30 July 2006

XPDC SELAMATKAN JOHOR - SIRI 1
















Sdr Suhaizan sedang berkempen di atas kenderaan. Lokasi : Pekan Sungai Balang
 Posted by Picasa

XPDC SELAMATKAN JOHOR - SIRI 1

Berceramah di atas Ford Ranger di Pekan Sungai Balang Muar bersama sdr Suhaizan Kaiat.
 Posted by Picasa

28 July 2006

KINI KU MENGERTI BETAPA ISA MENZALIMI RAKYAT – BICARA 4

KINI KU MENGERTI BETAPA ISA MENZALIMI RAKYAT – BICARA 4
(Satu Catatan Khas Untuk Pak Abu Urwah & Kak Aliza)


Pembuka Bicara 4

Saya ada terbaca dalam satu ruangan komen terhadap tulisan saya (BICARA 2) dalam ruangan Malaysia Today. Seorang yang mengenalkan namanya sebagai ipcmc telah mengajukan berapa persoalan kepada saya. Beliau menyebut..

kenapa keluhan isteri2 perllu diperdengarkan kepada umum....kenapa keluhan mereka lebih utama sekiranya nak dibandingkan dengaan keselamatan negara...
seharusnya kamu sedar bahawa ISA itu adalah penyelamat negara dari tindakan tangan-tangan mereka yang merosakkan....
kenapa kamu tidak memikirkan kebajikan anak2 dan isteri2 kamu terlebih dahulu sebelum kamu menyusahkan mereka dan pihak berkuasa....
adakah kepentingan diri kamu lebih utama daripada kepentingan negara...kamu jawablah sendiri....

Saya ingin menyimpulkan begini, kesemua tahanan ISA ini ditahan dalam keadaan kesalahan yang dituduh kepada mereka tidak dibicarakan. Tiada Mahkamah, tiada pendakwaan, tiada pembelaan, yang ada hanyalah tuduhan bahawa mereka terlibat dalam keganasan.

Sekiranya mereka terbukti bersalah setelah melalui proses pengadilan di mahkamah maka saya akur terhadap keputusan tersebut tetapi hakikatnya mereka tidak dibicarakan.

Saya teringat kepada pertuduhan yang dilemparkan kepada teman-teman Reformis seperti Ezam Mohd Nor, Shaari Sungip, Gobalakrisnan dan yang lain-lain yang ditahan dibawah ISA kerana terdapat bukti bahawa mereka terlibat untuk menjatuhkan kerajaan dengan keganasan dan terdapat bukti bahawa mereka mempunyai senjata seperti Pelancar Roket, sehingga ke hari ini tuduhan tersebut tidak dapat dibuktikan.

Justeru saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar memahami kedudukan sebenar.

Pak Abu Urwah terus berjuang

Seperti yang pernah saya sebut dalam BICARA 1 bahawa kesempatan bertemu dengan Haji Saari Bin Sungip (Abu Urwah) dan isterinya Puan Aliza Binti Jaafar (Kak Aliza) di dalam program Retreat Pemuda BA Johor dan Hari Keluarga Pemuda BA Johor pada 1 & 2 Julai 2006 baru-baru ini telah membuka ruang kepada saya untuk mengenali beliau dengan lebih dekat.

Saya mula mengenali Pak Abu apabila beliau menjadi Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) tetapi ketika itu saya belum ‘berminat’ untuk mengadakan apa-apa ‘engagement’. Tetapi saya agak teruja dengan semangat beliau dalam perjuangan menghapuskan ISA daripada muka bumi ini.

Buktinya sejak daripada dibebaskan daripada ISA, beliau terus aktif dengan aktiviti Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Ceramah, motivasi, mengedar risalah malah beliau sendiri menerbitkan beberapa buku seperti Suara Dari Kamunting, SB oh SB…dan Shit Too serta artikel-artikel yang ditulis dan disiarkan di dalam harakahdaily (Terkini : Ramai yang tidak tahu hak dan fahami kezaliman ISA : 6 Julai 2006) dan Malaysia Today (Terkini : Sengsara Kem Kemunting siri ke 19 : 28 Julai 2006) mendorong saya untuk mendekati dan mengenali beliau.


Penulisan daripada Pengalaman Pak Abu

Pak Abu banyak menghasilkan buku dan artikel berbentuk rencana. Bleh dikatakan kesemua penulisannya mengaitkan ISA sama ada ia berbentuk gesaan menghapuskan ISA ataupun berkaitan dengan pengalaman beliau menjadi tahanan ISA, keperitan berada di dalam tahanan ISA yang zalim dan juga memberikan gambaran kepada kita tentang liku perjalanan yang akan dilalui oleh tahanan.

Sebagai contohnya, Pak Abu dalam artikelnya menyebut bahawa tujuan keempat ISA digunakan adalah untuk mematahkan semangat juang para pejuang Islam, penegak keadilan serta aktivis politik dan hak asasi manusia. (ISA diguna untuk patahkan semangat tahanan : 23 Jun 2006).

Dalam artikelnya yang bertajuk “ISA : Salah satu kemanisan ujian Allah” beliau menyatakan bahawa orang sepertinya jika Allah uji dan selepas itu Allah anugerahkan kepadanya dengan thabat, maghfirah dan sakinah pun sudah jauh mencukupi.
”Dengan anugerah thabat saya berharap Allah akan terus bukakan hati saya untuk mengenal dakwah dan jihad di jalan-Nya. Semoga Allah terus reda untuk saya dapat harungi sisa-sisa hidup saya di jalan-Nya dengan ikhlas, sidq dan istiqamah“
”Dengan maghfirah daripada Allah, saya amat berharap segala dosa, kecuaian dan kealpaan saya yang silam akan digantikan oleh Allah dengan kesungguhan untuk memikul amanah dan tuntutan-tuntutan-Nya dalam mendaulatkan Islam.”
”Dengan sakinah pula saya benar-benar berharap Allah menghiaskan jiwa saya dengan sifat zuhud. Zuhud dengan erti kata saya tidak terlalu bergembira mendapat kesenangan hidup dan tidak pula saya berkeluh kesah terhadap sebarang kesempitan yang saya hadapi.”


Kak Aliza isteri yang tabah

Saya ada menghadiahkan kepada isteri saya sebuah buku tulisan Kak Aliza bertajuk “Diari Perjuangan”. Buku ini sebenarnya telah diterbitkan pada Oktober 2002 tetapi saya hanya membelinya pada 8 Jun 2006 semasa Muktamar PAS Pusat di Kedah.

Menariknya, buku ini mencoretkan perjalanan kehidupan Kak Aliza berjuang bersama-sama isteri-isteri tahanan yang lain memperjuangkan pembebasan suami mereka.

Semasa memberikan ucapan pada hari Keluarga Pemuda BA Johor bulan yang lalu, Kak Aliza telah diberi peluang untuk menyampaikan ucapan khususnya kepada seluruh keluarga Pemuda BA Johor.

Kak Aliza menarik perhatian kami dengan menceritakan bagaimana keadaan beliau di saat Pak Abu mula ditahan. Keluarga menjadi tak keruan kerana tidak tahu apa tujuan penahanan tersebut. Sejurus selepas Pak Abu ditahan, bermulalah episod dukacita apabila Kak Aliza dan keluarga cuba untuk menghubungi di mana Pak Abu ditahan.

Kak Aliza juga berpesan agar sentiasa memberikan sokongan kepada keluarga yang ditahan kerana ketika keadaan ini terjadi, isteri dan anak-anak tahanan aka berada dalam keadaan tertekan.

Semangat yang kental ditunjukkan oleh beliau seharusnya dicontohi oleh isteri-isteri pejuang BA. Bukan sekadar merelakan suami berjuang tetapi sanggup berkorban bagi memastikan suami tidak dizalimi.

Penutup Bicara

Apa yang boleh saya perkatakan terhadap pasangan ini, mereka pada ketika ini sebenarnya sudah boleh melupakan derita dan kesengsaraan ISA. Apa perlu bersusah payah ke merata tempat sedangkan Pak Abu telah pun bebas dan sentiasa berada di samping Kak Aliza. Silap percaturan, boleh disumbat semula ke dalam ISA.

Namun saya percaya bahawa pasangan ini tidak peduli dengan semua tekanan dan ancaman. Yang pentingnya, masih ada lagi insan yang tidak bersalah ditahan dalam ISA. Masih ada lagi keluarga yang merintih ditinggalkan oleh para suami secara paksa. Masih ada anak-anak yang kerinduan belaian ayah tersayang.

Pasangan ini juga perlukan sokongan kita semua. Semoga Pak Abu Urwah dan Kak Aliza akan terus istiqamah di dalam perjuangan.

Bicara 5 : : Sahabatku Ust Nor Ashid Sakib,Tunggu ….

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pengerusi Pemuda BA Negeri Johor
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.
019-7701830/013-7257085
28 Julai 2006, 9.13 malam
Lawati : http://dppnjohor.blogspot.com/




25 July 2006

MALAM TERAKHIR DI KUCHING
















Saya dan Pegawai Tadbir PASTI Sdr Kamarul Arif Ambak pada malam terakhir Lawatan Kerja Ke Labuan & Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
 Posted by Picasa

KINI KU MENGERTI BETAPA ISA MENZALIMI RAKYAT - BICARA 3

KINI KU MENGERTI BETAPA ISA MENZALIMI RAKYAT – BICARA 3
(Satu Catatan Khas Untuk Kak Norlaila Othman)

Pembuka Bicara

Catatan ketiga ini saya ingin mencoretkan kisah seorang isteri tahanan ISA yang akhir-akhir ini agak terserlah kegigihannya menjadi seorang isteri tanpa suami di sisi iaitu Puan Norlaila Othman atau saya kenali sebagai Kak Laila.

Saya memilih untuk membicarakan tentang Kak Laila setelah saya ditakdirkan telah bertemu dengan beliau semasa Muktamar PAS Pusat di Kedah pada bulan Jun 2006 yang lalu dan saya melihat beliau sangat gigih untuk memperjuangkan hak dan kebebasan tahan ISA.

Pertemuan tersebut berlaku di saat suami Kak Laila, Mat Sah Mohd Satray akan melengkapkan tahanan ISA selama 4 tahun. Pada jangkaannya pada 12 Jun 2006, ada kemungkinan suami Kak Laila akan dibebaskan untuk meneruskan hidup bersama keluarga tercinta.

Sebuah Catatan: Suamiku Pulang

Pada bulan Jun yang lalu, harakahdaily telah menyiarkan sebuah artikel yang dicoretkan oleh Kak Laila bertajuk 'Sebuah Catatan': Suamiku Pulang'. Berkali-kali saya mengulangi pembacaan terhadap coretan ini dan saya dapat melihat betapa beliau adalah seorang isteri yang gigih, tabah, sabar, dan berdikari.

Saya mengambil beberapa perkara daripada coretan tersebut untuk tatapan semua. Kata Kak Laila : -

i. “Rindu? Tiada bahasa yang dapat diucapkan untuk menyatakan perasaan tersebut, hingga ada kalanya, seolah-olah aku takut untuk melihat potretnya (suami), kerana terlalu khuatir, dia akan pulang ke rumah dalam bentuk mimpi dan akhirnya, hanya linangan airmata yang setia untuk mengubati rindu ini.”

Bicaraku : Siapa tidak rindukan suami. Suami yang tercinta ditahan tanpa bicara dipisahkan secara paksa. Bayangkan, setiap kali terbangun daripada tidur, orang disayangi tidak ada disisi.

ii. “Walau sesibuk mana pun dengan dunia baru ini, aku bahagia. Kenapa? Kerana, aku dapat menyalurkan segala dendam dan marahku pada saluran yang sepatutnya. Aku dapat menyatakannya pada wartawan, aku dapat ruang untuk berceramah mengenai kezaliman ISA dan aku juga mula belajar menulis pengalaman dizalimi ini untuk tatapan rakyat Malaysia yang kekurangan maklumat tentang kekejaman ISA.”

Bicaraku : Kezaliman akhirnya melahirkan seorang pejuang yang menegakkan kebenaran. Sikap ini perlu dicontohi oleh semua, dengan hanya berdiam diri melihat kezaliman terus bermaharaja lela tidak akan merubah apa-apa.

iii. “Buat masa ini, aku dan Suhaib telah membulatkan tekad, sama ada dia bebas atau tidak, kehidupan wajib diteruskan dan kami akan terus memperjuangkan nasib semua tahanan ISA yang masih menghuni Kem Kamunting. Aku yakin, lambat laun, kezaliman akan dapat dikalahkan oleh keadilan dan kebenaran.Hanya masa yang menentukan segalanya. Lagi pun, kami berdua tidak akan rugi apa-apa kerana sepanjang kami dianiaya dan dizalimi, kami yakin, Allah akan menggantikan segala kesusahan itu dengan pahala yang tidak ternilai harganya.”

Bicaraku : Keyakinan Kak Laila dan anaknya bahawa Allah akan memberikan pahala menunjukkan proses tarbiyah berlaku di sini. Seruan ini perlu disambut oleh kita semua.

iv. “Saya terima semua ini sebagai ujian dariNya. Mungkin jika tidak diuji seperti ini, saya tetap akan diberi ujian yang lain, yang mungkin setaraf dengan apa yang sedang dihadapi sekarang.Ya, Allah lebih mengetahui hikmah sesuatu kejadian itu.”

Bicaraku : Keimanan yang tinggi akan lahir dengan ujian yang mendatang.

v. “Saya reda dengan ujian ini, tapi saya tetap tidak redha dengan perbuatan insan lain menzalimi kami sekeluarga. Selagi ada nyawa, usaha mesti diteruskan, dan selebihnya saya serahkan pada Allah SWT untuk menyelesaikannya.Jika didunia hak kami dinafikan, maka kami akan tuntut segalanya diakhirat kelak.”

Bicaraku : Dalam hidup kita ini, keredhaan Allah yang kita cari bukannya keredhaan manusia. Ingatlah wahai pemerintah yang telah melakukan penindasan dan kezaliman, anda akan menerima balasan yang setimpalnya dari apa yang telah anda lakukan.


Segenggam Tabah

Bila saya mendapat maklumat bahawa suami Kak Laila tidak dibebaskan, saya telah menghantar SMS sebagai ucapan simpati kepada beliau dan keluarga. Kak Laila membalas SMS tersebut pada 16 Jun 2006 pukul 10 .56 malam :-

" Maaf, lewat balas. Balik dari Kedah letih. Dapat berita pula tahanan suami disambung lagi 2 tahun. Akak rasa 'down' sikit. But now quite ok.."

Mungkin ada yang mengharapkan dengan lanjutan penahanan Mat Sah ini akan melemahkan semangat Kak Laila untuk terus berjuang tetapi sehingga hari ini harapan jahat itu masih belum berjaya. Kak Laila masih meneruskan perjuangannya.

Buktinya, Ketika saya menziarahi keluarga mangsa ISA di Johor baru-baru ini, saya menerima SMS daripada beliau :

Ok, ALHAMDULILLAH, syukran 4 everything. My regards 2 them n may Allah return wt th best rewards 2 U.
(9 Julai 2006, 6.31 petang)

Apabila saya menerangkan kepada beliau tentang tindakan yang diambil oeh Pemuda BAJ terhadap isu ini, Kak Laila berpesan kepada saya supaya memberikan semangat agar semua isteri tahanan ISA di Johor perlu dididik untuk berdikari dan bekerja dalam satu pasukan. Beliau sering menghubungi isteri-isteri tahanan di Johor tetapi kerana jarak yang jauh memisahkan mereka untuk kerap bersama.

Kak Laila juga masih meneruskan agenda perjuangannya. Saya menerima SMS daripada kak Laila pada 21 Julai 2006 yang memberitahu bahawa beliau telah berceramah di Baling Kedah atas isu ISA pada 20 Julai 2006.


Perjuangan mesti diteruskan


Perjuangan Kak Laila untuk membebaskan suaminya bukanlah satu tugas yang mudah. Luahan yang disalurkan melalui coretan ini sudah cukup membayangkan betapa tiada tertulis makna kecewa atau sentuhan kecundang dalam perjuangan untuk membebaskan suami tercinta serta tahanan ISA yang lain.

Penglibatan sebagai jawatankuasa Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) membolehkan beliau bergerak dengan lebih aktif. Aktiviti penerangan, ceramah, dialog dan bantahan terus dilaksanakan demi kebenaran.


Penutup Bicara

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanannya. Memang berat rasanya hati tetapi apakan daya, kerajaan masih terus mahu dilihat sebagai penguasa yang zalim.

Kisah Kak Laila ini dapat saya gambarkan melalui sebuah lagu Nasyid yang sedang diminati sekarang ini. Bila saya amati lagu terbaru daripada Kumpulan Inteam – Segenggam Tabah, saya rasa amat sesuai saya tujukan kepada Kak Laila. Lagu yang menggambarkan kehidupan seseorang yang menghadapi rintangan dan halangan dalam meneruskan kehidupan yang penuh cabaran. Atas segenggam ketabahan yang untuk terus mengharungi liku-liku kehidupan demi meneruskan kehidupan dan perjungan, setiap halangan terus dirempuh.

Semoga Kak Laila akan terus tabah seperti tabahnya camar di dalam lagu ini. Teruskan perjuangan Kak Laila…
Segenggam Tabah

Bertali arus dugaan tiba
Menakung sebak airmata
Namun tak pernah pun setitis
Gugur berderai di pipi

Tidak ditempah hidup sengsara
Suratan nasib yang melanda
Menongkah badai bergelora
Diredah bersendirian

Bagaikan camar pulang senja
Patah sayapnya tetap terbang jua
Sekadar secicip rezeki
Buat yang sedang rindu menanti

Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan di perjalanan
Kau bebat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar
Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu
Biarpun keruh air di hulu
Mungkinkah jernih di muara
Biarpun jenuh hidup dipalu
Pasti bertemu tenangnya

Akan datang...Bicara 4 : Khas Untuk Pak Abu Urwah & Kak Aliza Jaafar : Tunggu ….

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pengerusi Pemuda BA Negeri Johor
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.
019-7701830/013-7257085
24 Julai 2006, 3.38 petang
Lawati : http://dppnjohor.blogspot.com/

LAWATAN KERJA KE LABUAN















Pertemuan dengan masyarakat di Labuan
 Posted by Picasa

LAWATAN KERJA KE BETING MARO SARAWAK















Usaha untuk menubuhkan PASTI di Beting Maro, Sarawak diteruskan. Pertemuan dengan bekas calon PAS DUN Beting Maro, Tuan Haji Aleem Din.

Pertemuan ini diadakan pada 22 Julai 2006 yang lalu.
 Posted by Picasa

LAWATAN KERJA KE LABUAN















Bergambar bersama Ust Jonit, Pengerusi PASTI Kawasan Labuan dihadapan bangunan PASTI pada 21 Julai 2006. PASTI ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2007 yang akan datang.

 Posted by Picasa

HIMPUNAN REMAJA ISLAM JOHOR















Bergambar bersama Jawatankuasa penganjur & fasilitator
 Posted by Picasa

HIMPUNAN REMAJA ISLAM JOHOR















Program ini telah diadakan pada 23 Julai 2006 di Markas PAS Kawasan Parit Sulong, Parit Bisu. DPPNJ mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pembangunan Remaja DPPNJ kerana telah berjaya mengadakan program ini
 Posted by Picasa

23 July 2006

300 BANTAH FORUM ARTIKEL 11 - BERITA HARIAN

300 bantah forum Artikel 11
JOHOR BAHRU: Forum awam mengenai Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang diadakan di sebuah hotel di sini semalam terpaksa dipendekkan atas arahan polis, selepas lebih 300 orang berhimpun di hadapan hotel, membantah penganjurannya.
Forum itu yang dianjurkan 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai latar belakang serta dikenali Kumpulan Artikel 11, bermula kira-kira 9 pagi dan sepatutnya berakhir pada 1.30 tengah hari tetapi polis meminta penganjur menghentikannya pada jam 11.15 pagi.
Berikutan arahan itu, kira-kira 600 peserta yang menyertai forum berkenaan dilihat bergegas keluar.
Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Roslan Ahmad, memberi amaran kepada mereka yang berhimpun di luar hotel supaya bersurai daripada kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, amaran itu tidak diendahkan kumpulan berkenaan malah meminta polis menghentikan forum tertutup yang berlangsung di hotel berkenaan sebelum mereka bersurai.
Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) turut ditempatkan di hadapan pintu masuk hotel bagi memastikan tiada peserta yang menyertai perhimpunan itu masuk ke dalam hotel.
Roslan bersama beberapa wakil kumpulan yang membantah itu termasuk Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, Mazlan Alimin dan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Mahfodz Mohamed kemudian dilihat memasuki hotel di mana forum berlangsung, kira-kira jam 10.50 pagi.
Roslan ketika ditemui berkata, pihaknya menempatkan kira-kira 200 anggota polis untuk berkawal di kawasan hotel bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
Beliau berkata, polis bukan sengaja melengah-lengahkan usaha untuk menghentikan perhimpunan itu tetapi terpaksa memikirkan keputusan yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin.
"Kami berpuas hati kerana forum itu dapat ditamatkan dan perhimpunan ini dapat disuraikan secara aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, mengingatkan semua pihak termasuk NGO supaya tidak mempersoalkan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.
"Kita melihat ada pihak tertentu yang berniat tertentu mengambil kesempatan mempersoalkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan. Umno sebagai antara parti penting di negara ini mengambil berat dan prihatin terhadap perkara ini."
Masyarakat juga perlu sedar sensitivitinya dan Umno Johor juga mengambil inisiatif menyatakan keprihatinan kita terhadap perkara berkenaan," katanya.

19 July 2006

KINI KU MENGERTI BETAPA ISA MENZALIMI RAKYAT - BICARA 2

KINI KU MENGERTI BETAPA ISA MENZALIMI RAKYAT – BICARA 2

Pembuka bicara

Setelah saya menulis artikel bertajuk “Kini ku mengerti betapa ISA menzalimi rakyat – Bicara 1 pada 13 Julai 2006, ada teman-teman yang secara sini menegur saya kenapa baru ketika ini saya merasai kezaliman ISA.

Saya tidak maksudkan bahawa saya langsung tidak tahu tentang zalimnya ISA tetapi dengan kata lain, ISA tidak termasuk dalam diari perjuangan. Ibaratkan seperti seorang perokok itu tahu akan bahayanya kesan daripada rokok tersebut kepada kesihatan tetapi masih tetap merokok. Lebih kurang begitulah…

Bukannya tidak tahu bahawa ada sebilangan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa ISA tetapi tidak tergerak rasanya hati untuk melihat sendiri penderitaan mereka dan keluarga mereka, tidak terlintas di fikiran untuk bertanya khabar keluarga tahanan dan tidak tersentuh perasaan apabila membaca anaa-anak yang ditinggalkan tanpa kasih saying.

Luahan rasa isteri-isteri tahanan ISA di Johor

Seperti yang telah saya sebut sebelum ini, pada 9 Julai 2006 yang lalu, saya mengetuai rombongan Pemuda BA Johor menziarahi isteri dan keluarga tahanan ISA di Johor Bahru. Ada beberapa maklumat yang ingin saya kongsikan bersama.

Dalam pertemuan tersebut, apabila kami membuka ruang untuk isteri-isteri tahanan berbicara, kami dapat merasakan betapa mereka semakin kesunyian daripada kasih sayang seorang suami. 5 tahun berpisah bukanlah masa yang singkat.

Ada yang menyatakan sudah lebih 6 bulan tidak dapat menemui suami tercinta. Bukan tidak mahu berjumpa tetapi apakan daya, jarak yang jauh di utara semenanjung membataskan hubungan mereka.

Ada yang dengan sayunya memberitahu bahawa suaminya hampir ‘hilang kewarasan’ kerana meratapi penahanan yang tidak tahu akan sebab sebenarnya. Bayangkanlah, 5 tahun menjadi tahanan ISA tetapi masih tidak dibicarakan. Bersalah atau tidak pun mereka tidak tahu. Apa yang mereka tahu, mereka dituduh kerana terlibat dalam KMM atau JI, tetapi tuduhan bukannya dibuat di mahkamah.

Terdapat juga isteri tahanan yang terpaksa mencari nafkah hidup bersendirian. Mencari apa jua kerja yang terdaya. Anak-anak tetap mahu dihantar ke sekolah. Buku, pakaian, kasut, beg, duit kocek dan duit yuran perlu dijelaskan tetapi sumber kewangan terbatas.

Seorang isteri tahanan memberi tahu pada satu ketika beliau bertemu dengan suaminya, salah seorang anaknya telah melakonkan aksi dalam iklan “Fair & Lovely” dengan meraut wajah ayahnya dan diletakkan di dada. Ayahnya terpinga-pinga apakah yang sedang dilakonkan. Si ibu menjelaskan bahawa walaupun mereka sering tidak bertemu tetapi si anak ingin menyatakan bahawa ayahnya sentiasa di hati. Si ayah terharu sehingga menitiskan air mata si ibu.

Terlalu banyak kesedihan dan kepiluan yang tidak mampu untuk disenaraikan buat tatapan semua tetapi apa yang boleh saya katakan, hidup mereka perlukan pembelaan yang sewajarnya.

Bantulah mereka yang perlukan pembelaan.

Rata-rata isteri tahanan ISA di Johor terpaksa belajar untuk berdikari. Ada di antara mereka sebelum ini adalah suri rumah sepenuh masa. Pada peringkat awalnya, ketika suami mereka ditahan, bantuan daripada pelbagai pihak masih mampu meringankan bebanan mereka.

Apabila harapan untuk melihat suami mereka dibebaskan semakin pudar warnanya, isteri-isteri tahanan sedar bahawa mereka tidak boleh selamanya mengharapkan simpati. Tulang empat kerat mesti dikerah untuk mencari sesuap nasi. Apa yang terdaya cuba diterokai untuk menyara anak-anak.

Pemuda BA Johor menubuhkan Badan Kebajikan Keluarga Tahanan ISA negeri Johor dengan harapan bantuan dapat disalurkan kepada mereka. Kita sedar bahawa Ramadhan akan tiba dan Syawal bakal menjelma. Tabung kebajikan perlu digerakkan bermula dari sekarang.

Awal tahun hadapan, sekolah akan bermula lagi. Buku sekolah perlu dibeli, pakaian sekolah bertukar ganti, kasut sekolah perlu dicari, beg sekolah mesti dicari dan duit kocek setiap hari perlu diberi.

Dengan keterbatasan ini Pemuda BA Negeri Johor akan komited untuk terus membantu.

PENYERAHAN MEMORANDUM KEPADA PENGARAH JABATAN AGAMA JOHOR

















Pertemuan dengan Pengarah Jabatan Agama Johor Datuk Haji Mohd Zaini dan penyerahan memorandum kepada JAJ untuk di ambil tindakan terhadap kumpulan Artikel 11 yang dijadualkan mengadakan satu forum di Johor Bahru pada 22 Julai 2006 yang akan datang.

Memorandum diserahkan oleh Dato Dr Haji Mahfodz kepada Datuk Haji Zaini. Memorandum ini diserahkan pada 18 Julai 2006.
 Posted by Picasa

PENYERAHAN MEMORANDUM KEPADA MENTERI BESAR JOHOR
















Di atas rasa keprihtinan, PAS Johor telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Johor melalui Ketua Setiausaha iaitu sdr Lokman.

Memorandum ini mendesak supaya Kerajaan Johor mengambil tindakan segera terhadap Kumpulan Artikel 11 yang cuba untuk mengadakan forum di Johor Bahru pada 22 Julai 2006 yang akan datang.
 Posted by Picasa

LAPORAN POLIS TERHADAP FORUM ANJURAN KUMPULAN ARTIKEL 11

Laporan Polis ini telah dibuat oleh Sdr Abd Hamid Bin Jamah, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Johor pada 18 Julai pukul 10.00 pagi bagi mewakili PAS negeri Johor.
 Posted by Picasa

SIDANG AKHBAR ISU FORUM ANJURAN KUMPULAN ARTIKEL 11














Sdr Ketua DPPNJ sedang mempengerusikan sidang akhbar di Johor Bahru oleh Dato Dr Haji Mahfodz Mohamad , Pesuruhjaya PAS Johor pagi semalam. Turut hadir, Tuan Haji Zulkefli Ahmad (TPJ PAS Johor), Ust Abdullah Husin (Ketua Dewan Ulama' PAS Johor) dan Sdr Suhaizan Kaiat (Exco DPP Pusat)
 Posted by Picasa

BERITA DARI HARAKAHDAILY

UMAT ISLAM DIGESA SEKAT KUMPULAN ARTIKEL 11
Wed Jul 19, 06 10:22:59 AM
Oleh Salman Hussin

JOHOR BAHRU, 19 Julai (Hrkh) - PAS Johor dan umat Islam di negeri ini mendesak Kerajaan Negeri menghalang cubaan Kumpulan Artikel 11 yang berhasrat untuk menganjurkan forum mengenai Kebebasan Hak (Human Rights) kerana tindakan mereka ini boleh menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam selain mengancam keselamatan negara.

Justeru kerana itu PAS Johor serta umat Islam di negeri ini mendesak Kerajaan Negeri membatalkan forum yang dijangka akan diadakan di Hotel Selesa Johor Bahru pada 22 Julai ini, kata Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfoods Muhamad, di sini, kelmarin.

Sebelum ini difahamkan Kumpulan Artikel 11 yang terdiri daripada 13 NGO ini telah cuba mengadakan forum yang sama di Pulau Pinang tetapi disebabkan bantahan yang hebat oleh umat Islam di negeri itu maka mereka terpaksa membatalkan forum ini atas arahan polis, katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Central, dekat sini, semalam.

Katanya lagi, kalau di negeri yang diperintah oleh pemimpin bukan Islam forum yang menyentuh sensitiviti umat Islam ini boleh dibatalkan maka tidak ada sebab mengapa negeri yang diperintah oleh pemimpin Islam tindakan yang sama tidak boleh dilakukan.

"Kita memandang serius tindak tanduk kumpulan ini, walaupun forum ini diadakan atas nama hak asasi tetapi mereka sebenarnya lebih cenderung untuk mencampuri hal ehwal urusan agama Islam sedangkan mereka bukan golongan yang berotoriti untuk bercakap soal Islam, mereka langsung tiada hak untuk bercakap soal Islam apatah lagi bila membabitkan isu-isu sensitif yang boleh menyentuh sensitiviti umat Islam,"katanya.

Sebaliknya jelas Dato’ Mahfoods lagi, kumpulan ini sebenarnya adalah pelobi kepada gerakan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang ditangguhkan penubuhannya oleh kerajaan tidak berapa lama dulu, hari ini mereka bergerak ke negeri-negeri bagi mendapatkan sokongan rakyat dalam usaha untuk merealisasikan penubuhan IFC ini dan seluruh umat Islam di negara ini mesti menentang usaha ini.

"Apa yang lebih menyedihkan kita, golongan yang hendak menghancurkan Islam ini turut dianggotai anak-anak pemimpin negara dan umat Islam sendiri.

"Kita sangat bimbang penglibatan individu yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin negara ini akan lebih memudahkan usaha mereka untuk menghancurkan umat Islam

"Bantahan ini dibuat bukan kerana kita tidak menerima konsep kebabasan hak tetapi kita ingin mempertegaskan bahawa sebarang usaha untuk mengadakan program yang bertujuan menghina Islam dan Undang-Undang Syariah sama ada secara langsung atau tidak mestilah dihentikan kerana ianya bakal mengundang perbalahan dan pertikaian antara penganut-penganut agama sehingga memungkinkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku,"jelasnya.

Dato’ Mahfoods juga mendesak, agar pihak-pihak terbabit seperti Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan juga pihak pengurusan hotel terbabit membatalkan forum ini.

Selain membuat laporan polis, Dato’ Mahfoods yang diiringi Timbalannya, Haji Dzulkifly Ahmad; Ketua Dewan Ulama, Ustaz Abdullah Husein; Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil serta beberapa pimpinan PAS Johor lainnya telah mengadakan pertemuan serta menyerahkan memorandum bantahan berhubung forum ini kepada Timbalan Mufti Johor, Dato’ Tahrir Shamsuddin, Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Dato’ Haji Mohd Zaini Osman, Ketua Setiausaha Sulit MB Johor, Lokman Abu Bakar serta Pengurus Besar Hotel Selesa Johor Bahru, Sy Hon.

Bagaimanapun usaha untuk menyerahkan memorandum ini kepada CEO Johor Corporations (Jcops), Tan Sri Mohd Ali Hashim, tidak dapat dilakukan kerana beliau tiada di pejabatnya. Jcops adalah anak syarikat Kerajaan Negeri yang memiliki Hotel Selesa tempat di mana forum ini dijangka akan diadakan pada Sabtu ini.

Sehubungan itu tegas Dato’ Mahfoods lagi, PAS Johor meminta PDRM melakukan siasatan terhadap forum yang hendak diadakan itu termasuk kumpulan artikel 11 yang terbabit dalam forum ini, selain meminta polis tidak mengeluarkan permit kepada penganjur forum ini. - mks.

15 July 2006

KUMPULAN ARTIKEL 11 CUBA MENCABAR UMAT ISLAM DI JOHOR

Kenyataan Media
(14 Julai 2006)


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) ingin mempertegaskan bahawa sebarang usaha untuk mengadakan program yang bertujuan menghina Islam dan menghina undang-undang syariah secara langsung atau tidak langsung perlu dihentikan khususnya di negeri Johor kerana ia bakal mengundang perbalahan dan pertikaian sehingga memungkinkan perkara-perkara yang tidak diingin akan terjadi.

DPPNJ membuat kenyataan ini di atas sikap untuk memastikan bahawa agama Islam tidak diperlekehkan. DPPNJ telah mendapat maklumat bahawa terdapat usaha-usaha yang sedang disusun oleh Kumpulan Artikel 11 iaitu kumpulan yang mengandungi 13 Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengadakan program yang pernah diadakan di Pulau Pinang pada 14 Mei 2006 yang lalu. Program ini telah mendapat bantahan secara besar-besaran di hadapan Hotel Cititel, Penang Road oleh Badan Anti Suruhanjaya Antara Agama – IFC (BADAI).

DPPNJ dimaklumkan bahawa program ini akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Bandaraya Johor Bahru pada 22 Julai 2006 yang akan datang. Kehadiran Kumpulan Artikel 11 ini ke Johor membuktikan bahawa golongan ini langsung tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam.

Bagi menangani perkara ini, DPPNJ akan cuba menggunakan setiap saluran diplomasi yang ada untuk memastikan program ini terbatal.

DPPNJ juga akan berusaha untuk membuat bantahan secara rasmi dan mendesak agar Jabatan Agama Johor serta Dato’ Nooh Bin Gadut selaku Mufti Negeri Johor menyatakan pendirian mereka dan seterusnya menghalang kumpulan Artikel 11 daripada meneruskan agenda mereka.

DPPNJ juga mendesak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Negeri Johor mengambil tindakan sewajarnya terhadap program ini. Terbukti bahawa ketika program ini diadakan di Pulau Pinang, tiada permit dikeluarkan oleh PDRM.

DPPNJ bimbang sekiranya usaha secara diplomasi gagal untuk dicapai, umat Islam yang selama ini sangat bertolak ansur akan hilang pertimbangan sehingga menimbulkan perkara yang tidak diingini.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 /013-7257085
http://dppnjohor.blogspot.com/
11.58 malam

14 July 2006

HIMPUNAN AMAN MENENTANG KEBINATANGAN ISRAEL











Himpunan aman ini telah diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Abu Bakar Johor Bahru petang tadi.

Di antara pimpinan PAS Negeri Johor yang hadir adalah Tuan Haji Zulkifli Ahmad (Timbalan PesuruhJaya PAS Johor), Ust Abdullah Husin (Ketua Dewan Ulama'),
Ketua DPPNJ, Sdr Aminuddin Ayud (Timbalan Ketua DPPNJ) dan Sdr Suhaizan Kaiat (Naib Ketua DPPNJ)
Sila rujuk blog http://pemudapasjb.blogspot.com/ untuk maklumat lanjut
Posted by Picasa

12 July 2006

KINI KU MENGERTI BETAPA ISA MENZALIMI RAKYAT - BICARA 1

Pembuka Bicara

Ini adalah pertama kalinya dalam sejarah saya memulakan penulisan berkaitan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), satu akta yang digunakan oleh kerajaan UMNO/BN untuk menangkap dan mengurung mereka yang disyakki terlibat dalam kumpulan subversif, haluan kiri dan penentang kerajaan.

Bukan bermakna saya tidak tahu tentang ISA tetapi rasa keprihatinan saya terhadap isu ini sangat minimum, malah saya kurang memberikan perhatian terhadap kezaliman yang dilakukan terhadap tahanan ataupun terhadap keluarga tahanan.


Pemuda BA Johor Pencetus Semangat

Apabila saya dilantik sebagai Pengerusi Pemuda BA Johor pada bulan Julai 2005, saya telah diamanahkan sebagai Pengerusi Badan Kebajikan Keluarga Mangsa ISA Negeri Johor. Agak kurang selesa pada awalnya kerana saya tiada pengalaman dalam isu ISA ini. Mujurlah teman-teman Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor (AMKNJ) memberikan peransang dan dorongan terhadap saya untuk menjalankan amanah ini.

Bulan Ramadhan yang lalu Pemuda BA Johor telah mengatur program berbuka puasa bersama keluarga mangsa ISA di Johor. Kami berjaya mengumpulkan sebanyak 9 buah keluarga yang terlibat. Itulah pertama kalinya di dalam sejarah hidup, saya menghadiri program bersama keluarga tahanan ISA.

Dari sinilah, saya mula menyelami kehidupan mereka ini. Apa yang menyentuh hati saya ketika itu adalah kehidupan yang terpaksa ditempoh oleh isteri-isteri tahanan yang tidak mempunyai pendapatan tetap, terpaksa mencari sesuap nasi dengan kemampuan yang ada.

Sukar untuk menyekat air mata daripada terus menitis apabila mendengar sendiri liku-liku hidup yang di lalui oleh anak-anak tahanan. Itu belum lagi termasuk keadaan anak-anak ini yang tertekan perasaan mereka. Mereka juga anak-anak biasa yang perlukan kasih sayang seorang ayah.

Mengenali Pak Abu Urwah

Kesempatan bertemu dengan Haji Saari Bin Sungip (Abu Urwah) dan isterinya Puan Aliza Binti Jaafar (Kak Jie) di dalam program Retreat Pemuda BA Johor dan Hari Keluarga Pemuda BA Johor pada 1 & 2 Julai 2006 baru-baru ini telah membuka ruang kepada saya untuk mengenali beliau dengan lebih dekat.

Pengalaman selama dua hari bersama Pak Abu dan Kak Jie sebenarnya memberikan penertian kepada saya untuk merasai keperitan hidup sebagai tahanan ISA dan isteri tahanan ISA.

Memang sebelum ini saya telah beberapa kali bertegur sapa dengan Pak Abu yang kebetulannya kami adalah bekas anak didik STAR, Ipoh. Cuma bezanya kali ini adalah kerana saya dapat mengenali beliau sebagai seorang bekas tahanan dan pejuang menentang kezaliman ISA.

Beberapa buku yang beliau telah terbitkan seperti Suara Dari Kamunting, SB oh SB…dan Shit Too serta artikel-artikel yang ditulis dan disiarkan di dalam harakahdaily (Terkini : Ramai yang tidak tahu hak dan fahami kezaliman ISA : 6 Julai 2006) dan Malaysia Today (Terkini : Sengsara Kem Kemunting siri ke 16 : 5 Julai 2006) mendorong saya untuk mendekati dan mengenali beliau.

Saya dapat melihat bagaimana gigihnya beliau dalam mengharungi hidup sebagai tahanan dan bekas tahanan.

Saya masih teringat kata-kata beliau bagaimana saat-saat beliau ditahan sehingga menimbulkan rasa ketakutan yang amat sangat kepada jiran-jiran. Apabila beliau telah dibebaskan pun, jiran-jiran masih lagi tidak berani untuk menegur sapa malah cuba melarikan diri apabila berselisih di jalanan.


Kak Laila Isteri Yang Gigih

Pada Muktamar PAS Pusat yang lalu saya berkesempatan bertemu dengan seorang isteri tahanan ISA yang terlibat dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Puan Norlaila Othman atau saya panggil beliau Kak Laila telah hadir untuk membantu GMI untuk memberian kesedaran tentang kezaliman ISA.

Walaupun pertemuan dengan Kak Laila hanya berlansung dalam masa yang agak singkat tetapi saya dapat melihat bagaimana kesungguhan beliau untuk berjuang bukan sahaja untuk membebaskan suaminya tetapi sehingga bertegas untuk memstikan ISA terus dihapuskan.

Pada 12 Jun 2006 yang lalu, sepatutnya suami Kak Laila dibebaskan, tetapi penahanan suaminya telah dilanjutkan selama 2 tahun lagi, bermakna Kak Laila akan ‘kehilangan’ suaminya untuk tempoh yang sangat panjang.

Saya memang agak berat untuk menghubungi beliau kerana saya yakin bahawa sudah tentunya kak laila sedang bersedih. Pada mulanya, hanya SMS yang saya hantar sebagai penguat semangat. Hanya seminggu selepas daripada itu barulah saya menelefon beliau. Hampir setengah jam saya dapat mendengar luahan Kak Laila.


Pertemuan dengan Keluarga Tahanan ISA Johor

Pada 9 Julai 2006 yang lalu, sekali lagi saya mengetuai rombongan Pemuda BA Johor menziarahi isteri dan keluarga tahanan ISA di Johor Bahru.

Keadaan mereka tidak jauh berbeza tetapi mereka kelihatan lebih tabah daripada Ramadhan yang lalu. Isteri-isteri tahanan telah mempunyai pekerjaan walaupun tidak seberapa pendapatannya tetapi masih berupaya memberikan sesuap nasi dan menanggung anak-anak untuk ke sekolah.

Dalam dialog bersama mereka yang dikendalikan oleh Ketua AMKNJ Sdr Nurin Aina, kami telah mendapat gambaran tentang kehidupan mereka ketika ini serta keadaan suami mereka di dalam tahanan.

Penutup bicara

Kini, baru saya tersedar bagaimana zalimnya ISA. Mungkin ada risikonya memperjuangkan nasib tahanan dan keluarga mangsa ISA ini, mungkin ada risikonya menentang ISA, mungkin ada risikonya meletakkan diri untuk berazam menghapuskan ISA. Tetapi perjuangan perlu diteruskan untuk memastikan ISA ini terus dihapuskan.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pengerusi Pemuda BA Negeri Johor
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.
019-7701830
13 Julai 2006, 1.05 pagi.

11 July 2006

RAMAI REMAJA MELAYU/ISLAM SUDAH MULA HILANG HARGA DIRI

Edisi Tengah: Gejala seks pelajar menengah meruncing (Harian Metro)

SEREMBAN: Gejala seks bebas di kalangan remaja terutama pelajar sekolah menengah umpama ‘api dalam sekam’ kerana berlaku secara ‘senyap’ tetapi semakin serius.

Faizi : Gejala seks bebas ni sama dengan penzinaan, remaja sekarang sudah tidak takut lagi dengan persoalan dosa dan neraka.

Lebih membimbangkan lambakan bahan lucah seperti menerusi telefon bimbit, internet serta video cakera padat (VCD) menyebabkan ramai remaja menjadi ‘gila seks’ sehingga ada di antara mereka sanggup bersekongkol dengan sindiket pelacuran semata-mata untuk memuaskan nafsu dan mendapatkan sumber kewangan dengan cara mudah.

Faizi : Kita tidak boleh nafikan bahawa kita tidak boleh lari daripada kepesatan teknologi yang semakin canggih. Tapi apabila sudah tidak terkawal termasuklah internet yang sekarang ini menjadi medan untuk mendapatkan bahan lucah, maka kita terpaksa menanggung akibatnya.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid), Masridzi Sat, berkata berdasarkan kajian yang dilakukan beliau di beberapa sekolah menengah di sekitar Lembah Klang didapati kira-kira 30 peratus remaja mengaku sudah terlanjur dengan pasangan masing-masing.

Faizi : Apa mereka nak heran, "Bukan aku sorang saja, kawan sekelas, kawan satu sekolah dan kawan-kawan lain pun dah pernah berzina, apa nak takut".

“Malah, kira-kira 70 peratus lagi mengaku ketagih menonton VCD lucah.

Perkara ini cukup membimbangkan kerana membabitkan pelajar beragama Islam.

Faizi : Adakah mereka ini faham apa itu Islam?. Kerajaan serius atau tidak nak beri kefahaman tentang Islam kepada mereka?


“Banyak faktor menyebabkan gejala ini semakin menular seperti mereka pernah terlanjur dengan teman lelaki, dirogol anggota keluarga, pengaruh bahan lucah, pengaruh kawan liar dan kemiskinan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Faizi : Sebab itulah Dewan Pemuda PAS Johor dan Pemuda BA Johor sangat prihatin dengan isu ini. Kita bimbang anak-anak remaja ini akhirnya akan hanyut dalam hidup mereka. Kita lah yang perlu membuat sesuatu untuk menyeamatkan mereka. Jangan harapkan kerajaan agensinya, sebahagian besar daripada mereka menjalankan tugas mengikut waktu kerja sahaja.


Wallhu alam

KEMALANGAN MAUT DI JALAN RENGAM -KLUANG

Posted by Picasa
Kemalangan ini berlaku lebih kurang pada pukul 6.15 petang semalam. Sebuah lori yang sarat dengan kayu balak yang dikatakan melebihi muatan telah terlibat dalam kemalangan ini. Sebuah kereta yang cuba mengelak daripada melanggar belakang lori tersebut ditimpa kayu balak tersebut. Kayu-kayu tersebut telah menghempap kereta tersebut dan menyebabkan pemandu dan penumpang kereta telah meninggal dunia ditempat kejadian.
Semasa kejadian tersebut, saya hanya dijarakkan dalam masa 10 saat dari tempat kejadian dan dari arah bertentangan. Saya tidak dapat bayangkan sekiranya saya tercepat 10 saat daripada masa perjalanan tersebut.
Sesungguhnya Allah penentu segalanya, masih ada masa untuk saya terus hidup. Masih ada masa untuk saya bertaubat dan beribadat.
Wallahu alam

MENZIARAHI KELUARGA TAHANAN ISA DI JOHOR

Posted by Picasa
Pada 9 Julai 2006, kira-kira pukul 5.00 petang, Jawatankuasa Pemuda BA Johor telah berjaya mengadakan pertemuan dengan isteri-isteri kepada tahanan ISA yang sebelum ini telah dituduh terlibat dengan kumpulan subversif dan kemilitanan yang mana dikatakan akan menggugat kestabilan dan keharmonian negara.
Saya, Sdri Nurin, Sdr Jalil dan beberapa orang lagi daripada Pemuda BA telah turut sama hadir dalam pertemuan ini.
Banyak perkara yang dapat dikongsi bersama dengan mereka. Bayangkan, ada diantara mereka yang telah lebih 5 tahun tidak dapat bersama suami tersayang. Khabarnya, ada diantara tahanan-tahanan ini sudah mula menghadapi tekanan perasaan dan mental. Mereka tidak bersalah tetapi ditahan di dalam keadaan tanpa dibicarakan.
Pemuda BA Johor telah bersetuju untuk membantu keluarga ini dengan semampu yang boleh. Bagi Pemuda BA Johor, apapun pertuduhan yang dilontarkan kepada mereka mestilah melalui proses perundangan yang betul, sekiranya mereka bersalah, dakwa mereka di mahkamah, bukannya ditahan seperti ini.
Mereka juga mempunyai isteri, anak-anak yang sedang membesar dan memerlukan kasih sayang sayang seorang bapa bagi membimbing mereka di dunia & akhirat.
Khairul Faizi Ahmad Kamil
Pengerusi Pemuda BA Negeri Johor
Pengerusi Badan Kebajikan Keluarga Tahanan ISA Negeri Johor

09 July 2006

BANTAH CUKAI HARTANAH SEGAMAT

Sebahagian daripada jawatankuasa dan peserta majlis dialog yang hadir. Posted by Picasa

BANTAH CUKAI HARTANAH SEGAMAT

Majlis dialog rakyat oleh Jawatankuasa Bertindak membantah penafsiran cukai Hartanah di Majls Daerah Segamat (MDS) telah diadakan di Restoran JJJ (Retoran Cina) di Segamat.

Matlamat majlis ini diadakan adalah untuk memberikan penjelasan terhadap kelemahan pentadbiran MDS yang telah menggunakan UTM sebagai badan untuk membuat penafsiran tersebut.

DPPNJ telah melantik sdr Aminuddin Ayub (Timbalan Ketua DPPNJ) untuk mempengerusikan jawatankuasa ini bagi pihak DPPNJ.

Maklumat lanjut,sila layari http://bantahmds.blogspot.com/
 Posted by Picasa

KARAOKE SEMPENA HARI KOKURIKULUM SEKOLAH

Saya telah hadir ke sebuah sekolah di Kluang yang mana kebetulan saya adalah merupakan bekas pelajar sekolah ini dan anak saya yang pertama pun bersekolah di sekolah yang sama.

Semalam sekolah ini mengadakan program hari Kokurikulum dan secara keseluruhannya program ini berjaya. Namun saya agak terkilan kerana terdapat acara karaoke untuk pelajar yang disediakan (rujuk gambar).

Sekali pandang seumpama mini konsert, lagu-lagu yang dinyanyikan (saya sempat mendengar 3 buah lagu) tidak membayangkan sebagai jati diri seorang pelajar melayu/muslim yang dahagakan ilmu.

Hari ini heboh dengan masalah disiplin pelajar sekolah, apakah dengan karaoke seperti ini mampu mengurangkan dan menghapuskan masalah ini?.

Saya bercadang untuk bertemu dengan guru besar sekolah tersebut dan beberapa teguran dan padangan akan disampaikan untuk kebaikan bersama.

Wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
 Posted by Picasa

04 July 2006

HARI KELUARGA PEMUDA BA JOHOR

Posted by Picasa
Ust Hasanuddin Yunus bergambar bersama dengan sebahagian peserta Hari keluarga Pemuda BA Johor pada 2 Julai 2006 yang lalu.
Ut Hasanuddin telah memberikan motivasi keluarga yang cukup berkesan kepada para peserta kerana motivasi ini berkaitan dengan peranan suami & isteri dalam perjuangan.

RETREAT PEMUDA BA JOHOR

Posted by Picasa Retreat Pemuda BA Johor telah diadakan di Dewan Seminar Sedeli Resort pada 1 Julai 2006. Retreat ini diadakan untuk membincangkan hala tuju Pemuda BA berpandukan kepada resolusi di dalam konvensyen yang lalu.
Tuan Haji Shaari Sungib (Pak Abu) telah bertindak sebagai moderator yang sangat berkesan.
Hasil retreat ini akan disiarkan kemudian.

PENYERAHAN MEMORANDUM DI BUKIT TIMBALAN JOHOR

Posted by Picasa Sdr Khairul Faizi Ahmad Kamil (Ketua DPPNJ) sedang memberikan penerarangan kepada wakil MB Johor tentang kegagalan beberapa badan kerajaan yang gagal membuat laporan audit sejak sekian lama.
Memorandum ini telah diserahkan pada 3 Julai 2006 dan diserahkan kepada Encik Md Sharil A Hamid, wakil MB Johor.
Turut hadir adalah Sdr Suhaizan Kaiat (Naib Ketua DPPNJ), Sdr Syed Dzulkefli (Exco DPPNJ) dan Sdr Zaaba Bin Ibrahim (Exco DPPNJ)

HARI KELUARGA PEMUDA BA JOHOR 2006

Posted by Picasa Peserta Hari Keluarga Pemuda BA Johor sedang khusyuk mendengar ucapan daripada Kak Jie (Aliza Jaafar) tentang pengalaman beliau menjadi isteri kepada tahanan ISA.
Program hari Keluarga Pemuda BA Johor ini telah diadakan pada 2 Julai 2005 di sedeli Resort, Kota Tinggi.
Lebih daripada 100 ahli keluarga terlibat sama di dalam program ini.