oleh Cik Cheng bertujuan untuk membebasan sejumlah 27 orang penduduk kampung yang diusir secara paksa dari KBPT pada 16hb Oktober 2008. Pihak polis memanggil Cheng untuk mengambil keterangannya pada 17hb Oktober jam 8.30 malam di Balai Polis Seri Alam, dan seterusnya polis melakukan penangkapan terhadap Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 Seksyen 28.

DPPNJ berharap agar perkhabaran baru ini akan menyuntik semangat baru kepada Cik Cheng untuk terus komited dalam memperjuangkan nasib masyarakat dan hak asasi manusia pada masa akan datang. DPPNJ juga akan terus mengadakan kerjasama bersama SUARAM dalam memperjuangkan hak asasi manusia di negeri Johor.

Sekian.

PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN

Yang benar,

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

http://minda-kembara.com/

http://www.facebook.com/khairul.faizi1

Tel : 019-7701830

Sociable