14 June 2005

KES BULI DI SEKOLAH BERLAKU LAGI – SUDAH SAMPAI MASANYA MENTERI PELAJARAN LETAK JAWATAN.


KENYATAAN MEDIA
(13 Jun 2005)
TAJUK : KES BULI DI SEKOLAH BERLAKU LAGI – SUDAH SAMPAI MASANYA MENTERI PELAJARAN LETAK JAWATAN.

Hari ini telah disiarkan berita bertajuk “Sultan, Menteri temui kaki Buli” (Harian Metro Isnin, 13 Jun 2005) dan “Sultan Pahang, Hishamuddin jumpa pelajar buli Afiq Selasa” (Berita Harian, 13 Jun 2005). Berita ini menyatakan bahawa Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Menteri Pelajaran, Dato Seri Hishamuddin Bin Tun Hussien akan bersemuka dengan kumpulan pelajar yang membuli seorang pelajar sehingga mangsa menghadapi risiko lumpuh sepanjang hayat di Kuala Lipis Pahang baru-baru ini. Dato Seri Hishamuddin menyatakan bahawa pertemuan ini sebagai ‘isyarat’ kepada pelajar lain bahawa kementerian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelajar yang bertindak di luar batasan.

Berita ini adalah lanjutan kepada peristiwa di mana seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, Kuala Lipis Pahang, Muhamad Afiq Qusyairi yang menghadapi risiko lumpuh sepanjang hayat dipercayai akibat dipijak dibelakangnya dengan kasut polis kadet serta dihentak badannya ke almari oleh pelajar tingkatan lima dan tingkatan tiga sekolah tersebut. Muhammad Afiq dikatakan telah dibuli dua kali iaitu kejadian pertama, April lalu apabila dipijak dari belakang dengan kasut polis kadet oleh pelajar Tingkatan Lima, manakala dalam kejadian kedua pertengahan Mei, mangsa dipercayai dibelasah tiga pelajar Tingkatan Tiga dengan menghentak badan dan kepalanya ke almari kayu. Berikutan itu, dia mengalami kecederaan saraf tunjang yang boleh menyebabkannya lumpuh.

Sebelum itu, Dato Seri Hishamuddin melahirkan rasa kekesalan dan marah kerana kejadian tersebut berlaku di sebuah sekolah aliran agama sekali gus mencemarkan imej Islam itu sendiri. Beliau menyebut bahawa ia memberi gambaran seolah-olah murid yang diberi pendedahan didikan Islam tidak mempunyai kawalan diri dan tahap disiplin yang tinggi berbanding murid di sekolah bukan aliran agama (Utusan Malaysia, 20 Jun 2005).

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) melihat bahawa isu disiplin di kalangan remaja khususnya pelajar sekolah semakin membimbangkan. Kes buli, samseng, pergaduhan dan pelbagai gejala sosial berlaku sehingga melahirkan rasa kebimbangan di kalangan masyarakat khususnya ibubapa. Apabila negara digemparkan dengan peristiwa Mohamad Farid Ibrahim yang ditemui mati di Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Mamor, Ampangan Negeri Sembilan akibat dibelasah sekumpulan pelajar senior, Dato Seri Hishamuddin telah memberi amaran keras kepada pelajar samseng bahawa mulai hari ini (31 Mac 2004) mereka tidak mempunyai tempat dalam sistem persekolahan di negara ini kerana mereka adalah penjenayah (Berita Harian 1 April 2004)

Manakala pada 2 April 2004 pula, Utusan Malaysia menyiarkan berita bertajuk Hishammuddin beri jaminan tidak akan berlaku lagi gejala samseng. Jaminan ini telah dibuat oleh Menteri Pelajaran Malaysia bahawa gejala samseng tidak akan berlaku lagi di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Rakyat Malaysia juga masih tidak dapat melupakan bagaimana pada tahun 2003 telah berlaku beberapa peristiwa yang berlaku di dalam sistem pendidikan Malaysia yang melibatkan disiplin pelajar. Di antaranya, pada 12 Ogos 2003 lalu, seorang pelajar Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Mohd Hafizi Jumhari telah cedera di belasah pelajar senior di asrama sekolah itu sehingga mengalami kecederaan termasuk kehilangan buah pinggang kirinya. Sebanyak 20 pelajar Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Ipoh pula dibuang sekolah pada 20 Ogos 2003 lalu kerana mewujudkan budaya samseng `High Council.' Pada 29 Ogos 2003 pula enam pelajar tingkatan lima Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak disingkir serta-merta dari sekolah asrama penuh tertua itu setelah terbabit dalam masalah disiplin.

DPPN Johor tertarik untuk mengulas kenyataan daripada adik Mohd. Hafizi Jumhari pelajar Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat yang kehilangan sebelah buah pinggang, kecederaan di hati, limpa, hempedu dan pundi kencing akibat dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior pada 12 Ogos 2003 (Utusan Malaysia, 7 April 2004) yang turut berasa amat kesal dengan kematian pelajar Mohamad Farid Ibrahim. Beliau menyatakan bahawa tahap mentaliti para pelajar kita khususnya pelajar Melayu masih lagi di paras kritikal dan di tahap bahaya. Apa tidaknya, hanya kerana enggan meminjamkan sebuah alat pemanas air, Mohamad Farid diperlakukan seperti binatang dan dibelasah dengan kejam sehingga mati.

“Apa yang paling membimbangkan ialah sikap sesetengah pihak pentadbiran sekolah yang cuba menyembunyikan sesuatu kes daripada diketahui oleh pihak luar. Konon-kononnya supaya nama sekolah tidak tercemar. Pergi jahanamlah dengan nama baik sekolah. Apa gunanya jika kecemerlangan dan kegemilangan sesebuah sekolah itu hanya terletak pada nama dan tidak ada pada adab, sahsiah, mentaliti dan keterampilan para pelajarnya.

Setiap kali sesuatu kes serius berlaku di sekolah, pasti ada sahaja pasukan-pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kejadian yang berlaku. Janganlah penubuhan pasukan khas ini sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Mula-mula sahaja bersemangat siasat itu dan ini, akhirnya?Sudah hampir lapan bulan kejadian yang menimpa diri saya berlaku, namun tiada sebarang maklumat pun yang saya peroleh daripada pasukan khas yang menyiasat kes saya.”

Kini, Dato Hishamuddin perlu memikirkan semula secara serius terhadap kedudukan beliau sebagai Menteri Pelajaran Malaysia. Terbukti bahawa beliau telah gagal menjalankan tugas dan amanah sebagai seorang Menteri di Kementerian Pelajaran Malaysia. Amaran keras yang beliau tujukan kepada pelajar samseng tidak berkesan, janji beliau bahawa tidak akan berlaku lagi gejala samseng di sekolah tidak kesampaian khususnya yang melibatkan Muhamad Afiq Qusyairi yang menghadapi risiko lumpuh sepanjang hayat sehingga Sultan Pahang sendiri terpaksa bersemuka dengan kumpulan pembuli pelajar. DPPN Johor mendesak supaya Dato’ Hishamuddin meletakkan jawatan Menteri Pelajaran Malaysia sebagai rasa tanggungjawab terhadap masalah disiplin pelajar di Malaysia.


Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7219913/012-7811830

2 comments:

Anonymous said...

askm....guru lelaki wajar ditmbh secara ad hoc ke sekolah2 yg bermasalah...kalo kerajaan leh wat adhoc utk ppsmi, knp yg ini x leh wat?

Anonymous said...

Saya mempercayai bahawa di sekolah seharusnya mempunyai sistem perhubungan atau pelajaran atau peraturan dan undang-undang yang ketat! Semua pihak sekolah dan kerajaan seharusnya berusaha mencari penyelesaian untuk menyelesaikan masalah kes buli bukan memberi amaran 'ganas'!