28 September 2008

KEJATUHAN EKONOMI AMERIKA : KEMBALIKAN KUASA DINAR EMAS


Ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang menjadi tonggak kepada ekonomi kapitalis kini berada pada tahap terburuk dan lembap. Kelembapan itu turut menjangkiti negara-negara lain di dunia. Tiga per empat daripada dolarnya berada diluar negara dengan nilai yang terus menyusut.

Kegemilangannya dilihat terus merudum. Tidak seperti detik bersejarah Perjanjian Bretton Woods pada tahun 1944 yang telah menipu dan memperdaya 44 buah negara supaya bersetuju menyandarkan mata wang kertas negara mereka kepada dolar AS. Tipu daya itu berlangsung menerusi jaminan adikuasa itu bahawa dolarnya adalah bersandarkan kepada emas iaitu sebanyak US$35 bagi setiap auns.

Penipuan terbesar adalah semasa pemerintahan Presiden Nixon yang mana pada tanggal 15 Ogos 1971 secara unileteral telah memungkiri perjanjian Bretton Woods dengan tidak lagi menyandarkan dolarnya kepada emas akibat kemelesetan ekonomi yang disebabkan oleh keperluan pembiayaan Perang Vietnam serta defisit imbangan pembayaran yang berterusan.

Semenjak runtuhnya Perjanjian Bretton Woods, sistem kewangan dunia telah digantikan dengan sistem mata wang apungan di mana nilai mata wang sesebuah negara, dinilaikan pada mata wang negara lain. Kaedah ini mengakibatkan ketidaktentuan turun naik nilai mata wang sekaligus memberi peluang kepada spekulator mata wang mengaut keuntungan atas kerugian negara lain. Richard Duncan, dalam bukunya “The Dollar Crisis,” meramalkan kemungkinan satu krisis ekonomi yang mungkin lebih buruk daripada ‘Great Depression’ seandainya sistem kewangan sekarang diteruskan.

Melihat kepada kekurangan yang ada pada sistem mata wang apungan ini, ramai pakar ekonomi berpendapat bahawa penggunaan dinar emas adalah sangat disyorkan agar digunapakai kembali sebagai alat menyimpan nilai dan perantara pertukaran terutama dalam perdagangan antarabangsa. Langkah ini disyorkan kerana dinar emas terkenal dengan sifat stabil terhadap aktiviti spekulasi dan manipulasi.

Dari segi tabungan, emas lebih stabil berbanding wang kertas kerana nilainya tidak mengalami turun naik yang ekstrem dan tidak merosot akibat inflasi. Dari segi zakat, hukum Islam menetapkan bahawa zakat hanya boleh dibayar dalam bentuk barangan nyata. Dinar emas sangat sesuai berbanding wang kertas kerana wang kertas hanya laku atas jaminan kerajaan yang mengeluarkannya. Sedangkan emas tidak memerlukan mana-mana pihak untuk mengesahkan nilainya kerana ia dengan sendirinya mempunyai nilai.

Umar Ibrahim Vadillo merupakan individu yang melihat penggunaan dinar emas sebagai jalan penyelesaian kepada krisis ekonomi dunia. Beliau telah berusaha keras untuk mencipta iklim ekonomi yang bersandarkan dinar emas yang sepatutnya menjadi mata wang umat Islam. Malah, beliau juga yang telah melobi Tun Mahathir selepas negara di landa krisis mata wang pada tahun 1997 untuk bertukar kepada penggunaan dinar emas. Hujahnya, mata wang dinar emas bukan sahaja mampu dijadikan sebagai kaedah utama pembayaran berikutan terdapat lebih daripada satu bilion umat Islam di dunia ini malah kedudukan ekonomi sesebuah negara akan lebih terjamin kerana dinar emas merupakan komoditi yang mempunyai harga yang stabil.

Pada tanggal 18 Ogos 1991, beliau dengan lantang telah mengeluarkan fatwa bahawa wang kertas adalah haram. Fatwa berkenaan merumuskan bahawa wang kertas adalah satu bentuk hutang (janji yang dibayar oleh pihak yang mengeluarkannya) dan oleh itu tidak boleh digunakan sebagai alat pembayaran. Ini bertepatan dengan takrifan daripada Imam Malik r.a. yang mentakrifkan wang sebagai “sebarang komodititi yang diterima umum digunakan sebagai alat pertukaran”. Oleh yang demikian, manusia mempunyai kebebasan untuk memilih sebarang komoditi yang bernilai sebagai mata wang dan bukan mata wang yang dipaksa nilai ke atasnya.

Menyelusuri sejarah, dinar emas telah menjadi piawai bagi mata wang dunia, selama beribu-ribu tahun, sehinggalah ia diganti kepada wang kertas dolar hanya pada awal tahun 1970-an.

Dinar berasal dari perkataan bahasa Latin Denarius iaitu matawang yang digunakan oleh Kerajaan Rom yang diperbuat dari logam perak. Ianya digunakan pada tahun 211 sebelum masihi di mana 1 denarius perak beratnya kira - kira 4.5 gram.

Dari perkataan Denarius ini, wujudlah pelbagai matawang yang lain seperti Denier (mata wang perak Perancis), Denaro (mata wang perak Itali), Dinar (mata wang emas Islam), Dinero (mata wang perak Sepanyol) dan Dinheiro (mata wang perak Portugis).

Pada penghujung zaman Republik Roman, mata wang Denarius dari logam emas mula digunakan dengan dikenali sebagai Denarius Aureus yang bermaksud Denarius Emas. Semenjak dari itu, perkembangan mata wang emas telah berubah mengikut peredaran zaman di mana semasa pemerintahan Constantine The Great (306 – 377 Tahun Masihi) mata wang emas lama telah ditukar dengan mata wang yang lebih ringan yang dikenali sebagai Solidus yang beratnya 4.5 gram.

Mata wang emas Solidus ini telah digunakan sehingga berakhirnya zaman Empayar Byzantium dan telah tersebar penggunaannya ke seluruh Semenanjung Tanah Arab sehinggalah ke zaman awal Islam. Dari zaman bermula berkembangnya agama Islam, penggunaan mata wang dinar emas dan dirham perak dari Parsi telah digunakan menjadi mata wang bagi setiap ummah ketika itu dalam urusan jual beli.

Hanya pada zaman pemerintahan Khalifah yang ke-3 iaitu Khalifah Saiyidina Ummar al-Khattab (13 – 23 hijrah / 633 – 644 masihi), penggunaan mata wang dinar dan dirham mula dikawal dari segi corak dan berat. Di bawah pemerintahan Khalifah Ummar, corak mata wang Islam telah diukir dengan nama Allah s.w.t. dan sebahagian dari ayat-ayat suci al-Quran. Berat mata wang Islam ini juga telah ditetapkan iaitu mata wang dinar mestilah mengandungi emas seberat 1 mithqal (iaitu seberat 4.25 gram ukuran pada masa kini). Manakala bagi mata wang dirham pula, beratnya adalah sebanyak 2.975 gram perak (ukuran pada masa kini) di mana jika nilai tukarannya dengan dinar ialah 7 dinar emas bersamaan dengan 10 dirham perak.

Kepentingan dinar emas jelas dicatat dalam buku Ibn Khaldun yang bertajuk “al-Muqaddimah.” Di dalam buku tersebut, mencatatkan akan wahyu Allah s.w.t. memasukkan dinar serta dirham dan ini telah membawa bersamanya banyak kaitan dalam hukum seperti zakat, perkahwinan dan hudud. Sebab itu di dalam wahyu Allah s.w.t. dengan jelas telah menyatakan akan ukuran yang tetap mengenai zakat dan sebagainya dengan menggunakan dinar dan dirham tidak dengan yang lain.

Islam mementingkan keredaan Allah s.w.t. dalam setiap pelakuan dan pekerjaan yang dilakukan kerana keredaan Allah s.w.t. akan memberikan kesejahteraan kepada kehidupan dunia dan akhirat. Idea mengembalikan dinar emas bukan suatu perkara kecil kerana ia secara langsung atau tidak, turut melibatkan soal sistem sosial, ekonomi, politik, dan, keberkatan dari-Nya.

Malah, kelemahan umat Islam sedunia mula ketara apabila berakhirnya penggunaan dinar emas. Menurut sejarah, pemerintahan Islam di bawah Khalifah Uthmaniyah di Istanbul, Turki telah dihelah dengan kemajuan dan pembangunan. Pinjaman wang kertas daripada Eropah untuk membangunkan Turki telah menjadikan negara tersebut berhutang dan melalui sistem wang kertas bersama riba telah melemahkan pemerintahan Khalifah.

Riba sangat dibenci Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Ini diterangkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya,” (al Baqarah:279).

Memang tidak dapat dinafikan, sistem wang dunia berasaskan wang kertas dan berlandaskan riba ini telah telah membawa kepada banyak kerosakan seperti kemiskinan, kerosakan alam sekitar, monopoli pengeluaran dan pengedaran. Sistem ini juga menimbulkan berbagai masalah seperti pengangguran, jenayah, maksiat dan kejatuhan moral. Sistem ini yang dikendalikan oleh institusi perbankan, sistem demokrasi dan ahli politik yang tidak bertanggungjawab telah memberi sumbangan kepada kesengsaraan masyarakat dunia.

Ibnu Abbas r.a. dari Ishaq Ibn Basheer dan Ibn Asakir di Kanz al-Ummal mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: “Orang yang pertama mengikuti Dajjal adalah 70,000 orang Yahudi…dan antara tanda pelepasan Dajjal adalah amalan riba.”

Kini, dinar emas telah kembali dan ramai umat Islam dan bukan Islam dari seluruh dunia menyeru supaya dinar emas ini dikembalikan. Ditengah-tengah kekalutan ekonomi yang melanda kini, kilauan dinar emas dilihat dapat mengembalikan sistem kewangan yang lebih munasabah dan mantap. Ramai yang telah sedar akan tipu helah sistem kewangan yang ada dan masyarakat dunia sudah mula meminta supaya mengembalikan kebebasan untuk memilih. Sekiranya demokrasi dilaungkan di seluruh dunia supaya diamalkan dalam semua perkara, mengapa tidak kebebasan diberikan untuk memilih dinar sebagai wang?

Sumber - bobex

ULASAN MINDA MUFTI PERLIS


Adalah tidak mustahil nasib politik pro-Islam akan dipersia-siakan apabila pentadbiran kuasa tidak berada dalam tangan mereka. Sekalipun mereka yang membantu kenaikan kuasa politik berkenaan.

Dalam sejarah al-Ikhwan al-Muslimin, mereka pernah membantu revolusi yang dibuat oleh Jamal Abd al-Nasir sehingga beliau berjaya menjadi Presiden Mesir. Bahkan kemenangan Jamal ‘Abd al-Nasir itu sebenarnya kerana bantuan Gerakan al-Ikhwan al-Muslimin. Mereka juga yang membela Jamal pada peringkat awal semasa rakyat sudah mula tidak puas hati dengannya.


Malangnya, Jamal ‘Abd al-Nasir yang pernah berbai’ah dengan wakil Hasan al-Banna dan berjanji setia untuk membela Islam itu berubah sama sekali setelah menjadi Presiden. Dia yang mengetahui banyak rahsia-rahsia pergerakan al-Ikhwan telah menggunakan ‘kepakarannya’ itu untuk memusuhi al-Ikhwan habis-habisan.

Ramai pemimpin al-Ikhwan yang ditangkap dan dibunuh. Dialah juga yang menggantung Syed Qutb, ‘Abd al-Qadir ‘Audah dan lain-lain. Dari seorang teman yang dibantu, menjadi musuh yang memburu. Sebabnya, kerana pemimpin al-Ikhwan tidak berhati-hati melihat kepercayaan dan dasar yang dipegang oleh Jamal ‘Abd al-Nasir yang seakan memakai ‘baju pro-Islam’ pada peringkat awal.

Namun, apabila menjadi Presiden, dia telah menanggal baju tersebut dan jelaslah akidah sebenar yang dianutinya iaitu ‘pro-sosialis’ dan dia sebenarnya talibarut Soviet Rusia. Memang, Soviet Rusia akhirnya menjadi begitu rapat dengan Mesir, bahkan Soviet telah menjadi kiblat pentadbiran sosialis Jamal ‘Abd al-Nasir.

Terbukti tuduhan terhadap Jamal sebelum itu bahawa dia ‘tali barut’ Soviet Rusia adalah benar. Topeng Islamnya adalah mainan politik. Jamal yang terkenal dengan slogan dan kepetahannya telah menjadi idola masyarakat ‘Arab. Sementara Al-Ikhwan terpaksa membayar harga kesilapan itu dengan menjadi kelompok yang paling ditindas dan diseksa.

Akhirnya, al-Ikhwan terpaksa berjuang dengan airmata, penjara dan darah berhadapan dengan seorang Presiden yang memegang tampuk kuasa dengan bantuan mereka sendiri.

Alangkah baiknya, jika para pencinta Islam berhati-hati dalam langkah-langkah mereka. Jangan sampai suatu hari mereka terpaksa bertempur dengan musuh yang ditegakkan oleh mereka sendiri. Musuh itu pulak akan lebih licik kerana banyak mengetahui rahsia mereka.

Kemenangan Islam mestilah melalui denai dan lorong yang diredhai oleh Islam. Jika kita melalui jalan yang asing bersama orang lain, mungkin orang lain akan sampai ke destinasinya, tetapi kita akan tersesat jalan.

Ingatlah selalu firman Allah yang memberi amaran kepada baginda Nabi s.a.w agar tidak terpengaruh dengan tawaran kemenangan segera tanpa melalui jalan yang diredhai Allah. Firman Allah:

(maksudnya) Dan sesungguhnya hampir mereka dapat memesongkanmu (Wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) tentulah mereka menjadikan engkau sahabat karib. Dan kalaulah tidak Kami tetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka. Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh penolong pun terhadap hukuman kami. (Surah al-Isra`: 73-75).

sumber - drmaza.com

25 September 2008

TERKINI ! KERUNTUHAN EKONOMI KAPITALIME

Zaman kebangkitan Islam melangkah setapak lagi ke hadapan!

WASHINGTON: Presiden George W Bush yang jarang tampil memberi amanat awam di kaca televisyen, hari ini berkata 'keseluruhan ekonomi Amerika kini dalam bahaya'.

“Kita sekarang di ambang krisis kewangan paling serius," katanya dalam siaran langsung dari Rumah Putih. - AFP

Sumber- Berita Harian

EMPAYAR AMERIKA GOYAH MEMBERI KESAN KEPADA POLITIK TANAHAIR

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berkata ‘empayar Amerika’ semakin menghampiri kejatuhan dan negara kuasa besar tunggal dunia itu patut menamatkan pembabitan tenteranya di negara lain.

Beliau memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam keganasan sedang merebak dengan cepat di Afghanistan ketika ‘penjajah’ masih berada di Iraq hampir enam tahun selepas Saddam Hussein disingkirkan.

Katanya kehadiran Amerika dan tentera Nato di Afghanistan menyumbang kepada peningkatan mendadak keganasan dan pengeluaran bahan narkotik di negara itu.

“Empayar Amerika di dunia sudah berada di penghujung jalan dan pemerintah selepas itu mesti mengehadkan campur tangan kepada sempadan mereka sendiri,” katanya.

Beliau juga menuduh Amerika memulakan peperangan di Iraq dan Afghanistan bagi mendapatkan undi dalam pilihan raya dan menyalahkan ‘beberapa kuasa pembuli’ kerana cuba menghalang program nuklearnya.

“Beberapa kuasa pembuli cuba mewujudkan halangan terhadap kegiatan nuklear untuk tujuan keamanan yang dilaksanakan Iran dengan mengenakan tekanan ekonomi dan politik ke atas negara ini,” katanya.

Ahmadinejad turut mengecam Israel dan berkata “rejim Zionis berada di jurang kemusnahan dan tiada jalan untuk keluar dari lubang jahanam yang dicipta sendiri bersama penyokongnya.”

Presiden Iran itu menuduh satu kelompok kecil penipu dikenali Zionis mendominasi pusat kewangan dan pembuat keputusan di beberapa negara Eropah dan Amerika.

Ucapan beliau dibuat beberapa jam selepas Presiden Amerika George W Bush menyampaikan ucapan ke lapan dan terakhir beliau pada perhimpunan PBB itu dengan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil pendirian tegas terhadap program nuklear Iran dan Korea Utara.

Bush diberi tepukan kurang 10 saat selepas ucapannya itu yang turut menggesa pemimpin dunia mengambil pendirian terhadap serangan bunuh diri.

24 September 2008

AHAMDINEJAD PERTAHAN DASAR IRAN


NEW YORK: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad semalam mempertahankan dasar beliau menentang Barat dengan mendakwa tentera Amerika Syarikat sentiasa berada di sekeliling negaranya.

“Saya ingin bertanya anda, adakah (tentera) Iran atau askar Amerika yang mengepung kami?” katanya dalam temubual dengan National Public Radio (NPR) mengenai pendiriannya yang pernah dilabelkan Amerika sebagai memusuhi Barat.

“Tentera Amerika sentiasa berada di sempadan kami. Malah, bukan kami yang berada di sekeliling sempadan Amerika. Jadi apa sebenarnya yang mereka buat di sini?” soal beliau.

Biarpun dihukum dengan tiga sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Besatu (PBB), Iran terus membantah desakan Amerika Syarikat dan sekutunya yang mahukan Teheran menggantung usaha penguraian uranium yang didakwa Barat bertujuan menghasilkan bom atom.

Iran sebaliknya sudah berulang kali menegaskan yang program nuklearnya bagi tujuan keamanan iaitu sebagai sumber tenaga yang amat diperlukan rakyatnya.

Pada Perhimpunan Agung PBB minggu ini, Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice dijadual bertemu dengan rakan sejawatannya dari Britain, Russia, Perancis, China dan Jerman iaitu kumpulan P5+1 dalam usaha memutuskan rancangan seterusnya terhadap Iran. - AFP

23 September 2008

SELEPAS 16 SEPTEMBER : ANWAR BIMBANG UNTUK BERTEMU YANG DI-PERTUAN AGONG?

Para penasihat Anwar mungkin agak gusar jika beliau terus pergi mengadap Yang Di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan untuk membentuk kerajaan baru. Mereka mungkin tidak mahu Yang di-Pertuan Agong terlibat secara langsung dalam politik.

Para penasihat ini seolah-olah bimbang dan terlupa peranan penting Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga negara � satu perkara biasa dalam sistem Westminster yang kita amalkan. Dan ini tidak terhad kepada negara-negara yang mempunyai Raja (sistem monarki) sahaja.

Negara republik seperti India turut membolehkan ketua negaranya memainkan peranan dalam situasi luar biasa, walaupun biasanya ketua negara tersebut hanya memainkan peranan simbolik sahaja.

Peranan sebegini sebenarnya pernah diutarakan oleh Laporan Suruhanjaya Reid. Tetapi, oleh kerana ini merupakan kali pertama kita menghadapi situasi sebegini, kebimbangan mereka boleh difahami.

Bagaimanapun Anwar tidak menolak kemungkinan untuk pergi terus ke Istana. Oleh kerana Abdullah telah menolak cadangan agar diadakan sidang khas parlimen, Anwar kini mempunyai sebab untuk memohon mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Sistem perundangan kita tidak menyebut dengan jelas sama ada pertukaran kerajaan hanya boleh dibuat melalui parlimen. Artikel 43(4) dalam Perlembagaan memungkinkan pertukaran dibuat dengan cara majoriti ahli parlimen memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan sedia ada.

Ini akan mewajibkan Perdana Menteri meletak jawatan. Yang di-Pertuan Agong kemudiannya boleh melantik seorang ahli parlimen yang mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri baru.

Hujah salah

Pertukaran kerajaan melalui undi tidak percaya merupakan perkara yang pernah berlaku di negara-negara Komanwel lain. Tetapi ia amat sukar dilakukan di Malaysia kerana Umno menyekat sebarang usaha membentangkan usul undi tidak percaya.

Speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia mengatakan bahawa Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh untuk memutuskan sama ada mahu memanggil sidang khas parlimen atau tidak.

Rasanya Perlembagaan kita tidak bermaksud untuk memberi kuasa kepada Perdana Menteri membuat kata putus dalam hal ini.

Perdana Menteri merupakan ketua Eksekutif dan jika beliau mempunyai kuasa mutlak, maka ini seolah-olah meletakkan Legislatif di bawah Eksekutif. Pasti ini bertentangan dengan konsep pemisahan kuasa yang dituntut oleh sistem politik negara kita.

Selain itu, sukar dibayangkan sesebuah kerajaan akan bersetuju untuk memanggil sidang khas parlimen jika terdapat hal-hal yang mengancam penerusan hayat kerajaan tersebut. Hujah bahawa Perdana Menteri sahaja berkuasa memanggil parlimen adalah lemah.

Speaker Pandikar Amin Mulia ada juga memetik peraturan parlimen (Standing Orders) dalam membuat keputusan beliau. Tetapi peraturan parlimen dibentuk berasaskan peruntukan Perlembagaan Artikel 62(1). Peraturan ini statusnya lebih rendah daripada Perlembagaan.

Apabila Speaker menggunakan hujah peraturan parlimen, beliau seolah-oleh mengatakan bahawa peraturan tersebut lebih tinggi daripada Perlembagaan. Ini tidak betul.

Yang di-Pertuan Agong berhak untuk memanggil persidangan parlimen tergempar. Tidak mungkin apabila Baginda mempunyai kuasa memprorog dan membubarkan parlimen seperti termaktub dalam Artikel 55 Perlembagaan, Baginda tidak pula berhak memanggil parlimen bersidang. Artikel 40(2) pula merupakan satu artikel umum dan situasi sekarang lebih kelihatan sebagai satu pengecualian.

Yang di-Pertuan Agong memang mempunyai peranan dalam situasi sekarang. Ini bukan luar biasa kerana sistem yang kita amalkan kadang kala memang memerlukan tindakan-tindakan tertentu untuk membolehkan ia berfungsi dengan baik. Yang di-Pertuan Agong perlu memainkan peranan untuk memastikan Perlembagaan boleh terus terlaksana.

Yang pastinya, ini bukanlah penamat bagi Abdullah. Sekiranya Anwar berjaya membentuk kerajaan, Abdullah juga boleh mencabar Anwar dengan cara yang sama. Inilah sebabnya kenapa Abdullah perlu membenarkan sistem Westminster yang kita amalkan berfungsi seperti sewajarnya.

Anwar telah berjanji akan menghormati Perlembagaan. Maka mungkin langkah pertama yang perlu beliau usulkan ialah membolehkan Speaker dilantik melalui pengundian bebas. Parlimen kita akan menghampiri status parlimen kelas pertama jika Speaker yang dipilih ialah dari kalangan parti pembangkang.

Kuasa Agong atau kuasa parlimen?

Kembali kepada dua cara penukaran kerajaan tadi, iaitu sama ada melalui undi tidak percaya di parlimen atau melalui kuasa Yang di-Pertuan Agong, saya rasa kedua-duanya dibenarkan oleh kerangka Artikel 43(4) Perlembagaan kita.

Cara pertama iaitu pengundian di parlimen memanglah cara yang paling ideal dan lebih demokratik. Cara ini telah berlaku jika kita teliti kes Datuk Stephen Kalong Ningkan, bekas Ketua Menteri Sarawak, pada tahun 1966. Tetapi ini hanya boleh berlaku dalam satu sistem politik yang terbuka dan demokratik.

Bolehkah ia berlaku dalam situasi Malaysia sekarang? Kita boleh melihat dengan jelas betapa kerajaan Barisan Nasional berusaha sedaya upaya menghalang usul undi tidak percaya dibahaskan di Parlimen termasuklah dengan mengancam penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Cara kedua, iaitu melalui tindakan Yang di-Pertuan Agong, terhasil daripada pembacaan literal Artikel 43(4) bersama dengan Artikel 40(2)(a). Cara ini yang lebih cepat daripada cara pertama tadi.

Dan, oleh kerana terdapat unsur-unsur tidak demokratik dalam menghalang tercapainya cara pertama, maka mungkin cara kedua ini lebih praktikal.

Ia juga boleh menghalang kerajaan daripada terus menerus menyekat perubahan. Tetapi cara ini amat bergantung kepada kemahuan Yang di-Pertuan Agong untuk memainkan peranan yang lebih proaktif.

Mungkin wajar disebut di sini bahawa terdapat negara-negara demokrasi yang stabil di Eropah yang turut mengamalkan sistem monarki seperti kita.

Di luar Eropah pula, telah terdapat Raja yang secara aktif membantu lahirnya demokrasi di negara mereka. Inilah yang berlaku di Sepanyol, Thailand dan juga sedikit sebanyak di Jordan.

Adakah Raja-Raja kita juga mahu turut sama seperti Raja-Raja di negara-negara itu?

(Profesor Abdul Aziz Bari ialah Profesor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa. Artikel ini diterjemahkan daripada artikel asal beliau berbahasa Inggeris oleh WauBebas.org) _

APA AKAN TERJADI PADA 9 OKTOBER?

"Jangan kerana mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan", demikian nasihat beberapa pemimpin Umno bahagian kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah minggu lepas digesa meletakkan jawatan presiden Umno sebelum mesyuarat bahagian-bahagian bermula pada 9 Oktober kerana dibimbangi beliau tidak mendapat cukup pencalonan.

Desakan itu - sebahagian strategi untuk menyegerakan peralihan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak - disuarakan oleh beberapa anggota Majlis Tertinggi (MT), termasuk anggota-anggota kabinet, Khamis lalu.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin bahagian yang dihubungi Malaysiakini hari ini percaya suara-suara itu membuat keputusan "terlalu awal" kerana mesyuarat belum bermula.

Sementara beberapa yang lain mencadangkan Abdullah melepaskan jawatannya jika terbukti gagal mendapat sokongan bahagian-bahagian yang akan bermesyuarat sehingga 9 November ini.

Beliau memerlukan pencalonan 58 daripada 193 bahagian untuk layak bertanding jawatan tersebut yang disandangnya sekarang sejak 2004.

Ketua bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata saranan seumpama itu "permainan orang yang gila hendak bertanding."

"Mesyuarat bahagian pun belum lagi, mana tahu mereka tidak sokong Abdullah? Kalau satu, dua bahagian mungkin adalah (yang tidak mencalonkannya).

"Permainan ini dibuat oleh agen-agen politik yang mahukan naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding jawatan tersebut," katanya.

Di Pulau Pinang, tambahnya, sebahagian besar bahagian dipercayai akan mencalonkan Abdullah kerana beliau pengerusi perhubungan Umno dan juga perdana menteri.

Musa menambah, ahli-ahli akar umbi di negeri itu mahu presiden Umno erus menerajui parti selepas Disember ini.

Ketua bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman pula berkata, jika hanya beberapa anggota MT menggesa sedemikian bukan bermakna ia tidak mahu beliau bertanding.

Masing-masing membuat ramalan sedangkan, tambahnya, cara terbaik ialah menunggu bahagian mengadakan mesyuarat terlebih dahulu.

"Adakah kalau Abdullah berundur cepat, ia boleh menguatkan Umno? Jangan kerana mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan," katanya.

Ketua bahagian Umno Selayang, Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman berkata, cakap-cakap Abdullah bakal menghadapi masalah kuota pencalonan satu usaha meminggirkan perdana menteri.

"Dakwaan bahawa Abdullah tidak cukup pencalonan merupakan andaian sahaja kerana mesyuarat bahagian belum bermula," katanya.

Beliau menambah, jika kepimpinan tinggi Umno saling cabar-mencabar ia akan merebak sampai ke bawah.

Katanya, jika ia berlaku, Umno akan mengulangi peristiwa 1987 yang menyaksikan perpecahan dua puak dalam parti itu sebelum ia kemudiannya diharamkan.

Timbalan ketua bahagian Umno Semberong, Abidin Abdul Rahman berkata, Abdullah perlu mendapatkan maklumat yang jelas sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, sebagai presiden parti, Abdullah tidak boleh terpengaruh dengan dakwaan bahawa beliau tidak cukup pencalonan.

Bagaimanapun, jika sahih bahagian-bahagian tidak mahukan beliau lagi, Abdullah tiada pilihan lain kecuali berundur.

"Dalam sejarah Umno, orang lebih sayangkan parti daripada individu.

"Lihatlah apa yang berlaku kepada bekas presiden Tun Dr Mahathir Mohamad selepas meninggalkan Umno, ahli tidak mengikut jejaknya," katanya.

Ketua bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin berkata, jika bahagian sudah tidak mahu kepemimpinan Abdullah lagi, beliau tidak akan dicalonkan.

"Kita kena ikut demokrasi, siapa yang ramai orang sokong, dialah yang jadi pemimpin," katanya.

Manakala ketua bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail berkata, Abdullah perlu melihat kehendak ahli-ahli terhadap kepimpinannya sekarang.

Katanya, jika ramai yang bercakap mereka tidak mahu lagi, Abdullah perlu berundur.

"Sebagai pemimpin, beliau perlu mengutamakan kepentingan parti dan bukannya kepentingan peribadi," katanya.

Ishak berkata, jika Abdullah berkeras mahu mempertahankan jawatan presiden, dan ada calon lain yang mahu bertanding, Umno akan berpecah-belah selepas perhimpunan agung kelak.

Ditanya calon yang paling sesuai dicalonkan sebagai presiden Umno, Ishak berkata, "orang ramai mahukan Datuk Najib".

"Orang kata, Abdullah sudah hilang kawalan dan kerana itu Umno perlukan nakhoda yang baru.

"Tengku Razaleigh Hamzah tidak sesuai menjadi presiden parti kerana sudah lanjut tempoh," katanya.

Timbalan ketua bahagian Semporna, Datuk Nasir Sakaran pula berkata, isu tersebut perlu diselesaikan oleh pucuk pimpinan tertinggi Umno.

Katanya, beliau enggan mengulas panjang perkara tersebut dengan alasan tidak mahu menimbulkan kontroversi di dalam parti.

"Apa yang penting ialah sama-sama mencari jalan menyatupadu dan mengukuhkan parti.

"Cakap-cakap yang keterlaluan bukan untuk mengukuhkan parti tetapi boleh menyebabkan ahli berbelah bahagi terhadap pucuk pimpinan," katanya.

Sementara naib ketua bahagian Pasir Mas, Che Johan Che Pa, berkata cara terbaik ialah memberi peluang kepada perwakilan bahagian menentukan pemimpin parti.

Katanya, ahli Umno yang lebih mengetahui pemimpin yang baik untuk parti itu.

SIAPAKAH PETUALANG, PENGKHIANAT DAN PEMBOHONG DALAM UMNO?

UMNO hari ini mempunyai dua kelompok ahli yang disifatkan sebagai gunting dalam lipatan - kelompok pensabotaj dan kelompok petualang.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghuraikan kewujudan kelompok pertama pada minggu pertama Mac 2008. Katanya, kelompok inilah punca utama BN kalah teruk dalam PRU12.

Lantaran itu, Abdullah menyatakan bahawa beliau sendiri akan membentangkan laporan kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO supaya kelompok pensabotaj ini dikenakan tindakan. Kini sudah empat bulan berlalu. Namun begitu, sampai hari ini pun belum didedahkan siapakah pensabotaj sebenarnya di dalam UMNO.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhamad Muhd. Taib, menghuraikan kewujudan kelompok petualang dalam satu kenyataannya semalam.

Katanya: “Bila ada kalangan ahli MT yang membocorkan maklumat mereka boleh dianggap dan dikategorikan sebagai petualang kerana melakukan perbuatan yang menjijikkan dan memalukan. Sepatutnya perangai petualang ini tidak harus ada di kalangan pemimpin dalam parti.”

Kategori Negatif

Kedua-dua tuduhan di atas adalah amat serius. Kedua-duanya juga menyebabkan ahli-ahli UMNO semakin dipecah-pecahkan kepada kategori yang negatif. Kesannya juga pasti negatif. Bukan kepada yang pihak dituduh, tetapi kepada insan-insan yang memberikan label-label berkenaan.

Demi UMNO, demi agama, demi bangsa dan demi tanahair, marilah kita tanya kepada Abdullah, sudahkah diselidik dan disiasat punca-punca yang menyebabkan BN kalah teruk dalam PRU12? Kalau sudah, berapa ramaikan pengkhianat atau pensabotaj yang sudah dikenalpasti? Kalau belum, kenapa buat tuduhan yang memlulu? Dan, kalau belum, mengapakah Abdullah sering berkata BN dan UMNO masih kukuh dan masih kuat? Bukankah ini satu pembohongan?

Begitu juga kepada Muhamad Taib. Sudahkah disiasat siapakah yang dilabelkannya sebagai petualang? Kalau belum mengapakah buat tuduhan yang semberono? Kenapa tidak dinafikan sama ada maklumat yang dibocorkan kepada media itu benar atau palsu? Kenapa alih pandangan umum kepada soal petualang?

Tidakkah benar di era kepimpinan Abdullah memang sering berlaku diversion daripada masalah pokok kepada soal sampingan. Soal pokoknya, tidak benarkah BN kalah kerana kepimpinan Abdullah yang tempang. Sebab itulah terdapat orang UMNO sendiri marah dan protes.

Jadi, kenapa tidak diakui hakikat ini. Sebaliknya, kenapa tuduh warga UMNO yang tidak undi BN sebagai pensabotaj? Kenapa sehingga hari ini tidak ada berita yang Abdullah sendiri telah membentangkan senarai pensabotaj itu kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO? Bagaimana pula dengan ahli-ahli komponen BN yang juga tidak mengundi calon BN? Kenapa Abdullah tidak tuduh mereka juga sebagai pengkhianat?

Syak Wasangka

Soal pembocoran maklumat dalam mesyuarat MT 18 September 2008, pun begitu juga. Benar atau tidak Abdullah telah menitiskan air mata dalam mesyuarat itu. Benar atau tidak ramai ahli MT yang mahukan Abdullah berundur sebelum 9 Oktober 2008? Kenapa tidak nafikan atau sahkan laporan-laporan seperti ini? Sebaliknya kenapa wujudkan syak wasangka sesama ahli MT?

Untuk maklumat Muhamad Taib, cuba kaji sendiri berapa banyakkah blog yang telah mengulas mesyuarat MT baru-baru ini. Kajilah sendiri kalau sudah sekian banyak blog yang membuat laporan mengenai info yang sama, adakah ini satu kepalsuan atau pembohongan?

Saya tidak mahu mengheret polemik ini kepada soal lain. Contohnya kepada soal muqabalah dengan PAS baru-baru ini. Benarkah apa yang dinyatakan oleh Abdullah bahawa dalam muqabalah itu UMNO telah diwakili oleh pihak-pihak tertinggi yang boleh buat keputusan? Tidak benarkah UMNO hanya diwakili oleh Abdullah seorang diri dalam muqabalah berkenaan? Saya harap Muhamad Taib dapat jelaskan perkara ini sebelum ada pihak menuduh pemimpin tertinggi UMNO ini sebagai pembohong!

Berapa banyak lagikah pembohongan yang sudah dihalalkan oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO selama ini? Contohnya, benarkah kenyataan Tan Sri Annuar Musa semalam kononnya UMNO Kelantan sebulat suara akan mencalonkan Abdullah ke jawatan Presiden UMNO? Bagaimana dengan UMNO Bahagian Gua Musang? Juga akan calonkan Abdullah?

Kenyataan Puad

Akhir kata, saya harap Abdullah dan Muhamad Taib, fahamilah kenyataan di bawah ini:

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Ketua- ketua UMNO bahagian meminta Majlis Tertinggi (MT) parti itu supaya tidak mengabaikan keresahan di peringkat akar umbi berhubung isu peralihan kuasa pucuk pimpinan UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sekiranya keresahan dan pandangan ahli diketepikan, gelombang di peringkat akar umbi dikhuatiri akan membahayakan parti.

Katanya, akar umbi tidak lagi boleh berdiam untuk menyatakan pendirian bahawa merekalah yang sepatutnya berhak memutuskan soal pimpinan dalam parti.

Beliau percaya pada mesyuarat bahagian kali ini, akar umbi akan bertindak berani menyatakan pendirian mereka mengenai calon yang mereka fikir wajar dijadikan pemimpin.

"Jika ini berlaku, kita tidak dapat menahan arus ini. Apa pun janji yang kita buat, ia tidak akan dapat mengubah pendirian mereka," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Lagi:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

Kenyataan di atas adalah hakikat yang jelas dan tegas. Pastinya ia dikeluarkan demi UMNO, demi agama, demi bangsa dan demi tanahair. Apakah Abdullah akan melabelkan Puad sebagai pengkhianat? Apakah Muhamad Taib akan melabelkan Puad sebagai petualang?

Ruhanie Ahmad

08 September 2008

BAGAIMANA MAHU MENARIK TRAFFIC KE BLOG ANDA?

Rasanya tidak terlewat mengucapkan Selamat menyambut Bulan ramadhan Al-Mubarak. Semuga amal ibadah yang kita kerjakan bukan kerana Bulan Ramadhan, tetapi kerana Allah tuhan semesta Alam. Rasanya lama blog ini tidak diupdate. Saya mohon maaf kerana waktu yang terhad, hanya bergantung kepada kuasa bateri laptop saya yang hanya bertahan 2 jam. Lepas tu pulak menumpang wifi hotspot di Klinik Ziad, Melor Kelantan.

Tajuk di atas mungkin sedikit berbeza dengan tajuk biasa, namun ia ditulis sebagai panduan kepada seluruh pemuda Negeri Johor yang ingin membuat blog serta menarik traffic ke blog anda.Ini tambah janggal apabila kita sedang menunggu hari lahirnya kerajaan baru pada 16 September ini.Jadi atau tidak itu bukan persoalannya. Namun ia begitu menggusarkan pimpinan UMNO & BN

Apakah yang dimaksudkan dengan traffic? Traffic yang dimaksudkan di sini ialah pengunjung yang senantiasa pergi ke blog anda. Anda perlu tarik seberapa ramai pengunjung ke blog anda bagi menjadikan blog anda mempunyai nilai serta harga yang tersendiri...Apa ertinya anda buat blog tapi tiada pengunjung...Sebab itu sebenarnya jika anda tahu skill & caranya, anda akan merasa puas dengan kehadiran pengunjung yang begitu ramai....

Menarik pengunjuk ke dalam blog bukanlah beerti anda perlu update blog anda setiap hari. Kalau tiap-tiap hari update lagi bagus. Itu sememangnya dikehendaki. Namun demikian, blog anda perlu mempunyai nilai serta ciri yang berbeza & tersendiri daripada blog yang lain.. Kelainan blog anda akan menyebabkan pengunjung merasa teruja dengan ilmu yang anda sampaikan....

Bahan-bahan percuma perlu anda letakkan di blog anda. Bahan percuma ini perlu anda promosikan di blog-blog yang sudah popular dengan memberikan komen dalam setiap artikel yang dibuat oleh pemilik blog berkenaan. Setelah anda beri komen, jangan lupa letak link url blog anda sendiri. Secara automatik ranking blog anda akan naik di google search engine. Semakin banyak komen yang anda beri di blog-blog popular, maka semakin tinggilah ranking anda! Jika semakin tinggi ranking anda, maka semakin tinggilah pelawat ke blog anda..Saya lihat jarang sekali pelawat berikan komen terhadap artikel dalam blog DPPN Johor ni. Cuma yang banyak hanya di ruangan kritik/bual & Hiwar atau di rungan makluman ceramah & kuliah. Walaupun blog DPPN Johor tidak popular tapi ia boleh menaikkan ranking blog anda di google.

Bahan percuma tidak mesti bersifat politik. Tapi anda boleh letak berdasarkan minat serta kecenderungan anda sendiri. Semakin banyak bahan percuma yang menarik semakin banyak latar belakang pelawat ke blog anda. Untuk apa perlu banyak latar belakang ke blog kita? Ini adalah untuk menarik seberapa banyak rakyat Malaysia yang mempunyai latarbelakang yang berbeza untuk kita ajak mereka untuk fikir tentang negara & politik yang semakin rumit. Juga ajak mereka fikir mengenai negara Islam, ekonomi Islam, dinar emas dan sebagainya...

Blog yang anda bina akan memberikan manfaat yang berkesan dalam kempen siber...Ini lah sebenarnya yang saya nak buat terhadap blog DPPN Johor. Tapi oleh kerana kesuntukan masa serta kemampuan yang terhad, ia tergendala buat sementara waktu....Insya Allah akan disiapkan selepas raya ini.

Saya yakin tajuk yang saya tulis ini akan menyebabkan orang yang minat dalam bidang internet marketing akan datang ke blog ini. Saya ucapkan Ahlan Wasahlan & Selamat Datang!

Kalau anda tak percaya, anda tulis semula tajuk di atas, di google search engine, ada tak result link ke blog ini? amacam?

Mungkin blog ini boleh memberikan manfaat pada anda untuk menjana pendapatan melalui internet :

http://blog.smartusaha.com/

http://www.samsulzamzuri.com/

http://www.noorizamshah.com/

Bersambung untuk tip-tip yang akan datang

01 September 2008

ADAKAH AZHAN ATAN AKAN DIJEMPUT UNTUK MEMBUAT PERSEMBAHAN DI KELANTAN?

Satu ketika dulu kita ada mendengar betapa hebatnya kejayaan seorang anak muda daripada Johor di Pertandingan Akademi Fantasia. Orang itu tidak lain & tidak bukan adalah MAWI! Siapa yang tidak kenal Mawi? Sehinggakan pimpinan Pas pada masa itu juga kenal Mawi gara-gara TN Guru Nik Abd Aziz ingin menjemput beliau untuk membuat persembahan konsert di Kota Bharu Kelantan.Dengar khabarnya entah betul entah tidak, Mawi juga sebelum terkenal adalah merupakan orang yang bertanggungjawab pasang bendera Pas di Kawasan Kulai bersama abangnya semasa kempen pilihanraya.Begitulah hebatnya orang yang cenderung kepada Pas ini , mempunyai aura yang tersendiri. Tuan Guru menjemput beliau ke Kota Bharu adalah sebagai langkah awal untuk mewujudkan Konsert Alternatif yang menggantikan konsert yang melalaikan seperti yang dianjurkan oleh Kerajaan UMNO/BN. Pelbagai reaksi Pro & kontra berhubung konsert tersebut. Ada yang kata Mawi munafiklah, mawi tak islamiklah, macam-macam kita dengar...Namun itu adalah apa yang telah pun berlalu.

Namun demikian, belum habis lagi aura Mawi, sekarang ini muncul lagi seorang daripada Negeri Johor, namanya menjulang tinggi tanpa disangka, namun ada juga yang menyangka bahawa beliau bakal dinobatkan sebagai Juara Akademi Nasyid 2008. Tarikh 31 Ogos 2008 adalah merupakan tarikh bersejarah buat dirinya apabila berjaya merangkul gelaran tersebut. Itulah yang namanya Azhan Atan. Beliau juga anda tahu siapa dia. Mungkin ada sedikit persamaan dengan orang di atas, tapi ada sedikit berbeza, iaitu beliau adalah orang kuat Pas. Jawatan beliau semua tahu.....

2 orang yang berjaya mencipta nama dan ada kaitannya dengan Pas. Pas bukan parti yang sembarangan bahkan berjaya melahirkan graduan yang berkualiti.

p/s : Agaknya ada tak orang yang ada kabel kuat dengan Kerajaan Kelantan untuk jemput Azhan buat persembahan konsert di sana? Saya yakin suara-suara sumbang tidak akan wujud jika dibandingkan ketika menjemput mawi dulu. Pas sudah ada ikon!


Sociable