30 November 2006

BERMUNAJAT KEPADA ALLAH - SURAU KG BEREMBANG DIROBOHKAN

 Posted by Picasa

29 November 2006

 Posted by Picasa

WPI - MAKLUMAT DARIPADA WIKIPEDIA

Posted by Picasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Iskandar Development Region) merupakan koridor pembangunan yang dilaksanakan di Selatan Johor.Koridor ini juga dikenali sebagai South Johor Economic Region (SJER) atau Pembangunan Wilayah Ekonomi Selatan Johor.

Koridor ini ditubuhkan pada 30 Julai 2006.Koridor ini telah bertukar nama kepada Wilayah Pembangunan Iskandar pada 4 November 2006 bersempena nama Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail.
Tempoh pembangunan kawasan ini adalah sehingga tahun 2025 dan memerlukan kos lebih RM47 bilion untuk menjana pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus dalam tempoh lima tahun yang pertama.
WPI juga akan menjadi sebuah pusat pertumbuhan yang terbesar di rantau ini, dikatakan apabila siap keseluruhan kawasan pembangunana menyamai 2 setengah kali ganda keluasan Singapura.
Khazanah Nasional Bhd. akan menjadi pemain utama dalam merealisasikan wawasan itu.
Kewujudan wilayah pertumbuhan seluas 2,217 kilometer persegi itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Ekonomi Selatan Johor (SJER), diyakini mampu menarik firma besar bertaraf antarabangsa menjalankan perniagaan di situ.

Pembangunan itu merangkumi lokasi segi tiga di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di utara, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di barat daya dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) di tenggara.
Syarikat milik kerajaan (GLC), seperti Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuat pelaburan tambahan sebanyak RM3.4 bilion lagi dengan melaksanakan beberapa projek strategik melalui Perbadanan Pelaburan Johor Selatan (SJIC).
Berdasarkan pelan pembangunannya, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, kawasan pertumbuhan ekonomi itu dijangka begitu pesat melalui kepelbagaian bidang.
Antaranya ialah bidang elektrik dan elektronik, petrokimia dan oleokimia, pemprosesan makanan dan pertanian, perkhidmatan logistik serta pelancongan di samping perubatan dan kesihatan, pendidikan, kewangan serta industri kreatif.
Keunikan WPI juga dilihat berdasarkan pembangunan sedia ada seperti pembangunan bandar pesisir pantai Teluk Danga, Bandar Nusajaya, kawasan perindustrian Pasir Gudang dan Kompleks Kastam, Kuarantin dan Imigresen (CIQ) dengan projek-projek pembangunan yang baru.

28 November 2006

RMK-9 TERUS DIRAGUI.

Posted by Picasa
RMK-9 Bukan Sekadar Janji, Kata Abdullah
28 November, 2006 15:34 PM (Bernama)

PORT DICKSON, 28 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan amat serius dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan bukan setakat membuat janji kepada rakyat.
Perdana Menteri berkata ada pihak melahirkan rasa sangsi mengenai kejayaan RMK-9 dengan menyatakan kononnya Malaysia hanya pandai membuat rancangan tetapi tidak daripada segi pelaksanaan.
"Ini merujuk kepada saya selaku pemimpin," katanya ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang Cabaran Pelaburan Dunia anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) di sini.
-----------------------------------
FAIZI: Pak Lah terus membuat kenyataan untuk meyakinkan bahawa RMK9 akan berjaya. Rakyat nampaknya masih belum dapat diyakinkan lagi, lebih-lebih lagi PM Malaysia sekarang ini selalu sahaja tertidur...ZZZZZ....

KENYATAAN MEDIA - RASUAH

Kenyataan Media
(28 November 2006)

TAJUK :

BADAN PENCEGAH RASUAH (BPR) PERLU DIBERI KUASA MENDAKWA

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyokong terhadap cadangan dan usaha untuk memberikan kuasa kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk mendakwa terhadap kes-kes yang disiasat oleh BPR. Ketika ini, BPR hanya diberikan kuasa untuk melakukan penyiasatan tetapi pendakwaan hanya boleh dilakukan oleh Peguam Negara.

Perkara ini telah dilontaran oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Azmi Kamaruddin supaya kerajaan memperluaskan kuasa mendakwa kepada BPR. Tan Sri Azmi menyatakan bagaimana BPR melalui zaman kegemilangan semasa ia diketuai oleh allahyarham Tan Sri Harun Hashim daripada tahun 1967 sehingga ke tahun 1971 (Mingguan Malaysia, 26 November 2006).

“Ketegasannya itu sampai menyebabkan dia menerima tekanan daripada orang politik. Saya masih ingat lagi pada waktu itu kalau sebut saja nama beliau, semua orang takut. Kaki rasuah cukup benci kepada beliau.
Beliau bukannya zalim dan keras tetapi seorang yang tinggi integritinya. Beliau juga diberi kuasa yang penuh untuk menjalankan tugasnya termasuk kuasa untuk mendakwa. Tetapi tekanan-tekanan itu akhirnya, maaf cakaplah, diterima”.

Cadangan ini juga disokong oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaitoon Othman yang menyatakan bahawa memberi kuasa mendakwa kepada BPR dilihat boleh mempercepatkan proses siasatan kes rasuah sekali gus memastikan keadilan dapat ditegakkan secepat mungkin (Utusan Malaysia, 28 November 2006).

Beliau juga menyebut bahawa sekiranya siasatan dan dakwaan dibuat oleh satu badan sahaja, maka sebarang isu penangguhan dalam siasatan dan pendakwaan kes akan dapat diatasi.

Kerajaan perlu melihat secara serius terhadap cadangan yang telah dinyatakan ini kerana tahap indeks terbaru rasuah diumumkan oleh Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index - CPI) pada 6 November lalu yang dikendalikan oleh Transparency International (TI) menunjukkan bahawa Malaysia terus menerima episod malang sehingga jatuh ke tangga ke 44 pada tahun ini berbanding tangga ke 39 tahun lalu.

DPPNJ melihat bahawa apabila BPR tidak diberikan kuasa untuk mendakwa terhadap apa jua kes yang disiasatnya maka BPR akan dijadikan sasaran apabila kes-kes rasuah tidak dapat diselesaikan sedangkan BPR telahpun selesai menjalankan tugas mereka. Sebagai contoh, kes rasuah yang melibatkan dua lelaki yang cuba menawarkan wang sogokan kepada calon PAS DUN Pasir Raja, Encik Sanip Ithnin di kediaman beliau di Felda Sungai Sayong pada 16 Mac 2004. BPR telahpun menyiasat dengan bukti yang cukup termasuk merampas sejumlah RM5 ribu daripada kedua-dua lelaki itu yang didakwa merupakan 10 peratus daripada bayaran keseluruhan untuk Sanip menarik diri.

Sehingga kini, hasil siasatan tersebut masih belum dilaporkan kepada pengadu kerana BPR mendakwa kertas siasatan telahpun diserah kepada Peguam Negara. Sikap berlengah untuk mendakwa kes ini di mahkamah menyebabkan Encik Sanip Ithnin telah memfailkan saman pemula terhadap Peguam Negara berikutan kegagalannya mendakwa pihak yang terbabit dalam kes rasuah pada pilihan raya umum lalu melalui Tetuan Hanipa & Associates yang telah memfailkan writ saman kepada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada bulan Julai yang lalu.

Sekian, wassalam


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

27 November 2006

ADUN PAS DINAFIKAN HAK...SEKALI LAGI

Posted by Picasa Kenyataan Media
(27 November 2006)

TAJUK :

DOKUMEN WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR (WPI) : ADUN PAS DINAFIKAN HAK

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa kekesalan di atas penafian hak terhadap wakil rakyat daripada PAS iaitu YB Dr Mohd Ramli Bin Mohd Kari apabila sehingga kini masih lagi belum menerima apa-apa dokumen yang berkaitan dengan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

DPPNJ difahamkan bahawa dokumen tersebut yang mengandungi pelbagai maklumat berkaitan dengan pelan rancangan WPI yang sebelum ini telah dilancarkan pada 4 November 2006 oleh Sultan Johor di Danga Bay, Johor Bahru.

DPPNJ merasa bimbang kerana WPI yang dikatakan 2.5 kali ganda besarnya daripada Singapura dan 48 kali ganda besar daripada Putrajaya, tidak dibahas dalam sidang dewan DUN Johor sebelum daripada pelancaran dibuat.

Lebih memeranjatkan, setiap wakil rakyat telah dibekalkan dokumen lengkap WPI dalam sidang DUN Johor yang sedang berlansung ketika ini dan akan berakhir pada 12 Disember 2006 yang akan datang tetapi hanya YB Dr Mohd Ramli sahaja yang dinafikan hak.

Penafian hak ini menunjukkan kerajaan pimpinan UMNO/BN di Johor cukup bimbang sekiranya maklumat berkaitan WPI ini akan diketahui oleh rakyat. Sehingga kini, rakyat di Johor khususnya masyarakat melayu tertanya-tanya apakah akan berlaku kepada nasib mereka yang terlibat dengan pembangunan WPI ini. Dikatakan bahawa WPI akan meliputi 221,634 hektar yang merentasi bandar raya Johor Baharu, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sebelah timur, Kulai di utara dan Mukim Serkat, Pontian di sebelah barat dengan membabitkan lima pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Banda Raya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah (MPJBT), Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang (PBTPG); Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan Majlis Daerah Pontian.

Rakyat Johor juga tertanya-tanya dengan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (Upen), Mohd Noorazam Osman bahawa dua lokasi Zon Akses Bebas yang membenarkan pergerakan keluar masuk rakyat asing tanpa menggunakan pasport dicadang diwujudkan di Johor bagi membantu pembangunan WPI bertujuan memudahkan rakyat asing khususnya warga Singapura memasuki negara ini tanpa membawa dokumen perjalanan.
Menteri Besar Johor menyebut bahawa WPI akan merancakkan ekonomi Johor, akan mewujudkan kekayaan dan akan melibatkan semua rakyat Johor. DPPNJ bimbang bahawa kekayaan akhirnya akan hanya dinikmati oleh segelintir pimpinan UMNO/BN sahaja dengan peruntukan dengan anggaran sebanyak RM 2.3 billion sudah tentu membuka selera pimpinan UMNO/BN untuk merebut peluang terlibat secara langsung. Perlu kita ingat bahawa peruntukan kewangan untuk membiayai projek WPI ini sebahgian besarnya adalah daripada wang rakyat iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pagi tadi, YB Dr Mohd Ramli telah mengeluarkan Kenyataan Media di luar sidang DUN Johor di Bukit Timbalan Johor Bahru berkaitan dengan ketidakadilan yang telah berlaku. DPPNJ juga mengharapkan agar YB Dr Mohd Ramli tidak akan berputus asa walaupun keseorangan dalam sidang DUN Johor dan sememangnya sering dinafikan hak sebagai wakil rakyat.

DPPNJ dan PAS Johor akan terus komited untuk merungkai pelbagai persoalan yang timbul berkaitan dengan WPI ini kerana ia melibatkan masa depan rakyat di negeri Johor. Walaupun harapan untuk mendapatkan dokumen rasmi WPI semakin tipis tetapi ia bukanlah halangan untuk PAS meneruskan agenda memperjuangan keadilan dan kebenaran.

Sekian, wassalam


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

10 November 2006

RASUAH SEMAKIN MEMBARAH, PAK LAH BERUNDURLAH...

Posted by Picasa RASUAH SEMAKIN MEMBARAH, PAK LAH BERUNDURLAH...

Pembuka bicara

Bibir pimpinan kerajaan pimpinan UMNO/BN seolah-olah terkunci rapat apabila indeks terbaru rasuah diumumkan oleh Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index - CPI) pada 6 November lalu yang dikendalikan oleh Transparency International (TI). Keberanian untuk menyatakan bahawa mereka adalah juara memerangi rasuah sudah semakin pudar.

TI, yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Berlin, Jerman, mula melakukan kajian ini pada tahun 1995. Kajian yang dibuat adalah berdasarkan pengumpulan data dari pelbagai pihak di berbagai tempat serta persepsi ahli-ahli perniagaan yang berurusan di sesebuah negara. CPI memberi fokus kepada elemen rasuah dalam sektor awam dan ahli politik dengan melihat kepada penyalahgunaan kemudahan awam untuk kepentingan atau keuntungan peribadi.

Seperti yang diumumkan oleh Presiden TI-Malaysia, Tan Sri Ramon V. Navaratnam kedudukan CPI Malaysia bagi 2006 sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya, iaitu daripada tangga ke-39 daripada 158 negara pada tahun lalu kepada kedudukan 44 daripada 163 negara pada tahun ini. Begitu juga dengan skornya yang turun dari 5.1 mata pada 2005 kepada 5.0 tahun ini.

Menjadikan kemusykilan barangkali dikalangan rakyat Malaysia, apabila pelbagai usaha telah dilakukan untuk menghapuskan ataupun setidak-tidaknya mengurangkan gejala rasuah dalam negara. Apakah masih belum cukup dengan apa yang telah dilakukan selama ini untuk menghapuskan rasuah terus menemui kegagalan malahan bertambah buruk keadaannya.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi pernah memberikan contoh bagaimana orang yang menghidap kudis akibat hanya digigit nyamuk perlu diubati dengan segera bagi mengelaknya daripada terus merebak dalam usahanya untuk membasmi rasuah.

“Masa kecil nampak macam kudis, makin besar jadi tokak, jadi gangren lepas itu jadi beracun, lepas itu mungkin ke potong kaki, potong tangan lepas itu bawa maut”'

Memang ‘mengerikan’ perumpamaan yang diberikan oleh Pak Lah ini tetapi hakikatnya rasuah masih terus menjadi-menjadi.

Persoalannya, kenapa rasuah semakin meningkat dan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia semakin menurun?

Rakyat mula memberikan kepercayaan awal

Keyakinan rakyat terhadap keseriusan Pak Lah untuk memerangi rasuah pada peringkat awal perlantikan Pak Lah sebagai PM terserlah apabila dibuktikan dengan penangkapan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas tuduhan melakukan rasuah dan penipuan berhubung keputusan meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta saham Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah yang dilakukan pada 1996.

Dua hari sebelum itu, bekas Pengarah Urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn. Bhd., Tan Sri Eric Chia Eng Hock dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan pecah amanah jenayah melibatkan wang RM76.4 juta pada 1994.

Datuk Seri Dr. Rais Yatim sewaktu menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pernah mengumumkan bahawa masih terdapat 18 kes rasuah berprofil tinggi membabitkan orang kenamaan termasuk menteri yang sedang dalam peringkat akhir siasatan untuk dihadapkan ke mahkamah.
Penangkapan dua individu ternama ini telah menyebabkan Pak Lah disanjung tinggi. Ucapan penghargaan dan terima kasih tidak putus-putus diucapkan. Pak Lah, yang dikatakan sebagai ‘Mr Clean’ turut sama membuat kenyataan-kenyataan terhadap isu ini.
Persoalannya, kenapa rasuah semakin meningkat dan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia semakin menurun?

Benarkah Pak Lah serius?

Benarkah Pak Lah betul-betul ingin memerangi rasuah atau ianya adalah hasrat pihak tertentu? Semasa lawatan kerja beliau ke negeri Perak untuk bertemu dengan anggota perkhidmatan awam pada 16 Februari 2004, Pak Lah menyebut bahawa tindakan tegas kerajaan dalam usaha memerangi sepenuhnya gejala rasuah adalah lahir daripada hasratnya sendiri walaupun tahap rasuah di negara ini tidak mencapai peringkat yang terlalu teruk.

"Apa-apa kenyataan yang dikeluarkan berkaitan usaha untuk membasmi rasuah adalah sebenarnya lahir daripada saya kerana saya menganggap bahawa rasuah itu jika dibenarkan, ia akan menjadi semakin parah"

Pak Lah terpaksa meyakinkan rakyat bahawa tindakannya ini bukanlah tindakan ‘gimik politik’. Ketika diwawancara oleh Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA) sempena lawatannya ke sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak D-8 pada 18 Februari 2004 di Iran, Pak Lah memberi amaran pihak berkuasa akan bertindak jika mempunyai bukti yang cukup serta berkeyakinan tindakan pendakwaan akan berakhir dengan pesalah rasuah menerima hukuman dan tindakannya itu bukan satu gimik politik untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang (pilihanraya umum ke 11).

Perdana Menteri juga memberitahu bahawa beliau tidak akan melindungi sesiapa atau campur tangan dalam penguatkuasaan undang-undang berhubung rasuah dengan menegaskan bahawa tidak betul baginya berbuat demikian (campur tangan).

Ketika menjawab satu lagi soalan IRNA, Abdullah berkata, perang yang dilancarkannya ke atas rasuah itu bukan `satu propaganda untuk pilihan raya umum akan datang'.

“Memang akan ada sesetengah orang yang sentiasa bersikap sinis dan ragu-ragu terhadap motif di sebalik tindakan kita, tetapi, saya percaya sebilangan besar rakyat Malaysia berada di belakang saya dalam memerangi rasuah. Mesejnya amat mudah - jika pihak berkuasa mengumpul bukti yang cukup untuk meyakinkan bahawa dakwaan akan berakhir dengan pesalah menerima hukuman, mereka akan bertindak”

Semasa menyampaikan ucaptama bertajuk “Integriti: Asas Bagi Sebuah Kerajaan Yang Bersih” pada Forum Etika dan Integriti Sedunia 2005, pada 30 April 2005, PM Abdullah menegaskan bahawa rasuah akan terus diperangi tanpa mengira ‘bulu’ sebagai agenda utama pentadbirannya. Beliau berkata, dasar memerangi rasuah ialah bagi memastikan Malaysia mampu bersaing di peringkat global. Beliau berkata, kerajaan akan menggunakan dua pendekatan serentak iaitu langkah pencegahan dan hukuman dalam kempen habis-habisan memerangi rasuah.

“Mereka yang mengatakan kerajaan tidak berbuat apa-apa, sebenarnya silap kerana mereka menilai usaha itu hanya daripada segi tangkapan dan hukuman semata-mata”

Semasa menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada 14 September 2005, PM Abdullah terus memberikan keyakinan bahawa kerajaan masih belum hilang tumpuan dalam memerangi rasuah dan akan terus berperang bagi memastikan tindakan itu berjaya sehingga akhirnya para pedagang antarabangsa akan lebih selesa untuk melabur di Malaysia.

Persoalannya, kenapa rasuah semakin meningkat dan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia semakin menurun?

Pak Lah berbangga tangkapan pesalah rasuah semakin tinggi

Dengan penuh bangga, Pak Lah pernah menegaskan dalam sidang Dewan Rakyat pada 13 April 2005 bahawa sejak dasar itu dilaksanakan, jumlah aduan rasuah meningkat sebanyak 17 peratus antara tahun 2003 dan 2004. Jumlah tangkapan juga meningkat sebanyak 47 peratus membabitkan 497 kes pada tahun lepas berbanding 339 tangkapan pada tahun 2003. Jumlah kes yang dibawa ke mahkamah juga meningkat kepada 179 pada tahun lepas berbanding 171 kes pada tahun 2003, ini tidak termasuk 471 kes yang sedang dibicarakan pada tahun lepas.

Menurut Pak Lah, jumlah kes rasuah yang dibawa ke mahkamah bertambah 22 peratus pada tahun 2004 berikutan meningkatnya kualiti penyiasatan dan bukti yang dikumpulkan. Di samping itu, lebih tujuh peratus kes berjaya diselesaikan pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

“BPR berjaya membuat tangkapan yang tertinggi sepanjang tahun lalu dan ini menunjukkan tekad serta keazaman saya untuk meneruskan kempen memerangi rasuah secara habis-habisan''

Pak Lah kata, kerajaan telah memberi peruntukan lebih besar kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi meningkatkan kecekapannya termasuklah menerima cadangan BPR untuk menubuhkan unit yang dianggotai pakar perakaunan dan audit

Pak Lah kata, kerajaan telah menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) yang berperanan memberi penerangan kepada pegawai serta kakitangan kerajaan tentang keburukan gejala rasuah agar mereka sentiasa menjauhi dari perbuatan keji itu.

Pak Lah kata, kerajaan juga telah mengambil langkah proaktif dengan mengurangkan kerenah birokrasi di jabatan-jabatan kerajaan untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya perbuatan rasuah.

Pak Lah kata, kerajaan telah mewujudkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia bagi memerangi gejala rasuah di kalangan anggota polis.

Persoalannya, kenapa rasuah semakin meningkat dan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia semakin menurun?

Pak Lah & UMNO punca rasuah terus berleluasa

Sebenarnya, kegagalan membasmi rasuah berpunca daripada kelemahan Pak Lah sendiri yang hanya serius ketika berkata tetapi lemah dalam tindakan.

Sebuah NGO di Malaysia yang terlibat dalam kempen memerangi rasuah, Gerakan Demokrasi dan anti-Korupsi (GERAK) membuat kenyataan bahawa pengumuman Transparensi Antarabangsa (TI) bahawa kedudukan Malaysia merosat dari tangga 39 ke tangga 44 dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) bukanlah satu perkara yang memeranjatkan.
Pengerusi GERAK, Mohamad Ezam Bin Mohd Nor melahirkan kekecewaan kerana Pak Lah tidak pernah berusaha untuk memperkasakan institusi penguatkuasaan anti rasuah seperti Badan Pencecah Rasuah (BPR). Walaupun Pak Lah cuba menonjolkan imej sebagai pemimpin yang memerangi rasuah hakikatnya sepanjang tiga tahun pemerintahan beliau gejala rasuah terus berleluasa.

GERAK telah mendesak kerajaan supaya bertanggungjawab terhadap keadaan ini dan membuat penjelasan mengapa sehingga ke hari ini, sebuah pemerintahan yang dimulakan dengan janji untuk memerangi rasuah tidak melakukan sebarang tindakan konkrit dari sudut pindaan undang-undang dalam mempertingkat dan memperkasakan setiap elemen masyarakat dan institusi yang relevan dalam membenteras rasuah.

UMNO pula terus kebal daripada rasuah. Rasuah di dalam UMNO tidak ada sangkut-paut dengan kesalahan dalam undang-undang negara. Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohammed Nazri Aziz yang disiarkan dalam Malaysia-Today telah memperakui dan bersetuju dengan pandangan bahawa ahli Umno memang kebal dari sudut rasuah dan undang-undang.

"Rasuah sememangnya penyakit dalam Umno dan kerajaan tetapi mereka seolah-olah kebal daripada pendakwaan dan penguatkuasaan kerana penguasaan politik dan BPR yang tidak bebas dan jika ada pendakwaan atau tindakan ke atas mana-mana ahli Umno kerana rasuah itupun dilakukan berdasarkan tindakan politik"

Sebagai contoh mudah, kes membabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad yang dikenakan tindakan penggantungan kerana rasuah wang dalam pemilihan Umno. Seluruh Negara malahan seluruh dunia tahu bahawa beliau digantung kerana terlibat dalam rasuah (politik wang) semasa pemilihan UMNO tetapi BPR tiada kuasa untuk membuat penyiasatan.

Sebab itulah presiden TI Malaysia ketika memberikan ucapan pada pelancaran global CPI 2006 di Institut Integriti Malaysia melahirkan kekecewaannya kerana ada ‘golongan’ tertentu yang seolah-olahnya kebal daripada rasuah.

“Tiada sesiapa pun yang seharusnya mengatasi undang-undang. Ahli politik, TI, sesiapa sahaja. Selagi kita boleh membuktikannya(berlaku rasuah) tiada sesiapa pun yang kebal daripada undang-undang”
Penutup bicara

Perhimpunan Agong UMNO yang akan berlangsung tidak lama lagi akan menjadi medan terdekat untuk Pak Lah menghuraikan permasalahan rasuah ini kerana beliau akan bercakap dengan perwakilan-perwakilan UMNO daripada seluruh negara yang sudah sebati dengan rasuah (politik wang).

Mampukah Pak Lah mendabik dada bahawa beliau berjaya menjadi juara memerangi rasuah ataupun akan berdiam diri daripada memperkatakan isu ini? Ataupun, mungkin juga Pak Lah akan mengambil langkah yang sama seperti mana yang pernah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir yang menangis di perhimpunan Agong UMNO kerana gejala rasuah (politik wang) semakin menjadi-jadi di dalam UMNO dan negara?

Perkara paling mudah sebenarnya, Pak Lah perlu jujur dengan memperakui kegagalannya dan kelemahannya. Langkah terbaik adalah berundur daripada memimpin Malaysia. Berundurlah…


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/
11 November 2006/19 Syawal 1427
11.10 pagi

09 November 2006

INDEKS RASUAH DI MALAYSIA TETAP MEMALUKAN

Saya terbaca satu rencana dalam Utusan Online hari ini yang bertajuk "Mengenali indeks Persepsi Rasuah". Artikel ini cuba menghuraikan apakah yang perlu kita perlu tahu tentang IPR ini.

Secara keseluruhannya, rencana ini menarik tetapi lebih bersifat untuk memberitahu pembaca bahawa indeks rasuah di Malaysia sebenarnya tidaklah seteruk mana kerana masih lagi berada dirangking yang tinggi. Sila baca artikel ini untuk makluman lanjut. Saya akan cuba membuat ulasan tentang isu rasuah ini.

Khairul Faizi
 Posted by Picasa

INDEKS RASUAH MENURUN, APA LAGI FORMULA PAK LAH?

Posted by Picasa Kenapa Pak Lah tidak berupaya untuk membuat ulasan panjang tentang Indeks Persepsi Rasuah yang menyatakan bahawa indeks rasuah Malaysia semakin buruk?
Adakah beliau sendiri tidak yakin lagi bahawa rasuah di Malaysia mampu untuk dipulihkan ataupun beliau sendiri tidak mampu untuk mengubahnya?
Dimanakah komitmen beliau sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk menghapuskan rasuah?
Pak Lah semakin lemah, lemah dan terus lemah...
Ikuti ulasannya nanti.
Khairul Faizi

KALI PERTAMA PEMIMPIN ISLAM MENANG & DIPILIH KE KONGRES AS

Posted by Picasa

















Tahniah diucapkan kepada calon Demokrat, Keith Ellison kerana menjadi pemimpin Islam pertama dipilih ke Kongres Amerika Syarikat (AS) setelah memenangi kerusi Dewan Perwakilan bagi negeri Minnesota dalam pilihan raya semalam.

Peguam kulit hitam itu menewaskan pencabarnya dari Republikan, Alan Fine dan calon Parti Kemerdekaan, Tammy Lee.

Ellison, 43, yang mengatasi kecaman peribadi terhadap beliau sepanjang kempen, enggan menjadikan agama Islam sebagai isu dan menuduh media sengaja membesar-besarkan soal berkenaan.

Kemenangan ini membuktikan bahawa Islam tetap diterima walaupun sebelum ini ditekan hebat. Semoga dengan adanya wakil kongres beragama Islam ini dapat membantu untuk membetulkan persepsi yang negatif terhadap agama Islam ini.

07 November 2006

ISU PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS BUKAN ISU UMNO TETAPI ISU RAKYAT MALAYSIA

No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(56/06)
Kenyataan Media
(7 November 2006)

TAJUK :

ISU PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS BUKAN ISU UMNO TETAPI ISU RAKYAT MALAYSIA

Apabila UMNO Negeri Johor membangkitkan bahawa menolak pembelajaran dan pengajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris (Etems) dalam Konvensyen UMNO Johor baru-baru ini, maka ramai dikalangan rakyat pelbagai lapisan membuat ulasan dan pandangan terhadap isu ini.

Utusan Malaysia memaparkan bagaimana bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk A. Aziz Deraman menyokong resolusi dan mengucap syabas dan tahniah kepada UMNO Johor kerana menentang pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Pengerusi Kongres Kepentingan Bangsa, Tengku Razaleigh Hamzah, dalam ucapan merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke 7 – juga menyebut bahawa apakah penggunaan Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik menjamin kemajuan, rakyat lebih berpadu dan adakah kemerosotan mutu pendidikan serta kedudukan universiti-universiti berkaitan dengan soal ini?.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) ingin mengulas kenyataan Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Hishamuddin Tun Hussien (Utusan Malaysia, 7 November 2006) yang memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa bersikap terbuka kepada pandangan menyokong dan menentang ahli-ahli UMNO mengenai soal pendidikan khususnya yang berkaitan dengan kepentingan melayu. Pihaknya akan memberi perhatian serius terhadap kemahuan UMNO Johor supaya dilakukan kajian semula keberkesanaan.

Kenyataan ini membuktikan sikap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang ‘double standard’ terhadap isu yang telah sekian lama menjadi perbicangan dalam masyarakat. Bayangkan, betapa sebelum ini kerajaan begitu tegas mempertahankan bahawa tindakan mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris adalah tepat dan menolak sebarang cadangan dan pandangan walaupun ianya datang daripada golongan pendidikan dan pakar bahasa di Malaysia

Sebelum ini, pelbagai pihak telah menyatakan pendirian mereka terhadap isu ini. Diantaranya, Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad yang menyifatkan soal bahasa yang digunakan dalam pengajaran Sains dan Matematik bukan suatu isu besar. Menurutnya, ini kerana bahasa itu hanya merupakan suatu alat sedangkan bahan sebenar adalah subjeknya yang perlu dikuasai iaitu Matematik dan Sains.Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Omar Mohd. Hashim berpendirian sebaliknya dan berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula dasar ini. Katanya, ia bagi mengelakkan lebih ramai anak-anak Melayu terpaksa bergelut untuk menguasai kedua-dua ilmu ini hanya kerana wujudnya masalah bahasa.

Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Dr Awang Sariyan dalam kertas kerjanya bertajuk ”Pendidikan dan Perjuanga Bangsa :Tumpuan kepada Melayu dalam Sistem Pendidikan Negara” menjelaskan secara panjang lebar berkaitan dengan kepentingan bahasa Melayu dalam membina kemajuan Bangsa.

Kemarahan rakyat terhadap tindakan kerajaan ini juga telah menyebabkan 4 orang pelajar yang diwakili oleh bapa mereka menyaman kerajaan Malaysia kerana menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Metematik dan Sains di Makamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Januari 2006 sehingga Biro Pendidikan UMNO Malaysia menuduh PAS terlibat dalam menghasut pelajar ini membuat tindakan menyaman kerajaan.

Menteri Pelajaran Malaysia mestilah bertindak secara professional. Jangan hanya bila UMNO membantah baru kajian dan tindakan akan diambil tetapi bila ianya bukannya daripada UMNO dianggap tidak patriotik dan bersikap anti kerajaan. Isu ini bukan isu UMNO tetapi ia adalah isu rakyat Malaysia.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) sejak awal lagi konsisten dalam membantah perlaksanaan pendidikan matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Justeru, DPPNJ akan menyokong mana-mana pihak yang komited untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam pendidikan termasuklah matapelajaran Matematik dan Sains.

Sekian, wassalam


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

UMNO TERUS BANGKITKAN ISU MERITOKRASI, AGENDA PERJUANGAN MELAYU UNTUK TAGIH SOKONGAN MELAYU

No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(55/06)
Kenyataan Media
(7 November 2006)

TAJUK :

UMNO TERUS BANGKITKAN ISU MERITOKRASI, AGENDA PERJUANGAN MELAYU UNTUK TAGIH SOKONGAN MELAYU


Setiapkali menjelang Persidang Agong UMNO, maka bermulalah kebangkitan isu melayu digegarkan dalam media, berdegar-degarlah suara pemimpin UMNO yang menjadi juara kepada masa depan melayu. Soal meritokrasi, soal hak ketuanan Melayu, soal pendidikan dan bangsa sudah menjadi mainan UMNO. Rakyat khususnya orang-orang melayu cuba untuk dipancing agar memberikan tumpuan kearah persidangan UMNO ini.

