23 June 2005

PENYALAHGUNAAN KEMUDAHAN KERAJAAN DAN PELAJAR SEKOLAH SEMASA KONSERT AMAL AKADEMI FANTASIA DI STADIUM MAJLIS PERBANDARAN KLUANG.

Kepada
Pengarah
Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Tajuk

PENYALAHGUNAAN KEMUDAHAN KERAJAAN DAN PELAJAR SEKOLAH SEMASA KONSERT AMAL AKADEMI FANTASIA DI STADIUM MAJLIS PERBANDARAN KLUANG.

Pada

22 Jun 2005 / 15 Jamadil Awal 1426

1.0 MUQADDIMAH

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) menyerahkan memorandum ini bertujuan untuk memberikan beberapa penjelasan, pandangan dan cadangan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Johor berkaitan dengan tindakan UMNO Bahagian Semberong yang dengan jelas menggunakan kuasa politik untuk mempergunakan dan merosakkan pelajar sekolah dan kemudahannya untuk kepentingan mereka.
DPPN Johor menggunakan pendekatan berbentuk diskusi dan perbincangan untuk menangani perkara ini bersesuaian dengan Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 159 :

Maksudnya :"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

2.0 PENGHUJAHAN

Apa yang ingin dibangkitkan di dalam memorandum ini adalah berkaitan dengan pelajar sekolah telah dipergunakan untuk menghadiri program ini. Pelajar-pelajar ini telah hadir dengan memakai pakaian sekolah.

DPPN Johor ingin melahirkan rasa dukacita dan kekesalan di atas kejadian yang dibangkitkan di dalam memorandum ini. Beberapa fakta ingin dinyatakan sebagai bahan perbicangan dan penghujahan terhadap tajuk memorandum ini.

i. Penglibatan Pelajar Sekolah

Amat menyedihkan apabila golongan pelajar sekolah khususnya yang tinggal di asrama seperti Sekolah Menengah Teknik Kluang, Sekolah Menengah Sains Johor, Sekolah Tinggi Kluang dan Sekolah Teknik Johor Bahru telah dikerah untuk menghadiri konsert ini. Lebih mendukacitakan pelajar-pelajar ini telah hadir dengan berpakaian uniform sekolah ke konsert tersebut (rujuk lampiran gambar)
Konsert Amal AF2 ini pula adalah dianjurkan oleh UMNO Bahagian Semberong dengan kerjasama Astro dan Maxis yang diketuai oleh Dato' Hishamudin Tun Hussien, Menteri Pelajaran Malaysia selaku ketua Bahagian Semberong sempena Tabung yayasan Tun Hussien Onn dan melibatkan artis-artis daripada AF2.

Sedangkan dalam masa yang sama, gejala buli dan samseng terus menjadi-jadi di sekolah tetapi Menteri Pelajaran Malaysia terus berusaha agar budaya hedonisme dapat diterapkan kepada pelajar sekolah & remaja.

ii. Kenyataan Menteri Pelajaran Malaysia

Amat memalukan apabila seorang yang bertaraf Menteri khususnya di Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat kenyataan bahawa golongan artis haruslah dijadikan role model di kalangan remaja dan pelajar sekolah.

iii. Membuang Masa Pelajar

Pelajar-pelajar yang hadir ke konsert ini telah memaklumkan bahawa sekolah-sekolah terlibat diarahkan membatalkan apa jua bentuk kelas tambahan untuk membolehkan pelajar-pelajar ke konsert.
iv. Pelajar-pelajar asrama dikerah ke konsert tanpa pengetahuan ibu bapa.

Ibu bapa mengharapkan agar anak-anak yang dimasukkan ke asrama di sekolah-sekolah untuk mendapatkan bimbingan yang sebaiknya daripada sekolah agar anak-anak mereka akan menjadi manusia yang terbaik. Dengan membawa anak-anak ke konsert amal ini, pihak sekolah telah mencabul kepercayaan ibu bapa lebih-lebih lagi pihak penjaga tidak mengetahui anak-anak mereka telah dikerah untuk menghadiri konsert ini.

3.0 MENYEDARI BAHAWA ;

3.1 Falsafah Pendidikan Negara menyebut bahawa Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara;

3.2 Objektif Pertama Jabatan Pelajaran Negeri Johor adalah Berhasrat Dapat Melahirkan Insan Yang Cemerlang Dari Segi Intelek, Rohani dan Jasmani ;

3.3 Kejadian jenayah juvana dan gejala sosial banyak melibat gologan pelajar khususnya golongan kaum melayu yang kini sedang menuju krisis kehancuran (rujuk indeks I) ;

3.4 Kejadian buli disekolah semakin tidak terkawal sehingga Sultan Pahang telah ‘turun’ bertemu dengan kumpulan pelajar pembuli disekolah (rujuk Indeks II)

3.5 Hiburan/hedonisme adalah merupakan aktiviti yang melalaikan dan menjadikan di antara punca keruntuhan akhlak dan menanamkan sikap malas membaca (rujuk indeks III) ;

3.6 Role Model yang terbaik bagi umat Islam adalah Nabi Muhammad S.A.W. Ini adalah sangat bertepatan dengan Allah Taala dalam surah Al-Ahzab ayat 21 yang berbunyi:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

3.7 Mufti Kerajaan Negeri Perak telah mengeluarkan kenyataan dan fatwa bahawa konsert seperti Akademi fantasia adalah HARAM
Maka, Dewan Pemuda PAS Neqeri Johor mendesak Jabatan Pendidikan Negeri Johor;
3.1 Menggunakan kuasa yang diperuntukkan untuk melindungi pelajar sekolah daripada terjebak ke program yang meruntuhkan akhlak dan sia-sia dan tidak tunduk kepada desakan daripada mana-mana parti politik atau pihak-pihak lain terutamanya kepada parti politik yang memerintah.
3.2 Mempastikan pihak sekolah mendapatkan kebenaran daripada ibubapa atau penjaga terlebih dahulu supaya tidak menimbulkan masalah sekiranya berlaku kejadian yang tidak dingini.
3.3 Mengenalpasti program yang bersesuaian untuk pelajar sekolah sama ada program atau aktiviti tersebut menyumbang kepada kerosakan dan kebinasaan atau sebaliknya.

4.0 PENUTUP
DPPN Johor sekali lagi bertegas bahawa PAS bukan menolak hiburan tetapi hiburan yang ingin dilaksanakan itu menepati syariat Allah S.W.T. DPPN Johor mencadangkan agar program pembangunan terhadap pelajar sekolah mestilah diperbanyakkan dengan berlandaskan kepada Islam dan dasar negara bukannya hiburan yang akhirnya akan menghancurkan masa depan remaja dan negara.
Firman Allah,

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".

Sekian, wassalam
Yang menjalankan amanah

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7219913, 012-7811830

No comments: