28 June 2005

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA MESTI BERTANGGUNGJAWAB SEPENUHNYA TERHADAP KECUAIAN PEMBEDAHAN CIK NORHAYATI


KENYATAAN MEDIA
(27 Jun 2005)

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) melahirkan rasa simpati terhadap penderitaan yang dihadapi oleh Cik Norhayati Abd Razak yang terpaksa menanggung derita apabila doktor dipercayai tersalah melakukan pembedahan selepas keputusan ujian air kencingnya tertukar dengan seorang pesakit lain yang menghadapi masalah mengandung di luar rahim. Berita ini telah disiarkan di dalam akhbar Harian Metro Edisi Johor pada 27 Jun 2005.

DPPN Johor tidak dapat membayangkan bagaimana Norhayati yang masih bujang telah diarahkan menjalani ujian air kencing untuk mengetahui punca penyakitnya sebelum doktor memaklumkan kepada keluarganya bahawa mangsa perlu dibedah segera kerana mengandung di luar rahim sedangkan beliau sebenarnya telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Batu Pahat, kira-kira jam 12 tengah hari 2 Jun lalu selepas mengalami sesak nafas. Ditambah pula keluarga beliau telah cuba menerangkan kepada doktor yang terlibat bahawa Cik Norhayati hanya kerana mengalami sesak nafas dan sakit sawan dan beliau masih lagi belum berumah tangga.

Bagaimanapun, pihak hospital hanya menyedari bahawa beliau tidak mengandung luar rahim hanya setelah pembedahan telah dilakukan. Kesilapan pihak hospital itu berlaku selepas mereka ‘tertukar air kencing’ dengan wanita yang memiliki nama sama dengan Norhayati.
DPPN Johor melihat bahawa kecuaian yang telah dilakukan oleh pihak Hospital Batu Pahat berpunca daripada beberapa sebab yang mana di antaranya adalah kerana tidak cekap dan teliti di dalam menjalankan tugas mereka. Sepatutnya doktor yang terlibat di dalam kes ini membuka ruang dan mengambil kira pandangan dan penjelasan keluarga pesakit terlebih dahulu sebelum melakukan pembedahan.
Sekiranya benar kecuaian telah dilakukan oleh pihak Hospital maka DPPN Johor mendesak agar :-

1. Kementerian Kesihatan Malaysia bertanggung jawab sepenuhnya terhadap perkara ini. Siasatan secara teliti hendaklah dilakukan untuk mencari punca kecuaian yang boleh berlaku terhadap satu pembedahan yang tidak sepatutnya dilakukan. Sekiranya kecuaian itu berlaku adalah disebabkan oleh kealpaan doktor atau mana-mana pihak maka tindakan yang tegas hendaklah diambil.

2. Kementerian Kesihatan Malaysia menanggung sepenuhnya kos perubatan yang dikenakan terhadap Cik Norhayati kerana pembedahan ini adalah disebabkan oleh kecuaian oleh pihak hospital dan bukannya kerana keperluan. Bukan setakat kos rawatan tidak perlu dijelaskan kepada pihak hospital tetapi ganti rugi hendaklah diberikan kepada mangsa kecuaian ini.

DPPN Johor mencadangkan agar Cik Norhayati membuat laporan polis agar perkara ini akan dapat disiasat dengan cepat dan telus agar beliau tidak terinaya. DPPN Johor juga mengharapkan agar Cik Norhayati dan keluarga bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini khususnya ini melibatkan maruah beliau dan keluarga sehingga pelbagai tohmahan telah diterima akibat kesilapan pembedahan ini. Semoga peristiwa ini akan menjadi pengajaran kepada pihak hospital dan Kementerian Kesihatan Malaysia agar memperbaiki tahap kualiti perkhidmatan secara keseluruhannya di mana-mana hospital di Malaysia.

DPPN Johor juga mengucapkan tahniah kepada Harian Metro kerana telah menyiarkan berita ini kerana sekurang-kurangnya ia dapat memberikan peringatan kepada pihak hospital agar lebih berwaspada pada masa akan datang.

Sekian


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7219913/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: