08 March 2007

KENYATAAN MEDIA DPPNJ

KENYATAAN MEDIA

(8 Mac 2007)

TAJUK :

TAMANTEMA DI NUSAJAYA : KERAJAAN JOHOR MASIH BERAHSIA

Kerajaan Johor terus mengambil sikap untuk tidak mendedahkan identiti syarikat yang terbabit dengan pembinaan taman tema yang akan dibina di Nusajaya. Lebih membimbangkan, Menteri Besar Johor mengakui bahawa Khazanah Nasional kini dalam peringkat akhir rundingan dengan syarikat taman tema berkenaan.

Apa yang menjadi perkara penting kepada MB Johor terhadap pembinaan taman tema ini adalah harga tiket akan dijual pada harga berpatutan dan mampu dibeli masyarakat tempatan biarpun menawarkan kemudahan setaraf taman tema terkenal di luar negara. (Harian Metro, 8 Mac 2007)

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) sebelum ini telah mengulas tentang perkara ini pada 2 Jun 2006 (http://dppnjohor.blogspot.com/) dengan menyatakan bahawa pembinaan Disneyland di Malaysia sebenarnya akan mencambahkan lagi kesuburan aktiviti hiburan di Malaysia yang sekarang ini semakin tidak terkawal. Kita jangan lupa bahawa program hiburan yang keterlaluan adalah strategi yang digunakan musuh dengan menghidangkan hiburan sebanyak-banyaknya khususnya kepada golongan muda yang masih mencari hala tuju kehidupan mereka.

Bernama.com pada 30 Mei 2006 telah menyiarkan kenyataan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan pertemuan dengan kumpulan yang berminat melabur dalam projek taman tema Disneyland di Johor. Beliau menyatakan bahawa perbincangan secara terpeinci dengan pihak Disney masih belum dilaksanakan tetapi ada kumpulan yang menunjukkan minat untuk membawa Disneyland ke Malaysia.

DPPNJ ingin menegaskan tanpa taman tema diwujudkan, negeri Johor masih mampu menjana ekonomi negeri dengan menggembeleng hasil negeri yang ada. Sikap mendidik rakyat kepada hiburan memudahkan mereka terleka dan mereka lupa pada ajaran dan peraturan agama. Allah S.W.T telah mengingatkan kita bahawa kehidupan dunia ini penuh dengan tipu daya.


Firman Allah ;


“Kehidupan dunia ini hanyalah main-main dan berseronok dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa, tidakkah kamu memahami hal ini?”

Al-An’am:32

FirmanNya lagi ;


“Sesungguhnya kehidupan dunia hanya permainan dan gurau senda, jika kamu beriman dan bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepada kamu dan tidak akan meminta hartamu.”

Muhammad: 36


Sekiranya kerajaan masih berterusan dengan hasrat ini maka semakin jauh umat Islam daripada agama.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

019-7701830

http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments:

Sociable