23 September 2008

SELEPAS 16 SEPTEMBER : ANWAR BIMBANG UNTUK BERTEMU YANG DI-PERTUAN AGONG?

Para penasihat Anwar mungkin agak gusar jika beliau terus pergi mengadap Yang Di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan untuk membentuk kerajaan baru. Mereka mungkin tidak mahu Yang di-Pertuan Agong terlibat secara langsung dalam politik.

Para penasihat ini seolah-olah bimbang dan terlupa peranan penting Yang di-Pertuan Agong dalam menjaga negara � satu perkara biasa dalam sistem Westminster yang kita amalkan. Dan ini tidak terhad kepada negara-negara yang mempunyai Raja (sistem monarki) sahaja.

Negara republik seperti India turut membolehkan ketua negaranya memainkan peranan dalam situasi luar biasa, walaupun biasanya ketua negara tersebut hanya memainkan peranan simbolik sahaja.

Peranan sebegini sebenarnya pernah diutarakan oleh Laporan Suruhanjaya Reid. Tetapi, oleh kerana ini merupakan kali pertama kita menghadapi situasi sebegini, kebimbangan mereka boleh difahami.

Bagaimanapun Anwar tidak menolak kemungkinan untuk pergi terus ke Istana. Oleh kerana Abdullah telah menolak cadangan agar diadakan sidang khas parlimen, Anwar kini mempunyai sebab untuk memohon mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Sistem perundangan kita tidak menyebut dengan jelas sama ada pertukaran kerajaan hanya boleh dibuat melalui parlimen. Artikel 43(4) dalam Perlembagaan memungkinkan pertukaran dibuat dengan cara majoriti ahli parlimen memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan sedia ada.

Ini akan mewajibkan Perdana Menteri meletak jawatan. Yang di-Pertuan Agong kemudiannya boleh melantik seorang ahli parlimen yang mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri baru.

Hujah salah

Pertukaran kerajaan melalui undi tidak percaya merupakan perkara yang pernah berlaku di negara-negara Komanwel lain. Tetapi ia amat sukar dilakukan di Malaysia kerana Umno menyekat sebarang usaha membentangkan usul undi tidak percaya.

Speaker Parlimen Pandikar Amin Mulia mengatakan bahawa Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh untuk memutuskan sama ada mahu memanggil sidang khas parlimen atau tidak.

Rasanya Perlembagaan kita tidak bermaksud untuk memberi kuasa kepada Perdana Menteri membuat kata putus dalam hal ini.

Perdana Menteri merupakan ketua Eksekutif dan jika beliau mempunyai kuasa mutlak, maka ini seolah-olah meletakkan Legislatif di bawah Eksekutif. Pasti ini bertentangan dengan konsep pemisahan kuasa yang dituntut oleh sistem politik negara kita.

Selain itu, sukar dibayangkan sesebuah kerajaan akan bersetuju untuk memanggil sidang khas parlimen jika terdapat hal-hal yang mengancam penerusan hayat kerajaan tersebut. Hujah bahawa Perdana Menteri sahaja berkuasa memanggil parlimen adalah lemah.

Speaker Pandikar Amin Mulia ada juga memetik peraturan parlimen (Standing Orders) dalam membuat keputusan beliau. Tetapi peraturan parlimen dibentuk berasaskan peruntukan Perlembagaan Artikel 62(1). Peraturan ini statusnya lebih rendah daripada Perlembagaan.

Apabila Speaker menggunakan hujah peraturan parlimen, beliau seolah-oleh mengatakan bahawa peraturan tersebut lebih tinggi daripada Perlembagaan. Ini tidak betul.

Yang di-Pertuan Agong berhak untuk memanggil persidangan parlimen tergempar. Tidak mungkin apabila Baginda mempunyai kuasa memprorog dan membubarkan parlimen seperti termaktub dalam Artikel 55 Perlembagaan, Baginda tidak pula berhak memanggil parlimen bersidang. Artikel 40(2) pula merupakan satu artikel umum dan situasi sekarang lebih kelihatan sebagai satu pengecualian.

Yang di-Pertuan Agong memang mempunyai peranan dalam situasi sekarang. Ini bukan luar biasa kerana sistem yang kita amalkan kadang kala memang memerlukan tindakan-tindakan tertentu untuk membolehkan ia berfungsi dengan baik. Yang di-Pertuan Agong perlu memainkan peranan untuk memastikan Perlembagaan boleh terus terlaksana.

Yang pastinya, ini bukanlah penamat bagi Abdullah. Sekiranya Anwar berjaya membentuk kerajaan, Abdullah juga boleh mencabar Anwar dengan cara yang sama. Inilah sebabnya kenapa Abdullah perlu membenarkan sistem Westminster yang kita amalkan berfungsi seperti sewajarnya.

Anwar telah berjanji akan menghormati Perlembagaan. Maka mungkin langkah pertama yang perlu beliau usulkan ialah membolehkan Speaker dilantik melalui pengundian bebas. Parlimen kita akan menghampiri status parlimen kelas pertama jika Speaker yang dipilih ialah dari kalangan parti pembangkang.

Kuasa Agong atau kuasa parlimen?

Kembali kepada dua cara penukaran kerajaan tadi, iaitu sama ada melalui undi tidak percaya di parlimen atau melalui kuasa Yang di-Pertuan Agong, saya rasa kedua-duanya dibenarkan oleh kerangka Artikel 43(4) Perlembagaan kita.

Cara pertama iaitu pengundian di parlimen memanglah cara yang paling ideal dan lebih demokratik. Cara ini telah berlaku jika kita teliti kes Datuk Stephen Kalong Ningkan, bekas Ketua Menteri Sarawak, pada tahun 1966. Tetapi ini hanya boleh berlaku dalam satu sistem politik yang terbuka dan demokratik.

Bolehkah ia berlaku dalam situasi Malaysia sekarang? Kita boleh melihat dengan jelas betapa kerajaan Barisan Nasional berusaha sedaya upaya menghalang usul undi tidak percaya dibahaskan di Parlimen termasuklah dengan mengancam penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Cara kedua, iaitu melalui tindakan Yang di-Pertuan Agong, terhasil daripada pembacaan literal Artikel 43(4) bersama dengan Artikel 40(2)(a). Cara ini yang lebih cepat daripada cara pertama tadi.

Dan, oleh kerana terdapat unsur-unsur tidak demokratik dalam menghalang tercapainya cara pertama, maka mungkin cara kedua ini lebih praktikal.

Ia juga boleh menghalang kerajaan daripada terus menerus menyekat perubahan. Tetapi cara ini amat bergantung kepada kemahuan Yang di-Pertuan Agong untuk memainkan peranan yang lebih proaktif.

Mungkin wajar disebut di sini bahawa terdapat negara-negara demokrasi yang stabil di Eropah yang turut mengamalkan sistem monarki seperti kita.

Di luar Eropah pula, telah terdapat Raja yang secara aktif membantu lahirnya demokrasi di negara mereka. Inilah yang berlaku di Sepanyol, Thailand dan juga sedikit sebanyak di Jordan.

Adakah Raja-Raja kita juga mahu turut sama seperti Raja-Raja di negara-negara itu?

(Profesor Abdul Aziz Bari ialah Profesor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa. Artikel ini diterjemahkan daripada artikel asal beliau berbahasa Inggeris oleh WauBebas.org) _

No comments:

Sociable