29 June 2005

KAEDAH PENGAJARAN MATEMATIK DAN SAINS DALAM BAHASA INGGERIS PERLU DISELESAIKAN SEGERA.


KENYATAAN MEDIA
(28 Jun 2005)

KAEDAH Pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris PERLU DISELESAIKAN SEGERA.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) mengalu-alukan kenyataan daripada pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan di Parlimen (BBC), Dato Shahrir Samad yang menyatakan bahawa UMNO Negeri Johor akan membahaskan secara mendalam penggunaan bahasa Inggeris (BI) dalam pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik seperti yang disiarkan di dalam harakahdaily pada 28 Jun 2005 bertajuk “Sains, Matematik dalam BI: Umno Johor kurang yakin, mahu adakan perbahasan”

Walapun kenyataan ini dilihat sebagai tindakan melawan arus pendidikan negara ketika ini yang diterajui oleh UMNO yang mahukan Pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PMSBI) serta bertentangan dengan hasrat dan cita-cita mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Bin Mohamad tetapi tindakan ini dapat menyelamatkan pelajar melayu yang akan terus tercicir seperti mana yang telah dirumuskan di dalam Kongres Pendidikan Melayu Kedua (KPM2) pada 27 Mac 2005 yang lalu.

KPM2 anjuran Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (PBPPM) pada 26 dan 27 Mac 2005 di Kuala Lumpur, telah mendedahkan bahawa setengah juta pelajar Melayu akan tercicir jika program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan. Justeru itu, sidang pleno kongres tersebut, sebulat suara meminta supaya kerajaan menghentikan pelaksanaan PPSMI dan kembali menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk semua subjek, termasuk di universiti. Sudah jelas bahawa kongres yang menghimpunkan lebih 1,000 tokoh umat Melayu itu menolak penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pengajaran Matematik dan Sains, dan mereka minta agar dikembalikan pengajarannya dalam bahasa Melayu.

KPM2 juga telah menyerlahkan perkara sebenar mengenai kesan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (meliputi semua mata pelajaran berikut: Matematik, Matematik Moden, Matematik Tambahan, Sains, Sains Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, mata pelajaran teknik di sekolah teknik dan semua kursus pengajian di kolej, kolej universiti, politeknik dan universiti).

Namun yang menyedihkan adalah apabila tidak pun sampai seminggu, Timbalan Perdana Menteri YAB Dato Sri Najib Bin Tun Razak dan Menteri Pelajaran Malaysia YB Dato Hishamuddin Tun Hussein telah mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan membatalkan dasar yang mula diperkenalkan oleh Tun Mahathir Mohamad itu. DPPN Johor yakin bahawa keputusan yang diumumkan ini bukanlah keputusan kerajaan tetapi lebih kepada menjaga hati Tun Dr Mahathir Mohamed, mantan Perdana Menteri Malaysia.

DPPN Johor ingin menegaskan bahawa tidak menjadi kesalahan sekiranya kerajaan berhasrat untuk berpatah balik menghapuskan PMSBI ini kerana kajian yang dijalankan sudah menunjukkan kegagalan secara total. Dan sekiranya kerajaan masih mahu menunggu, dibimbangi ia akan meninggalkan kesan yang membarah. Pemimpin negara tidak perlu lagi angkuh mempertahankan prinsip lapuk sekiranya kesan yang ada sekarang membimbangkan. Kalau dulu anak-anak Melayu lemah dalam bahasa Inggeris, kini mereka turut lemah dalam dua pelajaran asas lain, iaitu matematik dan sains, hanya kerana ia diajar dalam bahasa Inggeris.

DPPN Johor bimbang, dasar ini tidak akan menyelesaikan masalah mutu bahasa Inggeris yang rendah di kalangan penuntut tetapi ia akan melebarkan lagi jurang antara murid-murid di kawasan pedalaman yang mundur dan miskin dengan pelajar di kawasan maju dan mewah.

Tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa pada hakikatnya telah ramai anak Melayu di Malaysia telah berjaya dalam pendidikan berbahasa Melayu selama 30 tahun melalui dasar pelajaran kebangsaan. Ini dibuktikan dengan meningkatnya profesional seperti doktor, jurutera, arkitek, penyelidik, profesor, saintis, akauntan dan lain-lain di kalangan orang melayu berbanding keadaan sebelumnya ketika kita mewarisi pelajaran dalam bahasa Inggeris. Malah pelajar bukan Melayu juga banyak yang telah cemerlang sehingga kerap menandingi pelajar Melayu dan mereka belajar melalui bahasa Melayu iaitu bahasa rasmi pengantar pendidikan negara ini. Maknanya dasar pelajaran kebangsaan telah menguntungkan kedua-dua pihak iaitu bangsa Melayu dan juga bukan Melayu.

DPPN Johor berharap agar tindakan UMNO Johor ini akan dilihat petanda kepada kerajaan bahawa rakyat Malaysia khususnya kaum Melayu menolak PMSBI ini seperti mana yang telah diperjuangkan oleh PAS dan BA.

Sekian

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7219913/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: