27 August 2010

Kenyataan Media DPPNJ 19/10

KENYATAAN MEDIA
26 Ogos 2010, 16 Ramadhan 1431
No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(19/10)

TAJUK

MENYOKONG USAHA PIHAK POLIS MENYIASAT INDIVIDU YANG MENYAMAR MENGGUNAKAN NAMA TENGKU MAHKOTA JOHOR (TMJ)

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,
1. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa kesal dengan tindakan individu yang dikesan menyamar menggunakan nama Tengku Mahkota Johor(TMJ) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pada laman sosial Facebook, baru-baru ini.

2. Awal bulan ini, kita telahpun dikejutkan dengan pengunaan gambar Sultan Johor, Sultan Ibrahim pada kain rentang yang telah mencemarkan istitusi Di Raja Johor yang sehingga kini masih di dalam siasatan pihak polis lagi.

3. Tindakan individu tertentu yang menyamar menggunakan nama TMJ merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Walau apa pun jua alasan, menggunakan indentiti tanpa kebenaran adalah salah dan boleh mendatangkan kesan yang buruk.

4. Menurut Sinar harian muka hadapan, Laman sosial Facebook itu dipercayai dikendalikan oleh seorang individu bergelar 'Miky' mempunyai 'Diari Harian Tunku Mah- kota Johor', 'Tengku Ismail' dan 'Tunku Mahkota Johor (Penasihat Utama TMJ)' dan dikatakan mempunyai kira-kira 10,000 peminat. Selain memuat naik gambar dan aktiviti Tunku Ismail, individu itu juga melayan komen-komen peminat yang menyangkakannya dirinya ialah TMJ.

5. Kami menyokong penuh usaha pihak Polis Kontigen Johor bersama Bukit Aman untuk melakukan siasatan terhadap kes ini mengikut Akta Hasutan 1948.

6. Kami berharap agar pengguna laman sosial perlu lebih berwaspada dan berhati-hati terutamanya dalam pengunaan indentiti tertentu. Kebenaran haruslah diperolehi jika kita ingin menggunakan identiti tersebut.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

19 August 2010

Kenyataan Media DPPNJ - Bonus Untuk Kakitangan Awam Johor

KENYATAAN MEDIA
19 Ogos 2010, 9 Ramadhan 1431
(No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(18/10)

TAJUK

Kerajaan Johor Wajar memberikan Bonus kepada kakitangan Awam yang berkhidmat di bawah kerajaan negeri


Assalamu’alaikum dan salam perjuangan.

1. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kakitangan awam negeri Pulau Pinang kerana bakal menerima bonus Hari Raya daripada kerajaan negeri tidak lama lagi sebelum menjelangnya Idil Fitri.

2. Sudah tentu ia adalah khabar gembira kepada kakitangan yang telah memberikan komitmen yang terbaik selama ini untuk membangunkan negeri.

3. Sama ada banyak atau sedikit jumlahnya bukanlah menjadi persoalannya tetapi ia adalah satu pemberian daripada kerajaan yang prihatin dengan kakitangannya.

4. Lebih-lebih lagi kerana kerajaan Pulau Pinang yang kini ditadbir oleh Pakatan Rakyat berhadapan dengan pelbagai halangan dan birokrasi daripada Kerajaan Persekutuan masih lagi mampu untuk mengeluarkan saguhati kepada kakitangannya.

5. Kesemua 3,577 kakitangan awam di Pulau Pinang akan menikmati bonus istimewa RM400 bagi menyambut Aidilfitri yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM 1.5 juta diluluskan oleh exco kerajaan negeri Pulau Pinang semalam dan pembayaran RM400 itu akan dibuat pada 3 September ini, iaitu kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri.

6. Sekiranya jumlah yang sama diberikan kepada kakitangan awam di Johor bermakna kerajaan Johor hanya perlu mengeluarkan sebanyak RM 2.4 juta sahaja kepada kakitangan awamnya yang dianggarkan berjumlah seramai hampir 6,000 orang.

7. Saya percaya bahawa kakitangan awam yang berkhidmat dengan kerajaan negeri Johor sudah tentu mengharapkan agar kerajaan Johor dapat mengambil langkah yang sama untuk memastikan bahawa bebanan dapat dikurangkan dengan kenaikan harga barang ketika ini.

8. Pemberian bonus ini akan membuktikan bahawa kerajaan Johor tidaklah berada di dalam situasi ekonomi yang membimbangkan seperti mana yang sedang dibuktikan oleh Felda dengan memberikan bonus kepada peneroka walaupun terdapat maklumat bahawa Felda berkemungkinan akan berhadapan dengan bankrap.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

12 August 2010

Kabinet Tidak Perlu Halang Mahasiswa Terlibat Politik

KENYATAAN MEDIA
12 Ogos 2010, 2 Ramadhan 1431

(No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(17/10)

TAJUK

Kabinet Tidak Perlu Halang Mahasiswa Terlibat Politik

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

1. Keputusan Kabinet melarang mahasiswa terlibat di dalam politik adalah keputusan yang bergerak melangkah kebelakang dan pemikiran yang ketinggalan zaman.

2. Sebelum ini, ura-ura bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dipinda untuk membolehkan mahasiswa melibatkan diri dalam politik kepartian telah dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dan sebagai permulaan, beliau akan menghadiri perbincangan meja bulat mengenai perkara itu yang dianjur Majlis Belia Malaysia (MBM).

3. Namun, kabinet telah membuat keputusan semalam bersetuju untuk melarang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terlibat dalam parti politik dan ia telah diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

4. Mohamed Khaled memberitahu bahawa keputusan tersebut tidak menghalang penuntut untuk mengetahui dan mengikuti sebarang perkembangan politik di negara ini kerana Seksyen 15 dalam AUKU sudah memadai apabila mahasiswa boleh terlibat dalam kegiatan politik selepas mendapat kebenaran Naib Canselor.

5. Keputusan ini dilihat sebagai langkah berterusan untuk menyekat mahasiswa daripada terlibat dengan mana-mana parti politik yang berkemungkinan akan tidak seiringan dengan parti pemerintah.

6. Kerajaan perlu memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk membina diri mereka sebagai pemimpin masa hadapan dengan penglibatan yang lebih luas mendekati dan menyertai parti politik bukannya mengawal minda dan gerakerja mahasiswa seperti golongan pelajar sekolah.

7. Mahasiswa di IPTA terdiri daripada kalangan mereka yang berpendidikan dan sudah berkemampuan untuk menilai perkara yang baik dan buruk maka sudah tentu mereka juga tahu untuk memilih perjuangan parti politik yang ada di negara ini.

8. Saya menggesa agar mahasiswa bangkit untuk menolak keputusan kabinet ini untuk menyampaikan mesej kepada pemimpin kerajaan bahawa mahasiswa Malaysia sudah pun matang untuk terlibat dalam menentukan masa depan negara.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

12 ogos 2010 / 2 Ramadhan 1431

Timbalan Perdana Menteri Perlu Henti Mengganggu Siasatan Polis

KENYATAAN MEDIA
12 Ogos 2010, 2 Ramadhan 1431

(No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(16/10)

TAJUK

Timbalan Perdana Menteri Perlu Henti Mengganggu Siasatan Polis

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

1. Isu penggunaan gambar Sultan Johor di dalam kain rentang yang kononnya diterbitkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Johor telah mendapat liputan yang cukup meluas sehinggakan pelbagai kenyataan telah dibuat pelbagai pihak.

2. Muka hadapan Sinar Harian menyiarkan berita tentang tindakan Polis yang telahpun melakukan penyiasatan terhadap 39 individu yang terdiri daripada mereka yang mempunyai mesin pencetak, ahli politik dan orang awan bagi membantu penyiasatan polis.

3. Arahan tersebut telah dikeluarkan oleh Ketua Polis Johor iaitu Datuk Mohd Mokhtar bin Shariff yang mahukan siasatan dilakukan di bawah Akta Hasutan.

4. Sembilan laporan polis telahpun dibuat oleh pelbagai pihak dan polis telahpun memulakan siasatan namun agak mengejutkan apabila Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan kenyataan meminta agar kepimpinan Pakatan Rakyat negeri Johor memohon maaf kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berikutan tindakan mereka mengaitkan baginda dalam satu program politik di Batu Pahat baru-baru ini.

5. Kenyataan ini menunjukkan bahawa Muhyiddin terlebih awal membuat keputusan sedangkan pihak polis masih lagi membuat penyiasatan dan Ketua Polis Johor menyatakan bahawa siasatan yang sedang dijalankan tidak boleh didedahkan.

6. Sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri sepatutnya Muhyiddin tidak bertindak melulu menggesa mana-mana pihak memohon maaf sedangkan keADILan Johor telah pun menafikan bahawa mereka telah menaikkan kain rentang tersebut dan disusuli dengan laporan polis yang telah dibuat.

7. Muhyiddin perlu menunggu hasil siasatan polis sebelum melemparkan tuduhan seumpama ini kepada mana-mana pihak terutamanya kepada PR.

8. Saya juga menggesak agar pihak polis mengambil tindakan terhadap Muhyiddin dan mana-mana pihak yang telah mengganggu siasatan yang sedang dilakukan pada ketika ini.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

12 Ogos 2010 / 2 Ramadhan 1431

09 August 2010

Kenyataan Media DPPNJ

Laporan polis telah dibuat oleh keADILan Johor
-----------------------------------------

KENYATAAN MEDIA

9 Ogos 2010, 28 Syaaban 1431

(No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(15/10)

TAJUK

SIASAT SEGERA PIHAK YANG TIDAK BERTANGGNGJAWAB MEMPERMAINKAN GAMBAR SULTAN JOHOR


Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

1. Saya cukup kesal dengan perbuatan pihak-pihak tertentu yang telah menaikkan kain rentang di seluruh negeri Johor yang kononnya dinaikkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Johor yang memberikan ucapan tahniah di atas perlantikan Datuk Chua Jui Meng sebagai Pengerusi PKR Negeri Johor.


2. Dengan tanpa rasa bersalah mereka telah meletakkan gambar Tuanku Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di dalam kain rentang tersebut sehingga saya difahamkan bahawa Astro Awani telah menyiarkan Sultan Johor telah murka dengan perkara ini .


3. Saya telah mendapat maklumat bahawa PKR Negeri Johor telah membuat laporan polis terhadap perkara ini dan mahukan polis membuat siasatan segera.


4. Tindakan biadap seperti ini perlu dihentikan segera kerana ia akan merosakkan imej Sultan Johor yang dihormati dan disayangi oleh rakyat jelata dan tidak mendatangkan kebaikan kepada mana-mana pihak.


5. Saya bimbang tindakan jahat ini dilakukan untuk merosakkan hubungan istana Johor dengan PR yang semakin diterima oleh rakyat Johor khususnya dengan perlantikan Dr Chua Jui Meng sebagai Pengerusi PKR yang baru.


6. Tindakan awal PKR Johor membuat laporan polis adalah tindakan yang tepat untuk membersihkan pandangan masyarakat kepada PKR dan Pakatan Rakyat (PR) dan Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyokong tindakan tersebut.


7. Kita akan menanti hasil siasatan yang bakal diumumkan nanti.


Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

www.minda-kembara.com

02 August 2010

Kenyataan Media DPPNJ

Polis memberikan arahan kepada pengerusi majlis iaitu sdr Khairul Faizi Ahmad Kamil (Ketua DPPNJ) untuk menghentikan majlis majlis ceramah kerana majlis ini tidak diberikan permit.
---------------------------------------------------
KENYATAAN MEDIA
2 Ogos 2010, 21 Syaaban 1431
(No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(14/10)

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor ingin melahirkan kekesalan atas tindakan pihak POLIS yang telah menghalang Ceramah Pakatan Rakyat yang sepatutnya diadakan di Sungai Tongkang, Rengit, Batu Pahat Sabtu 31 Julai lalu.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor menyeru agar pihak POLIS berpegang teguh dengan prinsip keadilan dan Perlembagaan Malaysia yang membenarkan diadakan perhimpunan di Premis Persendirian. DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR ingin mempertegaskan bahawa Premis yang diserbu oleh pihak POLIS Sabtu lalu adalah Premis Persendirian milik Parti Islam Semalaysia dan Pihak POLIS tidak sewajarnya bertindak melampaui peruntukan undang-undang semata-mata untuk menggagalkan ceramah yang dirancang oleh Pakatan rakyat.

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR mengharapkan agar pihak POLIS memberi ruang yang adil kepada semua parti politik untuk menyampaikan aspirasi masing-masing memandangkan parti UMNO dan Barisan Nasional mendapat ruang yang seluas-luasnya di media cetak dan elektronik arus perdana, maka sewajarnya ruang yang sangat terhad di pentas-pentas ceramah ini tidak dihalang bagi memberikan gambaran baik masyarakat dunia akan keadilan demokrasi di Malaysia. Tindakan drakonian POLIS dalam menghalang ceramah Sabtu lalu pasti memberikan imej yang kurang sihat di mata dunia akan keadilan system Demokrasi di Malaysia.

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR sekali lagi menyeru agar Pihak POLIS benar-benar mengamalkan Profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Sekian

Mohd Faizul Bin Mohd Salleh

Setiausaha

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor