24 September 2008

AHAMDINEJAD PERTAHAN DASAR IRAN


NEW YORK: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad semalam mempertahankan dasar beliau menentang Barat dengan mendakwa tentera Amerika Syarikat sentiasa berada di sekeliling negaranya.

“Saya ingin bertanya anda, adakah (tentera) Iran atau askar Amerika yang mengepung kami?” katanya dalam temubual dengan National Public Radio (NPR) mengenai pendiriannya yang pernah dilabelkan Amerika sebagai memusuhi Barat.

“Tentera Amerika sentiasa berada di sempadan kami. Malah, bukan kami yang berada di sekeliling sempadan Amerika. Jadi apa sebenarnya yang mereka buat di sini?” soal beliau.

Biarpun dihukum dengan tiga sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Besatu (PBB), Iran terus membantah desakan Amerika Syarikat dan sekutunya yang mahukan Teheran menggantung usaha penguraian uranium yang didakwa Barat bertujuan menghasilkan bom atom.

Iran sebaliknya sudah berulang kali menegaskan yang program nuklearnya bagi tujuan keamanan iaitu sebagai sumber tenaga yang amat diperlukan rakyatnya.

Pada Perhimpunan Agung PBB minggu ini, Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice dijadual bertemu dengan rakan sejawatannya dari Britain, Russia, Perancis, China dan Jerman iaitu kumpulan P5+1 dalam usaha memutuskan rancangan seterusnya terhadap Iran. - AFP

No comments:

Sociable