KUALA LUMPUR, 6 Dis (Hrkh) -Beberapa daerah di negeri Johor mula dilanda banjir ekoran hujan lebat yang turun sejak petang semalam. -->
Menurut maklumat yang diterima Harakah, daerah Muar, Segamat, Batu Pahat, Kluang dan Labis telah mengalami banjir dengan para penduduknya sudah diarahkan berpindah ke kawasan penempatan banjir.
Seorang penduduk Kg Jawa, Segamat, Shamsul Hadi yang menghubungi Harakahdaily berkata, air banjir kini menghampiri paras lutut dan para penduduk kampung tersebut telah diarahkan berpindah.
Menurutnya, kejadian banjir kali ini tidak dijangkakan memandangkan keadaan panas beberapa hari sebelumnya.
"Bagaimanapun hujan mula turun selepas waktu Asar semalam dan berlanjutan hingga hari ini. Hujan makin turun dan bertambah lebat," ujarnya.
Shamsul juga memaklumkan bahawa kebanyakan jalan menghala ke Segamat telahpun ditutup dan bekalan letirik diputuskan secara berperingkat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Beliau juga mengucapkan syabas kepada anggota Unit Amal kerana sudahpun turun memberikan bantuan seawal banjir berlaku.
"Anggota Unit Amal sudah ramai kelihatan dan kami merasa terharu dengan keprihatinan mereka," katanya.
Sementara itu, pemberita Harakah, Salman Hussien yang kini berada di Labis memaklumkan keadaan banjir di daerah itu semakin buruk.-tajdid
No comments:
Post a Comment