30 August 2006

KEMPEN JOM SELAMATKAN JOHOR

Posted by Picasa














Berceramah di hadapan Pasaraya Watex Muar pada 26 Ogos 2006, pkl 6.00 petang dalam XPDC Jom Selamatkan Johor, isu yang dibangkitkan adalah berkaitan dengan masalah gula pasir, kenaikan harga barang, Dr Mahatihr vs Pak Lah, menantu Pak Lah, isu murtad dan isu penghinaan terhadap agam Islam
Kelihatan sama sdr Suhaizan Kaiat (Naib Ketua DPPNJ) dan Ust Abu Bakar Lajat (YDP PAS Muar)

BANTUAN MEMBINA TANDAS PENDUDUK KAMPUNG

Posted by Picasa




DPPNJ bersama PAS Kawasan Muar dalam program Mesra Rakyat DUN Maharani telah turun membantu seorang penduduk termasuk membantu membina sebuah tandas untuk kegunaan keluarganya pada 27 Ogos 2006.

Kerja-kerja pembinaan ini turut diseratai oleh Jabatan AMAL Johor.

Kelihatan Dr Mohamad Bin Taslim (Bekas CAlon PAS DUN Maharani) dan Sdr Khalim Sakib (Pengarah AMAL Johor) bersama dengan Ketua DPPNJ .

ANAK-ANAK PENYU DILEPASKAN KE LAUT

Posted by Picasa















Projek melepaskan anak-anak penyu di Tanjung Bidara, Melaka pada 19 Ogos 2006. Mengikut pegawai yang terlibat, anak-anak penyu ini jika ditakdirkan selamat, akan kembali semula kepantai Tanjung Bidara 20 tahun akan datang!.

CERAMAH HIT & RUN

Posted by Picasa













Inilah diantara kenderaan yang digunakan untuk mengadakan ceramah "hit & run" di Muar pada 26 & 27 Ogos 2006 yang lalu.
Pada peringkat awalnya agak sukar untuk dilakukan tetapi nampaknya semakin 'digemari' oleh rakyat di Johor kerana maklumat dapat disampaikan dengan cepat dan mudah berbanding dengan ceramah umum yang dilakukan pada waktu malam.
Setiap kali ceramah dibuat, risalah-risalah diedarkan oleh petugas. DPPNJ telahpun mengadakan program ini dibeberapa buah Parlimen di Johor dan akan cuba diaplikasikan di kawasan-kawasan lain.

29 August 2006

MUKTAMAR MAJLIS GURU-GURU PASTI PUSAT

Pada 26 Ogos yang lalu, saya mempengerusikan Jawatankuasa Pemilihan MGP Pusat bagi sesi 2006-2006 di Hotel Sri Malaysia Melaka. Posted by Picasa

MEMORANDUM MENDESAK MEMBINA BALAI POLIS TAMAN PERLING

Pada 25 Ogos 2006 pukul 10 pagi, saya selaku Penasihat Badan Bertindak Penduduk Taman Perling telah pergi ke pejabat Menteri Besar Johor untuk menyerahkan memorandum berkaitan dengan kes ragut sehingga menyebabkan kematian seorang gadis berketurunan Cina berusia 18 tahun di Taman Perling.
Berikut adalah memorandum yang telah diserahkan ;
_____________________________
Badan Bertindak penduduk Taman Perling
Johor Bahru


Tarikh : 25 Ogos 2006

Sdr Za’aba Bin haji Ibrahim
Pengerusi Badan Bertindak
Penduduk Taman Perling
Johor Bahru

Kepada

Yang Amat Berhormat Datuk AbdUL Ghani bin Haji Othman
Menteri Besar Johor
Pejabat Menteri Besar Johor
Bukit Timbalan
Johor Bahru

Y.A.B. Datuk,

MEMORANDUM MENDESAK PEMBINAAN BALAI POLIS TAMAN PERLING, JOHOR BAHRU.

Perkara di atas adalah dirujuk.

2. Saya yang diamanahkan sebagai Pengerusi Badan Bertindak penduduk Taman Perling, Johor Bahru menyerahkan memorandum ini sebagai satu tindakan yang mengambil kira kepentingan keselamatan penduduk Taman Perling yang kini sedang berada di dalam kebimbangan setelah berlakunya kes ragut sehingga menyebabkan kematian seorang penduduk di taman ini.

3. Kejadian ragut sehingga menyebabkan kematian mendiang Chang Shu Then yang baru mencecah umur 18 tahun telah berlaku pada 11 Ogos 2006 sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi terhadap keselamatan penduduk yang kian terancam.

4. Mayat mendiang telah ditemui terbaring di tepi jalan di Persisiran Perling Satu, Taman Perling pada pukul 11.28 pagi. Semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang berjalan kaki dari rumahnya di Jalan Pelipis, Taman Perling di sini menuju ke tempat kerjanya di Perling Mall, juga di taman yang sama.
5. Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Roslan Ahmad berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa mengalami luka kecil di bahagian siku dan lutut kiri serta darah mengalir keluar dari bahagian hidung dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
6. Hakikatnya, kejadian jenayah terutamanya ragut sehingga menyebabkan kematian di Malaysia semakin meningkat dan bukanlah kes terpencil. Pada bulan Julai 2006, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow telah mendedahkan bahawa kadar jenayah kekerasan di negara ini meningkat sebanyak 11 hingga 13 peratus sejak empat bulan kebelakangan ini khususnya kes-kes yang melibatkan jenayah rompakan, ragut dan rogol. Sebelum ini pernah dilaporkan bahawa jenayah ragut telah meningkat daripada 14,640 kes pada 2002 ke 15,798 kes pada 2003. Walaupun kejadian ragut dilaporkan semakin menurun tetapi kes ragut tetap berada ditahap membimbangkan.

7. Setelah berbincang dengan penduduk yang rata-rata marah dengan kejadian itu mendesak agar satu Badan Bertindak ditubuhkan untuk mendesak agar sebuah Balai Polis dapat diwujudkan di Taman Perling dengan segera. Saya mengharap agar YAB Datuk dapat mengambil tindakan dengan segera.

8. Bersama-sama ini saya sertakan tandatangan sokongan daripada penduduk di Taman Perling terhadap pembinaan sebuah Balai Polis untuk keselamatan penduduk di Taman Perling.

Segala kerjasama sama yang diberikan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.

Sekian, wassalam.


ZA’ABA BIN HAJI IBRAHIM
Pengerusi Badan Bertindak
Penduduk Taman Perling
Johor Bahru
Telefon : 019-7084423

KOMITMEN MENG'UPDATE' BLOG

Assalamu'alaikum,

Apabila sudah mempunyai blog, komitmen yang tinggi untuk mengemaskini (update) memang sangat diperlukan. Blog Ketua DPPNJ adalah diantara blog yang telah agak lama 'tertinggal' dipersada maklumat terkini.

Sepanjang cuti persekolahan yang lalu, saya telah berpindah rumah. Dalam masa yang sama program sangat padat dan melibatkan perjalanan yang jauh.

Insya Allah, saya cuba 'upload' beberapa keping gambar program sepanjang cuti sekolah ini untuk disiarkan.

Wassalam

Khairul Faizi Ahmad Kamil

16 August 2006

PERLANTIKAN SUK DPPNJ YANG BARU
















Sdr Hamdan Basiran (kiri sekali) sedang mendengar taklimat daripada Setiasuaha DPPNJ berkaitan tugas yang perlu dilakukan sepanjang perkhidmatan sebagai SUK. Beliau memulakan tugas pada 13 Ogos 2006 yang lalu.
 Posted by Picasa

13 August 2006

SERAH BORANG KEAHLIAN















Sempena kehadiran Setiausaha DPP Pusat ke Negeri Johor, DPPNJ mengambil kesempatan menyerahkan borang keahlian PAS seterusnya borang Keahlian DPP Pusat tenahari tadi.

Mereka adalah terdiri daripada golongan professional yang baru tamat daripada IPTA. Borang diserahkan oleh Sdr Syed Dzulkifli.

Semoga mereka akan terus istiqamah dengan perjuangan Islam.
 Posted by Picasa

KENAPA KHAIRY PERLU JUAL SAHAM?

Posted by Picasa



















Mingguan Malaysia, 13 Ogos 2006, Muka Hadapan

Tajuk : Khairy jual semua -- 10.2 juta saham ECM Libra Avenue pada harga 65 sen

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin telah menjual semua sahamnya sebanyak 10.2 juta saham yang mewakili 1.23 peratus ECM Libra Avenue Bhd., sebuah syarikat pelaburan dan broker saham, demikian diumumkan hari ini.

Khairy menjual sahamnya pada harga 65 sen sesaham semalam. Beliau membelinya pada harga 71 sen sesaham pada Disember tahun lepas.
Pengerusi ECM Libra Avenue Datuk Kalimullah Hassan Masheerul Hassan juga telah mengurangkan kepentingannya dalam syarikat itu kepada 40 juta saham atau 4.8 peratus dalam syarikat dan kini tidak lagi dianggap pemegang saham utama, menurut laporan mingguan perniagaan The Edge.
Kalimullah, seorang daripada pengasas syarikat itu, juga membuat keputusan untuk menjual semalam dan melupuskan 16.26 juta saham, juga pada harga 65 sen sesaham.
Sebanyak 26,467,220 saham milik Khairy dan Kalimullah dibeli oleh Hikkaya Jaya Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat AmcorpGroup Bhd., membabitkan jumlah keseluruhan RM17.2 juta
.
Faizi : Eh! Tiba-tiba nak jual saham ni apa cerita pulak? Tindakan 'bijak' Khairy ini bukannya akan menutup kelemahannya tetapi akan membongkar lagi kepincangannya. Kalau beliau berada diposisi yang benar tak perlu la nak jual saham tu...

12 August 2006

KETIDAK KETERBUKAAN KETUA PEMUDA UMNO TERSERLAH

Kenyataan Media
(12 Ogos 2006)
No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(49/06)

TAJUK :

KETIDAK KETERBUKAAN KETUA PEMUDA UMNO TERSERLAH

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melihat bahawa kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Berita Harian, 12 Ogos 2006) bahawa Pergerakan Pemuda Umno bertegas tidak akan memberi tempat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke pangkuan Umno walau apa cara sekalipun yang dilakukan olehnya atau pihak lain membuktikan ketidak keterbukaan beliau sebagai seorang pemimpin UMNO.

Beliau menyatakan bahawa tidak timbul soal membawa masuk semula Anwar kerana beliau sudah banyak melakukan kesilapan terhadap Umno dan adalah tidak benar Pemuda menyokong kemasukannya semula kerana DSAI sudah ditolak oleh ahli serta rakyat.

Apakah sandaran hujah yang digunakan oleh beliau bahawa DSAI telah ditolak oleh ahli dan rakyat?. Pernahkah satu kajian atau soal selidik dibuat bahawa DSAI tidak diterima oleh golongan ini?. Ini menyerlahkan cara berfikir beliau selaku Menteri Pelajaran Malaysia yang semakin merosakkan sistem pendidikan Negara.

Kenyataan beliau ini sebenarnya membuktikan bahawa UMNO kini tersepit dan terhimpit dengan masalah dalaman sehingga menakutkan mereka.

Ini dibuktikan dengan kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin bahawa pergolakan dalaman Umno akan memudahkan tugas pembangkang untuk menagih sokongan rakyat bagi mencapai cita-cita perjuangan mereka.

Beliau menyebut bahawa pembangkang tak perlu buat apa-apa jika Umno dalam keadaan tidak menentu. Beliah menyarankan pemimpin dan anggota Umno mengutamakan perpaduan dan berusaha mengelak sengketa dalaman parti itu.(BERNAMA, 11 Ogos 2006)

Ketakutan dan kebimbangan UMNO ini perlu dilihat sebagai peluang bagi PAS/BA untuk meyakinkan rakyat terhadap perjuangannya seterusnya memberikan mandat kepada PAS/BA di dalam pilihanraya Umum akan datang.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 /013-7257085
http://dppnjohor.blogspot.com/

APAKAH RASA BIMBANG, KESAL DAN SEDIH PAK LAH MAMPU SELESAIKAN JENAYAH RAGUT?

Kenyataan Media
No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(48/06)
12 Ogos 2006

TAJUK :

APAKAH RASA BIMBANG, KESAL DAN SEDIH PAK LAH MAMPU SELESAIKAN JENAYAH RAGUT?

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa kebimbangan dengan berlaku banyaknya kes jenayah ragut yang tidak terkawal sehingga menyebabkan kematian dan merupakan ancaman yang perlu diberi perhatian serius.

Kejadian yang menimpa mendiang Chang Shu Then, 18, ditemui pada pukul 11.28 pagi kelmarin oleh orang awam yang terbaring di tepi jalan di Persisiran Perling Satu, Taman Perling, Johor Bahru semestinya menambahkan lagi ketakutan di dalam masyarakat.. Mangsa bekerja sambilan sebagai jurujual di sebuah kedai muzik.

Baru-baru ini, seorang jurujual wanita yang menjadi mangsa ragut di Kompleks Berjaya Megamall, meninggal dunia di Pusat Perubatan Kuantan (KMC) pagi ini, selepas tidak sedarkan diri selama 16 jam ketika dirawat di pusat berkenaan.

Mangsa, Ng Chiew Lim, 25, dikatakan ditolak selepas diragut semasa menuruni anak tangga kompleks membeli-belah itu. Ketika kejadian yang berlaku pada pukul 7 malam itu, mangsa sambil turun ke bawah menggunakan tangga sedang berbual-bual dengan teman lelakinya melalui telefon bimbit. Chiew Lim yang dipercayai tidak dapat mengimbangi badan selepas begnya diragut, terjatuh lalu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Hakikatnya, kejadian jenayah di Malaysia semakin meningkat. Pada bulan lalu, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow telah mendedahkan bahawa kadar jenayah kekerasan di negara ini meningkat sebanyak 11 hingga 13 peratus sejak empat bulan kebelakangan ini khususnya kes-kes yang melibatkan jenayah rompakan, ragut dan rogol.

Sebelum ini pernah dilaporkan bahawa jenayah ragut telah menigkat daripada 14,640 kes pada 2002 ke 15,798 kes pada 2003.

Walaupun dalam perutusan Ketua Polis Negara sempena Peringatan Hari Polis ke 199 pada 25 Mac 2006 yang lalu menyatakan bahawa jenayah ragut telah mengalami penurunan tertinggi pada tahun 2005 iaitu -16.63% tetapi iai tidak menggambarkan apa yang sedang berlaku dalam negara ketika.

Apakah dengan berlakunya kejadian ragut/bunuh ini pihak berwajib tidak membuat kajian punca yang menyebabkan kes ragut semakin menjadi-jadi?. Jenayah sering dikaitkan dengan dua faktor asas iaitu kesempitan hidup dan peluang untuk melakukannya. Dua faktor saling berkait ini ditambah dengan sifat ingin cepat senang mudah menjerumuskan seseorang itu untuk menggadaikan diri dengan perlakuan jenayah.

Apakah dengan melahirkan rasa bimbang, kesal dan sedih yang diluahkan oleh Pak Lah selaku Perdana Menteri Malaysia sudah cukup untuk membasmi kejadian ini daripada terus terjadi?.

Persoalan yang ditimbulkan oleh Pak Lah semalam bahawa sikap rakyat yang lebih mementingkan diri sendiri sehingga menyebabkan peragut menjadi semakin berani untuk melakukan jenayah itu di tempat terbuka tidak mampu menyelesaikan masalah ragut.

Peningkatan kadar jenayah ini perlu dilihat juga daripada sudut agama. Kita boleh gunakan segala kepakaran yang ada untuk mengkaji masalah ini dengan lebih terperinci tetapi kita juga harus melihat setiap kejadian yang berlaku ini tentu ada kaitannya dengan sikap kita terhadapNya.


Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 /013-7257085
http://dppnjohor.blogspot.com/

KESIAN KHAIRY...UMNO SEMAKIN ROSAK & TERUS DIROSAKKAN

Bila saya membaca berita yang disiarkan oleh BERNAMA, saya melihat bahawa UMNO semakin bimbang dengan cabaran yang mereka alami sekarang ini iaitu cabaran dalaman. Pimpinan UMNO kini semakin bimbang dan sudah mula hilang kepercayaan kepada pimpinan dan ahli UMNO sendiri.
Kesian Khairy Jamaludin, Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia. Mengikut laporan Bernama beliau telah menyebut di dalam perasmian persidangan perwakilan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Kuala Kedah semalam bahawa :-

i. Pergolakan dalaman Umno akan memudahkan tugas pembangkang untuk menagih sokongan rakyat bagi mencapai cita-cita perjuangan mereka. Beliau menyebut bahawa pembangkang tak perlu buat apa-apa jika Umno dalam keadaan tidak menentu.

Faizi : Kenyataan Khairy ini membuktikan bahawa memang pergolakan dalaman UMNO sedang menggigit kedudukan UMNO yang sedang diserang oleh ahli UMNO.


ii. Pemimpin dan anggota Umno mengutamakan perpaduan dan berusaha mengelak sengketa dalaman parti itu.

Faizi : Dalam sebuah organisasi, perpaduan sangat penting tetapi jika persengketaan tidak diselesaikan, perpecahan akan berlaku. Masalahnya, kenapa punca sengketa tidak dikenalpasti?. Adakah Khairy menganggap ahli UMNO tidak pandai menilai masalah mereka sendiri?.


iii. Khairy berharap para pemimpin dan anggota parti itu tidak memaparkan masalah dalaman parti secara keterlaluan sehingga membuka ruang yang lebih luas kepada perjuangan pembangkang.

Faizi : Khairy nak beritahu bahawa memang UMNO sedang menghadapi masalah dalaman tetapi jangan bising-bising sangat, diam-diam sahaja.


iv. Beliau turut mengingatkan para pemimpin dan anggota parti supaya tidak mempertikaikan kedudukan presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau menegaskan bahawa jika Presiden yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia dikhianati, bermakna kita menjejaskan Negara.

Faizi : Khairy, Khairy...apa yang sebenarnya beliau ingin 'ajar' pemuda UMNO. Duduk diam-diam walaupun pemimpin buat salah?. Bila berlaku pertikaian sudah tentu ada sebabnya. Lebih baik Khairy mengajar pemuda UMNO menegur pemimpin yang melakukan kesilapan, jangan jadi "YES MAN" sepanjang masa hanya kerana nak jaga kedudukan.

09 August 2006

KEMPEN BOIKOT

 Posted by Picasa

BENGKEL PENILAIAN DPPNJ
















Pada 6-7 Ogos yang lalu, DPPNJ telah berjaya mengadakan Bengkel Penilaian Pelan Strategik DPPNJ di Tanjung Piai Resort. Bengkel ini diadakan untuk membuat penilaian terhadap gerakerja DPPNJ selama setahun yang lalu sama ada setiap aktiviti yang dilaksanakan mengikut pelan strategik yang telah dirancang sebelum ini.

Alhamdulillah, beberapa kelemahan telah berjaya dikesan dan akan diperbaiki dalam tempoh setahun ini.

Moderator kepada bengkel ini adalah Sdr Suhaizan Kaiat, Naib Ketua DPPNJ/Pengerusi Unit Penyelidikan DPPNJ.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas komitmen exco dan wakil DPP Kawasan2 yang turut hadir memberikan pandangan serta teguran.

Wassalam.
 Posted by Picasa

RAHSIA DISEBALIK SEKATAN TERHADAP LAMAN WEB /BLOG

Kenyataan Media
(9 Ogos 2006)

TAJUK :

RAHSIA DI SEBALIK SEKATAN TERHADAP LAMAN WEB/BLOG


Apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa semua blog dalam internet akan diawasi dengan lebih rapi, manakala pemiliknya dikenakan tindakan jika menyiarkan bahan berunsur hasutan, fitnah atau bercanggah dengan undang-undang, pelbagai pandangan menyusul terhadap keputusan itu. Lebih-lebih lagi ia agak bertentangan dengan kenyataan beliau yang sebelum ini memberikan ruang yang agak luas terhadap kebebasan media.

Difahamkan, kini terdapat kira-kira 12,000 laman web/blog yang diwujudkan oleh rakyat di negara ini yang membincangkan pelbagai isu termasuklah hal yang berkatan dengan isu semasa, politik, agama, masyarakat, hiburan dan pelbagai lagi perkara.

Bagi mereka yang menggunakan internet sebagai alat komunikasi yang penting dalam kehidupan, blogging adalah sangat berguna dan bermanfaat.

Pelajar sebagai contohnya, mampu bertukar-tukar maklumat, nota pelajaran dan bertukar-tukar fikiran serta pendapat dengan rakan internet mereka dengan mudah dan berkesan.

Begitu juga dengan pengguna blog yang lain yang sudah tentunya bergantung kepada keberkesanan penggunaan blog dan laman web untuk kepentingan masing-masing.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ)
bimbang hanya kerana kemungkinan segelintir anasir negatif yang berlaku menyalahgunakan laman web dan blog ini maka keseluruhan pengguna blogging mendapat nama buruk walhal manfaat penggunaannya jauh lebih tinggi daripada kesan kemudaratan.

Malah, lebih membimbangkan lagi tindakan menyekat blog dan laman web ini hanyalah untuk menyekat kebebasan rakyat untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat khususnya yang melibatkan kepincangan yang dibuat oleh pimimpin UMNO/BN seperti mana wujudnya beberapa laman web/blog yang diwujudkan oleh penyokong-penyokong Tun Dr Mahathir membuktikan betapa besarnya kesan laman web/blog kepada rakyat.

Kerajaan harus mengakui bahawa rakyat Malaysia terutama generasi muda kini semakin cerdik, semakin lebih bersikap terbuka, berani meluahkan pandangan dan cadangan terhadap pelbagai perkara. Sekatan khususnya kepentingan politik pemerintah sebenarnya akan meruntuhkan kebebasan dan keterbukaan rakyat.


Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 /013-7257085
http://dppnjohor.blogspot.com/

05 August 2006

KRISIS GULA TERUS BERPANJANGAN : KERAJAAN TERUS GAGAL DALAM TINDAKAN DAN PEMANTAUAN

Kenyataan Media
(5 Ogos 2006)

TAJUK :

KRISIS GULA TERUS BERPANJANGAN : KERAJAAN TERUS GAGAL DALAM TINDAKAN DAN PEMANTAUAN

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa kecewa di atas krisis kekurangan gula yang masih berlarutan walaupun pihak kerajaan telah menaburkan pelbagai janji untuk menyelesaikan masalah ini yang telah berlaku sejak beberapa bulan yang lalu.

Dalam tinjauan DPPNJ ke beberapa lokasi di dalam negeri Johor, di dapati bahawa kawasan Batu Pahat dan Kluang adalah di antara daerah dalam negeri Johor yang sangat terkesan dengan masalah kekurangan gula.

Di Kluang, bekalan gula pasir tidak dijumpai di mana-mana pasaraya. Peniaga-peniaga makanan pula merungut kerana kekurangan bekalan gula telah menyebabkan perniagaan mereka terjejas teruk.

Krisis kekurangan gula sebelum ini pernah berlaku beberapa bulan yang lalu. Pelbagai janji telah dibuat bagi meyakinkan rakyat bahawa isu ini akan dapat diatasi. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau masalah kekurangan bekalan gula di seluruh negara.(Utusan Malaysia, 6 Jun 2006)

Jawatankuasa khas ini berfungsi untuk menyiasat aktiviti penyeludupan dan kes menyorok bekalan gula oleh pemborong dan peniaga. Hukumannya, peniaga dan pemborong yang didapati menyorok bekalan gula, boleh didenda maksimum sebanyak RM25,000 termasuk dihukum penjara mengikut Akta Kawalan Bekalan 1991. Talian bebas tol kementerian 1-800-886-800 telah diwujudkan untuk menerima sebarang bentuk maklumat untuk menyelesaikan kes ini.

Yang menariknya, KPDNHEP dengan penuh yakin bahawa masalah kekurangan gula akan dapat diatasi dalam masa satu atau dua hari lagi.

Sistem pengangkutan juga pernah dijadikan sebab masalah bekalan gula berlarutan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN), Datuk Mohd. Shafie Apdal menyatakan bahawa kekurangan gula disebabkan sistem penghantaran yang tidak cekap oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).(Utusan Malaysia, 6 Julai 2006).

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pula mencadangkan kenaikan harga gula sebanyak 30 sen daripada harga asalnya RM1.40 sebagai langkah yang dilihat dapat mengatasi masalah ini.

Cadangan untuk menaikkan harga gula bagaimanapun telah ditolak oleh kerajaan dengan alasania akan memberi kesan kepada peningkatan kos hidup rakyat.

Selepas itu, KPDNHEP memperkenalkan sistem pembekalan gula oleh pemborong mengikut zon bagi mengatasi masalah bekalan bahan itu yang tidak seimbang di seluruh negara (Utusan Malaysia, 12 Julai 2006) dan perkara yang sama diulangi oleh Datuk Mohd. Shafie Apdal pada 17 Julai 2006.

Semalam, KPDNHEP terpaksa mengakui bahawa masih belum dapat mengatasi masalah kekurangan gula di negara ini walaupun pelbagai mekanisme digunakan.

Cuma kali ini bukannya masalah pengangkutan yang menjadi alasan tetapi disebabkan oleh sikap pengilang yang lebih cenderung mengeluarkan gula halus berbanding gula kasar kerana harganya tidak dikawal. Gula halus dikatakan boleh dijual sehingga lebih RM2 sekilogram sedangkan gula kasar RM1.45 sekilogram..

DPPNJ mengingatkan bahawa krisis kekurangan gula perlu diatasi dengan segera, bukannya dengan memberikan pelbagai alasan untuk menutup kelemahan kerajaan. Paling terkesan sudah tentunya pengguna. Harga barangan keperluan yang menggunakan gula sudah pasti akan meningkat. Peniaga akan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga gula.

Dengan perkembangan ini, bermakna kerajaan GAGAL untuk menyelesaikan masalah kekurangan gula. Apa yang dibimbangi, kerajaan akan mengambil keputusan untuk menaikkan harga gula seperti mana yang pernah dilakukan terhadap krisis kekurangan minyak diesel satu masa dahulu. Dalam apa jua keadaan, kerajaan mesti bertegas dengan keputusan untuk tidak menaikkan harga gula. Jangan jadikan rakyat/pengguna sebagai mangsa.


Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 /013-7257085
http://dppnjohor.blogspot.com/
8.11 pagi

04 August 2006

PELAN PEMBANGUNAN SJER PERLU DIPERHALUSI

Kenyataan Media
(4 Ogos 2006)

TAJUK :

PELAN PEMBANGUNAN SJER PERLU DIPERHALUSI


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa bimbang dengan pelan induk pembangunan Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia beberapa hari yang lalu yang dikatakan dapat menjana ekonomi Johor pada masa akan datang.

Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan bahawa pembangunan SJER ini akan menjadi sebuah wilayah metropolitan bertaraf antara bangsa setanding dengan Hong Kong dan Shenzen di China.

DPPNJ sangat musykil apakah bentuk pembangunan yang dimaksudkan. Jika dilihat daripada perancangan yang telah dibuat, SJER adalah merupakan pelan pembangunan infrastruktur yang membawa kepada pertumbuhan ekonomi sementara dan bukan jangka panjang kerana ia lebih kepada pembangunan terhadap pembinaan institusi pelancongan tetapi tidak berorentasikan pengeluaran dan pengeksportan.

DPPNJ ingin menyentuh tentang kesan sosial yang bakal melanda selepas ini. Apabila menyebut tentang pembangunan industri pelancongan bermakna cabaran yang perlu dihadapi selepas ini adalah untuk memastikan ianya tidak akan memberikan kesan kepada pembangunan manusia. Kes jenayah dan gejala sosial yang semakin meningkat dibimbangi akan terus meningkat.

Di antara projek yang akan dijalankan di dalam pelan pembangunan SJER adalah untuk mewujudkan Taman Tema di Segi Tiga Emas Johor ini. Sebelum ini DPPNJ pernah membantah tindakan kerajaan yang sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan taman tema Disneyland di Nusajaya, Johor setelah mengambil kira pelbagai kesan negatif yang timbul.

Pelan pembangunan SJER ini juga dikatakan akan memberikan tumpuan kepada bidang pelancongan memandangkan selatan Johor terutamanya Johor Bahru telah menerima pembangunan pesat seperti di Danga Bay. Pada awal Januari 2006 DPPNJ telah pun membuat laporan polis dan pertemuan dengan Mufti Johor untuk membenteras aktiviti maksiat yang berlaku di Danga Bay yang dilakukan oleh rakyat yang majoritinya adalah remaja melayu/Islam. Apakah kerajaan mampu untuk membendung aktiviti maksiat ini dengan pembangunan seperti ini?.

DPPNJ cukup bimbang dengan pembangunan yang tidak menitik beratkan soal pembangunan sosial yang berteraskan Islam akan menyebabkan peningkatan kadar jenayah, menambahkan bilangan anak luar nikah dan menyuburkan kadar gejala sosial di kalangan remaja.

Sekian.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 /013-7257085
http://dppnjohor.blogspot.com/
6.10 petang

02 August 2006

MAJLIS PENUTUP XPDC SELAMATKAN JOHOR

 Posted by Picasa

WILAYAH EKONOMI JOHOR SELATAN (SJER)

Posted by Picasa
Apakah kesan kepada Islam dan orang Melayu apabila projek SJER dilaksanakan?