PAS Kluang desak batal Konsert Akademi Fantasia
Date: Monday, June 13 @ 11:23:27 MYT
Topic: Local News
Oleh Salman Hussin
KLUANG, 13 Jun (Hrkh) – PAS Kawasan Kluang mendesak Pegawai Daerah membatalkan kebenaran sebarang bentuk konsert hiburan yang diadakan sama ada secara terbuka atau tertutup di daerah ini. Desakan ini dibuat berdasarkan maklumat yang menyatakan Konsert Akademi Fantasia akan diadakan secara besar-besaran di bandar ini pada 17 Jun ini, kata Timbalan Yang DiPertua PAS Kluang, Mohd Nor Mohamad, dekat sini.
Beliau berkata demikian semasa menyerahkan memorandum bantahan penganjuran konsert ini kepada Pegawai Daerah Kluang, Haji Abdul Latif Yusof, di Pejabat Daerah Kluang, baru-baru ini.
Hadir sama dalam penyerahan tersebut adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil serta beberapa AJK PAS Kluang.
Konsert yang pada asalnya akan diadakan di Taman Seri Lambak dekat sini bagaimanapun terpaksa dipindahkan ke Stadium Kluang berikutan bantahan penduduk taman terbabit yang mendakwa konsert ini boleh menimbulkan gangguan kepada mereka.
Menurut Mohd Nor, masalah gejala sosial yang begitu teruk melanda masyarakat terutama golongan remaja kita hari ini tidak sewajarnya diburukkan lagi dengan memperbanyakkan program-program hiburan yang melalaikan.
Tidak dinafikan terdapat faktor lain selain hiburan turut menyumbang kepada keruntuhan akhlak remaja dan masyarakat tetapi kerajaan sepatutnya menyekat salah satu punca ini supaya ruang untuk kerosakan yang lebih parah lagi dapat dielakkan.
Katanya lagi, program pembangunan insan yang berlandaskan Islam mestilah diperbanyakkan di samping pada masa yang sama program berbentuk hiburan yang melalaikan ini dihapuskan sama sekali.
"Jangan jadikan hiburan sebagai Dasar Negara kerana jika ini berlaku maka bukan saja masa depan rakyat akan hancur bahkan negara juga akan binasa akhirnya,"katanya.
Pada pertemuan tersebut, Haji Abdul Latif ketika ditanya berhubung konsert ini memberitahu sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan pihak penganjur konsert ini.
Beliau juga memberitahu kebenaran mengadakan konsert ini hanya akan diputuskan setelah merujuk pandangan beberapa jabatan lain seperti Polis dan Jabatan Agama Islam Daerah. - mks.
No comments:
Post a Comment