06 December 2007

Banjir: Peringatan Buat Rakyat Johor

Masih lagi segar di dalam ingatan semua rakyat Johor tatkala berlakunya satu fenomena 'Banjir Besar' yang melanda sekitar setahun yang lalu. Hujan renyai yang mulanya di sangka hanya hujan biasa rupanya membwa satu episod duka buat majoriti rakyat negeri ini.

Bukan satu suasana yang gembira apabila muka bumi Johor dipenuhi air. Ramai yang terkesima. Ramai yang tidak percaya. Sekian lama rakyat Johor hidup senang lenang tanpa perlu susah payah memikirkan bencana banjir, tetapi kuasa Allah merubah segalanya. Kesenanganan yang dinikmati sekian lama terhenti dengan kedatangan banjir besar yang bukan hanya sekali tetapi DUA kali! Satu fenomena yang boleh dianggap luar biasa oleh pihak tertentu. Ramai juga para pengkaji yang kebingungan dengan peristiwa banjir di Johor. Sedangkan sebelum ini banjir hanya sinonim di negeri pantai timur saja. Adakah suasana ini akan terus berlarutan di negeri selatan semenanjung selepas ini?

Setelah kira-kira setahun berlalu, rakyat Johor sudah mula mahu melupakan peristiwa pahit itu. Biarlah ia berlaku sekali seumur hidup. Tidak mahu banjir lagi. Tidak kurang ramai yang insaf tatkala banjir kerana menyedari akan kekuasaan Allah. Namun, insafnya hanya sementara. Bila sudah kembali senang, ada yang kembali seperti dahulu... Apabila turut di sogok dengan habuan yang mewah oleh pihak pemerintah dan golongan yang ada kepentingan.

Namun, keadaan cuaca bermula pada 5hb Disember 2007 yang lalu kembali merisaukan kebanyakan rakyat Johor. Satu keadaan cuaca yang seolah-olah 'serupa' sepertimana kisah duka permulaan banjir besar setahun yang lalu. Hujan tak berhenti-henti di hampir keseluruhan tempat. Tahun lalu, hujan tidak berhenti selama 3 hari telah dapat menenggelamkan bandara Segamat dan Kota Tinggi.

Adakah penghujung tahun 2007 ini juga akan mengalami peristiwa serupa seperti mana tahun yang lalu? Tentu ramai yang tidak mahu. Namun, kuasa Allah adalah segalanya. Bersedialah menghadapi sebarang kemungkinan. Insyallah, bagi pihak Dewan Pemuda Pas Johor khususnya melalui Unit Amal akan terus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. -DPPNJ

Johor Mula Dilanda Banjir

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Hrkh) -Beberapa daerah di negeri Johor mula dilanda banjir ekoran hujan lebat yang turun sejak petang semalam. -->

Menurut maklumat yang diterima Harakah, daerah Muar, Segamat, Batu Pahat, Kluang dan Labis telah mengalami banjir dengan para penduduknya sudah diarahkan berpindah ke kawasan penempatan banjir.
Seorang penduduk Kg Jawa, Segamat, Shamsul Hadi yang menghubungi Harakahdaily berkata, air banjir kini menghampiri paras lutut dan para penduduk kampung tersebut telah diarahkan berpindah.

Menurutnya, kejadian banjir kali ini tidak dijangkakan memandangkan keadaan panas beberapa hari sebelumnya.

"Bagaimanapun hujan mula turun selepas waktu Asar semalam dan berlanjutan hingga hari ini. Hujan makin turun dan bertambah lebat," ujarnya.

Shamsul juga memaklumkan bahawa kebanyakan jalan menghala ke Segamat telahpun ditutup dan bekalan letirik diputuskan secara berperingkat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Beliau juga mengucapkan syabas kepada anggota Unit Amal kerana sudahpun turun memberikan bantuan seawal banjir berlaku.

"Anggota Unit Amal sudah ramai kelihatan dan kami merasa terharu dengan keprihatinan mereka," katanya.
Sementara itu, pemberita Harakah, Salman Hussien yang kini berada di Labis memaklumkan keadaan banjir di daerah itu semakin buruk.-tajdid

17 November 2007

Unit Amal Johor di Himpunan Bersih


Kelihatan sebahagian petugas dari Unit Amal Johor berada di hadapan perarakan menjadi benteng pertahanan ahli himpunan.

13 November 2007

Dari Pasar Budaya Ke Istana Negara

Kira-kira pukul 12.15 tengahari tadi saya dihubungi oleh wartawan Malaysiakini untuk bertanyakan bagaimana peristiwa kumpulan penyokong BERSIH dapat melepasi halangan Polis untuk tiba di masjid negara.Saya juga telah membacaberita daripada Malaysiakini yang bertajuk Bagaimana 40,000 meloloskan diri dari kepungan polis? dan Bersih plays cat-and-mouse with cops.

Awalnya, saya tidak berhajat untuk menulis tentang perkara ini tetapi setelah membaca berita di atas, saya rasa perlu untuk saya menggambarkan dengan lebih jelas tentang kejadian tersebut. Saya telah diamanahkan untuk memulakan perhimpunan di Pasar Budaya (CM) yang menempatkan para penyokong BERSIH daripada negeri-negeri Selatan tanahair bersama sdr Amiruddin Shari, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).Inilah pertama kalinya saya diamanahkan untuk memimpin himpunan aman di sekitar lembah Klang. Walaupun ianya bukanlah satu perkara yang luar biasa tetapi bukannya di Kuala Lumpur. Sekadar untuk berdemonstrasi adalah perkara biasa tetapi bukannya untuk memimpin. Tapi tak apalah, sdr Amiruddin tentu dapat melaksanakan tugas ini nanti.

Kira-kira pukul 1.00 petang sdr Amiruddin menghantar SMS untuk memaklumkan saya supaya meneruskan amanah memimpin kumpulan di CM kerana beliau telah dihalang oleh pihak polis. Keadaan yang sukar menyebabkan beliau mungkin tidak akan ke CM.”Habislah aku!” bisik hati saya.Saya bergegas keluar daripada Bangunan PAS yang terletak di Jalan Raja Laut menuju ke CM menaiki LRT daripada stesyen Sultan Ismail dan turun ke Stesen Masjid Jamek. Di kawasan Masjid Jamek kelihatan ramai penyokong BERSIH telahpun berkumpul sambil menantikan arahan.Apabila tiba di CM saya dapati telah ramai penyokong yang telah berlegar-legar untuk menunggu arahan untuk bergerak. Bendahari PAS Johor, Haji Mustapha telah bersama saya untuk membincangkan strategi yang perlu dibuat.

Saya masih mengharapkan agar Amiruddin dapat meloloskan diri supaya dapat tiba di CM.Pada awalnya, saya mendapat arahan supaya memulakan majlis himpunan tersebut di kawasan pejalan kaki yang terletak di antara bangunan CM dan bangunan perniagaan yang terletak disebelahnya (Ada KFC)Lebih kurang pukul 2 petang pasukan polis telah mula ramai dan mereka membuat satu barisan untuk menghalang penyokong BERSIH daripada mengadakan perarakan menghala ke arah dataran Merdeka. Kesemua polis tersebut berdiri menghala ke arah Perhentian Bas Klang.Saya telah memberikan arahan kepada beberapa pemuda PAS Johor untuk mencuit kesemua penyokong BERSIH supaya bergerak perlahan-lahan secara berasingan melalui jalan koridor di hadapan bangunan tersebut dan akhirnya sebahagian besar daripada penyokong BERSIH berkumpul pula dibelakang polis yang berdiri.Kebetulan hujan turun dan kesemuanya lari mencari tempat perlindungan. Saya berbincang dengan sdr Tian Chua apakah strategi seterusnya memandangkan hujan telah turun dengan lebatnya.

Atas nasihat beliau, saya mengarahkan kesemua penyokong untuk berpindah ke Annexe Central Market.Saya menghubungi Datuk Dr Mahfodz supaya bergerak ke lokasi terbaru tersebut. Saya masih tertunggu-tunggu kehadiran Sdr Amiruddin Shari yang masih tidak dapat melepasi halangan pihak keselamatan.Bingung juga rasanya apakah yang patut saya lakukan kerana hujan semakin lebat dan saya sememangnya tidak begitu memahami apa yang sepatutnya dilakukan. Sdr Tian Chua mencadangkan agar kumpulan daripada CM bergerak daripada lokasi setelah hujan reda tetapi tidak dipersetujui oleh bahagian keselamatan BERSIH.

Saya pula masih teragak-agak untuk memulakan majlis himpunan kerana penyokong masih belum dapat dihimpunkan di kawasan tersebut. Ketika itu, saya dapat melihat kelibat beberapa pimpinan daripada pelbagai pihak seperti Datuk Dr Mahfodz (Pesuruhjaya PAS Johor), Ust Abd Ghani Abd Rahman (Pesuruhjaya PAS Melaka), Puan Irene Fernandez (MPT Keadilan), Dr Zaliha Mustafa (Naib Ketua Wanita Keadilan Pusat), Sdr Tan Hong Pin (Setiausaha DAP Johor), sdr Jalil Adam (Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor), sdr Adly Zahari (Exco DPP Pusat), Cik Elizabert Wong (Ketua Penerangan Wanita Keadilan) dan ramai lagi yang tak tersebut oleh saya.

Saya memulakan majlis setelah bahagian keselamatan memaklumkan kesemua penyokong BERSIH daripada lokasi yang lain telah memulakan perarakan.

Ucapan pertama saya.'Saudara dan saudari sekelian, saya membawa satu berita yang cukup gembira pada petang ini. Yang Mulia Yang Di Pertuan Agong telah bersetuju untuk menerima memorandum yang akan kita serahkan pada petang ini!'. Laungan 'Daulat Tuanku' diiiringi dengan Laungan 'Allahu Akbar' 'Reformasi' dan 'Hidup Rakyat' kedengaran berulang-kali tanda kegembiraan para penyokong kerana Yang Di Pertuan Agong membuka ruang yang diimpikan oleh semua.

Saya menyambung lagi 'Himpunan ini adalah himpunan aman yang tidak menggunakan kekerasan. Kami adalah rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan'.'Saya minta agar pihak polis tidak menghalang atau menimbulkan provokasi kerana ia sesungguhnya akan dimurkai oleh Yang Di Pertuan Agong' Dan banyak lagi yang saya katakan tetapi tidak perlulah saya coretkan kesemuanya.

Perarakan dimulakan dengan Puan Irene Fernandez berada dihadapan. FRU cuba untuk menghalang kami daripada terus bergerak ke arah dataran merdeka. Bila dihalang kami disebelah kiri jalan, kami bergerak ke arah kanan jalan, bila FRU bergerak ke arah kanan jalan, kami pun bergerak ke arah kiri jalan. Ibaratkan seperti sedang bermain ragbi, kami terus bergerak dalam satu kumpulan ke hadapan merempuh halangan FRU sehinggalah kami tiba ke lokasi yang terletak lebih kurang 15 meter daripada Dataran Merdeka (DM).Ketika itu, kami sudah tidak berupaya untuk merempuh benteng FRU yang cukup gagah dan kental kerana bilangan mereka sudah terlalu ramai. Ketika itu, sdr Tian Chua, Dr Mahfodz dan Ust Abd Ghani telah hilang daripada kumpulan.

Saya dan rakan-rakan lain semacam mati akal kerana rundingan dengan FRU untuk membenarkan kami meneruskan perjalanan telah gagal.Saya cuba hubungi ketua sdr Amir Shari dan rakan-rakan lain tetapi gagal. Dalam kebingungan tersebut, saya dimaklumkan bahawa terdapat satu jalan kecil yang membolehkan kita keluar daripada halangan tersebut untuk menuju ke masjid negara dan seterusnya ke Istana negara. Saya dapati bahawa jalan itu tidal dikawal dengan rapi oleh pihak Polis.Bagi mengelakkan FRU menyedari bahawa saya sedang menyusun langkah untuk mengeluarkan kesemua penyokong daripada sekatan tersebut, beberapa teman saya arahkan untuk terus bercakap, berteriak, melaung dan yang sewaktu dengannya bagi menumpukan pandangan mereka terhadap provokasi tersebut.Sdr Azlan (AMK Johor) terus berceramah sambil sesekali menyanyikan lagu 'We Want We Want Justice!'

Seorang kakak daripada Senawang yang membawa anak kecilnya turut memeriahkan suasana tersebut dengan ceramah dan syarahan yang cukup menikam kalbu. Pada masa yang sama saya bergerak bertemu dengan para penyokong BERSIH dengan mengarahkan mereka ‘mencuit’ tiga orang sahabat yang lain untuk keluar daripada kumpulan dan bergerak melalui jalan yang telah saya nyatakan tadi.Secara beransur-ansur, para penyokong BERSIH keluar daripada kepungan tersebut sehinggalah kami tinggal seramai lebih kurang 30 puluh orang sahaja!.

Apabila saya rasa strategi tersebut telah berjaya, saya terus membuat pengumuman.'Saudara sekelian, saya ingin memaklumkan bahawa sebahagian bersar daripada kumpulan kita telahpun selama sampai ke Istana Negara. Hanya kita sahaja seramai 30 orang ini yang tinggal bagi mengaburi mata. Pihak polis jangan tanya saya macamana rakan-rakan kami boleh tiba di istana.'

Seperti baru dipukau, FRU yang berada dihadapan kami terkejut dengan pengumuman tersebut. Saya yakin dan percaya mereka tertanya-tanya bagaimana mereka boleh terlepas pandang.Saya berbincang dengan Puan Irene Fernandez untuk strategi terakhir untuk membolehkan kami keluar daripada halangan tersebut. Kami bergerak semula menghala ke arah CM dan terus berpecah. FRU yang tadinya menghalang kami tidak berbuat apa-apa dengan membiarkan kami lalu sahaja.Akhirnya, kami daripada kumpulan 30 orang yang terakhir selamat juga sampai di hadapan Istana Negara.

Di sana, saya bertemu semula dengan sdr Azlan, Puan Irene dan kakak daripada Senawang dengan anak kecilnya.Sehingga ke saat saya menulis ini, saya masih tidak dapat melupakan saat-saat yang paling menarik tersebut. Mungkin ia tidak menarik jika dibandingkan dengan lokasi-lokasi yang lain namun ia tetap menjadi kenangan kepada saya.Apapun, segalanya adalah daripada pertolongan ALLAH. Dialah yang membuka ruang dan peluang untuk kita mencapai kemenangan dan kejayaan.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
http://minda-kembara.blogspot.com/
019-7701830

24 October 2007

Muar dilanda banjir teruk, Unit Amal PAS beri bantuan segera

MUAR, 22 Okt (Hrkh) - Hujan lebat berterusan selama empat jam mengakibatkan banjir kilat melanda tiga buah kampung dekat sini, memaksa penduduk dipindahkan ke tempat selamat.

Setakat ini, lebih 50 orang dari beberapa keluarga telah dipindahkan ke Pasti Parit Jawa berikutan pusat pemindahan banjir agak lewat dibuka pihak berkenaan.

Unit Amal PAS Kawasan Muar bertindak pantas menyelamatkan keluarga terbabit dan membekalkan bantuan makanan serta menyiapkan sarapan pagi untuk mangsa-mangsa terbabit sementara menunggu bantuan kerajaan.

Tiga buah kampung terbabit adalah Kampung Payar Lebar, Kampung Parit Shafie dan Kampung Parit Salman.
Harakahdaily difahamkan kawasan perkampung ini tidak terbabit dalam banjir besar yang melanda Johor tahun lalu dan dianggap antara kawasan penempatan yang selamat.

Bagaimanapun, hujan lebat sejak beberapa hari lepas membimbangkan penduduk.
Kampung-kampung terbabit mengalami banjir kilat yang agak teruk kerana air naik mendadak sehingga ke paras 1.5 meter dan di sesetengah kawasan air naik hingga ke tahap pinggang.

23 October 2007

Kenyataan Media DPPNJ: WPI : KEBIMBANGAN YANG MENJADI KENYATAAN

Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Tajuk : WPI : KEBIMBANGAN YANG MENJADI KENYATAAN

Kebimbangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) terhadap masa depan tanah-tanah milik golongan melayu/bumiputera akan tergadai mula menjadi kenyataan apabila Buletin Utama TV3 malam ini memaparkan bagaimana pemaju pembangunan sudah mula menawarkan kepada pemilik tanah untuk membeli tanah-tanah milik mereka sejak berkurun lama dengan harga yang cukup tinggi.

Seorang pemilik tanah telahpun mengakui bahawa telah menerima tawaran jualbeli tanah dengan harga RM 350 ribu bagi satu ekar tanah. Beliau menyebut bahawa proses jualbeli tanah tersebut telah diproses dan sedang menunggu penyerahan milik sahaja.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) yakin bahawa ramai lagi pemilik tanah yang telahpun merelakan tanah-tanah mereka untuk dibeli oleh mana-mana broker atau pemaju tanah dengan tawaran yang cukup lumayan.

Ketua Pergerakan UMNO Bahagian Gelang Patah yang turut ditemuramah mengharapkan agar penduduk yang terlibat supaya jangan mudah termakan pujuk rayu daripada broker-broker tanah tersebut. Beliau juga berharap agar agensi-agensi kerajaan dapat membantu memajukan tanah-tanah orang melayu yang terlibat dengan pembangunan dalam WPI.

Inilah ‘bencana’ yang cukup membimbangkan PAS seolah-olahnya pembangunan yang dicanangkan oleh kerajaan UMNO/BN kononnya akan membantu rakyat Johor terutamanya kepada orang melayu/bumiputera dalam WPI sebenarnya masih tidak dirancang dengan teliti sehingga menyebabkan agensi-agensi kerajaan terlambat untuk memikirkan apakah bentuk ekonomi yang dapat dibangunkan terhadap tanah-tanah milik orang melayu.

Bagi pemilik tanah, dengan tawaran RM 350 ribu untuk seekar tanah bukanlah satu tawaran yang mudah untuk dilepaskan dengan begitu sahaja. Menanti perancangan daripada agensi-agensi kerajaan sudah tentu melambatkan usaha pemilik tanah untuk menjadi ‘orang kaya segera’.

DPPNJ cukup bimbang dengan perkembangan ini kerana sudah pasti kampung-kampung tersebut akan hilang ditelan pembangunan sekiranya tanah-tanah kampung sudah terjual kepada broker dan pemaju tanah.Walaupun belum diketahui siapa yang menjadi pembeli tanah-tanah milik melayu/bumiputera ini tetapi ia akan tetap hilang daripada pemiliknya yang asal.

Kebimbangan DPPNJ bahawa sejarah kesilapan Sultan Husin Syah dan Temenggong Ibrahim menyerahkan Singapura kepada British serta kesilapan Tunku Abdul Rahman mengeluarkan Singapura kepada Malaysia pada tahun 1965 akan berulang bagaikan ‘luka lama berdarah kembali’ kepada seluruh rakyat Malaysia.Inilah nilai pembangunan yang digilai oleh pemimpin UMNO/BN yang tidak memikirkan pembangunan masa panjang.

Walaupun mereka tahu kesan buruk akan diterima oleh generasi depan terhadap pembangunan ini tetapi mereka lebih mementingkan keuntungan peribadi mereka sahaja.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://dppnjohor.blogspot.com/
http://minda-kembara.blogspot.com/
20 Oktober 2007

19 October 2007

Kenyataan Media DPPNJ - Isu Mat Rempit

Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Tajuk : Program Sukan Malam Gagal Tangani Masalah Mat Rempit

Pada 9 Januari 2007, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Datuk Seri Azalina Othman Said telah melancarkan program Sukan Malam bagi menangani masalah mat rempit di kalangan remaja.

Azalina menyatakan bahawa kajian terkini Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) mendapati para belia amat berminat dan optimis terhadap sukan tetapi tiada kemudahan disediakan untuk mereka.

Kesuntukan masa pada waktu siang menyebabkan para belia tidak mempunyai ruang yang cukup untuk bersukan justeru program seumpama ini dapat membantu mereka beriadah.

Program tersebut merangkumi program sukan bermotor seperti motosikal, kereta dan go-kart sementara bagi program sukan konvensional termasuk bola jaring, futsal dan 3 x 3 bola keranjang.

Saya pasti bahawa program Sukan Malam ini telahpun dijalankan di seluruh negara dengan perbelanjaan yang cukup besar melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana Azalina yakin bahawa kajian IPPMB telah dibuat dengan teliti.

Di Parlimen Kluang sebagai contohnya, penekanan terhadap Sukan Malam diberikan terhadap sukan Futsal. Kain rentang dan poster-poster diedarkan ke serata tempat bagi menarik golongan muda khususnya Mat Rempit untuk berhenti merempit dan beralih arah ke sukan Futsal.

Hakikatnya, mereka yang menyertai Futsal adalah golongan muda yang sememangnya menjadikan aktiviti tersebut sebagai aktiviti rutin mereka tetapi mat rempit terus memperuntukkan masanya dilitar lumba haram.

Hari ini, Azalina menyarankan pula agar semua kerajaan negeri dan kerajaan tempatan menyediakan kemudahan litar lumba sebagai kaedah terbaik membanteras gejala "Mat Rempit" atau lumba haram di kalangan golongan muda yang semakin berleluasa sekarang.

Apakah Sukan Malam telah gagal mencapai matlamat dan hasrat untuk menangani masalah mat rempit? Ataupun program Sukan Malam sememangnya dibuat untuk menghabiskan wang rakyat?

Saya bukan mempertikaikan kajian terkini IPPBM dan ‘hasrat murni’ Azalina untuk membenteras gejala Mat Rempit kerana mungkin pendekatan tersebut selari dengan pendekatan Islam Hadhari tetap adakah itu adalah masalah sebenar yang dihadapi oleh anak-anak muda sehingga mereka merempit.

Beliau perlu ingat bahawa mat rempit bukan sahaja menghabiskan masa dan nyawa mereka di atas jalanraya tetapi mat rempit terlibat juga dalam pelbagai kejadian jenayah seperti meragut, mencedera, memukul dan menyamun. Adakah dengan menyediakan litar lumba mampu menghalang mereka daripada menghentikan tindakan jenayah tersebut?.

Anak-anak muda yang merempit ini sebenarnya telah hilang pedoman dalam hidup mereka. Perlaksaan aktiviti yang tidak berlandaskan kepada Islam sudah tentu akan gagal mencapai matlamat untuk mengatasi masalah rempit ini.

Azalina seharusnya mengakui bahawa beliau masih gagal untuk menangani masalah mat rempit ini. Arahan kepada kerajaan negeri agar menyediakan kemudahan litar lumba sudah pasti akan menemui kegagalan sekiranya pembinaan insan berlandaskan Islam tidak dijadikan asas utama.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://dppnjohor.blogspot.com/
http://minda-kembara.blogspot.com/
18 Oktober 2007

18 October 2007

Kenyataan Media DPPNJ - Isu Feri Terbakar

Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Tajuk : Keselamatan Rakyat Mesti Diutamakan

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang telah maut dalam tragedi kebakaran sebuah feri penumpang Seagull Ekspress kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Tioman itu.

Empat mangsa yang maut dipercayai lemas dikenali sebagai Hoo Lee Lan, 67, dari Kuala Lumpur; Hong See Tiew, 53 dan Teh Siew Lian, 52, masing-masing dari Klang dan Tee Moi @ Haw Lee Maoi, 68, dari Batu Pahat.

Peristiwa yang berlaku pada 13 Oktober 2007 bersamaan 1 Syawal 1428 itu telah menggemparkan negara kerana ianya berlaku pada saat umat Islam sedang menyambut Hari Raya Idil Fitri yang pertama dan langkah keselamatan yang begitu rapi diberikan tumpuan di jalanraya bagi kenderaan darat.

Kemalangan ini yang melibatkan tiga anak kapal dan 103 penumpang feri Seagull Express turut mengakibatkan beberapa penumpang cedera parah ialah Yong Sai Yoon, 26; Lee Jhi Yin, 35; Chong Wing Yi, 7 dan Nga Lee Ling, 14 manakala tiga yang masih hilang ialah Wong Sing Ling, 37; Chong Yong Kim, 43, kedua-duanya dari Klang dan Wong Han Wan, yang umur dan alamatnya belum diketahui.

Pelbagai gambaran dan maklumat awal terhadap kejadian ini telah disiarkan oleh media. Kejadian berlaku ketika feri itu dalam perjalanan dari Jeti Mersing ke Jeti Genting Tioman. Diantaranya;

i. Jabatan Laut mengesahkan feri itu beroperasi secara haram dan tidak memiliki sijil untuk mengangkut penumpang. Maklumat terkini, Dua pegawai Jabatan Laut di Mersing berpangkat merinyu kapal telah digantung tugas berkuatkuasa serta merta, sementara menunggu siasatan tragedi malang feri terbakar dan karam di perairan Pulau Tioman Sabtu lepas.

ii. Pejabat Pelabuhan Mersing mengakui feri berkenaan pernah ditahan awal tahun ini kerana melakukan beberapa kesalahan dan masih belum dibenarkan beroperasi semula kerana gagal mematuhi syarat ditetapkan.

iii. Kapten feri bersama dua krewnya telah terjun awal tanpa mengambil apa-apa tindakan terhadap kebakaran feri tersebut. Feri tersebut juga dikatakan tidak mempunyai jaket keselamatan yang mencukupi dan berada dalam keadaan yang uzur.

Namun begitu, pengurusan Seagull Express menafikan pelbagai dakwaan terhadap ferinya yang terbakar dan karam dalam kejadian berhampiran Pulau Tioman, Pahang itu. Pengarahnya, Liew Ah Hua berkata bahawa;

i. Semua feri milik syarikatnya mempunyai lesen dan permit yang sah untuk menyediakan perkhidmatan penumpang ke Pulau Tioman dan pulau peranginan lain di negeri ini.

ii. Kejadian feri terbakar itu adalah kali pertama terjadi kepada syarikatnya juga menafikan ia membawa muatan berlebihan.

iii. Pihaknya hanya membawa kira-kira 100 penumpang pada hari berkenaan walaupun kapasiti feri ialah 120 penumpang.

iv. Feri Seagull menempatkan 150 jaket keselamatan di ruangan atas pada kiri dan kanan kabin.

v. Dua bot penyelamat yang ditempatkan di belakang feri.

vi. Kapten feri telah membuat pengumuman pada masa kejadian mengarahkan semua penumpang mendapat dan memakai jaket keselamatan tetapi mereka tidak mengendahkannya kerana terlalu panik.
Begitu juga kenyataan daripada kapten feri tersebut, Wan Fahrorozi Wan Naman yang menafikan bahawa beliau dan pembantu-pembantunya telah terjun awal ke laut sambil menegaskan beliaulah orang terakhir mencecahkan diri ke dalam air laut.
Apa yang membimbangkan adalah, setiap kali berlakunya bencana dan malapetaka maka barulah arahan tegas dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Apabila berlaku tanah runtuh maka arahan supaya setiap projek pembangunan dicerun-cerun bukit diperiksa supaya mematuhi syarat serta spesifikasi yang ditetapkan, apabila berlakunya kemalangan dan kematian yang melibatkan bas ekspress maka semua bas ekspress diperiksa sama ada mematuhi syarat serta spesifikasi yang ditetapkan dan begitulah juga kepada apa jua yang berlaku.

Persoalannya, adakah kita perlu menunggu sehingga saat berlakunya kemalangan dan kematian barulah penguatkuasaan diperketatkan? Ini adalah fenomena yang ‘normal’ dalam negara kita.

DPPNJ menegaskan bahawa unsur rasuah dan penyelewengan sudah pasti menjadi topik utama dalam peritiwa ini. Petuduhan oleh pihak berkuasa dan penafian oleh pihak pengusaha feri perlu diambil kira untuk menentukan siapakah yang bersalah terhadap isu ini.

Jika benar feri tersebut telah beroperasi secara haram dan tidak memiliki sijil untuk mengangkut penumpang serta pernah ditahan pada awal tahun ini masih boleh beroperasi tanpa sebarang tindakan maka sudah tentu terdapat kelemahan dalam penguatkuasaan yang sudah pasti dikaitkan dengan rasuah dan penyelewengan.

DPPNJ juga menegaskan bahawa sudah tiba masanya kerajaan mengambil serius terhadap keselamatan rakyat yang ketika ini sudah semakin tidak selamat berada dimana-mana pada setiap ketika. Jika sebelum ini keselamatan di jalanraya diberikan perhatian serius maka keselamatan penumpang dijalan laut juga perlu mendapatkan keutamaan.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://dppnjohor.blogspot.com/
019-7701830
Tarikh : 17 Oktober 2007
----------------------------------
Kepada Pak Lah : Bangunlah daripada tidurmu…

10 October 2007

Rombakan Jawatankuasa Pemuda BA Negeri Johor

Pemuda BA JOHOR








Jawatankuasa Pemuda Barisan Alternatif (BA) Negeri Johor yang telah mengadakan mesyuarat pada 7 Oktober 2007 telah bersetuju untuk membuat beberapa perubahan dalam struktur organisasi Pemuda BA Johor setelah berlakunya perubahan dalam jawatankuasa DPPNJ dan AMKNJ.

Sdr Jalil Bin Adam, Ketua AMKNJ telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Pemuda BA Johor menggantikan Puan Nurin Aina Binti Abdullah manakala sdr Mohd Faizul Mohd Salleh telah dilantik sebagai Setiausaha Pemuda BA Johor yang baru.
Bendahari Pemuda BA Johor pula telah diserahkan kepada sdr Zainal daripada AMKNJ. Perlantikan penuh jawatankuasa Pemuda BA Johor akan dimaklumkan kemudian.
Pemuda BA Johor juga merakamkan jutaan terima kasih kepada Puan Nurin Aina yang telah memberikan komitmen yang sangat tinggi selama ini terhadap penubuhan dan pengembangan Pemuda BA Johor.

Sesungguhnya pemergian beliau daripada AMKNJ dan Pemuda BA Johor sangat-sangat dirasai. Mudah-mudahan beliau akan terus menyumbangkan tenaga dan buah fikiran walaupun tidak bersama lagi dengan Pemuda BA Johor.

Pemuda BA Johor Turun Padang ke Kluang

Pemuda Barisan Alternatif Negeri Johor (BA Johor) telah mengadakan aktiviti turun padang di DUN Mahkota Kluang bersempena dengan bulan Ramadhan pada kali ini pada 7 Oktober 2007. Tahun lalu, aktiviti yang sama telah dijalankan di Batu Pahat.

Pada kali ini, bubur lambuk istimewa resipi dari negeri Trengganu telah diedarkan kepada masyarakat yang berada di sekitar Hentian Pengangkutan Awam Kluang, bazar Ramadhan Jalan Omar dan bazar Ramadhan Jalan Penghulu Kassim.

Risalah berkaitan dengan Tragedi Batu Buruk dan penjelasan tentang Wilayah Pembangunan Iskandar telah diedarkan. Pas kawasan Kluang yang turut hadir bersama dalam aktiviti ini juga mengambil peluang mengedarkan kad ucapan Idil Fitri. Sebanyak 3000 keping kad raya telah dan sedang diedarkan oleh PAS Kluang pada tahun ini.

Bagaimanapun, kehadiran Pemuda BA Johor di bazar Ramadhan Jalan Omar telah mendapat tentangan dan gangguan daripada Pemuda UMNO yang mendakwa bahawa kawasan tersebut adalah kawasan mereka. Pemuda BA daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah dikasari oleh petugas pemuda UMNO yang tidak berpuashati dengan tindakan mereka mengedarkan risalah tanpa mendapat kebenaran daripada mereka.
Tindakan yang telah dilakukan oleh pemuda UMNO ini sebenarnya mencerminkan sikap mereka yang tidak berfikiran terbuka terhadap parti politik yang lain sehingga mendakwa bahawa orang melayu di Kluang hanya menerima UMNO sahaja sebagai parti yang mewakili mereka.

Walau bagaimanapun, tindakan pemuda UMNO ini tidak melemahkan semangat anak-anak muda ini daripada meneruskan usaha mereka untuk menegakkan kebenaran. Selaku Pengerusi Pemuda BA Johor, saya merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh anak muda AMKNJ yang terus gagah untuk berdepan dengan situasi seperti ini.

Ikuti temuramah isu ini dalam tvpas.com dalam sehari dua ini.

Politik Kampus UTM: Tekanan ke atas PMI menjadi agenda utama.

Oleh: MM-mujahidah

Sejak awal lagi PMI (Persatuan Mahasiswa Islam) UTM, telah menerima pelbagai ugutan pembubaran andai kata PMI memasuki PRK(Pilihanraya Kampus) kali ini. Ini kerana HEP (Hal Ehwal Pelajar) UTM merasakan 14 kerusi yang dimenangi oleh mahasiswa pro-pembangkang pada sesi lepas terlalu banyak dan untuk kali ini, mereka seboleh-bolehnya mahu mencapai zero-pembangkang di UTM.

Jadi, antara usaha yang dilakukan oleh pihak HEP adalah seperti menghantar surat amaran kepada semua MT(Majlis Tertinggi) PMI supaya tidak terlibat dengan PRK(Pilihanraya Kampus), menukar penasihat PMI dengan mengambil individu yang dikatakan musuh utama PMI menjadi penasihat PMI yang baru, membekukan program-program , dan memberikan amaran-amaran terbuka.

Pada mulanya pihak PMI UTM menganggap semua yang berlaku sebagai perkara biasa dan mereka tidak boleh sewenang-wenangnya membubarkan PMI. Namun setelah beberapa insiden yang berlaku dalam organisasi mereka, mereka mendapati kemungkinan terdapat pihak yang bersembunyi dalam organisai mereka yang bersedia membongkar apa sahaja yang berkaitan gerak kerja organisasi bagi menghapuskan mereka sekaligus.

Justeru, setelah mempertimbangkan situasi tersebut, PMI UTM memutuskan untuk tidak berlawan secara terbuka untuk PRK kali ini, bagi memastikan survival PMI terjamin di masa akan datang. Oleh itu dengan kebijaksanaan dan strategi yang diambil oleh mereka, golongan pro-mahasiswa ini dipercayai memenangi 14 kerusi daripada 45 kerusi yang dipertandingan iaitu 8 di skudai , 4 di kampus KL dan 2 orang chinese juga telah menang di skudai menjadikan jumlah kerusi yang dimenangi oleh pro-mahasiswa adalah 14 kerusi. Maka ini menidakkan terus kenyataan yang dibuat oleh HEP iaitu " ..the opposition won only 4 general seats with 1 faculty seat" http://web.utm.my/today. Dengan itu, pro-mahasiswa UTM masih lagi menjaga reputasi mereka dengan baik kerana berjaya mengekalkan jumlah kerusi yang dimenangi pada musim PRK yang lalu.

Lagi tentang provokasi terhadap PMI

Antara provokasi yang dilakukan oleh pihak aspirasi menjelang hari pengundian termasuklah pengedaran risalah pembongkaran 'strategi PMI’ yang tidak diketahui dari mana sumbernya. Terdapat juga surat terbuka daripada gerakan kristianisasi yang menyatakan sokongan terhadap aspirasi dan mengecam PMI kerana menyekat pergerakan mereka.

Apapun HEP sentiasa menuding jari kepada PMI atas segala sebaran haram yang diedarkan dan ini memberikan keselesaan kepada puak aspirasi untuk mengeluarkan apa sahaja dan terus menuduh PMI mnyebarkan fitnah walaupun ianya tidak berasas. Namun, sedikit sebanyak dakwaan-dakwaaan tersebut menjadi gangguan kepada pihak PMI kerana menyebabkan persepsi yang buruk dan perasaan curiga/syak wasangka dikalangan pelajar.

Begitulah antara tekanan yang dilalui oleh PMI UTM menjelang PRK baru-baru ini. Penulis juga meyakini bahawa perkara yang sama juga turut menimpa PMI di kampus-kampus yang lain. Dengan tekanan-tekanan yang dikenakan ke atas organisasi Islam kampus ini, menunjukkan demokrasi PRK ke atas mahasiswa Islam telah dicabul haknya.

Apabila ini berlaku, mana mungkin golongan pro-mahasiswa yang rata-ratanya juga adalah pro-Islam dapat menampilkan diri untuk memperjuangkan nasib mahasiswa. Bagaimanakah mahasiswa Islam yang tinggi sahsiyahnya, dan terserlah keintelektualannya dapat diberi mandat untuk mengisi tempat tertinggi di kampus. Apakah alasan yang sebenarnya sehinggakan mahasiswa Islam ditindas sebigini rupa.
Ini, tidak lain dan tidak bukan, adalah kesan-kesan kotor jari jemari pihak atasan universiti yang bermukakan Islam tetapi dimurtadkan minda dan hatinya. Buat mahasiswa-mahasiswa Islam di luar sana, teruskan perjuangan kalian. Sudah semestinya perjuangan yang mahal itu, adalah penuh dengan onak dan durinya.

07 October 2007

Ihya' Ramadhan bersama Imam Muda Negara China

Petang semalam, Lujnah Perpaduan Nasional DPPNJ dengan kerjasama DPPK Tebrau telah mengadakan Program Ihya' Ramadhan bersama-sama dengan 3 orang Imam Muda dari Tanah Besar China. Mereka seramai 30 orang dihantar ke sini bagi menghidupkan lagi karnival ibadah sempena bulan Ramadhan dengan menjadi imam terawih dan pentazkirah di seluruh Malaysia.

Johor merupakan antara negeri yang mereka lawati sepanjang bulan Ramadhan ini. Dan, pada petang semalam, kami sempat menjemput 3 daripada 30 orang imam ini untuk bersama-sama dengan pemuda PAS bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan puasa ini. Sebelum ini mereka menyebut bahawa mereka telah melawat Kelantan dan amat bergembira kerana negeri itu dipimpin oleh Hizbi Islami saat ini.

Dari kiri, Akhi Uthman, Akhi Huda dan hujung sekali adalah Imam Muda yang paling muda iaitu Akhi Adam.
Sewaktu Akhi Huda memberi tazkirah, beliau banyak kali menyebutkan kekesalannya kerana ramai orang Cina di Malaysia langsung tidak tahu mengenai Islam. Mereka berkata bahawa Islam di sini yang mereka fahami adalah agama yang semata-mata khusus untuk orang Melayu sahaja. Lantas, ramai yang terus berada dalam kesesatan dan menyembah berhala.

Ini merupakan satu musibah dan masalah yang amat besar apabila golongan Cina merasakan bahawa Islam hanyalah untuk orang Melayu semata-mata.
Beliau juga menyebut bahawa orang Islam di negara ini khasnya orang Melayu perlu menampilkan akhlak yang baik untuk menyeru golongan Cina ini kepada Islam. Bagaimana mereka boleh dan mampu tertarik kepada Islam seandainya akhlak muslim sendiri adalah sama ataupun lebih teruk daripada mereka.
Khairul Faizi yang hadir sebagai Ketua DPPNJ dan juga Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional DPPP sempat memberikan sedikit kata-kata harapan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha untuk membentuk gerak kerja dakwah yang lebih berkesan pada masa yang akan datang.
Saudara Adam menjadi wakil menerima sedikit cenderamata daripada DPPNJ berbentuk kain samarinda.
Saudara Uthman pula menerima tiga naskhah Tafsir Al-Quran dalam bahasa Cina.

---------------------------------------------------------

Admin : DPPNJ mengucapkan tahniah kepada sdr Nazman yang terus proaktif dalam menggerakkan Lajnah Perpaduan Nasional DPPNJ.

06 October 2007

Isu Perkahwinan dan Percintaan Campur




DPPNJ memandang serius berkaitan perkahwinan campur yang mula memasuki fenomena Malaysia. Berikut bebrapa pandangan daripada rakan blog DPPNJ.

------------------------------------------------------------------------

Kisah ini tiada kaitan dengan Tan Hong Ming rakan baikku daripada DAP Skudai (Hehe, Tan, jangan marah yea (^_^) ).
Ianya adalah iklan yang kita lihat di TV baru-baru ini. Bagiku ianya adalah lanjutan daripada indoktrinasi yang Sepet, Gubra dan Mukhsin ingin tanamkan dalam minda dan sanubari anak-anak Islam hari ini.
Ramai sahabat-sahabat daripada NGO dan parti lain yang bertanyakan kepadaku kenapa tidak boleh kahwin campur? Kenapa menyekat cinta antara dua insan atas alasan mereka berlainan agama? "Ini telah menyekat hak asasi manusia", kata rakan-rakanku.

Hari ini kita dapat melihat pada kebanyakan kereta di Malaysia, di cermin belakang kereta warga kita akan tertulis "Islam is the way of life", "Hinduisme is the way of life", "Jesus is Lord" dan sebagainya. Bermakna ramai antara penganut-penganut agama yang berlainan di negara kita mahu mengamalkan ajaran masing-masing secara serius dan ingin memberitahu orang lain (melalui pelekat-pelekat di cermin kereta ini) bahawa agama merekalah 'the way of life'.
Apabila agama masing-masing dianggap sebagai cara hidup, ia juga bermakna bahawa agama mereka mempunyai sistem dan hukum hakam, ataupun ajaran yang tersendiri. Maka setiap daripada kita mahu mengamalkan sistem beragama mereka dalam kehidupan harian.Begitulah juga dengan orang Islam, yang mahu, dan perlu (wajib) mengamalkan seluruh ajaran agamanya sebagai satu sistem hidup yang lengkap. Dalam kes perkahwinan campur misalnya, Islam menetapkan bahawa muslim hanya boleh ataupun dibenarkan berkahwin dengan muslim sahaja. Dan, semua muslim wajib menerima arahan ini sebagai salah satu hukum, dan syarat yang terletak di dalam ajaran Islam, sebagai satu sistem hidup.
Sama seperti orang Hindu yang tidak dibenarkan memakan daging lembu kerana itu adalah ajaran agama mereka. Mereka menurut arahan itu dengan patuh sebagai satu sistem hidup mereka. Orang Kristian pula hadir ke gereja pada hari Ahad kerana itu suruhan paderi dan 'alim ulama' mereka.
Lantas, tidak adil dan zalimlah kita jika memaksa orang Hindu untuk memakan daging lembu. Kita juga jahat jika memaksa orang Kristian untuk ke gereja pada hari yang lain selain Ahad, malahan tidak membenarkan mereka ke gereja pada hari tersebut. Zalim jika begitu wahai sahabat-sahabat. Kerana apa? Kerana mereka menerima perkara itu sebagai satu arahan agama mereka yang dianggap sebagai sistem hidup mereka. Samalah juga dalam kes ini. Perkahwinan campur antara orang Islam dan penganut agama lain tidak dibenarkan. Ianya adalah aturan hidup kami. Cara hidup kami. Sistem kami. Dan yang paling terutamanya adalah ia merupakan perintah daripada
Lantas, marilah kita saling menghormati sistem dan ajaran agama setiap daripada kita. Janganlah kita bercakap soal hak asasi secara wewenang pada tempat yang tidak sepatutnya ia disebut.
Bersama membina jaringan kefahaman yang lebih mendalam antara kita semua.
PAS For All..

-------------------------------------------------------------------

Iklan tersebut memaparkan sesi temubual seorang wanita kepada seorang pelajar lelaki cina bernama Tan Hong Ming. Pertanyaan adalah berkaitan soal cinta. Tan Hon Ming berkata ia suka kepada seorang pelajar perempuan bernama Umi Qazrina. Bila ditanya pula kepada Umi Qazrina siapa 'boyfriend'nya ia menjawab Tan Hong Ming. Iklan itu diakhiri dengan dua pelajar tersebut berlalu sambl berpegang tangan dan yang akhirnya adalah tulisan 'Kanak-kanak memahaminya.
Apa yang kanak-kanak itu faham? Apa mesej yang mahu disampaikan kepada rakyat oleh Petronas? Adakah mahu menyatakan bahawa bercinta sudah boleh sejak dari sekolah rendah? Dan yang paling utama, bolehkah percintaan berlainan agama sudah tiada halangan lagi bersempena dengan kemerdekaan negara yang ke 50? (iklan itu adalah sempena hari merdeka yang ke 50)
Adakah melalui iklan ini, memberi gambaran bahawa selepas ini, perkahwinan campur yang melibatkan berlainan agama sudah tak menjadi masalah lagi. Setiap pasangan bebas memilih siapa sahaja yang berlainan agama tanpa susah-susah untuk menukar kepada agama islam. Perkara ini adalah satu fenomena janggal yang mula diperkenalkan kepada masyarakat bahawa sudah tidak ada gunanya lagu hukum hakam agama. Alasannya mungkin: Kasih sayang melebihi segalanya!
Adakah petronas sudah tidak ada idea lain yang sebelum ini terkenal dengan penyampaian iklan yang sarat mengandungi mesej berjiwa rakyat. Apabila iklan seperti ini rakyat memandang dengan sambil lewa, ini adalah satu isyarat bahawa keadaan semakin bertambah bahaya. Tidak mustahil anak-anak kita yang sekolah akan terjamin keselamatannya! Mungkin anak-anak kita juga terjerat seperti mana adegan di dalam iklan itu. Anda mahu anak anda berkahwin dengan orang yang berlainan agama? Selepas itu, lahir anak, anak itu pula agama apa?
Nah, inilah satu agenda terancang yang disusun secara teliti oleh pihak penjahanam Islam. Jika sebelum ini terdapat pihak seperti IFC yang secara terang mendesak melakukan gubalan khas berkaitan perihal agama termasuk antaranya perkahwinan bebas antara agama, sekarang mereka sudah tidak bergerak secara terangan. Mereka bergerak secara halus melalui iklan2, drama2, filem2 dan sebagainya.
Jika kita masih ingat, dulu pelakon Bollywood ramai yang berlakon begini. Tidak ada siapapun yg marah. Kini keadaan yg sama akan berlaku di Malaysia secara berperingkat. Melihat iklan petronas ini dan juga drama Daun Kesum Daun Kari yang yang tonton siang tadi, saya berpendapat, inilah dia satu agenda pemusnah Islam. Islam akan dimusnahkan secara senyap. Secara diam-diam. Dan kemuncaknya, kuantiti murtad akan menjadi semakin bertambah. Dan akhirnya nanti, Islam akan terus dipandang asing. Orang yang menutup aurat dianggap kolot. Orang yang bersolat dikatakan membuang masa. Orang yang berkata perihal agama akan dianggap pengacau dan mesti dihapuskan segera.

02 October 2007

Ketua Pemuda Sri Gading Kemalangan!

Malang tidak berbau. Begitulah yang menimpa kepada sahabat pemuda daripada kawasan Sri Gading yang terlibat di dalam kemalangan sewaktu di dalam perjalanan pulang daripada program Himpunan Pemuda Pas Johor.

Turut terlibat dalam kemalangan tersebut adalah Ketua Pemuda Pas Kawasan Sri Gading iaitu Sdr Jamaludin bin Husin beserta dua orang AJKnya iaitu Sdr Rizal dan Sdr Md Noh.

Kereta Proton Wira yang dipandu Sdr Rizal melanggar sebuah lagi kereta Proton Wira hitam yang datang dari arah yang bertentangan. Pemandu Proton Wira yang berketurunan Cina tersebut melarikan diri. Kejadian berlaku berhampiran Pusat Pertanian di Sungai Sudah, Muar.

Sahabat yang terlibat dalam kemalangan tersebut dihantar dengan ambulan ke klinik Sri Menanti dan menerima rawatan sebagai pesakit luar. Keadaan mereka dilaporkan stabil.

Himpunan Pemuda Berjaya!

Himpunan Pemuda PAS Negeri Johor yang telah berlangsung di Markas PAS Parit Pechah telah berjalan dengan baik dan sempurna. Kehadiran pada malam 29 September 2007 juga amat membanggakan bagi memberi suntikan kepada semangat pemuda khususnya untuk terus berusaha memberikan kerjasama yang terbaik kepada PAS.

Bermula dengan program gotong royong menyembelih dan melapah lembu pada pagi Sabtu 29 September, hinggalah doa wehdah dibaca pada pagi Ahad 30 September 2007. Semua program berjalan dengan baik dan lancar. Gotong royong menyembelih lembu telah disempurnakan oleh Dato Dr Mahfudz Bin Muhammad, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ust Abu Bakar Bin Lajat, Yang Di Pertua PAS Kawasan Muar dan Saudara Malik Bin Mohd Diah, Setiausaha PAS Kawasan Muar.

Seterusnya hasil sembelihan tersebut telah di agihkan kepada masyarakat di sekitar Kawasan Muar berserta dengan beberapa barangan lain. Himpunan Pemuda ini telah mendapat suntikan dari Naib Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Bin Sabu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Saudara Salahuddin Ayub dan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi. Semoga kerja-kerja seumpama ini akan dapat dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memberikan natijah yang baik khususnya kepada PAS Kawasan Muar, dan imej PAS secara keseluruhannya.

Sumber: Blog DPP Muar

25 September 2007

KENYATAAN MEDIA

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mengucapkan tahniah kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kerana telah berjaya mengadakan kempen memboikot para peniaga yang menaikkan harga barang keperluan pada 23 Oktober 2007 yang lalu.

Kempen yang dijangka akan disambut oleh tiga juta ahli gabungan kedua-dua kesatuan ini bertujuan untuk mengembalikan hak pengguna dalam menentukan harga barang serta menundukkan kuasa pembekal dan peniaga menjelang musim perayaan.

Ahli kedua-dua pertubuhan itu disarankan tidak ke pasar selama dua hari dalam seminggu bagi menyokong langkah tersebut kerana ianya akan memberikan kesan yang besar terhadap peniaga dan pembekal barangan keperluan.

Presiden CUEPACS, Omar Osman bersama dengan Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud telah bersama-sama dalam kempen Boikot Harga Barangan Keperluan di Plaza Tol Sungai Besi arah Seremban telah menyebarkan sebanyak 30 ribu risalah kepada pengguna.

Kempen ini telah mendapat sokongan daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd. Shafie Apdal walaupun beliau tidak dapat menyertai kempen tersebut walaupun telah dijemput oleh kesatuan-kesatuan tersebut. Beliau mengingatkan agar orang ramai tidak memboikot semua peniaga kerana ia secara langsung akan memberi kesan tidak baik kepada ekonomi negara tetapi hanya memboikot peniaga yang menaikan harga barangan.

Sebelum itu, Presiden CUEPACS telahpun membuat kenyataan supaya penguna memboikot membeli ayam sebagai tanda protes terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan sewenang-wenangnya harga siling ayam menjelang musim perayaan.

Sebelum daripada bermulanya bulan Ramadhan, kebimbangan penguna bahawa pesta menaikan harga barang akan bermula. Pengumuman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai pemantauan harga 17 jenis barang kawalan sebenarnya bukan melegakan pengguna tetapi menambahkan kebimbangan bahawa harga barangan ini akan dinaikkan oleh pembekal dan peniaga.

Bermula dengan pengumuman kerajaan pada 21 Mei 2007 bahawa akan berlakunya kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus berkuatkuasa 1 Julai 2007, Gesaan agar KPDNHEP terus mengadakan pemantauan terhadap kenaikan harga barang kerana kebimbangan tersebut adalah berasaskan kepada pengalaman terdahulu dan dilihat seperti memberikan impak yang baik kepada pengguna.

Namun, sikap pemantauan bermusim yang cukup sinonim dengan KPDNHEP berterusan ditambah lagi dengan pelbagai isu yang melanda seperti masalah disiplin pelajar, masalah cuti bersalin, kemalangan jalan raya membabitkan bas ekspres di Bukit Gantang Perak, kehilangan Nurin Jazlin dan masalah keselamatan yang menimpa negeri Johor serta seluruh negara telah melenyapkan seketika isu kenaikan dan pemantauan harga barangan.

Apabila hampir tiba bulan Ramadhan barulah usaha untuk memantau harga barangan dipergiatkan semula sedangkan sebelum daripada Ramadan lagi terdapat barangan kawalan telahpun dinaikan harga.

DPPNJ menyokong kempen yang dilancarkan oleh gabungan kesatuan ini tetapi tindakan susulan yang proaktif mestilah disusun dengan lebih baik agar ianya memberikan kesan kepada peniaga-peniaga yang masih berdegil untuk menaikkan harga barang.

Kempen kesedaran kepada pengguna mestilah berterusan agar mereka memahami kenapa kempen untuk tidak ke pasar basah selama 2 hari seminggu dilancarkan.

DPPNJ juga ingin mempertegaskan bahawa ketidakmampuan untuk mengawal kenaikan harga barangan kawalan dan bukan kawalan menambahkan lagi episod kelemahan dan kegagalan kerajaan yang memerintah ketika ini.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Pengerusi Lajnah Penguna & Alam Sekitar PAS Johor
http://dppnjohor.blogspot.com/
25 September 2007

07 August 2007

Runtuhnya Akhlak Pelajar Sekolah di Malaysia


Harian Metro bertarikh 4 Ogos 2007 menyiarkan berita bertajuk “9 pelajar menangis minta maaf”. Berita ini berkaitan dengan isu bagaimana seorang pelajar perempuan telah dibelasah dan dirakamkan aksi bogel di Felda Keratong baru-baru ini. Dilaporkan bahawa Sembilan pelajar yang terlibat dalam ‘keganasan’ ini telah memohon maaf sambil menitis air mata keinsafan sebaik mengulurkan sepuluh jari kepada mangsa.

Majlis penuh pilu itu diadakan di Sekolah Menengah Felda Keratong I, di sini, dengan disaksikan ibu bapa sembilan pelajar terbabit dan Shashim Shah Harun, Pegawai Khas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar kira-kira jam 3.30 petang semalam (3 Ogos 2007).


Saya tidak pasti apakah punca sebenar pelajar-pelajar perempuan ini bertindak ganas sebegitu rupa tetapi alasan yang diberikan bahawa tindakan mereka kerana terdorong kerana sikap panas baran meninggalkan pelbagai tanda-tanya kepada saya dan mungkin juga kepada masyarakat umum.

Harian Metro pada 31 Julai 2007 melaporkan bagaimana kronologi kejadian ini ;

i. mangsa dikunjungi dua rakan sebelum dipelawa minum air batu campur di sebuah warung, kira-kira jam 4 petang. Tanpa mengesyaki sesuatu, mangsa kemudian menunggang motosikal manakala dua rakan menaiki kereta Perodua Kancil ke rumah seorang lagi rakan tidak jauh dari rumah mangsa untuk mengajaknya keluar.

ii. Sebaik tiba di rumah itu, tujuh rakan menunggu di ruang tamu manakala ibu bapanya tiada di rumah.

iii. Mereka kemudian bertanya kepada mangsa sama ada mengejek seorang daripada mereka dengan gelaran ‘gemuk’ dan apabila mangsa mengakuinya, kumpulan pelajar sangseng ini menarik rambut, menumbuk dan menyepak mangsa sehingga tersungkur.

iv. Kumpulan pelajar samseng ini bertindak ganas seperti `singa betina’ terlepas sangkar terus membuka baju-T dan seluar jeans dipakai mangsa sebelum memotong tali baju dalam dan seluar dalam mangsa.

v. Mangsa cuba meronta dan menangis serta merayu tidak diperlakukan sedemikian dan dilepaskan tetapi sembilan rakan itu tidak mempedulikan mangsa.

vi. Ketika dibogelkan, tiga daripada mereka merakamkan gambar mangsa tanpa pakaian menggunakan telefon bimbit sebelum diugut tidak menceritakan kejadian itu kepada keluarga.

vii. Jika mangsa ingkar, mereka mengancam menyebarkan gambar bogel itu selain mengupah lelaki merogol mangsa di depan mereka.

Peristiwa hitam ini bukannya berlaku di New York, Manhattan atau di Los Angeles tetapi berlaku di Felda Keratong di negeri Pahang yang melibatkan anak-anak melayu beragama Islam yang juga generasi kedua FELDA. Sudahlah dibelasah tanpa belas kasihan, pakaian ditanggalkan, pakaian dalam dipotong dan dirakamkan perbuatan terkutuk itu melalui kamera telefon bimbit.

Ustazah seks?

Sebelum itu, pada 2 Ogos 2007 Harian Metro telah melaporkan mengenai ketua kumpulan yang membelasah dan merakamkan gambar bogel ini digelar ‘ustazah seks’. Gelaran itu dilabelkan kepada beliau kerana perangai dan perwatakkan beliau yang berbeza diluar dan di dalam waktu sekolah.

Difahamkan, ketika di sekolah, ketua kumpulan samseng terbabit dikatakan begitu baik termasuk bertudung seperti ‘ustazah’, sebaliknya berubah perangai dan gaya seperti ‘bohsia’ dan gemar bertukar teman lelaki di luar waktu sekolah. Pelajar terbabit didakwa :-

i. gemar bergaul dengan ramai lelaki tanpa mengira usia tidak kira siang atau malam selain dikatakan sering bertukar teman lelaki.

ii. semua lelaki muda dikatakan mengenali pelajar terbabit berikutan perangainya itu selain memiliki daya ‘penarik’ untuk menggoda lelaki terbabit sebelum diajak keluar bersama.

iii. watak penggodanya mampu memanggil beberapa lelaki lain supaya merogol mangsa jika mangsa menceritakan kejadian malang itu kepada keluarganya.

iv. mengugut mangsa membuktikan pelajar itu tidak takut dengan undang-undang kerana yakin perbuatannya akan dimaafkan ibu bapa mangsa selain dapat meneruskan semula persekolahan seperti biasa.

Inikah ertinya kemerdekaan kita?

Mungkin inilah nilai kemerdekaan kita dibawah kepimpinan UMNO/Barisan Nasional sejak 50 tahun yang lalu. Rakyat didesak untuk meraikan kemerdekaan tetapi terlalu banyak kepincangan yang menghantui rakyat termasuklah isu ekonomi, keselamatan dan masa depan generasi muda.

Kita mungkin tidak dapat pernah menyangka bahawa pada ketika ini kita akan berhadap dengan masalah sosial generasi muda yang runtuh akhlaknya. Kisah yang melibatkan penderaan terhadap seorang pelajar perempuan oleh rakannya sendiri di Felda Keratong ini sudah pastinya menggusarkan kita.

Apa yang cukup bimbang adalah kejadian ini melibatkan sekumpulan pelajar perempuan yang merupakan anak-anak melayu daripada generasi kedua FELDA. Bayangkan, anak-anak perempuan kini mampu dilabelkan sebagai ‘samseng’ bukan sekadar mengugut tetapi sanggup memukul, membogelkan dan merakamkan gambar bogel rakan mereka sendiri.

Saya tidak nafikan ramai generasi anak-anak melayu FELDA berjaya dalam akedemik dan kehidupan mereka tetapi ramai juga yang tercicir dan akhirnya menimbulkan masalah kepada keluarga dan masyarakat.

Gelaran ‘ustazah seks’ sudah tentu merosakkan imej golongan ustazah di dalam negara kita. Bila digelar seperti itu, kita boleh bayangkan bagaimana hebatnya ‘lakonan’ pelajar bermasalah ini, ibubapa, keluarga dan guru-guru tentu telah terpedaya dengan watak yang waraknya sedangkan hakikatnya segala-galanya adalah muslihat belaka.

Pergaulan bebas tanpa batasan merangsang sikap buruk anak-anak muda dan akhirnya mencambahkan sikap degil dan kurang ajar serta biadap. Mengugut untuk mengupah kumpulan lelaki merogol mangsa dihadapan mereka sekiranya perbuatan keji mereka ini dilaporkan kepada ibubapa sudah tentunya menggambarkan kebiadapan pelajar-pelajar ini.

Saya percaya bahawa peristiwa ini meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada mangsa. Rakaman gambar mangsa yang didera dan dibogelkan telah disebarkan dan bukan mudah untuk menghilangkannya. Mangsa terpaksa bertukar sekolah kerana tidak sanggup berhadapan dengan keadaan.

Sebab itulah apabila saya membaca berita “9 pelajar menangis minta maaf” saya tidak percaya bahawa peristiwa ini telah menginsafkan kumpulan pelajar ini. Tindakan pelajar-pelajar ini perlu diambil tindakan disiplin yang tegas. Kesemua pelajar-pelajar ini mesti dihantar ke pusat pemulihan akhlak supaya mereka sedar bahawa tindakan mereka ini bukannya perkara kecil yang mampu dilupuskan dengan linangan air mata.

Selamatkan masa depan anak-anak kita

Kejadian ini juga mesti dipandang serius oleh pihak-pihak berwajib termasuklah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bahawa sistem yang ada pada hari ini perlu dikaji semula. Walaupun kejadian ini berlaku di luar waktu sekolah tetapi mereka yang terlibat adalah merupakan golongan pelajar. Alasan ‘kes yang terpencil’ yang sering menjadi jawapan Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Hishamudin Tun Hussien tidak boleh dijadikan alasan untuk menidakkan kelemahan yang berlaku.

Saya pernah menyarankan agar kuasa mendisiplinkan pelajar mesti diserahkan semula kepada guru. Berilah kepercayaan kepada guru untuk membentuk jati diri anak-anak yang masih bersekolah kerana guru adalah insan yang paling hampir dengan pelajar serta mampu memahami psikologi mereka.

Keprihatinan ibubapa terhadap perlakuan dan aktiviti anak-anak juga mesti dipertingkatkan kerana cabaran yang dihadapi oleh anak-anak pada hari ini sangat tinggi dan tidak cukup dengan hanya memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada anak-anak.
Masa depan anak-anak muda ini adalah masa depan kita bersama. Runtuhnya akhlak mereka akan meruntuhkan masa depan negara.

Sekian

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://minda-kembara.blogspot.com/
7 Ogos 2007

ISU EMPANGAN DI JOHOR

Ghani di jangkiti penyakit Pak Lah?

Tempohari (Rabu, 1 Ogos 2007) DPPMuar mengucapkan terima kasih kepada TV3 yang telah menyiarkan masalah ancaman pencabulan di empangan Bekok.
Hari ini (Isnin 6 Ogos 2007) TV3 menyiarkan temuramah dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Osman tentang isu berkenaan.
Sedihnya apabila Menteri Besar menyatakan bahawa beliau tidak maklum mengenai pencemaran yang telah berlaku di Empangan berkenaan.
Seandainya kita terima bahawa beliau tidak mempunyai maklumat tentang apa yang telah berlaku di Empangan Bekok, Persoalannya setelah hampir 2 tahun memorandum yang di serahkan kepada beliau berkenaan pencemaran di Empangan Semberong, apa tindakan beliau setakat ini?
Walaupun ianya berlaku di dua empangan yang berbeza, namun isunya adalah sama, Penebangan Hutan, Penanaman Sawit, pencemaran air. Semua itu turut berlaku di Empangan Semberong, Bekok dan juga Machap.
Memorandum yang dihantar oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Johor 2 tahun lalu memberikan maklumat lengkap tentang lokasi, bentuk pencemaran dan gambar-gambar yang jelas menggambarkan apa yang berlaku di empangan-empangan berkenaan.
Namun apa tindakan beliau? Mungkinkah Menteri Besar Johor juga telah di jangkiti virus el-tiduri yang dihidapi oleh Pak Lah?

06 August 2007

Blog - Senjata Yang Digeruni!

Kelahiran blog-blog semakin menggalakkan pada hari ini. Di dalam pas sendiri, kehadiran blog seolah-olah satu senjata yang amat ampuh bagi menyerang pihak lawan. Kehadiran blog seumpama senjata berbisa yang mampu menyerang tepat sehingga ke sasarannya.

Dengan kemudahan ini, bagi pihak Dewan Pemuda Pas Johor, telahpun menggunakan kemudahan ini dengan sebaiknya. Kehadiran syarikat penyedia tapak blog seperti blogspot, blogdrive, wordpress dan sebagainya telah dimanfaatkan dengan baik oleh setiap peringkat jentera pemuda.

Jika dilihat struktur Dewan Pemuda Pas Johor, kebanyakan Dewan Pemuda Kawasan juga telah mempunyai blog sendiri. Ini menampakkan kesedaran betapa peri pentingnya peranan blog bagi menjadi salah satu aksesori wajib di dalam memperkasa struktur kekuatan parti. Selain daripada blog kawasan, blog peribadi juga tidak kurang hebatnya bagi melengkapkan pakej ini.

Kehadiran blog jangan dipandang sebelah mata. Ia mampu menggugat. Namun bagi peringkat pemilik blog pula, jangan pula membabi buta. Tindakan kerajaan yang pada hari semakin memfokuskan kepada blog-blog pembangkang dilihat satu ancaman yang dibuat di atas kuasa kerajaan. Hakikatnya kehadiran blog ini bukanlah mengancam negara tetapi hakikat sebenarnya adalah menggugat BN!

Jika mahu dilihat pada semua blog ini, mereka semua bukanlah menentang kerajaan. Tetapi mereka menentang kebobrokan kepimpinan negara di bawah label UMNO dan BN. Disebabkan khuatir kedudukan UMNO terjejas dek kerana serangan bertubi-tubi ini, maka sekatan-sekatan mula dibuat bagi membataskan kebebasan bersuara di dalam Malaysia. Pemilik blog akan ditangkap bagi menakut-nakutkan bloggers yang lain agar tidak menulis perihal kepincangan pemimpin negara.

Sebagai pemilik blog, Dewan Pemuda Pas Johor menyedari bahawa perlunya satu strategi tersusun bagi menghadapi suasana ini. Persembahan blog seharusnya tidak hanya sekadar main-main. Tidak hanya mengikut kepada sendiri. Hanya mengikut selera sendiri. Aayat atau artikel yang ditulis hendaklah disemak beberapa kali supaya tidak ada ayat yang menyentuh sesnsitiviti pihak lain atau berkaitan agama. Begitu juga gambar-gambar yang tidak sepatutnya disiarkan. Budaya 'copy-paste' juga harus dikurangkan dan binalah kekuatan artikel sendiri di dalam blog anda.

Selain itu, themplete blog juga mestilah di ambil kira. Jangan menggunakan image yang sangat besar untuk banner dan sisipan tepi. Sebagai blog matang bagi mewakili parti atau peribadi pemimpin, amat tidak digalakkan meletak radio blog di sisipan tepi yang meletakkan lagu pelbagai. Orang masuk blog bukan mahu dengar lagu, tapi mahu baca artikel! Kurangkan juga meletak gamar yang terlalu banyak di dalam satu post, elakkan menggunakan perisian yang menyediakan sistem flash gambar, elakkan juga dariapada meletakkan video dari youtube dan sebagainya. Perkara ini semua akan memberi beban dan melambatkan proses loading. Pastikan juga bilangan posting di dalam muka utama tidak terlalu banyak.

Semoga dengan adanya blog ini boleh memberi sedikit sebanyak kesedaran kepada rakyat Malaysia. Kempen membina blog kepada semua pendokong perjuangan juga amat releven bagi menambahkan koleksi blog yang peka kepada arus perubahan di dalam Malaysia. -DPPNJ

Himpunan Petugas Pilihan Raya Johor

BATU PAHAT, 2 Ogos (Hrkh) – Sebagai persiapan menghadapi Pilihan raya Umum Ke-12, PAS Johor telah mengadakan Himpunan Petugas Pilihan Raya baru-baru ini yang bertujuan menyatakan kesediaan PAS menghadapi pilihan raya ini.Lebih seribu ahli PAS dari seluruh negeri ini menghadiri himpunan ini. Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, telah merasmikan himpunan ini, manakala majlis penutup pula disempurnakan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar. Sementara itu Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani, telah menyampaikan ceramah motivasi kepada peserta himpunan ini. Hadir sama pada himpunan ini, Adun Senggarang, Dr Mohd Ramli Md Kari, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkifly Ahmad, Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Atiah Ahmad.

Semasa berucap merasmikan himpunan ini Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, menggesa semua kegiatan parti di semua peringkat ditangguhkan dahulu sebaliknya tumpuan khusus mesti diberikan kepada gerak kerja pilihan raya sahaja. “Semua program parti selain gerak kerja pilihan raya hendaklah ditangguhkan buat sementara waktu ini, tumpuan khusus mestilah diberikan kepada kerja-kerja pilihan raya, ini kerana bahang pilihan raya umum ke-12 sudah begitu terasa dan berkemungkinan besar ia akan diadakan dalam tempoh terdekat ini," katanya. Bagaimanapun beliau yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian Kelantan, berkata, tidak kira sama ada pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat ini atau tidak, namun semua yang terlibat harus sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kebarangkalian ini. “Kita tidak mahu apabila berlaku pilihan raya secara mengejut, persiapan kita masih di tahap yang rendah, ini sudah tentu akan menyukarkan gerka kerja selanjutnya, selain turut memberi kesan kepada PAS untuk mencapai kemenangan," tambahnya.

Justeru katanya, persiapan yang dilakukan lebih awal adalah langkah yang terbaik, di samping itu setiap petugas pilihan raya PAS juga perlu meningkatkan komitmen mereka dan menjadikan agenda pilihan raya ini sebagai suatu keutamaan. “Semuga dengan persiapan yang kita bina sekian lama ini mampu menghadapi musuh dengan kekuatan semaksimum mungkin, namun begitu semua usaha dan ikhtiar ini kita sandarkan kepada kekuasaan dan pertolongan Allah s.w.t.," katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, semasa berucap pada majlis yang sama berkata, segala gerak kerja pilihan raya ini tidak sama dengan kerja-kerja lain yang kita lakukan. “Tidak dinafikan kerja-kerja lain yang kita lakukan untuk kepentingan hidup kita, keluarga dan masyarakat juga penting dan mendapat ganjaran pahala jika dilakukan kerana Allah semata-mata tetapi kerja-kerja pilihan raya ini mempunyai roh dan semangat yang berbeza. “Ini kerana kerja-kerja pilihan raya ini mempunyai matlamat yang sangat besar yang melebihi kepentingan lain dalam kehidupan kita, matlamat tersebut adalah untuk mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini. "Tanpa kita sudah tentu Islam tidak akan dapat direalisasikan di negara ini, sebab itu peranan kita sebagai petugas pilihan raya ini amat besar dan sangat penting, ia bukan satu tugas yang boleh diambil ringan oleh setiap pejuang Islam. “Komitmen serta keikhlasan kita dalam kerja-kerja pilihan raya ini bukan sekadar untuk menang semata-mata sebaliknya lebih jauh lagi gerak kerja yang kita lakukan ini akan menentukan nasib dan masa depan Islam, bangsa dan rakyat negara ini," katanya.

Sebab itu katanya, kerja-kerja pilihan raya ini perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, ini kerana setiap kerja yang ada hubungan dengan Allah s.w.t mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas, apatah lagi kerja yang dilakukan ini untuk menyempurnakan satu tugas yang sangat besar iaitu mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini, maka sudah tentulah ia tidak boleh sama sekali dilakukan secara sambil lewa atau secara suka-suka sahaja. “Oleh kerana itu perlu ada dalam pemikiran setiap kita tanggapan bahawa parlimen akan dibubarkan esok, walaupun tidak mungkin ianya akan berlaku tetapi ini bertujuan untuk menimbulkan rangsangan dalam diri kita betapa perlunya kerja-kerja pilihanraya ini perlu segera dilakukan tanpa bertangguh-tangguh lagi," jelasnya lagi.

Sehubungan itu beliau yang juga bekas Anggota Parlimen Pokok Sena Kedah, mengajak setiap petugas pilihan raya memulakan segala gerak kerja mulai sekarang. “Jangan tunggu sehingga parlimen dibubarkan baru kerja-kerja pilihan raya ini dimulakan, ini suatu amalan serta sikap yang tidak sepatutnya ada pada diri setiap pejuang Islam, sebaliknya kita semua perlu bersiap-sedia lebih awal supaya dengan ini penyertaan kita dalam pilihanraya nanti akan lebih berkesan selain peluang lebih besar untuk mencapai kemenangan," ujar beliau lagi. - mns

02 August 2007

TERIMA KASIH TV3

Rabu 01 Ogos 2007

Terima Kasih TV3
Sejak Hari isnin 30 Julai 2007, TV3 telah membuat liputan berkenaan keadaan Empangan Bekok yang dikatakan telah di rosakkan dengan teruk. Walaupun sangat lambat isu ini di bangkitkan oleh TV3, namun sekurang-kurangnya satu usaha telah diambil diperingkat media untuk isu ini di ambil perhatian oleh pihak-pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.
Sebenarnya disamping Empangan Bekok, empangan-empangan lain turut terjejas akibat kerakusan pihak-pihak tertentu. Antaranya termasuk Empangan Machap dan SemberongDiperingkat Dewan Pemuda PAS, perkara ini telah ditimbulkan iaitu sejak tahun 2005 melalui Memorandum yang di hantar kepada Menteri Besar Johor.
Disamping itu selepas tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak yang berwajib, satu Laporan Polis telah dibuat kerana bimbangkan keadaan empangan ini semakin terancam.
Selain dari itu, sewaktu banjir besar melanda negeri Johor baru-baru ini, Tengku Mahkota, Tengku Ibrahim Ismail turut menegur pengurusan Empangan Semberong yang dilihat sangat lemah.
Apa pun adalah diharapkan agar tindakan segera dapat diambil oleh semua pihak untuk memastikan agar sumber air ini agar dapat dipulihkan secepat mungkin sebelum ianya menjadi bertambah kronik

01 August 2007

KENYATAAN MEDIA

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyokong penuh keputusan kabinet yang melarang semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen daripada menyandang sebarang jawatan dalam badan-badan sukan (Bernama.com, 1 Ogos 2007)

Keputusan ‘bijak’ ini adalah langkah yang paling baik untuk meningkatkan prestasi sukan yang dilihat semakin bercelaru khususnya prestasi pasukan Bolasepak kebangsaan akhir-akhir ini.

Kabinet memberikan alasan bahawa arahan ini dibuat kerana :-

i. bertujuan menjaga imej mereka daripada dijadikan “kambing hitam” apabila pencapaian sukan yang diketuai mereka merosot.

ii. Ia tidak ada kena-mengena dengan pencapaian sukan-sukan tertentu sejak akhir-akhir ini.

iii. Kabinet mengambil keputusan itu untuk memastikan semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen dapat menumpukan seluruh perhatian mereka pada tugas masing-masing dan tidak terlalu dibebankan dengan masalah dalam persatuan.

Arahan itu berkuatkuasa serta-merta dan semua yang terbabit telah diarahkan agar meletakkan jawatan masing-masing bagi membolehkan pertubuhan yang mereka wakili mencari pengganti di kalangan yang sesuai dan berkebolehan.

Difahamkan bahawa lima menteri ketika ini sedang memegang jawatan dalam pertubuhan-pertubuhan sukan. Mereka ialah ;

i. Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Fong Chan Onn (presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia),

ii. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy (presiden Persatuan Ping Pong Malaysia),

iii. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Jamaludin Jarjis (presiden Persatuan Ekuestrian Malaysia),

iv. Menteri Tenaga Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik (naib presiden Persekutuan Wusyu Antarabangsa) dan

v. Menteri Pelancongan Datuk Tengku Adnan Mansor (presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur dan presiden Persatuan Bolasepak Melayu).

DPPNJ melihat bahawa penglibatan orang politik dalam menerajui badan sukan sebenarnya telah melemahkan dan memudaratkan sukan dalam negara. Walaupun keputusan kabinet ini diambil dalam suasana sukan terutamanya bolasepak yang telah parah tetapi setidak-tidaknya langkah ini telah membuktikan bahawa sukan tidak memerlukan campur tangan politik.

DPPNJ yakin bahawa kecaman demi kecaman terhadap prestasi pasukan bolasepak dalam Piala Asia baru-baru ini menjadi punca utama kabinet mengambil keputusan tersebut walaupun cuba dinafikan oleh Datuk Azalina Othman yang menyatakan bahawa ia tidak ada kena-mengena dengan pencapaian sukan-sukan tertentu sejak akhir-akhir ini.

Apa yang penting, sudah tiba masanya mereka yang mempunyai kelayakan dalam memimpin persatuan sukan diberikan keutamaan sebagai peneraju. Semoga perubahan ini akan memajukan sukan tanahair.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://dppnjohor.blogspot.com
019-7701830

31 July 2007

Ijtima' Nuqaba DPPNJ

Kepada semua para Naqib (Nuqaba'),
kehadiran anda dalam perhimpunan (Ijtima') ini amat diharapkan.
Kami menyeru antum semua agar bangkit bersama-sama kami,
mendepani cabaran semasa, berjuang di medan realiti,
membina wahdatul fikrah, membentuk wahdatul amal,
memimpin rakyat dan menuju kemenangan.. Insyaallah..
Allahu Akbar!! Allahu Akbar!! Allahu Akbar!!

p/s
Turut terlibat dlm program ini adalah Ketua DPPK, Tim. Ketua DPPK, Setiausaha DPPK, Ketua Lujnah Tarbiyyah DPPK dan semua Nuqaba.
Ingat!
Ijtima Nuqaba DPPNJ
5 Ogos 2007 (Ahad)
8.30 pg - 3.00 ptg
Masrkaz PAS Kawasan Simpang Rengam, (Kg. Shaari)

Sumber Info: USRAH IBNU MASRAN AL-BANJARI

KEMBALIKAN KUASA MENDISIPLINKAN PELAJAR KEPADA GURU

Saya menyokong kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom bahawa Kementerian Pelajaran akan mengkaji kemungkinan mengembalikan kuasa guru dalam mendisiplinkan pelajar, termasuk merotan di khalayak ramai, bagi memastikan pendidik dapat menjalankan tanggungjawab itu dengan lebih tegas dan berkesan (Berita Harian, 30 Julai 2007).

Saya pasti bahawa guru-guru diseluruh negara akan menyambut cadangan ini dengan terbuka kerana sebelum ini terlalu banyak halangan yang dikenakan ke atas guru dalam soal mendisiplinkan pelajar.

Ketika ini, peraturan yang sedia ada terlalu mengongkong guru daripada menjalankan tanggungjawab mendisiplinkan pelajar. Guru-guru yang bersungguh-sungguh untuk menjalankan tugas mereka untuk mendidik dan membentuk generasi muda yang bergelar ’ pelajar’ ini bukan sekadar menjalankan tugas mereka untuk mengajar di dalam kelas dan menuruti setiap silibus yang dirancangkan tetapi peranan guru juga penting untuk membentuk peribadi pelajar.

Apabila kuasa untuk mendisiplinkan pelajar disekat kepada guru-guru dan tangan guru-guru ’diikat’ daripada mengambil tindakan kepada pelajar maka pelajar merasakan diri mereka terlalu kebal untuk dikenakan tindakan oleh guru. Memang kita tidak dapat nafikan terdapat juga kes yang guru-guru yang mengambil tindakan diluar daripada peraturan yang ditetapkan tetapi ia tidak seharusnya dijadikan sebagai kayu ukur kepada semua guru.

Kekangan mendisiplinkan pelajar semakin terasa apabila Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan bahawa Pengetua, Guru Besar dan guru-guru tidak lagi dibenarkan mengenakan hukuman rotan di khalayak ramai kerana Kementeriaan Pelajaran menyifatkan ianya adalah hukuman yang tidak wajar (Berita Harian, 11 Mac 2006)

Sebelum ini hanya pengetua atau guru besar sahaja yang dibenarkan merotan pelajar yang bermasalah tetapi bukan semua pengetua dan guru besar ini mengambil tindakan. Malah, ada yang ’mengampunkan’ kesalahan pelajar tanpa diambil tindakan sehingga menyebabkan guru-guru kecewa.

Namun hak kepada Pengetua dan Guru Besar untuk mengambil tindakan disiplin kepada pelajar juga ‘terlucut’ apabila Datuk Noh Omar memberikan penegasan pula bahawa mulai tahun 2007, guru besar dan pengetua sekolah tidak lagi mempunyai kuasa penuh untuk menentukan hukuman terhadap pelajar yang terbabit dalam kesalahan disiplin, sebaliknya sebarang hukuman akan diputuskan Lembaga Disiplin yang dianggotai wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pegawai perhubungan di sekolah terbabit (Berita Harian, 14 September 2006)

Akhirnya, tugas untuk mendisiplinkan pelajar menjadi rumit kerana terlalu banyak langkah-langkah yang perlu dituruti sebelum sesuatu tindakan diambil. Bila perkara ini berlaku, langkah yang paling mudah adalah dengan mengabaikan sahaja kes disiplin yang berlaku.

Kita perlu sedar bahawa tanggungjawab lebih kurang 350,000 orang guru yang terpaksa mengawal dan mendidik pelajar diseluruh negara yang berjumlah 5 juta orang terlalu berat untuk dilaksanakan. Bukan semua pelajar yang hadir ke sekolah dengan seikhlas hati untuk mendapatkan ilmu dan bimbingan. Pelbagai ragam pelajar perlu ’dilayan’ yang akhirnya mengganggu tugas sebenar guru untuk mendidik. Terkadang kita lebih mengutamakan berapa banyak ’A’ yang akan pelajar perolehi daripada mengambil kira pembinaan insan terhadap anak-anak mereka.

Justeru cadangan Kementerian Pelajaran untuk meminda Peraturan-Peraturan Disiplin (Pelajar) 1957 yang telahpun menjangkau usia 50 tahun adalah langkah yang terbaik bagi mengemas kini peraturan dan tindakan yang boleh diambil guru terhadap pelajar bermasalah.

Sekian

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://minda-kembara.blogspot.com/
31 Julai 2007

30 July 2007

PENGENDALI & PENULIS BLOG DITAJA?

KENYATAAN MEDIA
(30 Julai 2007)

TAJUK :

BUKTIKAN BAHAWA PENGENDALI BLOG MENERIMA TAJAAN DARI LUAR


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyanggah kenyataan yang telah dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Muhammad Muhd Taib bahawa pengendali dan penulis blog di Malaysia dibiayai oleh organisai luar sehingga mencecah RM 100,000 sebulan (Berita Harian, 30 Julai 2007).

Beliau juga menyatakan bahawa organisasi berkenaan menaja pengendali dan penulis blog dan membenarkan laman mereka menyiarkan pelbagai perkara sensitif oleh penulis blog tempatan dan luar negara.

DPPNJ melihat bahawa kenyataan ini hanyalah satu tindakan yang untuk menutup kelemahan dan kepincangan yang berlaku terhadap kelemahan UMNO/BN yang akhir-akhir ini dilihat terlalu lemah dalam mentadbir negara. Pendedahan demi pendedahan termasuklah isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang didedahkan di dalam blog-blog cukup dirasai keberkesanannya.

DPPNJ mencabar agar Muhammad Muhd Taib agar mendedahkan pengendali dan penulis blog yang menerima pembiayaan tersebut, jangan hanya berani untuk membuat kenyataan secara semberono tanpa sebarang bukti.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

26 July 2007

Selamat Pulang Saudara Faizi

DPPNJ mengucapkan selamat kembali ke tanahair kepada Ketua Dewan Pemuda Pas Johor yang baru sahaja selesai mengerjakan umrah.

Koleksi gambar boleh lihat di blog peribadi beliau: http://minda-kembara.blogspot.com/

Dengan kepulangan ini, didoakan agar sentiasa tenang sepertimana ketenangan yang diperolehi ketika berada di tanah suci.

Di dalam perjuangan Islam, tidak ada istilah 'on hold'. Sebaik sahaja pulang dari tanah suci, saudara Faizi terus memfokuskan kepada gerak kerja perjuangan tanpa meminta cuti bertugas.

Semoga amilin seperti ini akan lahir dengan lebih banyak di dalam sebuah gerakan Islam di Malaysia dan dunia lain.

Teruskan Perjuangan.

jictdppnj

19 July 2007

Takziah Kepada Keluarga Nahas Nuri

DPPNJ mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter Nuri Tentera Udara Di Raja Malaysia yang terhempas baru-baru ini.

Dalam nahas Nuri terbaru itu, bangkai pesawat itu ditemui anggota pasukan mencari dan menyelamat melalui gerakan darat di sebuah lokasi lima kilometer barat laut dari Genting Sempah, dekat Genting Highlands pada pukul 1.24 petang semalam, lima hari selepas ia dilaporkan hilang pada kira-kira pukul 9.35 pagi, 10 minit selepas meninggalkan Stesen Udara TUDM di Sungai Besi di sini menuju ke Kuantan, Jumaat lepas.

Nahas itu meragut nyawa juruterbang Kapt Nor Azlan Termuzi, 29; dan pembantu juruterbang Kapt Nor Intan Asykeen Mohd Arof, 27; serta Sjn Khusnizam Ariffin, 34, Sjn Mohd Azmie Md Yassin, 35; Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias, 28; dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad, 27 tahun.

Ulasan Mutu Bola Sepak Negara


Oleh: Abdul Hamid Jamah, Ketua Penerangan DPPNJ

Persembahan pasukan bola sepak Malaysia berakhir malam tadi apabila tewas di tangan Iran 2-0. Kekalahan ini melengkapkan pakej kekalahan pasukan Malaysia di dalam saingan merebut Piala Asia 2007 dan seterusnya meranapkan impian Malaysia yang turut menjadi tuan rumah bersama. Prestasi buruk yang dipamerkan pasukan Malaysia ini jelas mengecewakan banyak pihak.

Allahyarham Mokhtar Dahari yang masih dikenang sehingga ke hari ini walaupun hayatnya sudah bersemadi hampir 15 tahun lalu. Biarpun ramai generasi muda masa kini tidak mengenali dengan dekat bintang negara itu, tapi hampir semua pasti pernah mendengar namanya - pemain dengan bakat semulajadi yang mengangkat imej Malaysia setaraf dengan jaguh bola sepak dunia. Paling ketara Pestabola Merdeka yang menjadi gelanggang dia mempamer taring dan kehebatannya.

Walaupun kelibat pemain istimewa seperti Mokhtar yang tiada galang gantinya sehingga kini sudah lama meninggalkan kita, bayangan kehebatannya tidak pernah padam apatah lagi apabila mengingati susah payah anak kelahiran Setapak, Kuala Lumpur itu mencipta nama walaupun dia memang sudah memiliki kurniaan yang tiada pada orang lain.

Situasi yang berlaku ini bukan sahaja menjadi satu kekecewaan kepada rakyat Malaysia tetapi menjadi kebimbangan sekiranya terdapat unsur rasuah ataupun pilih kasih. Dahulu, arena bola sepak negara pernah dicemari dengan gejala rasuah dan jual beli pemain yang akhirnya merosakkan imej pasukan dan individu tertentu. Maka amat dibimbangkan jika pada hari ini, dalam keadaan penglibatan pengaruh politik pihak tertentu akan menyebabkan berlakunya rasuah dan pilih kasih.

DPPNJ menyeru kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya membuat rombakan besar-besaran dan membina satu plan tindakan yang efektif dan berkesan. Ambil segala bentuk kelemahan yang ada dan selesaikan masalah sedia ada di samping membina keyakinan baru di bawah pentadbiran baru. Serahkan jawatan penting di dalam FAM kepada orang yang benar-benar berkelayakan dan mampu membawa pasukan Malaysia setaraf dengan pasukan lain di dalam dunia. Berikan kepada individu yang profesional berkatan bola sepak dan bukannya melantik orang yang tahu bercakap dan tahu memberi alasan.

Campur tangan politik juga seharusnya dielakkan bagi memastikan mutu pentadbiran bola sepak negara bersih tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Orang-orang yang hadir ke bola sepak dengan tujuan untuk kepentingan diri sendiri mestilah disingkirkan dan di buang daripada senarai pendokong FAM. Orang seperti ini bukanlah mampu menaikkan marabat pasukan bolasepak Malaysia tetapi menjahanamkan sehingga jatuh tersembam menyembah bumi.

DPPNJ mengucapkan tahniah dan syabas kepada Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mengambil tindakan drastik meletakkan segala jawatan yang beliau sandang bagi menunjukkan tanda protes dan kecewanya terhadap mutu bola sepak negara. Tindakan tengku itu bukan sahaja kecewa dengan mutu permainan pasukan bola sepak negara tetapi kekecewaan itu jelas menunjukkan bahawa ia melibatkan pihak pengurusan FAM juga.

17 July 2007

Misteri Helikopter NURI

GENTING HIGHLANDS: Hujan dan kabus pada sebelah petang hari ini, sekali lagi menjejaskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang di kawasan ini sejak Jumaat lepas.

Cuaca baik dan cerah ketika operasi SAR bermula pada pukul 7 pagi ini terjejas selepas tengah hari apabila cuaca mendung dan beberapa kawasan di sini mula hujan.
Keadaan hujan dan kabus tebal yang menyebabkan pengawasan udara sukar dibuat kerana jarak penglihatan terhad, mengulangi kesukaran yang dihadapi oleh anggota SAR sejak tiga hari lepas.

Operasi di darat juga menghadapi masalah kerana selain licin akibat hujan, bentuk muka bumi kawasan itu menghalang anggota untuk bergerak pantas apabila mereka berhadapan dengan hutan tebal yang berbukit dan bercuram.

Setakat ini, tiada perkembangan positif daripada kumpulan anggota SAR yang membuat operasi di udara dan darat yang melibatkan kawasan seluas lingkungan 60 kilometer di sekitar kawasan ini.
Hari ini merupakan hari keempat operasi SAR dilakukan bagi mengesan pesawat Sikorsky S61 dan enam krewnya yang hilang.

Jumlah anggota SAR yang terlibat dalam gerakan besar-besaran kini meningkat kepada kira-kira 1,400 anggota, tambahan lebih 500 anggota berbanding semalam.

Operasi itu adalah antara operasi menyelamat terbesar di negara ini sejak beberapa tahun lepas melibatkan pelbagai pihak berkuasa dan penggunaan lebih 15 buah helikopter dan kapal terbang.
Operasi tinjauan di udara itu turut dibantu oleh Tentera Laut Amerika Syarikat yang menghantar pesawat Sea Hawk-nya selain penggunaan helikopter peribadi Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah serta helikopter unit udara polis dan bomba.

Bagi operasi di darat, ia melibatkan pasukan Komando VAT 69, Pasukan Khas Udara (Paskau), pasukan gerakan khas tentera darat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), pasukan Senoi Praaq terdiri Orang Asli yang terkenal dengan kecekapan menjejak serta bantuan penduduk sekitar.

Difahamkan, enam pegawai dan anggota TUDM yang hilang bersama helikopter itu mampu bertahan untuk tempoh enam hingga lapan hari dengan sumber makanan di hutan.

Semasa kejadian, pesawat Nuri dipandu oleh juruterbang Kapt Nor Azlan Termuzi dan pembantu juruterbang Kapt Nor Intan Asykeen Mohd Arof membawa bersama Sjn Khusnizam Ariffin (kuartermaster udara), Sjn Mohd Azmie Md Yassin, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad.
Pesawat itu dalam penerbangan dari Pangkalan TUDM Sungai Besi ke Kuantan apabila dilaporkan hilang setelah terputus hubungan dengan menara kawalan pukul 9.35 pagi Jumaat, kira-kira 10 minit setelah berlepas. BERNAMA
---------------------------------------------------
DPPNJ: Sudah adakah mana-mana pihak yang minta Allah beri petunjuk secara khusus? Solat hajat beramai-ramai? Kuasa Allah mengatasai kuasa manusia. Mengapa beriye-iye minta bantuan tentera dari luar negara tetapi tidak minta bantuan dari Allah?



Sociable