Diantara yang diberi fokus adalah isu yang dibangkitkan oleh UMNO Johor. Di dalam Konvensyen UMNO Johor yang baru sahaja selesai telah mendapat liputan dalam media massa dengan agak meluas sehingga Setiausaha Agong UMNO dalam taklimat kepada media sempena perhimpunan Agong UMNO ini telah memaklumkan bahawa isu meritokrasi yang dibangkitkan ini mungkin akan disentuh dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi sehari sebelum perhimpunan berlangsung.

Dalam Utusan Malaysia hari ini telah disenaraikan sebanyak 40 resolusi telah dicapai dalam konvensyen ini dan resolusi berkaitan dengan menolak pembelajaran dan pengajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris dan isu meritokrasi telah mendapat respon daripada pelbagai pihak.

UMNO Johor sekali lagi telah membangkitkan isu meritokrasi seperti mana yng telah dibangkitkan pada Konvensyen UMNO Johor pada tahun lalu. Walaupun usul yang dibawa oleh UMNO Johor telah ditolak tetapi keberanian UMNO Johor untuk terus membawa isu ini memang tidak dapat dinafikan.

Ketika merasmikan Konvensyen UMNO Johor pada 9 Julai 2005 tahun lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Abdul Ghani Othman UMNO Johor telahpun membawa isu meritokrasi dan agenda melayu sebagai isu utama. Umno Johor menganggap sistem meritokrasi bukan sahaja membawa kemerosotan pelajar Melayu dalam bidang-bidang kompetitif malah merupakan satu bentuk diskriminasi dan penindasan. Sistem itu didapati telah menindas ribuan anak Melayu di luar bandar yang tidak berpeluang mendapat pendidikan berkualiti.

Dewan Pemuda PAS NEgeri Johor (DPPNJ) melihat bahawa apapun yang cuba diketengahkan adalah memperlihatkan seolah-olahnya UMNO adalah parti yang masih relevan untuk kaum Melayu sedangkan hakikatnya tidak begitu. Ini diakui sendiri oleh UMNO Johor melalui resolusi ke 15 (Pendidikan) yang menyebut bahawa ‘UMNO harus mendekati generasi baru kerana mereka semakin menganggap UMNO tidak diperlukan oleh mereka’.

DPPNJ tetap menegaskan bahawa isu kepentingan Melayu adalah isu yang dibangkitkan semata-mata untuk menghadapi Perhimpunan Agong mereka. Perkara ini diakui sendiri oleh Profesor Diraja Ungku Aziz dalam wawancaranya seperti yang pernah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 15 Ogos 2004 bertajuk "Menang Bentuk Kalah Isi – Melayu tidak kisah Bangsa". Di antara perkara yang disentuh oleh Pak Ungku adalah pembasmian kemiskinan orang melayu yang sudah ada dalam Laporan Majlis Perunding Ekonomi Negara II tetapi kerajaan selalu mahu mencari cara-cara baru. Pak Ungku juga menyentuh isu agenda sosioekonomi orang Melayu yang harus dibincangkan selalu kerana hanya dengan cara itu saja dapat dicari jalan penyelesaiannya yang berkesan dan Agenda Melayu ini tidak terbatas sehingga bulan September nanti saja (Perhimpunan Agung UMNO tahun 2004). Pak Ungku juga menyebut bahawa pemimpin Melayu seringkali mengelak daripada menyentuh isu-isu yang sebenarnya relatif iaitu kemiskinan, kekurangan fizikal dan kelemahan mental.

Begitu juga dengan Profesor Datuk Dr. Ismail Md. Salleh di dalam satu wawancara bertajuk "Ada orang-orang Melayu di persimpangan jalan. Persaingan globalisasi masa depan" yang mana beliau menyentuh bahawa melayu sekarang berada di persimpangan. Pencapaian orang Melayu yang dibangga-banggakan sejak Dasar Ekonomi Baru tamat sudah semakin terhakis. Yang menariknya, beliau menyuarakan kebimbangannya terhadap perbincangan isu ini melalui media massa yang nampak cukup rancak dalam tempoh seminggu ini. Beliau juga menyatakan bahawa "Janganlah hendaknya kita memperkatakan hal ini hanya kerana perhimpunan agung UMNO tidak lama lagi".

Jika dilihat kepada resolusi dan ucapan yang disampaikan oleh pemimpin UMNO, memanglah sangat menarik untuk dihayati tetapi realitinya kesemua itu hanyalah omong-omong kosong sahaja. Setelah selesai persidangan UMNO nanti, kesemua isu yang dibangkitkan ini akan dipandang sepi.

Sekian, wassalam


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/