11 June 2005

RAKYAT JOHOR TERUS DIRUNDUNG MALANG – KENAIKAN TARIF AIR TERUS MEMBEBANKAN RAKYAT


KENYATAAN MEDIA
(31 Mei 2005)


Saya ingin merujuk kepada kenyataan akhbar bertajuk "Ranhill mahu naik tarif air" yang disiarkan di akhbar Berita Harian ruangan Ekonomi bertarikh 31 Mei 2005. Berita ini menyatakan bahawa SAJ Holdings Sdn Bhd, anak syarikat Ranhill Utilities Bhd yang mengendalikan pengurusan sistem pembekalan air di Johor akan mengemukakan cadangan bagi menaikkan kadar tarif air di negeri itu untuk tempoh 2006-2008 dan akan dikemukakan kepada Kerajaan Johor pada bulan Jun akan datang. Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Ketua Eksekutif Ranhill Utilities, Ahmad Zahdi Jamil.

Menurut beliau, mengikut perjanjian konsesi, Randhill berhak menaikkan kadar tarif ini setiap tiga tahun dan akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri bagi kenaikan untuk tempoh 2006-2008 bulan depan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) melahirkan rasa dukacita di atas kenyataan ini kerana semakan kali ketiga seperti mana yang telah dijangkakan bakal dikemukakan kepada kerajaan negeri Johor setelah diadakan semakan kali pertama pada tahun 2001 dan semakan kali kedua pada tahun 2003. Semakan pertama telah mencatatkan kenaikan sebanyak 22 % dan semakan kedua telah mencatatkan kenaikan sebanyak 25 % (banding dengan tahun 2001). Apakah kenaikan semakan ketiga akan mecatatkan lebih daripada 25%? Sekiranya jumlah kenaikan ini sebanyak 25 %, maka bagi penggunaan jumlah air 25 meter padu sebulan, selepas semakan ini berlaku kadar yang perlu dibayar adalah sebanyak RM 21.90 berbanding dengan RM 17.50 pada ketika ini.

Kenyataan untuk menaikkan tarif air Johor berlaku ketika suasana kegawatan bekalan air bersih sedang menimpa beberapa kawasan di negeri Johor. Baru-baru ini Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) telah mengedarkan risalah dan maklumat kepada pengguna mengenai kempen berjimat cermat dan catuan air telah dilakukan terutamanya kepada pengguna di Daerah Kluang dan Batu Pahat. Mengikut maklumat yang diperolehi, beberapa tempat akan mengalami gangguan bekalan air sehingga catuan selama 10 hari dalam masa sebulan terpaksa dilakukan dengan alasan untuk menaikkan paras air di empangan Semberong.

Saya juga ingin merujuk kepada kenyataan Presiden Ranhill Bhd, Datuk Hamdan Mohamad yang dikeluarkan di Utusan Malaysia pada 7 Mei 2002 yang menyebut bahawa Ranhill Utilities Bhd. akan menggunakan 75 peratus atau RM149 juta daripada RM192 juta hasil perolehan penyenaraian syarikat itu di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) untuk meningkatkan kualiti air di Johor. Hasil perolehan dan langkah ini mampu menjana pertumbuhan dinamik Syarikat Air Johor Holdings Sdn. Bhd. (SAJH) dalam mengendalikan konsesi pembekalan air selama 30 tahun di negeri tersebut. Namun begitu, sehingga kini kenyataan ini masih diragui kerana rakyat Johor masih terus menggunakan air yang rendah kualitinya. Ini dibuktikan dengan beberapa kenyataan yang disiarkan di dalam media massa seperti berikut :

a. Harian Metro (edisi Johor) bertarikh 12 Mei 2005 telah menyiarkan berita utama tentang Sungai Bekok yang beracun dengan kandungan aluminium dan manganese yang tinggi mengancam 350,000 penduduk Batu Pahat dan persekitarannya. Air Sungai ini menjadi sumber air mentah kepada Loji Yong Peng 1 dan Loji Yong Peng 2.

b. 10 Mei 2005, disiarkan pula di dalam Utusan Malaysia bahawa catuan air bagi seluruh Daerah Batu Pahat dan Kluang akan dibuat dalam tempoh satu minggu lagi jika sumber bekalan air semakin kritikal.

c. 9 Mei 2005 pula, Berita Harian mendedahkan bahawa Syarikat Air Johor Holding (SAJH) telah mengesan tiga bahan kimia di Sungai Semberong sehingga mencemarkan dan menjejaskan operasi di Loji Air Parit Raja, Batu Pahat yang dikatakan telah dapat dikesan sejak awal tahun 2005 di Sungai tersebut.

d. 31 Mac 2005 disiarkan di dalam akhbar Berita Harian tentang bekalan air tercemar menjadi punca gangguan air disekitar Daerah Batu Pahat. Puncannya adalah kerana aktiviti pembakaran, pembajaan dan kerja-kerja meracun oleh pekebun di sepanjang sungai tersebut.

Kenyataan-kenyataan ini membuktikan bahawa kualiti air di Johor telah tercemar dan membuktikan kenyataan Presiden Ranhill Bhd untuk meningkatkan kualiti air Johor tidak berjaya. Kenaikan tariff air ini dilakukan bukan kerana bertujuan semata-mata untuk memperbaiki masalah kekurangan air atau meningkatkan mutu air tetapi lebih kepada perjanjian yang telah dimeterai diantara kerajaan negeri Johor dengan SAJH dan Randhill. Sudahlah bekalan air di Johor semakin kritikal dan kualitinya semakin rendah dan berbahaya, semakkan ini akan terus menindas rakyat di negeri ini.

DPPN Johor mendesak agar kerajaan Negeri Johor melihat perkara ini dengan penuh telus. Adakah kepentingan rakyat yang lebih diutamakan atau kepentingan Randhill. DPPN Johor juga akan mengemukakan bantahan terhadap perkara ini di dalam siding DUN Johor melalui wakil tunggal PAS di DUN Johor iaitu YB Dr Ramli Bin Kari yang dijangka akan bersidang pada bulan Jun 2005 ini.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7219913/012-7811830

No comments: