26 April 2006

KETERBUKAAN MENERIMA KRITIKAN MAMPU MENYELESAIKAN MASALAH PLKN

Kenyataan Media
(26 April 2006)

TAJUK :

KETERBUKAAN MENERIMA KRITIKAN MAMPU MENYELESAIKAN MASALAH PLKN

Saya terpanggil untuk mengulas satu berita yang dipetik daripada laman Web Pemuda UMNO Malaysia yang disiarkan pada hari ini bertajuk “Tidak Perlu Ada Keraguan, PLKN Terbukti Beri Nilai Positif Pada Remaja”.

Timbalan Pengerusi Biro Latihan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shahrir Zaman Abdul Wahab hari ini menggesa semua pihak agar tidak terburu-buru membuat penilaian dan tohmahan terhadap program tersebut ekoran beberapa insiden yang tidak diingini menimpa para peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Apa yang ingin saya sentuh adalah berkaitan dengan kenyataan beliau yang menyentuh dengan tuduhan bahawa pembangkang cuba mengambil kesempatan untuk mengekspoitasi isu ini. Beliau menyatakan bahawa parti-parti pembangkang telah melemparkan tohmahan terhadap PLKN berikutan beberapa insiden yang menimpa para pelatih program terbabit sejak akhir-akhir ini.

Beliau meminta kerajaan agar tidak melayani sebarang tuduhan remeh temeh mengenai pelaksanaan program tersebut serta membidas sikap pembangkang yang hanya berusaha mencari kelemahan untuk kepentingan politik mereka.

Tegas beliau jika pembangkang ikhlas mereka sepatutnya turut sama memberi sumbangan untuk memperbaiki lagi mana-mana kelemahan yang terdapat dalam PLKN ini dan bukan hanya menanti peluang untuk mencuri kesempatan menghentam kerajaan.

Saya melihat bahawa kenyataan beliau ini adalah berasaskan kepada emosi tanpa melihat realiti sebenar yang berlaku. Adakah benar parti-parti pembangkang ini terutamanya PAS tidak memberikan apa-apa pandangan terhadap penambahbaikan PLKN?.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) sendiri pernah mengemukakan 10 cadangan bagi memperbaiki PLKN. Syor DPPNJ ini telah dibuat pada Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia Mengenai Perpaduan dan Khidmat Negara yang telah diadakan di Bukit Timbalan, Johor pada bulan September 2005.

Di antara cadangan yang pernah dikemukakan adalah :-

i. Mencadangkan Kementerian Pelajaran merangka subjek wajib berkaitan Masyarakat dan Kenegaraan di peringkat sekolah menengah lagi selain pelaksanaan PLKN itu sendiri perlu dibahagi kepada beberapa tahap tertentu.

ii. Mencadangkan supaya pelaksanaan PLKN dibahagi kepada tiga tahap iaitu tahap pertama membabitkan peserta berumur 15 tahun (lepasan PMR) yang mana pada tahap ini peserta dididik dengan Latihan Kemantapan Peribadi.
Tahap kedua pula membabitkan peserta berumur 17 tahun (lepasan SPM) yang dididik dengan Latihan Kemasyarakatan dan Kenegaraan yang mana pada tahap ini peserta dilatih dengan kefahaman mengenai kepelbagaian agama, bangsa, sosial, budaya, politik, ekonomi, masyarakat dan kenegaraan.
Manakala pada tahap ketiga pula membabitkan peserta yang sudah atau belum bekerja (21 - 25 tahun), mereka diberi latihan berkaitan politik antarabangsa, ancaman musuh dan kaedah mempertahankan negara secara fizikal dan psikologi.

iii. Mencadangkan supaya penyertaan remaja lelaki dan perempuan diwajibkan pada tahap satu dan dua manakala pada tahap ketiga hanya remaja lelaki diwajibkan manakala remaja perempuan adalah pilihan.

iv. Mengesyorkan beberapa cadangan lain seperti mewujudkan modul khas berkaitan ajaran agama setiap peserta, pengasingan jantina peserta PLKN serta melakukan penilaian pada setiap tahap.

v. Memasukkan keputusan setiap tahap ke dalam sijil PMR, SPM dan Universiti, menjadikan keputusan lulus tahap satu dan dua sebagai syarat masuk IPTA/IPTS atau pusat kemahiran dan latihan manakala keputusan lulus bagi tahap ketiga dijadikan sebagai syarat untuk mendapatkan pekerjaan di sektor awam dan swasta.

vi. Menubuhkan badan bebas terdiri dari agensi kerajaan, NGO dan pertubuhan politik bagi memantau setiap program yang dilaksanakan memenuhi objektif yang digariskan untuk mengelakkan sebarang unsur atau kecenderungan dan manipulasi terhadap peserta PLKN ke arah mana-mana parti politik.

Ini adalah bukti bahawa PAS terlibat sama dalam memperbaiki kelemahan yang berlaku dalam PLKN. Jangan mudah membuat tuduhan hanya kerana parti-parti pembangkang seperti PAS bukan peneraju kepimpinan negara kerana dalam isu PLKN ini, PAS sangat mementingkan masa depan anak-anak yang bakal menjadi waris kepimpinan negara.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

Kecewa dengan pemimpin: Penyokong Umno minta bantuan Yayasan Amal

Wed Apr 26, 06 10:48:15 AM Oleh Salman Hussin

PONTIAN, 26 April (Hrkh) - Kemampuan serta kesungguhan Yayasan Amal memainkan peranan dalam masyarakat terutama perkara yang membabitkan kebajikan rakyat amat besar ertinya bagi golongan marhaen yang sememangnya memerlukan pembelaan bagi mengatasi sebarang kemelut kehidupan yang dihadapi.

Bagi lebih 50 penduduk Kampung Merdeka Pantai, dekat sini, yang berhadapan dengan masalah hakisan pantai sejak beberapa tahun lalu yang mengakibatkan kediaman mereka rosak teruk merasa amat kecewa dengan sikap pemimpin-pemimpin Umno menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Berikutan dari kekecewaan ini telah mendorong penduduk mencuba nasib menagih simpati dari Yayasan Amal untuk membela nasib mereka, ternyata cubaan mereka tidak sia-sia.

Sesuai dengan kewujudannya sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), Yayasan Amal Pontian segera bertindak mengatur pertemuan antara penduduk dengan wakil rakyat terbabit yang terdiri dari Anggota Parlimen Pontian, Ir. Hasni Mohamad, Adun Pulai Sebatang; Tee Siew Keong dan juga Presiden TERAS, Haji Azmi Abdul Hamid.

Bagaimanapun penduduk yang 100 peratus penyokong setia Umno merasa amat terkilan apabila Anggota Parlimen Pontian, Ir Hasni Mohamad, gagal menghadiri majlis dialog yang amat besar ertinya bagi penduduk terbabit.

Majlis dialog yang diadakan hampir dua jam ini telah memberi peluang kepada penduduk menyuarakan rintihan dan penderitaan yang mereka alami selama ini, justeru mereka mengharapkan Adun Pulai Sebatang, Tee Siew Keong, segera menyelesaikan masalah mereka.

Jurucakap Yayasan Amal Pontian, Shamsuddin Jaafar, memberitahu, “isu gelombang besar dan hakisan pantai yang memusnahkan rumah penduduk ini bukan isu baru, ianya telah berlaku sejak lebih dua tahun lalu dan perkara ini telah pun diajukan ke pihak atasan tetapi malangnya sehingga hari ini tiada sebarang tindakan dibuat bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk.

“Kita merasa amat kesal dengan kelewatan kerajaan membina benteng bagi menahan ombak, kelewatan ini menyebabkan hakisan terus berlaku selain rumah penduduk terus diancam gelombang besar yang dijangka akan berlaku pada Julai dan Ogos ini,"katanya.

PLKN PERLU DIROMBAK DAN TINDAKAN UNTUK MENYAMAN PLKN DISOKONG

Kenyataan Media
(26 April 2006)

TAJUK :

PLKN PERLU DIROMBAK DAN TINDAKAN UNTUK MENYAMAN PLKN DISOKONG


Pertikaian terhadap keberkesanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berterusan dengan terjadinya kes kematian Allahyarham Haziq Bin Jaafar baru-baru ini. Peristiwa yang semestinya tidak pernah difikirkan akan terjadi akhirnya terpaksa ditelan walaupun sebelum ini telah terlalu banyak kritikan telah dilemparkan kepada perlaksanaan PLKN.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melihat bahawa kepincangan PLKN yang diharapkan untuk menanamkan semangat patrotisme dan cintakan negara semakin menuju kearah kepincangan yang mengerikan.

Kita tidak nafikan bahawa setiap yang baru pasti mempunyai kelemahan dan kelemahan itu mampu diatasi. Namun, peristiwa yang melanda PLKN sekarang ini membuktikan bahawa PLKN semakin menuju kehancuran sekiranya tidak bersedia untuk diubah. Jika sebelum ini timbul masalah pergaduhan, perkelahiran serta masalah disiplin dikalangan jurulatih, kes kematian sememangnya sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.

Ada beberapa perkara yang ingin DPPNJ bangkitkan. Pertamanya, adakah benar ketika ini setiap jurulatih dan pegawai yang terlibat di dalam PLKN telah pun ‘bersih’ daripada setiap kelemahan. Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pernah memaklumkan bahawa seramai 69 jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah dikenakan tindakan disiplin sejak program itu diperkenalkan tahun 2004. 45 orang yang diambil tindakan untuk Siri 1/2004, manakala 24 orang untuk Siri 2/2005. Mengikut maklumat daripada Berita Harian pada 11 Oktober 2005 melaporkan bahawa kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh jurulatikh PLKN ini aalah seperti berikut :-

· melakukan gangguan seksual 20 orang
· melakukan kekerasan membabitkan kecederaan 8 orang
· mengganggu perjalanan program 3 orang
· membawa keluar pelatih tanpa kebenaran 6 orang
· tidak mematuhi etika berpakaian 1 orang
· penipuan maklumat peribadi 2 orang
· salahguna kuasa 8 orang
· tidak mematuhi arahan pentadbiran kem 21 orang

Bagaimana pula dengan keadaan jurulatih yang sedia ada sekarang ni?. Apakah setiap jurulatih dipantau prestasi dan aktiviti mereka ata mereka hanya dibiarkan begitu sahaja.

Kedua, bagaimana pula dengan modul latihan yang diterapkan kepada peserta?. Apakah sebenarnya mesej yang cuba ditanam dalam minda peserta yang masih mentah ini?. Mengapakah pendekatan agama tidak dijadikan sebagai asas pembentukan akhlak remaja yang menjadi perserta ‘terpaksa’ ini?.

Sebab itulah, tidak pelik rasanya PLKN terus dipertikaikan oleh masyarakat.

Bagi membongkarkan kelemahan PLKN ini DPPNJ sangat menyokong penuh tindakan keluarga allahyarham yang bersedia untuk menyaman PLKN di atas kelemahan yang berlaku ini. Untuk tujuan itu, DPPNJ bersedia untuk menyediakan khidmat guaman. Perbincangan dengan Encik Jaafar telah pun dibuat, hanya menunggu keputusan daripada keluarga beliau.

Semoga kejadian kematian peserta PLKN akan menjadi titik tolak kepada perubahan kepada matlamat sebenar PLKN, bukannya menjadi medan mendoktrinkan peserta-peserta PLKN ini kepada UMNO/BN dan menyelamatkan remaja daripada terus dirosakkan.


Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

24 April 2006

UCAPAN TAKZIAH

Posted by Picasa












Saya bagi pihak Pimpinan dan ahli-ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Johor(DPPNJ) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba yang telah kembali ke rahmatullah pada semalam.

Semoga roh Allahyarham akan ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang soleh.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Kes bunuh pelatih PLKN perlu siasatan menyeluruh

Posted by Picasa KUALA LUMPUR, 24 Apr (Hrkh) - Kes kematian seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kluang, baru-baru ini bukan merupakan kes terpencil serta memerlukan siasatan menyeluruh berhubung keberkesanan program berkenaan.

Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Mazlan Aliman, berkata penyisatan itu perlu di semua kem di seluruh negara, di samping menilai sejauhmana matlamat PLKN berjaya tercapai.

"Masalah yang dialami ini merupakan masalah pengurusan yang lemah. Kawalan terhadap pelatih dan barangan larangan longgar. Bagaimana rokok yang jadi bahan pertikaian itu boleh lepas masuk? Jika pihak pengurusan bagus, perkara sebegini tidak akan berlaku," tegas Mazlan, yang juga telah melawat keluarga mangsa, Haziq Jaafar, 17, di rumah ibu bapa mangsa, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Haziq pengsan ditendang di tengkuknya oleh seorang pelatih lain ketika mereka berehat menonton televisyen.

Dia yang dikejarkan ke Hospital Kluang, bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 11.55 malam dengan kesan lebam dan calar di leher.

Menurut Mazlan, pihaknya mencadangkan JLKN menutup sementara semua kem-kem latihan sepanjang penyiasatan dibuat bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

"Masalah pengurusan ini boleh dikatakan berlaku di setiap kem di seluruh negara. Adalah lebih wajar jika semua kem ditutup untuk sementara bagi memudahkan siasatan. Kita tidak mahu perkara di Kluang ini akan tersebar ke kem-kem lain," tegas beliau.

Mazlan turut melahirkan rasa bimbang sekiranya kes ini akan dikaitkan dengan soal perkauman, walaupun ia bukanlah sebab utama pergaduhan itu berlaku.

Katanya, sekiranya keadaan itu berlaku masalah ini tidak kan berakhirdan boleh merebak ke kem-kem lain.

Justeru, katanya siasatan perlu dilakukan di seluruh negara supaya satu jawatankuasa ditubuhkan untuk menilai semula tujuan dan matlamat PLKN ini dilaksanakan.

"Jika ia ditubuhkan untuk memupuk semangat patriotisme, kejadian ini menggagalkan matlamat itu. Jika untuk memupuk integrasi kaum pun, nampaknya tidak berjaya.

"Begitu juga untuk memupuk sikap disiplin dalam diri pelatih. Nampaknya, semua telah gagal mencapai matlamat," katannya. - lanh

21 April 2006

SEJAUH MANA KERAJAAN MAMPU BERPEGANG KEPADA JANJI UNTUK TIDAK MENAIKKAN HARGA MINYAK.

Kenyataan Media
(21 April 2006)

TAJUK :

SEJAUH MANA KERAJAAN MAMPU BERPEGANG KEPADA JANJI UNTUK TIDAK MENAIKKAN HARGA MINYAK.

Perkembangan baru kenaikan harga minyak dunia sekarang ini telah mula dirasai oleh kerajaan lebih-lebih lagi oleh Perdana Menteri Malaysia yang sebelum ini telah mengumumkan bahawa tiada kenaikan lagi pada tahun 2006.

Jika dilihat daripada kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Pak Lah kelihatan agak tertekan dengan kenaikan terbaru harga minyak dunia, membayangkan betapa kerajaan pada hari ini sudah mula terasa bebanan yang mesti dipikul dengan kenaikan ini sedangkan semasa kenaikan kali terakhir pada 28 Februari 2006 yang lalu, kerajaan berjanji bahawa tiada lagi kenaikan sepanjang tahun 2006.

Bernama.Com semalam telah menyiarkan kenyataan Pak Lah bahawa kerajaan akan menghadapi tekanan untuk menyediakan peruntukan subsidi lebih tinggi tahun ini sekiranya harga minyak terus meningkat di pasaran dunia. Beliau mengakui kenaikan harga minyak di pasaran dunia kini yang mencecah paras US$75 (US$1=RM3.66) setong akan memberikan lebih banyak kesusahan kepada kerajaan.

Pak Lah berkata :

"Ini adalah satu kesusahan yang besar yang akan dihadapi oleh kerajaan (disebabkan kenaikan tinggi harga minyak di pasaran dunia).

"Saya memahami semasa kita menaikkan harga minyak dulu kita dah kaji sampai akhir tahun (harga minyak) tidak akan dinaikkan lagi"


Daripada kata-kata ini, terdapat tanda-tanda bahawa Pak Lah telah tersilap ercaturan apabila mengumumkan bahawa tiada lagi kenaikan tahun ini.

Walau bagaimanapun, berbeza dengan kenyataan Datuk Seri Najib Razak selaku Timbalan Perdana Menteri yang dilihat lebih yakin bahawa kerajaan akan terus bertahan dengan apa jua keadaan yang berlaku.

Beliau berkata;

“Kita masih tetap dengan pengakuan yang sudah dibuat bahawa harga minyak tidak akan dinaikkan sepanjang tahun ini, walaupun harganya di pasaran dunia sekarang lebih AS$70 setong”.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) yakin bahawa rakyat sedang tertunggu-tunggu apakah yang akan dilakukan oleh kerajaan selepas ini. DPPNJ menjangkakan bahawa perkembangan kenaikan harga minyak dunia ini akan digunakan oleh kerajaan khususnya Pak Lah untuk merayu supaya rakyat ‘bersimpati’ dengan beliau dan kerajaan untuk membolehlah harga runcit minyak petrol/diesel dinaikkan kerana kita tahu bahawa Pak Lah kerap kali mengambil jalan mudah untuk menyenangkan kerajaan walaupun yang menderitanya rakyat.

Jika ini berlaku, kerajaan UMNO/BN sudah tentunya akan dilihat sebagai kerajaan penipu dan zalim kepada rakyatnya. DPPNJ menyeru kepada semua perjuangan keadilan dan hak rakyat agar bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang pastinya akan berpihak kepada kita.

Sekian, wassalam.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

19 April 2006

Risalah BANTAH - muka 2

 Posted by Picasa

RISALAH BANTAH - EDISI KE 2 - muka 1

Risalah yang diterbitkan oleh BANTAH, boleh dimuat turun dan diedarkan kepada masyarakat. Posted by Picasa

17 April 2006

ISU JAMBATAN : UMNO/BN MESTI BERTANGGUNGJAWAB DI ATAS KERUGIAN RM 100 JUTA WANG RAKYAT MALAYSIA

Kenyataan Media
(17 April 2006)

TAJUK :

ISU JAMBATAN : UMNO/BN MESTI BERTANGGUNGJAWAB DI ATAS KERUGIAN RM 100 JUTA WANG RAKYAT MALAYSIA

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa dukacita di atas kecuaian yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia yang telah terpaksa membayar pampasan sebanyak RM 100 juta kepada syarikat Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB) kerana ketetapan yang telah diambil untuk proses pembatalan pembinaan jambatan yang dicadangkan dapat menghubungkan Malaysia dengan Singapura.

DPPNJ menegaskan bahawa RM 100 juta bukanlah satu jumlah yang sedikit kerana dengan RM 100 juta ini dapat digunakan untuk membina 4000 buah rumah kos rendah diseluruh Malaysia.

Untuk menutup malu dan kelemahan ini, pimpinan kerajaan khususnya pemimpin UMNO melemparkan pelbagai jawapan dan mengalihkan isu untuk mengelakkan tindakan mereka dikritik oleh rakyat.

Isu-isu lain cuba dibangkitkan untuk mengalih pandangan rakyat terhadap isu pembatalan pembinaan jambatan ini khususnya daripada Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar yang dilihat tidak konsisten dan tidak bermaya dalam memperjelaskan isu ini.

Bayangkan, isu berkaitan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Pusat (CPF) yang telah dipinda pada tahun 1995 yang tidak memerlukan pencarum yang bukan rakyat Singapura untuk mencarum cuba dibangkitkan kembali.

Kenapa tidak dijelaskan kepada rakyat bagaimana kerajaan pada tahun ini sahaja telah membelanjakan RM 2.4 Billion untuk pembiayaan Formula One Sepang dan promosinya sebanyak RM 98 juta. Sekarang ini ditambah lagi dengan bayaran pampasan sebanyak RM 100 juta kepada GPSB yang akhirnya rakyatlah yang dijadikan mangsa.

Semalam, dalam ruangan rencana di Mingguan Malaysia telah disiarkan wawancara bersama tokoh sejarah yang disegani iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim dan Ahli Parlimen Johor Bahru, YB Datuk Shahrir Samad yang memberikan pandangan berkaitan dengan isu pembinaan jambatan ini.

Prof. Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim berkata;

“ Kita perlu membuat kajian yang mendalam. Hubungan antara Malaysia dan Singapura tentunya tidak sama dengan hubungan antara kita (Malaysia) dengan Thailand dan Indonesia. Kita mesti mengenali jiran-jiran kita, dan lebih penting sekali mengenali diri sendiri. Tetapi kita sendiri tidak memberikan keutamaan kepada pengajian tentang negara kita sendiri.

Daripada kenyataan Dr Khoo Kay Kim ini, saya melihat bahawa beliau ingin mengingatkan kepada pemimpin UMNO/BN supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang. Kepentingan untuk mengenali diri sendiri lebih bersifat untuk menyalahkan diri sendiri. Pemimpin UMNO/BN lebih meletakkan setiap kesalahan khususnya di dalam isu jambatan ini kepada Singapura sedangkan segalanya berpunca daripada sikap pemimpin yang tidak berhati-hati dalam mengambil tindakan.

Manakala YB Datuk Shahrir Samad menyatakan bahawa ;

“Pendapat tentang masalah undang-undang itu telah disampaikan semasa zaman Dr Mahathir oleh menteri luar/ Tetapi tidak sesiapa menganggap ia sesuatu yang serius sama ada di peringkat kerajaan negeri atau UMNO Johor. Saya mengutarakan pendapat itu tetapi saya diketepikan sehingga ada media yang panggil saya tidak patriotik. Mereka menolak tepi pandangan saya da melihat saya sebagai penentang UMNO Johor”

Daripada kata-kata Datuk Shahrir ini kita boleh membuat kesimpulan bahawa :

i. masalah undang-undang yang dijadikan alasan untuk membatalkan pembinaan jambatan ini sebenarnya telah diketahui tetapi UMNO/BN menganggap ia tidak serius. Mungkin kerajaan UMNO/BN yakin bahawa mereka mampu ‘menundukkan’ kerajaan Singapura dalam isu ini.

Sebenarnya bukanlah perkara yang pelik kerana UMNO/BN adalah pengamal ‘undang-undang rimba’ dan undang-undang digubal dan dipinda untuk kepentingan mereka sahaja.

ii. Menentang keputusan kerajaan adalah tidak patriotik walaupun pandangan kita di pihak yang benar termasuklah pandangan daripada pemimpin UMNO sendiri.

Perkara seperti ini selalu dilemparkan kepada parti pmbangkang di Malaysia terutamanya PAS walaupun PAS selalu memberikan pandangan yang membina kepada kerajaan.

iii. Kerajaan negeri Johor dan UMNO Johor menyokong pembinaan jambatan Malaysia – Singapura walaupun telah pasti bahawa mereka akan berhadapan dengan masalah undang-undang.

Jadi, apa ertinya UMNO Johor membantah pembinaan jambatan ini? Hujah bahawa tuntutan tambahan Singapura sebenarnya dijadikan alasan untuk menarik balik penyokongan mereka sebelum ini.

Di atas kelemahan ini, kerajaan di bawah pimpinan UMNO/BN mestilah bertanggungjawab sepenuhnya di atas kerugian wang rakyat dan perlu meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia yang semakin hari semakin tertekan dengan sikap pemimpin UMNO/BN.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

16 April 2006

KENAPA RAKYAT TERPAKSA MEMBAYAR RM 100 JUTA ATAS KESILAPAN KERAJAAN?

Pemimpin yang disayangi oleh rakyat Malaysia khususnya mereka yang taksub kepada Pak Lah telah dengan mudah dan penuh keikhlasan 'menderma' RM 100 juta kepada Syarikat Gerbang Perdana Sdn Bhd, kerana terpaksa menarik balik hasrat membina jambatan baru Malaysia - Singapura.

Persoalannya, adakah rakyat terbuka hati untuk membiarkan kerajaan UMNO/BN menggunakan duit rakyat untuk tujuan ini.

Ikuti ulasannya nanti....

14 April 2006

KERAJAAN PERLU LETAK JAWATAN

Hari ini, ada sebab untuk seluruh rakyat khususnya rakyat negeri Johor dan gerakan parti pembangkang untuk merasa bersyukur, gembira dan bangga terhadap keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan Malaysia untuk membatalkan projek pembinaan Jambatan Indah bagi menggantikan Tambak Johor. Ini kerana cukup jelas sekali, tindakan yang diambil oleh kerajaan tersebut adalah kesan daripada kesepaduan gerakan rakyat khususnya rakyat negeri Johor dan parti-parti politik pembangkang untuk mendesak kerajaan agar tidak tunduk kepada tuntutan Singapura serta mempertimbangkan kembali rancangan projek pembinaan jambatan tersebut yang penuh dengan kecelaruan, ketidaktelusan dan amalan salah urus.

Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) khususnya, telah berulang kali menginggat dan menyedarkan kerajaan melalui pelbagai usaha seperti himpunan aman, penyerahan memorandum bantahan dan pengedaran risalah bagi membuktikan bahawa projek pembinaan jambatan tersebut sebenarnya lebih banyak mudaratnya berbanding kebaikannya. Bantahan yang berlandaskan kepada rasa prihatin DPPP terhadap perkembangan projek yang dilihat memudaratkan maruah dan kedaulatan negara dan rakyat negara ini khususnya didalam isu yang melibatkan tuntutan Singapura bagi kerjasama yang akan diberikan oleh mereka untuk projek tersebut. Hari ini keprihatinan DPPP terhadap isu tersebut nyata berasas.

Jika selama ini persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh DPPP dipandang serong kerajaan sebagai satu tindakan yang berunsur politik, hari ini jelas terbukti bahawa persoalan tentang amalan salah urus kerajaan bagi menjayakan projek tersebut ternyata terbukti.

Namun begitu disaat dan ketika ini, ketika kita mengalu-alukan keputusan kerajaan tersebut DPPP mengajak semua pihak untuk melihat kembali keseluruhan senario yang berlaku terhadap projek pembinaan jambatan tersebut sebagai satu proses untuk kita menilai keberkesanan fungsi dan peranan kerajaan. Permulaan sikap kritis yang telah dipamerkan oleh semua pihak khususnya rakyat perlu terus dibajai untuk memastikan mewujudkan kesedaran kepada kerajaan bahawa pada setiap tingkah dan laku kerajaan rakyat melihat dan menilainya. Dan pada setiap penilaian itu kerajaan perlu diingatkan juga rakyat kini berani untuk bangkit untuk memperbetulkannya.Maka untuk itu DPPP menyeru kepada semua pihak untuk melihat keputusan kerajaan tersebut sebagai satu tindakan wira yang hadir untuk menyelematkan maruah rakyat dan negara ini. Keputusan tersebut adalah bukti jelas kegagalan kerajaan untuk berfungsi dan berperanan dengan baik. Kegagalan itu juga perlu dilihat sebagai bukti betapa lemahnya kerajaan yang memimpin Malaysia ketika ini, dan pastinya pertanggungjawaban ini perlu diletakkan sepenuhnya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Seruan DPPP ini bukan dilandaskan atas pertimbangan politik tetapi satu seruan kepada rakyat dan semua pihak untuk menjalankan tanggungjawab sebenar sebagai rakyat bumu bertuah ini. Mentaliti...sudah-sudahlah...cukuplah...perlu dikikis daripada kamus hidup rakyat Malaysia dan kegagalan pembinaan projek jambatan ini adalah peluang kepada rakyat seluruhnya mempamerkan sikap dan metaliti kelas pertama sebagaimana yang diseru oleh kerajaan dengan meminta pertanggungjawaban sepenuhnya kerajaan pada setiap pembaziran, onar, perlanggaran maruah dan amalan salah urus kerajaan.

Untuk itu DPPP melontarkan persoalan yang perlu difikirkan oleh rakyat seluruhnya bagi menilai samada tindakan kerajaan untuk membatalkan projek pembinaan jambatan tersebut memadai sedangkan segala kemelut yang berlaku termasuk isu tuntutan kurang ajar Singapura ketara berpunca daripada kelemahan kerajaan sendiri.Maka untuk ;

1. Kegagalan pembinaan Jambatan Indah bagi menggantikan Tambak Johor yang berpunca amalan salah urus;

2. Pembaziran wang rakyat yang berpunca daripada amalan ketidaktelusan pentadbiran wang negara;

3. Perlanggaran dan pengabaian terhadap sensitiviti, maruah dan kedaulatan rakyat dan negara dengan melayan permintaan kurang ajar Singapura yang berpunca daripada kegagalan kerajaan untuk memperlihatkan ketegasannya;

4. Pengabaian terhadap amanah yang telah diberikan oleh rakyat kerana sikap ego, angkuh dan sombong kerajaan;

DPPP mendesak;

1. Satu pembentukkan suruhanjaya bagi menyiasat setiap amalan salah urus yang berlaku didalam projek tersebut. Cabaran DPPP melalui desakan ini ialah kerajaan perlu membuktikan bahawa pada setiap kata-kata yang diuar-uarkan oleh kerajaan untuk mewujudkan ketelusan di dalam pemerintahan tidak sekadar retorik dan terpilih. Jika kerajaan diatas nama integriti telah mewujudkan pelbagai badan dan jawatankuasa untuk memastikan setiap agensi-agensi kerajaan melaksanakan setiap rancangan kerajaan secara telus maka kerajaan juga perlu membuktikan kesungguhan itu melalui cabaran dan desakan agar satu siasatan menyeluruh dilakukan terhadap projek tersebut. Jika kerajaan mengabaikan desakan ini maka jelas dan terbuktilah kerajaan yang ada pada hari ini tidak ubah seperti ketam yang mengajar anak berjalan lurus tetapi hakikatnya kerajaan sendiri jalannya bersimpang siur !

2. Satu nota bantahan perlu dihantar kepada kerajaan Singapura melalui kedutaannya bagi membuktikan pada setiap singgungan dan tindakan kurang ajar Singapura terhadap maruah dan kedaulatan rakyat dan negara ini. Bantahan itu juga perlu diiringi dengan ketegasan pendirian kerajaan untuk menyatakan bahawa pada setiap tindakan kurang ajar Singapura khususnya isu perlanggaran kedaulatan ruang udara Malaysia sebagaimana yang dilaporkan berlaku di Tanjung Kupang dan Tanjung Langsat adalah satu bentuk pencerobohan.

3. Seandainya kerajaan gagal untuk menyahut desakan ini maka DPPP menyifatkan kerajaan yang ada ketika ini sebuah kerajaan yang lemah dan tidak layak untuk mewakili aspirasi rakyat dan negara.

Maka bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar DPPP mendesak kerajaan untuk membelakangkan kepentingan diri dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan dengan secara rela melepaskan kerajaan yang ada hari ini kepada rakyat untuk menentukannya.

MAZLAN ALIMAN
NAIB KETUA DPP PUSAT

PADAH BILA PEMIMPIN NEGARA LEMAH PEMIKIRAN, BERPANDANGAN SEMPIT DAN BONGKAK

Kenyataan Media
(14 April 2006)


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa dukacita terhadap beberapa tindakan dan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Malaysia di atas isu pembinaan Jambatan yang menghubungkan Malaysia – Singapura. Kecelaruan di dalam membuat segala keputusan membayangkan betapa lemahnya cara pemikiran pemimpin UMNO yang menerajui negara sekarang ini.

Sebelum ini pemimpin negara kelihatan ‘garang’ dan tegas sehingga seolah-olahnya tiada sebab untuk kerajaan Malaysia menghentikan pembinaan jambatan walaupun tidak dipersetujui oleh Singapura;

1. Pada 3 Mac 2006, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa Malaysia memutuskan akan meneruskan cadangan membina jambatan bagi menggantikan Tambak Johor tanpa menunggu kata putus daripada Singapura bagi melengkapkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) baru yang akan siap tidak lama lagi.

2. Bila kerajaan Singapura melahirkan rasa tidak setuju dengan tindakan Malaysia, pada 13 Mac 2006 Datuk Seri Syed Hamid Albar telah menyatakan dengan tegas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang isu termasuklah isu pasir dan ruang udara. Beliau juga memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada apa jua desakan kerajaan Singapura.

3. Apabila rakyat sudah mula mempertikaian tuntutan tambahan Singapura, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar pada 19 Mac 2006 mengingatkan bahawa isu tuntutan tambahan untuk membina jambatan tidak harus dijadikan pertikaian kerana ia adalah keputusan kabinet yang sudah pasti mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia.

4. Apabila kabinet gagal mengeluarkan keputusan berkaitan dengan isu pembinaan jambatan ini, pada 26 Mac 2006 sekali lagi Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi pendirian kerajaan bahawa projek pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor tidak akan ditangguhkan.

Pada 4 April 2006, Menteri di Jabatan Perdana dan Menteri Luar Kedua, Raymond Lim membuat kenyataan bahawa Singapura tidak dapat menerima bahawa Malaysia berhak membuat keputusan sendiri membina separuh daripada jambatan menggantikan Tambak Johor kerana tindakan itu juga mempunyai kesan terhadap republik itu. Beliau berkata sebarang langkah merobohkan tambak berusia 81 tahun itu di kawasan Malaysia akan melibatkan kedua-dua negara termasuk paip yang membekalkan air ke Singapura.

Akhirnya pada 12 April 2006, kerajaan Malaysia mengumumkan pembatalan projek pembinaan jambatan ini. Apabila kerajaan mengumumkan pembatalan, bermakna segala apa kenyataan yang telah dikeluarkan adalah retorik dan hampas belaka. Rakyat tidak menolak supaya jambatan baru dibatalkan pembinaannya tetapi rakyat mahukan maruah negara dipertahankan kerana rakyat tahu pemimpin UMNO/BN memang terkenal dengan sikap untuk menggadaikan hak rakyat.
Persoalannya sekarang ;

1. Sebelum ini, di antara alasan untuk membina jambatan baru ini adalah untuk mengembalikan aliran air di selat Tebrau, serta merapatkan hubungan antara dua pelabuhan penting di selatan tanah air. Maka, kenapa pula kerajaan memilih untuk membatalkan pembinaannya dengan alasan untuk kepentingan rakyat?.

2. Sangat memalukan apabila kerajaan ‘baru tersedar’ bahawa apabila Tambak Johor itu dipotong maka laluan paip air dan laluan kereta api yang sedia ada akan turut terjejas. Dimanakah kebijaksanaan pemimpin UMNO/BN sehingga perkara seperti itu terlepas pandang?.

3. Begitu juga dengan implikasi dan komplikasi undang-undang terpaksa dihadapi oleh Malaysia apabila jambatan ini dibina, tidakkah negara kita mempunyai ramai pakar undang-undang yang mampu menasihatkan pemimpin-pemimpin ini agar jangan berfikiran sempit?.

4. Akhirnya dengan pembatalan ini maka kerajaan terpaksa membayar wang pampasan kepada Gerbang Perdana sebanyak RM100 juta, dari mana datangnya wang ini kalau tidak datangnya daripada keringat rakyat Malaysia. Inilah tanda betapa lemahnya pemimpin UMNO/BN berfikir dan bertindak sehingga negara dengan mudahnya kerugian RM 100 juta.

Inilah harga yang perlu dibayar oleh rakyat apabila tersalah memilih kerajaan yang sememangnya telah terbukti semakin menyusahkan rakyat akhirnya.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830

http://dppnjohor.blogspot.com/

ISU JAMBATAN MALAYSIA - SINGAPURA

Posted by Picasa Pada 12 April 2006 pukul 3.04 petang, saya telah dihubungi oleh Haji Ilyas Bin Abu Bakar, Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pengguna PAS Negeri Johor dan beliau telah memaklumkan kepada saya melalui maklumat yang beliau telah perolehi daripada pejabat kerajaan bahawa proses pembinaan jambatan untuk menghubungkan Malaysia dengan Singapura telah dibatalkan.

Pukul 3.41 petang pada hari yang sama, saya telah mula menerima panggilan telefon daripada wakil media bahasa mandarin di Johor untuk membuat ulasan tentang keputusan kerajaan ini.

Selepas daripada itu, saya banyak menerima SMS dan panggilan telefon yang bukan sekadar mengucapkan tahniah di atas kejayaan mendesak kerajaan supaya jangan tunduk kepada tuntutan Singapura tetapi ada juga yang memberikan perancang kepada saya dan juga PAS untuk terus berjuangan untuk kepentingan rakyat.

Ada yang bertanya kenapa saya tidak mengemaskini blog untuk saya membuat komentar terhadap tindakan ini. Sedangkan sebelum ini telah beberapa kali saya telah membuat kenyataan media untuk menegur kerajaan terhadap tindakan mereka yang seolah-olahnya mahu tunduk kepada tuntutan tambahan Singapura.

Sebenarnya, saya memang sengaja berbuat sedemikian rupa untuk saya mendengar terlebih dahulu ulasan yang akan dibuat oleh dan jawapan sebenar yang akan dibuat oleh kepimpinan negara khususnya.

Insya Allah komen tersebut akan saya nyatakan sedikit masa nanti.


10 April 2006

Rais ajak rakyat kembali ke zaman jahiliyah

Diambil daripada Roslan SMS Corner
http://n32.blogspot.com/

Sebagaimana yang dirancang akhirnya berjaya juga hajat Rais Yatim untuk menganjurkan persembahan Makyong di Kelantan.

Walaupun kerajaan negeri melalui Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 telah mengharamkan persembahan tersebut kerana unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam yang terkandung di dalam persembahannya namun Rais tetap mahu meneruskan dan ternyata beliau berjaya juga.

Sabtu malam minggu lepas bertempat di Kampung Bunuhan, Tumpat Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan telah menganjurkan program:

Merakyatkan Seni Budaya dan Kempen Berbudi Bahasa

Maka walaupun peraturan negeri melarangnya, walaupun persembahan itu memiliki unsur yang bertentangan dengan Islam dengan para penari yang tidak menutup aurat Rais berjaya membuktikan bahawa beliau juara mencabar dan melanggar undang-undang dan peraturan dunia serta juga peraturan Allah swt sendiri.Cumanya kehadiran ke majlis tersebut menurut laporan Harakahdaily tidaklah segah sebagaimana yang Rais harapkan. Kalau kita masih ingat Rais pernah menyatakan:

We want to bring arts to the people. I will be there at the planned Mak Yong show. I want to gauge the response from the people of Kelantan.

Dan di dalam sebuah lagi laporan sebelum ini Rais mengaharapkan ratusan ribu rakyat Kelantan akan keluar menyatakan sokongan terhadap usaha kerjajaan beliau menghidupkan kembali tarian yang berasal dari kerajaan Siam lama itu.

Yang hadir disamping Rais, Annuar Musa dan Ketua Umno Tumpat Nor Zahidi Omar, adalah beberapa kerat ahli-ahli Umno dan kanak-kanak sekolah.Jelas jika majlis itu sebagai garispanduan ukuran buat Rais maka mesejnya rakyat Kelantan secara umummnya memang menolak persembahan tersebut.

Suka saya mengulangi apa yang pernah saya petik sebelum ini di dalam BLOG ini:

Di dalam artikelnya Buddhism in Malaysia, Yeap Tor Hor dan Kerry Trembath menulis:

The shadow play or wayang kulit and dance forms such as menora and MAKYONG are all testimonies that BUDDHISM was once a powerful religious and cultural influence in Malaysia

Malah dalam website Akademi Seni Kebangsaan sendiri jelas membukitkan unsur-unsur mistik hadir dalam persembahan seni ini apabila menyebut:

The word MAKYONG is believed to be derived from mak hiang (spirit of the paddy) and the MAKYONG performance is said to be connected to rituals concerning the spirit of the paddy.

Apa pun Rais telah berjaya membuktikan yang kerajaan melalui kementerian beliau akan mempertahankan apa sahaja yang dikira penting dari sudut politiknya, walaupun ianya bertentangan dengan undang-undang mahupun bertentangan dengan syarak.

Kita ucapkan syabas kepada Rais melalui tindakan beliau itu dan kehadiran Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan serta konco-konco kanannya sekurang-kurangnya akan membuka mata rakyat Kelantan terhadap apa yang bakal terjadi pada nasib dan masadepan Islam di bumi Kelantan kiranya pemuka-pemuka seumpama ini terus diberikan peluang berkuasa.

09 April 2006

PERTANDINGAN BOLASEPAK PANTAI DI ENDAU, MERSING






Kelihatan Ketua DPP Pusat, YB Salahuddin Ayub sedang bertanyakan sesuatu dengan salah seorang pemain yang terlibat dalam pertandingan bola sepak pantai abjuran DPPNJ dengan kerjasama DPPK Mersing.

Pertandingan telah diadakan pada 18 Mac 2006 yang lalu. Posted by Picasa

PERTANDINGAN MEMANCING ANJURAN DPPN JOHOR

 Posted by Picasa

PERTANDINGAN MEMANCING ANJURAN DPPN JOHOR

Sdr Za'aba (pengarah program) sedang memerhatikan ikan yang berjaya ditangkap sepanjang pertandingan memancing diadakan di Pantai Belukar Juling, Endau.

Pemenang pertama telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM 10,000.00 Posted by Picasa

DIHALANG BERARAK KE BUKIT TIMBALAN

 Posted by Picasa

DEMO BANTAH CADANGAN PENJUALAN PASIR KEPADA SINGAPURA & PENCEROBOHAN RUANG UDARA

 Posted by Picasa

PAS berhimpun bantah jualan pasir dan hak guna ruang udara oleh Singapura

JOHOR BHARU, 7 April (Hrkh) - PAS tidak jadi menyerahkan memorandum berkaitan dengan jualan pasir dan penggunaan ruang udara Malaysia oleh Singapura kepada Menteri Besar Johor apabila hanya wakilnya sahaja yang hadir untuk menerima memo itu.

Sebaliknya, memo bantahan itu akan diserahkan Ketua Pemuda PAS yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub kepada Menteri Luar di Parlimen Isnin ini.

Kira-kira 100 orang pemimpin dan penyokong PAS di Johor berhimpun di perkarangan Masjid An Nur, Johor Bharu selepas Jumaat tadi bagi membantah rancangan penjualan pasir kepada Singapura.

Mereka juga membantah rancangan untuk memberikan hak kepada pesawat tentera Singapura melalui ruang udara Malaysia.

Bagi mereka kedua-dua perkara itu akan mencabul hak Malaysia dan menyusahkan rakyat negara ini di masa depan.

Perhimpunan itu disertai oleh Salahudin Ayub dan juga Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mahfodz Muhamad. Turut sama adalah Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman dan Ketua Pemuda PAS Johor serta lain-lain pemimpin PAS Johor.

Selepas berhimpun dan berucap kira-kira 15 minit mereka berarak ke Pejabat Menteri Besar Johor bagi menyerahkan memorandum bantahan itu.
Disekat polis

Mereka disekat oleh polis. Setelah perundingan dijalankan, hanya lima orang sahaja dibenarkan terus ke perkarangan pejabat Menteri Besar.

Bagaiamanapun, selepas menunggu kira-kira 30 minit hanya Ketua Setiausaha Sulit MB Johor sahaja yang turun untuk menerima memorandum itu.

Ekoran itu, mereka mengambil keputusan tidak menyerahkan memo itu kerana menyifatkan pegawai itu hanya 'budak suruhan MB' sebaliknya akan menyerahkannya kepada Menteri Luar di Parlimen Isnin ini.

PAS Johor membantah ura-ura kerajaan Malaysia mahu menerima tekanan kerajaan Singapura agar menjualkan pasir kepada negara itu dalam tempoh masa yang lama dengan kuantiti yang banyak untuk pembinaan di pulau itu.

Singapura juga mahukan hak untuk jet pejuang dan kapal terbang tenteranya lalu di ruang udara Malaysia sebagai timbal balas untuk bersetuju meneruskan pembinaan jambatan kedua menghubungkan kedua-dua negara.

Singapura baru-baru ini telah membantah cadangan pembinaan yang hendak dimulakan oleh Malaysia di bahagiannya itu dengan alasan persetujuan belum dicapai oleh kedua-dua belah pihak.

06 April 2006

ISU TUNTUTAN TAMBAHAN SINGAPURA ; PENDIRIAN KERAJAAN MALAYSIA MASIH KABUR

Kenyataan Media
(6 April 2006)

TAJUK :

ISU TUNTUTAN TAMBAHAN SINGAPURA ; PENDIRIAN KERAJAAN MALAYSIA MASIH KABUR


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) masih lagi tertunggu-tunggu sikap kerajaan Malaysia terhadap isu jambatan baru yang akan menghubungkan Malaysia – Singapura. DPPNJ merujuk kepada kenyataan media DPPNJ yang telah dibuat pada 21 Mac 2006 dan memorandum kepada Perdana Menteri Malaysia melalui Menteri Besar Johor yang telah diserahkan pada 24 Mac 2006 yang lalu.

Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar menyatakan bahawa kabinet akan mengumumkan keputusan kerajaan terhadap isu tuntutan tambahan Singapura pada 22 Mac 2006. Namun setelah menunggu dengan penuh sabar, masih tiada apa-apa keputusan diumumkan.

Justeru, DPPNJ telah menyerahkan memorandum pada 24 Mac 2006 itu antara lainnya adalah untuk membantah cadangan penyerahan ruang udara dan penjualan pasir kepada kerajaan Singapura semata-mata untuk membina sebuah jambatan dan mendesak agar kerajaan mengumumkan keputusan kabinet dengan segera.

Pada 26 Mac 2006 pula, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi pendirian kerajaan bahawa projek pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor tidak akan ditangguhkan. Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kerja pembinaan jambatan indah itu akan diteruskan seperti yang dirancang. Menurutnya, tidak berlaku sebarang kelewatan dalam kerja-kerja pembinaan projek itu,. Namun begitu, beliau juga masih belum berani mengumumkan keputusan kabinet sama ada mahu menerima tuntutan tambahan Singapura tersebut.

Pada 3 April 2006 pula, Menteri di Jabatan Perdana dan Menteri Luar Kedua, Raymond Lim membuat kenyataan bahawa Singapura tidak dapat menerima bahawa Malaysia berhak membuat keputusan sendiri membina separuh daripada jambatan menggantikan Tambak Johor kerana tindakan itu juga mempunyai kesan terhadap republik itu. Beliau berkata sebarang langkah merobohkan tambak berusia 81 tahun itu di kawasan Malaysia akan melibatkan kedua-dua negara termasuk paip yang membekalkan air ke Singapura.

Singapura telah meminta Malaysia menjelaskan pendiriannya secara rasmi berhubung jambatan separuh itu. Pada waktu yang sama, Singapura akan terus berunding dengan Malaysia tentang kemungkinan membina sebuah jambatan penuh bagi menggantikan tambak sedia ada, berdasarkan manfaat yang seimbang.

Rakyat hari ini tertunggu-tunggu apakah sikap kerajaan ketika ini. Bayangkan, pembinaan akan diteruskan tetapi isu tuntutan tambahan masih belum terjawab. Apakah setelah siap jambatan tersebut barulah kerajaan akan mengumumkan apakah keputusan kerajaan ini. DPPNJ bimbang, ada sesuatu yang cuba disorokkan daripada pengetahuan umum.

Petang esok, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan menyerahkan memorandum atas isu yang sama. Kita akan lihat apakah reaksi kerajaan terhadap tindakan DPPP ini.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

05 April 2006

AGENDA DAILY - SINGAPURA TAKUT 'DAHAGA'...

April 4, 2006

Isu jambatan bengkok untuk mengantikan separuh dari tambak Johor menjadi semakin hangat.

Kalau sebelum ini antara syaratnya Singapura menuntut Malaysia menjual pasir dan membuka ruang udara untuk latihan jet pejuangnya…kini ia sudah melarat lebih jauh dari itu.

Singapura sudah cuba pula menafikan hak Malaysia membuat keputusan.

Isnin Menteri di Jabatan Perdana dan Menteri Luar Kedua, Raymond Lim memberitahu parlimen Singapura bahawa negara itu tidak akui Malaysia mempunyai hak membuat keputusan sendiri merobohkan tambak di kawasannya dan menggantikannya dengan jambatan separuh.

Antara lain beliau berkata sebarang langkah merobohkan tambak berusia 81 tahun itu di kawasan Malaysia akan melibatkan kedua-dua negara termasuk paip yang membekalkan air ke Singapura.

Apa reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada kenyataan seumpama itu yang dilihat oleh kalangan pemerhati politik agak keterlaluan? Inilah satu-satunya soalan yang dikemukakan wartawan dalam sidang akhbar selepas beliau selesai mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO lewat malam Isnin.

Beliau tenang menjawabnya.Katanya kerajaan telah menyerahkan kepada Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar mendapatkan penjelasan dari kerajaan Singapura mengenai kenyataan Raymond Lim itu.

Abdullah mengakui hakikat bahawa Singapura sentiasa bimbang mengenai soal bekalan air ke negara itu.

“Mereka ingat kita hendak memotong bekalan air dan biarkan mereka dahaga tanpa air…itu bukanlah dasar kita selama ini,”katanya. Perdana Menteri berkata beliau tidak berhajat untuk memberitahu apa-apa butir rundingan yang sedang dikendalikan oleh Syed Hamid dengan kerajaan Singapura mengenai soal jambatan berkenaan.

Namun begitu beliau memberi jaminan apa jua keputusan yang dibuat ia akan tetap dalam lingkungan mempertahankan hak dan kepentingan Malaysia.

Perdana Menteri memberitahu proses rundingan dengan Singapura ‘ has not been all that easy’ .

Bernama melaporkan Raymond Lim sebagai berkata berkata Singapura tidak dapat menerima bahawa Malaysia berhak membuat keputusan sendiri membina separuh daripada jambatan menggantikan Tambak Johor kerana tindakan itu juga mempunyai kesan terhadap republik itu.

Menurutnya pendirian itu diambil setelah pihak berkuasa Singapura mendapat nasihat pakar perundangan.

``Apa juga kerja besar di tambak itu, yang juga mempunyai paip bekalan air kepada Singapura, akan memberi kesan kepada Singapura dan Malaysia dalam beberapa perkara yang penting bagi kedua-dua negara,'' katanya.

Cadangan menggantikan tambak itu dengan sebuah jambatan, dengan kos di bahagian masing-masing ditanggung oleh negara masing-masing, kini dirundingkan antara Malaysia dan Singapura.

Malaysia berkata jambatan itu bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan lalulintas di tambak itu yang kini digunakan oleh 60,000 kenderaan setiap hari, tetapi dapat juga meningkatkan kualiti air di Selat Johor dan sekitarnya kerana jambatan yang baru itu akan membolehkan air mengalir di bawahnya.

Apabila perbincangan berlarutan tanpa sebarang persetujuan, Malaysia membuat keputusan meneruskan rancangannya membina jambatan itu di kawasannya sendiri. Keputusan membina separuh daripada jambatan itu, yang kini dikenali sebagai ``jambatan indah'', dianggap oleh Singapura sebagai boleh mendatangkan implikasi serius.

Malaysia berkata ia berhak membina separuh daripada jambatan itu kerana ia terletak dalam wilayahnya.

``Singapura telah meminta Malaysia menjelaskan pendiriannya secara rasmi berhubung jambatan separuh itu. Pada waktu yang sama, Singapura akan terus berunding dengan Malaysia tentang kemungkinan membina sebuah jambatan penuh bagi menggantikan tambak sedia ada, berdasarkan manfaat yang seimbang,'' katanya.

Lim berkata cadangan pembinaan sebuah jambatan penuh akan melibatkan perbelanjaan tinggi tanpa memberi banyak manfaat kepada Singapura.

``Bagaimanapun, atas semangat kejiranan, Singapura sedia menimbang cadangan Malaysia untuk menggantikan tambak sedia ada dengan sebuah jambatan penuh yang lurus sekiranya kedua-dua pihak mendapat manfaat yang setara,'' katanya.

BUMIPUTERA TERUS KETINGGALAN

4 April 2006
OLEH:A Kadir Jasin

ITULAH antara kesimpulan yang boleh kita buat berasaskan matlamat Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada 31 Mac.

Walaupun banyak rancangan dan peruntukan ditujukan kepada usaha membasmi kemiskinan dan menyempitkan jurang pendapatan antara kaum, namun Bumiputera akan kekal di tempat ketiga.

Misalnya, RMK-9 meramalkan penyempitan jurang pendapatan antara Bumiputera dengan kaum Cina dan India antara tahun ini dan tahun 2010, namun Bumiputera akan kekal pada anak tangga paling bawah.

Jurang pendapatan antara Bumiputera dan Cina diramalkan menjadi bertambah sempit daripada nisbah 1:1.64 pada tahun 2004 kepada 1:1.50 pada tahun 2010.
Dalam bahasa yang mudah, pada nisbah tahun 2004, bagi setiap RM1 yang diperoleh oleh seorang Bumiputera, seorang Cina memperoleh RM1.64.

Kalau pendapatan Bumiputera naik kepada RM2, pada nisbah tahun 2004, pendapatan Cina akan naik kepada RM3.28.

Tetapi pada nisbah 1:1.50 pada tahun 2010, jika pendapatan Bumiputera bertambah RM2, pendapatan Cina bertambah RM3.

Kalau diterbalikkan andaian ini, jika pendapatan orang Cina meningkat kepada RM4.50, pendapatan Bumiputera dijangka meningkat kepada RM3.

Jurang pendapatan antara Bumiputera dan India pula diramalkan mengempis daripada nisbah 1:1.27 pada tahun 2004 kepada 1:1.15 pada tahun 2010 sementara antara luar bandar dan bandar daripada 1:2.11 pada tahun 2004 kepada 1:2 pada tahun 2010.

Ringkasnya, walaupun pendapatan Bumiputera dijangka meningkat dengan lebih pesat dalam tempoh RMK-9, namun mereka kekal mengekori kaum Cina dan India. Begitu juga pendapatan luar bandar, di mana majoriti Bumiputera tinggal, akan terus mengekori pendapatan bandar.

Pencapaian 30% Ekuiti Bumiputera Ditangguhkan Lagi

DEMIKIAN juga keputusan mengekalkan matlamat pemilikan modal Bumiputera pada kadar 30 peratus dan menangguhkan tempoh pencapaiannya hingga tahun 2020. Kewajaran keputusan ini pasti menjadi tanda tanya.

Pertama, matlamat ini sepatutnya dicapai pada penghujung Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1990. Tetapi gagal. Hari ini, 15 tahun selepas DEB tamat, ekuiti Bumiputera, termasuk yang dipegang oleh agensi amanah (trust agencies), hanya 18 peratus.

Kini Perdana Menteri Abdullah menangguhkan sekali lagi tempoh pencapaiannya sehingga tahun 2020 (menurut laporan New Straits Times, 1 April).

Setelah Kerajaan gagal mencapai matlamat itu 15 tahun selepas tamat DEB, apakah jaminan ia akan dapat memenuhinya dalam masa 15 tahun dari sekarang?

Lagipun, mengapa kekal 30 peratus? Siapa yang akan memiliki baki 70 peratus itu? Apakah ini wajar?

Pada kadar kelahiran sekarang, nisbah penduduk Bumiputera berbanding kaum-kaum lain pada tahun 2020 mungkin lebih tinggi. Jadi, wajarkah pemilikan ekuiti mereka kekal 30 peratus?

Dasar mengutamakan GLC tidak salah. Tetapi sejauh mana ia membantu mempertingkatkan modal Bumiputera terus menjadi tanda tanya.

Ini adalah kerana saham yang dimiliki oleh GLC bukan saham Bumiputera. Ia saham semua rakyat Malaysia.

Ekuiti Bumiputera hanya boleh ditingkatkan jika pelaburan agensi amanah seperti PNB dipesatkan dan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera dibina semula.

PEMUDA BA JOHOR MENYUSUN LANGKAH

Dipetik daripada Malaysia-Today
Tuesday, April 04, 2006

Pemuda BA Johor menyusun langkah

Jawatankuasa Pemuda Barisan Alternatif (BA) Negeri Johor telah mengadakan Konvensyen Pemuda BA Negeri Johor kali Pertama, di Hotel Kelana, Skudai, Johor Bahru pada 2 April 2006.
Dua kertas kerja telah dibentangkan oleh Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil dan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Johor, Nurin Aina Binti Abdullah.
Khairul Faizi meminta perwakilan meneliti dan membahaskan beberapa persoalan, di samping meneliti tahap pecapaian Pemuda BA selama ini.
Persoalan yang dilontarkan ternyata menggesa Pemuda BA bangkit memacu perubahan dan pembaharuan bagi persediaan menempatkan BA selaku kerajaan menanti di Johor.
Apakah Pemuda BA semakin mendapat keyakinan rakyat khasnya pengundi Melayu-Islam dan seluruh rakyat di negara ini dengan isu, penampilan polisi dan gagasan yang dipelopori? soal Khairul lagi.
Kerusi tunggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang tidak cukup untuk mengenengahkan isu demi menjaga kepentingan rakyat serta menyanggah penyelewengan yang berlaku.
Bilangan tersebut perlu ditambah bagi memastikan suara kebenaran kedengaran dalam persidangan DUN Johor, tambah beliau.Perbezaan pendapat jangan dijadikan sebab melebarnya jurang antara Pemuda BA, sebaliknya sentiasa mencari titik pertemuan dan berlapang dada dengan sebarang perbezaan, jelas Nurin dalam kertas kerja yang dibentangkan.
Permasalahan sosial yang melanda negeri Johor sudah menjadi perkara yang diketahui umum. Kecenderungan anak muda pada hari ini dapat dilihat lebih menjurus kepada hiburan sehingga mereka berjaya dilekakan.
Nurin mengajak Pemuda BA agar memfokuskan usaha kepada golongan muda dan melipatgandakan usaha bagi menyelamatkan golongan muda daripada terus hanyut di bawa arus kelalaian.
Golongan muda perlu dibentuk dan dicanai menjadi pelapis dan pewaris perjuangan.
Mereka perlu sedar bahawa di bahu mereka itu terpikul tanggungjawab yang dituntut untuk mereka laksanakan, jelas beliau lagi.Di akhir konvensyen sehari itu, Pemuda BA telah mencapai satu resolusi bagi mengukuhkan perpaduan serta bangkit berdepan dengan pemerintah yang menindas rakyat.
Antara resolusi yang telah dipersetujui ialah berusaha membuang perkara-perkara yang menjadi hambatan kepada perpaduan Pemuda BA Negeri Johor serta merealisasikan penjelmaan baru yang boleh diterima oleh masyarakat Johor.

03 April 2006

HARGA KERETA TURUN TAPI INTERES NAIK

Ku harap hujan sampai ke petang, rupa-rupanya belum sempat tengahari dah hujan dah....
Maklumat yang diperolehi daripada akhbar The STAR sebenarnya telahpun diramalkan akan berlaku...sila baca petikan berita tersebut...
The Star Online
Monday April 3, 2006

Back to square one for buyers
By EDDIE CHUA and ROYCE CHEAH

PETALING JAYA: It’s back to square one for car buyers, it appears.

The money they are going to save from the recent reduction in prices as a result of the National Automotive Policy (NAP) is going to be “lost” because of higher financing rates.

Car dealers said the new interest charges, to be raised by between one and two percentage points from the existing rates for new and second-hand cars, would be effective from today.

Prior to this, car buyers paid between 2.25% and 2.99% interest for their loans while the second-hand car market interest rates stood at between 3.25% and 3.75%, depending on the age, vehicle model and the bank providing the loan.

Dealers said the revised rates were introduced following the new overnight policy rate announced by Bank Negara two weeks ago.

For example, if a borrower took a RM80,000 loan with an interest rate of 2.65% for seven years to buy a new RM96,500 car before the price reduction was announced, he would end up repaying a total of RM94,840.

For the same model and loan but at 3.4% interest, the borrower would have paid RM99,040 over the same period.

Even if the car manufacturer gave a RM5,000 discount under the NAP, the buyer would not gain much.

Consumer advocate Billy Toh said that if buyers compared the reductions given by car manufacturers in line with the tax reduction under the NAP, the move would not be in their favour.

“In some cases, buyers may end up paying more even if they buy new vehicles which have their prices slashed by between 2.5% and 7%,” he said.

Kuala Lumpur and Selangor Car Dealers and Credit Companies Association vice-president Dave Lim said: “There is no reason for finance companies to increase their rates as they already did so two months ago.

“The rate quoted by one bank went up from 2.3% to 2.8% for new cars then. Now the same bank is imposing 3.35% to 3.5%.”

Lim said it would definitely affect the sales of new and second-hand cars as consumers would have to fork out more money to own a vehicle.

A source said banks were also introducing stringent measures for borrowers in the wake of the new interest rates and the growing number of defaulters.

“There are more defaulters for such loans now. More people are unable to service their loans and more cars have been repossessed in the past three years,” he added.

Previously, he said, it was easy for borrowers to obtain car loans without their backgrounds being thoroughly checked.

“Banks now look into the credit ratings of the applicants. They scrutinise their current outstanding loans with other financial institutions, credit card spending and payments, salary and other details pertaining to their financial status.”

KONVENSYEN PEMUDA BA NEGERI JOHOR - RESOLUSI

Jawatankuasa Pemuda Barisan Alternatif (BA) Negeri Johor
“MEMBINA PERPADUAN MENJANA KEBANGKITAN”

RESOLUSI KONVENSYEN

Hotel Kelana, Skudai, Johor Bahru
2 April 2006 / 3 Rabi’ul Awwal 1427

Pertama
Pemuda BA Negeri Johor bersetuju dengan menerima tema “Membina Perpaduan Menjana Kebangkitan”. Setiap gerakerja Pemuda BA Negeri Johor perlu mengarah kepada mencapai matlamat yang telah digariskan dalam tema.


Kedua
Pemuda BA Negeri Johor mesti berusaha membuang perkara-perkara yang menjadi hambatan kepada perpaduan Pemuda BA Negeri Johor.

Ketiga
Pemuda BA Negeri Johor bersetuju tanpa berbelah bahagi dengan metodologi Pilihanraya (proses demokrasi) dan memastikan pilihanraya berlaku dengn adil dan telus.


Keempat
Pemuda BA Negeri Johor mesti berusaha merealisasikan penjelmaan baru yang boleh diterima oleh masyarakat Johor.

Kelima
Pemuda BA Negeri Johor mesti berusaha mencari pelbagai pendekatan yang sesuai dalam menangani setiap isu masyarakat.

Keenam
Pemuda BA Negeri Johor mesti memberi fokus kepada golongan muda melalui program-program yang terancang rapi.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pengerusi
Jawatankuasa Pemuda BA Negeri Johor

Nurin Aina Binti Abdullah
Timbalan Pengerusi
Jawatankuasa Pemuda BA Negeri Johor
KERTAS 2
UCAPAN TIMBALAN PENGERUSI
JAWATANKUASA PEMUDA BARISAN ALTERNATIF (BA)
NEGERI JOHOR

SEMPENA
KONVENSYEN PEMUDA BA NEGERI JOHOR KALI PERTAMA

“MEMBINA PERPADUAN MENJANA KEBANGKITAN”


Assalamualaikum wrm. Wbt. Salam sejahtera dan salam reformasi,

Rakan-rakan seperjuangan Pemuda BA Johor..

Tahniah di atas kehadiran semua ke Konvensyen Pemuda BA Johor kali yang pertama ini. Inilah pembuktian komitmen kita terhadap perjuangan. Terlebih dahulu izinkan saya menggantikan kata panggilan saudara/i perwakilan kepada rakan seperjuangan, kerana dengan kata panggilan ini adalah titik permulaan bagi Pemuda BA Johor dalam rangka kita membina perpaduan untuk menjana kebangkitan dan memperoleh kemenangan. Biarlah simpulan kita persahabatan, kenderaan kita adalah perjuangan dan hadaf atau matlamat kita adalah kemenangan.

Pepatah Arab ada mengatakan “Tidak dapat dicapai kemenangan melainkan dengan kekuatan dan tidak dapat dicipta kekuatan melainkan dengan perpaduan”.

Dengan pepatah ini jelas menunjukkan bahawa, kebangkitan dan kemenangan itu hanya akan mampu terjana dengan adanya perpaduan. Maka, tema konvensyen kali ini amatlah bertepatan sekali.

Rakan-rakan seperjuangan Pemuda BA Johor,

Dalam Kertas kerja awal yang telah dibentangkan sebelum ini, ada beberapa persoalan penting yang perlu kita fikirkan bersama serta memerlukan tindakan setiap dari kita semua. Justeru itu, dalam Kertas Kerja kedua ini saya akan cuba melontarkan beberapa cadangan atau tindakan yang perlu sama-sama kita jayakan.

1. Bersetuju dengan tema “Membina Perpaduan Menjana Kebangkitan”

Menyedari kepentingan dalam menggerakkan Pemuda BA Johor, maka tema “Membina Perpaduan Menjana Kebangkitan” harus kita persetujui dan terima bersama dalam menyantuni gerakerja Pemuda BA khususnya di negeri Johor. Elemen perpaduan merupakan persoalan penting yang perlu kita bina di kalangan Pemuda BA Johor kerana dengan adanya elemen inilah yang mampu untuk kita jana kebangkitan bukan sahaja di kalangan diri-diri kita bahkan masyarakat disekeliling kita.

erpaduan, dapat diertikan sebagai satu penyatuan tenaga, fikiran, cita-cita dan pengorbanan, di dalam satu ikatan yang bersepadu, kuat dan maju. Bila kita menyebut soal menjana kebangkitan faktor perpaduan ini sangat penting dalam apa jua keadaan dan tindakan kerana dengan perpaduan, gunung yang tinggi dapat diratakan, lautan yang dalam dapat didatarkan, kerja yang berat dapat diringankan, dan masalah yang rumit dapat di rungkaikan. Dengan erti kata lain, perpaduan adalah kunci atau asas kejayaan segala yang dirancang. Justeru itu, saya menyeru kepada semua yang hadir dalam konvensyen ini untuk kita sama-sama menerima tema ini dan menterjemahkannya dalam bentuk kerjasama yang berpanjangan.

2. Menghindari perkara-perkara yang menjadi hambatan.

Dengan meneliti secara teliti dan jujur, selama hampir 7 tahun perkembangan Pemuda BA secara umumnya, khususnya di negeri Johor ia boleh dijadikan cermin atau ukuran agar gerakerja yang bakal dimainkan mampu mendepani permainan politik musuh terhadap kita. Kegagalan kita dalam membuat telahan dan seterusnya merancang, akan meminggirkan kita dari persada politik khususnya di negeri ini. Kita perlu bijak dalam mengatur perencanaan yang selari mengikut keutamaan.

Mengkoreksi atau memuhasabah kelemahan Pemuda BA Johor adalah perlu, agar ketelusan ini akan menatijahkan kekuatan. Pihak yang kuat akan menampung kelemahan pihak yang lemah dan begitulah sebaliknya. Dalam usaha kita membina perpaduan, kita tidak boleh lari daripada hambatan-hambatan yang menjadi penghalang untuk membina perpaduan. Perbezaaan–perbezaan yang ada tidak sepatutnya menjadi penyebab untuk membina jurang atau menjarakkan hubungan, namun, ia harus dilihat sebaliknya.

Dalam politik, setiap orang perlu menjadi pemain utama. Mereka yang menjadi penonton akan mempunyai kecenderungan untuk terus mengkritik dan menyalahkan orang lain seperti menyaksikan perlawanan bola. Penonton akan terus mengulas kesilapan dan kelemahan pemain yang berada di padang bola. Apa yang penonton mahu lihat hanyalah jaringan gol yang menatijahkan kemenangan. Justeru itu, selaku mereka yang menggelarkan diri-diri sebagai pejuang, kita harus mengambil sikap agar berperanan sebagai pemain utama walau di mana posisi kedudukan kita.

“Meninjau ke dalam sebagai satu proses muhasabah dan koreksi diri amat penting kepada kita supaya tidak berlaku elemen 'perasan' di kalangan kita. Kita sering menyangka bahawa kita cukup kuat dan hebat kerana selalu berada di jendela untuk melihat dan mengkritik kelemahan orang lain, dan hari ini kita mesti berani berada di hadapan cermin untuk melihat dan memperbaiki 'kehodohan' kita supaya kita benar-benar kuat dan hebat seperti yang disangkakan”. Begitulah antara petikan ucapan dasar Saudara Salahudin Ayub dalam ucapan dasar beliau yang lalu bertajuk Mendepani Cabaran. Kita perlu jujur dalam menilai kekuatan dan kelemahan kita.

Sehubungan dengan itu, Pemuda BA Johor mesti menghindari perkara-perkara ini, dalam ertikata yang mudah, kita mesti bersetuju dan bekerjasama dengan perkara-perkara yang disepakati dan berlapang dada dengan sebarang perbezaan.

3. Memastikan Pilihanraya perlu berlaku dalam keadaan telus dan adil.

Kita telah sama-sama bersetuju bahawa proses pilihanraya atau proses demokrasi adalah jalan yang kita pilih untuk kita memperbaiki keadaan negara ini. Meskipun kita sedia maklum, perlaksanaan demokrasi di negara ini pincang, tetapi ini merupakan “preferred methodology” yang kita persetujui bersama. Meskipun kita terpaksa berlawan di padang yang tidak sama level, pengadil yang berat sebelah dan pintu gol yang sentiasa diubah-ubah namun inilah yang perli kita jadikan cabaran dalam usaha kita membawa perubahan ke arah sebuah negara yang lebih bermakna.

Sebagai sayap kanan kedua-dua parti yang membentuk pakatan Barisan Alternatif (BA), adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang muda untuk terus memberikan penekanan yang berterusan bagi memastikan kita boleh bertanding dalam gelanggang yang adil. Kita tidak mahu selamanya tertipu dan juga kita tidak mahu alasan yang sama kita terpaksa berikan apabila kita tewas. Justeru itu, usaha-usaha ‘electoral reform’ perlu kita tangani secara bersama.

Selain dari itu, antara tanggunjawab utama yang perlu kita lakukan adalah;

· Memastikan setiap ahli dan juga para penyokong kita khususnya di kalangan pengundi muda mendaftar sebagai pengundi.
· Mendaftarkan seramai mungkin rakyat Johor sebagai pengundi.

4. Penjelmaan baru Pemuda BA dalam masyarakat.

Perjuangan kita yang bersifat ‘membujur lalu melintang patah’ ini memerlukan kita benar-benar memahami serta memiliki persediaan yang rapi. Pendekatan kita memenangi hati rakyat memerlukan kreativiti agar tidak menjarakkan lagi kita daripada kumpulan sasar. Memahami realiti dan kehendak masyarakat adalah penting agar strategi yang kita rancangkan tepat mengenai sasaran dan kita mampu diterima oleh rakyat untuk membina gelombang perubahan. Kebangkitan rakyat adalah satu fenomena yang boleh membawa perubahan kepada sesebuah masyarakat. Kuasa rakyat adalah kuasa sebenar yang sebenar yang akan menentukan jatuh dan bangunnya kita dalam demokrasi. Menjana kebangkitan bukan suatu perkara yang mudah, justeru itu kita perlukan berbagai pendekatan bukan sahaja yang konvensional tetapi juga bukan konvensional. Perlu juga diingat bahawa jangan sesekali kita “reinforce the failure”. Kita berlu bijak mengambil pengajaran dan jangan mengulangi kesilapan yang sama.

Oleh yang demikian, saya ingin memetik kata-kata Saudara Ezam Mohd Noor dalam ucapan dasarnya bertajuk Membina Reformis Tulin, yakin, berani dan kebal merupakan ciri yang perlu ada dalam setiap orang yang merasakan diri mereka sebagai reformis tulin. Kita perlu yakin bahawa dengan jalan yang telah kita pilih, berani dalam membuat perubahan dan kebal dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran yang mendatang.

5. Bergerak Dalam Pelbagai Pendekatan.

Memetik kata-kata Tsun Zu, “Know yourself and know your enemy, you will win a thousand battles”. Dengan mengambil kata-kata tersebut, adalah menjadi satu kepentingan untuk kita mengenali diri kita secara jujur dan juga siapa lawan atau musuh kita dengan tepat akan memastikan kita menang dalam banyak perkara. Selain dari itu, suasana medan itu sendiri perlu kita ketahui kerana kegagalan kita meneka keadaan sebenar dan penerimaan masyarakat membuatkan kita sering gagal dalam menempatkan diri dalam arus perdana masyarakat.

Di antara beberapa perkara penting yang perlu kita ambil kira dalam usaha untuk mendekati masyarakat adalah seperti berikut ;

Menjuarai isu-isu yang sangat rapat di hati masyarakat dan sering mendapat perhatian

* Faktor-faktor yang mempengaruhi kecenderungan memilih semasa pilihanraya
* Faktor-faktor kecenderungan memilih parti politik
* Sikap atau persepsi rakyat terhadap parti bukan pemerintah
* Kecenderungan hati anak-anak muda Johor parti bukan pemerintah.
* Cadangan atau alternatif pendekatan terbaik


6. Fokus Terhadap Golongan Anak Muda

- Golongan muda

Kecenderungan anak muda pada hari ini dapat dilihat lebih menjurus kepada hiburan sehingga mereka berjaya dilekakan. Kita mesti melipatgandakan usaha bagi menyelamatkan golongan ini daripada terus hanyut di bawa arus kelalaian. Perlu juga kita ingat bahawa golongan muda adalah aset yang sangat penting dalam menentukan dan mencorakkan masa depan politik negara. Mereka adalah pelapis dan pewaris kepada perjuangan. Mereka perlu sedar bahawa di bahu mereka itu terpikul tanggungjawab yang dituntut untuk mereka laksanakan. Justeru itu, adalah menjadi kewajipan kita Pemuda BA, khususnya di Johor, membawa misi dan wawasan ini.

- Non-malay (bukan melayu)

Golongan bukan Melayu di sesetengah tempat terutamanya di bandar-bandar besar merupakan pengundi yang menjadi penentu kepada kemenangan. Justeru itu, golongan bukan Melayu ini merupakan satu komuniti yang tidak boleh kita abaikan. Memahami sikap dan budaya mereka antara keperluan penting yang perlu tindakan segera. Kegagalan memahami mereka dengan hikmah akan menciptakan jurang yang akhirnya menggagalkan kita memenangi hati mereka . Pendekatan yang terbaik perlu dikaji agar usaha ini tidak menjadi sia-sia.

Penutup

Akhir kata, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan Pemuda BA Johor yang memberikan komitmen yang terbaik sepanjang bersama-sama dalam perjuangan ini. Saya menyeru agar rakan-rakan menjadikan pembentangan kedua-dua kertas kerja ini sebagai panduan untuk kita bahaskan pada petang ini.

Di akhir konvensyen, kita mengharapkan satu resolusi bersama akan dicapai sebagai panduan gerakerja Pemuda BA di negeri Johor. Namun begitu, resolusi ini bukan sekadar untuk tindakan segelintir daripada kita sahaja, tetapi mesti didokongi oleh semua dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Ayuh kita renungi kata-kata daripada Imam Hassan Al-Banna;

“Sesungguhnya segala keladak peninggalan abad-abad yang lalu dan segala kesan dari peristiwa silam tidak mungkin dihapuskan dengan harapan-harapan yang bergelora di dalam dada atau dengan kata-kata yang ditulis di dalam akhbar atau pidato-pidato yang diucapkan di hadapan manusia. Sebaliknya ia mesti dihapuskan dengan fikiran yang panjang, usaha yang gigih dan berterusan dengan penuh kesabaran disamping amal yang tekun dan berterusan”

Nurin Aina Binti Abdullah
Timbalan Pengerusi
Jawatankuasa Pemuda BA Negeri Johor
Konvensyen Pemuda BA Negeri Johor kali Pertama
Hotel Kelana, Skudai, Johor Bahru.
2 April 2006.

KERTAS 1 - KONVENSYEN PEMUDA BA NEGERI JOHOR

KERTAS 1
UCAPAN PENGERUSI
JAWATANKUASA PEMUDA BARISAN ALTERNATIF (BA)
NEGERI JOHOR

SEMPENA
KONVENSYEN PEMUDA BA NEGERI JOHOR KALI PERTAMA

“MEMBINA PERPADUAN MENJANA KEBANGKITAN”

PEMBUKA BICARA

Saudara dan saudari perwakilan sekelian,

KITA BERSYUKUR ke hadhrat Allah s.w.t kerana pada hari ini telah tercatat satu sejarah di dalam perjuangan Pemuda BA Negeri Johor kerana buat pertama kalinya kita dapat mengadakan Konvensyen Pemuda BA Johor. Walaupun usia pembentukan Pemuda BA Johor masih mentah dalam kancah politik Johor tetapi diharapkan agar dengan iltizam dan kesungguhan kita pada hari ini akan mendatangkan natijah yang lebih bermakna kepada perjuangan ini.

Konvensyen yang kita adakan pada hari ini berlangsung dalam suasana kedaulatan dan hak rakyat berada di tahap paling rendah. Umat Islam sendiri sudah hilang kedaulatannya di mana-mana saja di dunia. Rata-rata kedaulatan, maruah dan kredibiliti masing-masing boleh dipersoal. Allah tidak akan mengubah nasib yang ada ini melainkan rakyat dan umat sendiri menuntut dan memperjuangkannya. Rasuah dan penyelewengan terus berleluasa tanpa nohtahnya.

Terlebih dahulu, saya bagi pihak seluruh kepemimpinan Jawatankuasa Pemuda BA Negeri Johor ingin mengalungkan ribuan terima kasih kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Jawatankuasa Perhubungan Keadilan Negeri Johor dan kepada Ahli Jawatankuasa Konvensyen yang bekerja keras menjayakan konvensyen buat julung kalinya dengan memastikan keberkesanan dan kelancarannya.

Saya juga merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas keprihatinan dan komitmen seluruh kepimpinan BA di semua peringkat dan pendukung keadilan dan kebenaran yang memberikan perhatian dan mengemblengkan usaha yang bersungguh-sungguh demi kejayaan konvensyen pada kali ini.

Mudah-mudahan sumbangan yang dicurahkan dalam konvensyen ini akan dinilai oleh Allah SWT sebagai amal kebajikan yang bermanfaat di dunia dan akhirat.

Hadirin sekalian,

Sebelum saya melangkah lebih jauh, saya ingin melontarkan beberapa persoalan kepada kita semua untuk dijadikan bahan untuk kita bersama;

Apakah kita dapat benar-benar merasakan dengan penghayatan gabungan kita ini sudah menepati kedudukan BA sebagai pakatan 'mainstream' atau arus perdana di negeri Johor yang bersedia untuk menempatkan BA selaku kerajaan menanti?

Apakah kita semakin mendapatkan keyakinan rakyat khasnya pengundi Melayu-Islam dan seluruh rakyat di negara ini dengan isu, penampilan polisi dan gagasan yang kita pelopori?

Apakah hati dan keyakinan rakyat telah kita menangi melalui pendedahan dan program penerangan jentera parti kita, akan segala pengurusan pincang pembangunan dan ekonomi negara, segala gejala rasuah, kezaliman dan ketamakan kelompok tertentu pemerintah, pemborosan yang menghancurkan, barah sosio-budaya yang semakin parah dan tuntutan agama yang dikesampingkan?

Apakah seteru politik kita hari ini gerun dengan apa yang telah kita lakukan atau mereka memadang enteng terhadap apa yang kita usahakan selama ini?.

Saya mengharapkan para perwakilan akan meneliti dan membahaskan persoalan ini, di samping perbincangan yang akan meneliti tahap pecapaian kita selama ini.


PERKEMBANGAN POLITIK

Pengumuman mengejut oleh kerajaan pada malam 27 Februari 2006 bahawa akan berlakunya kenaikan harga minyak petrol dan diesel sebanyak RM 0.30 sememangnya memeranjatkan kita. Walaupun kenaikannya sudah dijangkakan akan berlaku tetapi tindakan kerajaan terus menaikkan sebanyak RM 0.30 adalah diluar daripada jangkaan rakyat. Inilah kenaikan yang paling tinggi yang pernah dilakukan oleh kerajaan BN sejak daripada negara kita merdeka.

Kebimbangan rakyat bahawa kesan kenaikan harga minyak ini akan memberikan impak terhadap harga barangan keperluan akan meningkat mendadak menjadi kenyataan apabila peniaga ‘berebut-rebut’ untuk menaikkan harga jualan dengan alasan tidak sanggup mengalami kerugian.

Rakyat dipaksa menerima segala keputusan kerajaan dan dalam masa yang sama ditegah sama sekali untuk menaikkan harga barangan. Pengusaha-pengusaha bas awam, teksi dan bas sekolah mengeluh kerana terus dihambat kerugian serta peniaga makanan terjerat dengan harga kawalan.

Isu pembinaan Jambatan Indah yang bakal menghubungkan Malaysia dengan Singapura menjadi membuka mata rakyat apabila Menteri Luar Malaysia mengumumkan bahawa tuntutan tambahan Singapura iaitu Malaysia membekalkan pasir laut dan membenarkan Singapura menggunakan laluan udara Malaysia akan dipertimbangkan melahirkan rasa curiga.

Kerusi Tunggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang.

Bagi rakyat Johor yang memperjuangkan kebenaran dan keadilan, kemenangan satu kerusi di dalam Pilihanraya Umum ke 11 untuk kerusi Dewan undangan Negeri (DUN) Johor amat bermakna. Melalui wakil tunggal PAS/BA, YB Dr Mohd Ramli Bin Mohd Kari banyak isu yang telah berjaya dibongkar, pelbagai kepincangan telah berjaya diselongkar dan didedahkan. Kebimbangan kerajaan BN Johor terserlah apabila soalan-soalan yang telah dikemukan sebelum ini cukup-cukup menjerat mereka. Di antara kejayaan YB Dr Mohd Ramli adalah apabila beliau telah berjaya memaksa Menteri Besar Johor untuk mengumumkan jumlah sebenar hutang kerajaan negeri kepada kerajaan pusat iaitu RM932juta.

Namun begitu, hanya berbekalkan satu kerusi sahaja masih belum cukup untuk menggugat kedudukan BN yang selesa disinggahsana pemerintahan. Penambahan kerusi pembangkang di Johor perlu dipergiatkan dengan harapan rakyat Johor akan dapat menilai kemampuan kita sebagai wakil yang sebenar kepada rakyat.

MERANGKA PERSIAPAN MENGHADAPI PILIHANRAYA KE 12

Kita perlu melihat kepada realiti yang harus kita hadapi di dalam politik di Johor ini yang cukup terkenal sebagai kubu kuat UMNO di dunia. Sokongan daripada kaum melayu kepada UMNO/BN terutamanya yang tinggal di kampung-kampung dan kawasan penempatan rancangan FELDA dan FELCRA dilihat sangat sukar untuk menerima kita sebagai pembela nasib mereka.

Apakah kita harus meletakkan peranan kita sebagai pakatan yang mampu untuk menumbangkan BN di Johor pada pilihanraya Umum yang akan datang atau sekadar untuk menjadi pembangkang yang kuat?

Kepentingan merangka persiapan yang lebih realistik perlu kita lakukan dengan segera agar kita tidak terkapai-kapai di pertengahan jalan nanti.

Pemuda BA perlu mempunyai perancangan tersendiri untuk mencapai hasrat ini walaupun kita sedar bahawa keputusannya akan tetap ditentukan oleh BA Negeri Johor. Sekurang-kurangnya pandangan yang dikemukakan oleh anak-anak muda yang mewakili sayap kanan setidak-tidaknya bakal dinilai oleh pimpinan parti politik masing-masing. Oleh itu, saya harapkan agar konvensyen ini menjadi pencetus terhadap perkara ini.

MENDEPANI CABARAN PERJUANGAN BA JOHOR

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekelian,

Apabila kita telah bertekad untuk menggegarkan politik Johor dan sekurang-kurangnya dilihat sebagai pembela nasib rakyat, Pemuda BA Johor perlulah merangka strategi untuk membina kekuatan grass root atau akar umbi. Pelbagai perancangan dan strategi mampu kita rangka di peringkat negeri tetapi apakah semuanya ini akan disambut oleh mereka yang berada di kawasan/bahagian seterusnya pemuda di cawangan-cawangan.

Marilah kita membina kekuatan sebenar yang mampu menerjah ke alam realiti bukan hanya berlegar-legar dalam alam fantasi yang akhirnya akan menikam diri sendiri.

Presiden Sukarno, pejuang kemerdekaan Indonesia pernah berkata : “Beri saya sepuluh orang pemuda, kami akan mengubah dunia.” Banyak perkara yang dikata atau dilakukan oleh Sukarno boleh kita pertikaikan. Akan tetapi, saya bersetuju dengan pandangan optimistik beliau tentang pemuda. Ia memberikan penilaian yang saya anggap tepat terhadap kekuatan tenaga muda itu. Dan saya yakin, apabila beliau menggunakan perkataan “pemuda”, beliau tidak maksudkan hanya lelaki, tetapi meliputi wanita.

NEGERI JOHOR SEMAKIN PARAH

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekelian,

Sepanjang setahun yang lalu, negeri Johor telah dilanda dengan beberapa isu sehingga mendapat perhatian daripada semua pihak. Isu gejala sosial, lambakan VCD lucah, pembuangan sisa toksik secara haram, penyalahgunaan dadah, krisis bekalan air serta pendedahan hutang kerajaan negeri Johor kepada kerajaan pusat yang terlalu tinggi memperlihatkan lagi kelemahan kerajaan Johor.

Krisis sosial golongan remaja semakin membimbangkan kita. Harian Metro Edisi Selatan bertarikh 5 Julai 2005 pernah menyiarkan isu yang berkaitan dengan kejadian rogol yang bertajuk “Habuan nafsu kekasih”. Berita ini menyatakan bahawa semakin ramai golongan remaja perempuan terutama gadis bawah umur tempatan didapati menjadi mangsa kerakusan nafsu mahupun terlanjur bersama kekasih berikutan bersikap terlalu berani serta mudah percaya dengan janji manis teman lelaki masing-masing.

Gejala sosial seolah-olahnya semakin sukar dibendung. Malam sambutan tahun baru 2006 yang berlangsung di Dataran Danga Bay membuktikan betapa kerajaan Johor tidak memperdulikan masa depan sosial anak-anak remaja khususnya anak-anak melayu.

Lebih parah lagi, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Zainal Abidin Osman mendedahkan bagaimana kerajaan Negeri Johor sedang menghadapi masalah kekurangan pegawai penguat kuasa untuk menjalankan dan menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 di seluruh negeri. Ini disebabkan bilangan pegawai penguat kuasa JAJ ketika ini hanya 76 orang berbanding jumlah penduduk Islam di Johor iaitu seramai lebih 2.1 juta.

Pembunuhan anak-anak yang tidak berdosa seperti yang telah dialami oleh Allahyarham Syafiqah Borhan dan Nurulhuda Baharin menambahkan mimpi ngeri rakyat Johor. Laporan kejadian pergaduhan di sekolah-sekolah di Johor seperti yang dilaporkan dalam sidang DUN Johor menambahkan lagi kebimbangan ini.

Penjualan VCD Lucah

Dalam masa yang sama, penjualan VCD haram/lucah seperti sudah tidak dapat dibendung lagi khususnya di kawasan Bandaraya Johor Bahru. Bayangkan, masalah penjualan VCD haram yang berleluasa ini telah mendapat reaksi daripada Datuk Abdul Ghani sendiri yang membidas sendiri pegawai-pegawai kerajaan di bawahnya. Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa lemahnya kerajaan UMNO/BN Johor yang tidak mampu mengawal penjualan VCD lucah ini.

Penyalahgunaan dadah semakin ketara. Tahniah diucapkan kepada Jabatan Narkotik Polis Johor (JNPJ) kerana telah menjalankan tugas dengan baik khususnya didalam menangani masalah dadah yang melanda rakyat Johor khususnya di kalangan remaja. JNPJ telah mengadakan 532 serbuan di pusat hiburan seluruh negeri dengan mengarahkan 12,630 orang menjalani pemeriksaan air kencing sepanjang tahun 2005.

Krisis Air di Johor

Krisis bekalan air terutama yang melibatkan Daerah Batu Pahat dan Kluang telah memberikan kesan kepada rakyat. Langkah yang diambil oleh Pemuda BA Johor menangani masalah ini sekurang-kurangnya dapat mendedahkan kepincangan kerajaan Johor. Pencemaran air sungai serta krisis air takungan empangan sehingga pencatuan air terpaksa dilakukan menyebabkan rakyat mengalami kesulitan yang berpanjangan.

Hutang Kerajaan Negeri Johor

Pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan A. Jalil bahawa negeri Johor adalah merupakan negeri yang paling banyak tunggakan hutang kepada kerajaan Pusat iaitu RM 598.35 juta telah melahirkan rasa curiga di kalangan rakyat. Namun begitu, hutang sebenar kerajaan Johor bukanlah seperti yang dinyatakan. Rakyat mengucapkan tahniah kepada YB Dr Mohd Ramli berjaya mencungkil hutang sebenar kerajaan Johor di dalam sidang DUN Johor iaitu RM 932 juta.

Pembuangan Sisa Toksik Secara Haram

Isu pembuangan sisa toksik secara besar-besaran yang didedahkan di Johor mendedahkan kelemahan JAS dengan penemuan 12,000 tan bahan sisa buangan industri di Simpang Renggam serta penemuan 386 kontena yang menyimpan bahan itu, yang dipercayai dibawa masuk dari Taiwan, di Pelabuhan Pasir Gudang pada 2004.

JAS sepatutnya telah mengambil pengajaran di atas penemuan 12,000 tan bahan sisa buangan industri di Simpang Renggam serta penemuan 386 kontena yang menyimpan bahan itu, di Pelabuhan Pasir Gudang. Peristiwa itu telah memalukan JAS sehingga masyarakat tertanya-tanya apakah pegawai-pegawai JAS mengambil tindakan sambil lewa sehingga tidak ternampak pun tong-tong sisa toksik di bawa ke dalam negara.

Ditambah lagi dengan penemuan lebih 5000 tan sisa toksik di Kampung Sungai Gatom yang menjadikan Johor telah menjadi pusat buangan sisa toksik secara HARAM yang terkemuka di Malaysia.

Pergolakan Masyarakat

Di Malaysia, fenomena politik yang melanda di negara ini semakin tidak seimbang. Kekeliruan konsep Islam Hadhari, amalan rasuah yang semakin membarah, peningkatan kadar jenayah, masalah sosial yang semakin mencemaskan, kegagalan dasar pendidikan negara melahirkan belia dan remaja yang tidak bertanggungjawab. Keadaan masyarakat hari ini amat membimbangkan kita khususnya anak-anak muda kita yang bakal mewarisi negara ini di masa akan datang. Usaha kerajaan memberikan ruang yang seluas-luasnya terhadap hiburan tanpa ada batas-batas yang jelas benar-benar menjerut diri anak-anak muda kita ke arah kehancuran. Negeri Johor merupakan antara negeri yang sentiasa dalam ‘top 5’ dalam kes-kes keruntuhan moral anak-anak muda. Mereka membentuk para belia dengan pelbagai strategi dan taktik yang mana akhirnya mampu memadamkan semangat juang anak-anak muda agar kekuasaan sentiasa berada di tangan mereka. Pemikiran materialistik yang dikagumi oleh anak-anak muda hari ini umpama kanak-kanak yang kagum melihat pakaian dan permainan yang berwarna warni dan terang warnanya.

Aktiviti penggalakan kemungkaran dan penularan tanpa kawalan ini menunjukkan masyarakat kita bukan sahaja berhadapan dengan masalah sosial tetapi terjebak dalam krisis nilai. Walaupun usaha Kerajaan mengadakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama 3 bulan bagi melahirkan generasi yang mempunyai jatiditi namun persoalannya mampukah mereka bertahan dengan anasir keruntuhan moral yang memang ditaja sendiri oleh kerajaan. Kita harus ingat bahawa generasi muda inilah merupakan kumpulan sasar kita yang terbesar dan perlu kepada perhatian kita dan menjadi fokus dalam perjuangan kita.

Amalan rasuah yang telah membarah dalam masyarakat umpama api dalam sekam yang akan menghancurkan negara. Kita hargai usaha kerajaan yang cuba memerangi rasuah namun biarlah usaha tersebut dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan adil bukan setakat melepaskan batuk ditangga. Anak-anak bilis yang ditangkap sedangkan jerung-jerung dibiarkan bebas berkeliaran. Slogan-slogan “Saya Anti Rasuah” yang dipakai oleh polis bukan hanya laungan kosong tapi perlu kepada pembuktian. “Political Will” atau keazaman politik perlu ada untuk membanteras rasuah sehingga ke akar umbi bukan hanya keazaman dibibir sahaja.

Sikap terbuka Islam Hadhari yang dilalung-laungkan juga telah membuatkan orang-orang yang bukan Islam berani mengkritik Islam secara terang-terangan. Laungan azan dianggap sebagai pencemaran dan usaha untuk menubuhkan IRC sebagai ruang untuk meminda ajaran Islam. Kerajaan sepatutnya memelihara Agama Islam yang telah termaktub sebagai agama rasmi namun tindakan keterbukaan mereka sendiri telah mengundang reaksi yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

MEMPERKUKUHKAN PERPADUAN PEMUDA BA JOHOR

Alhamdulilah, sehingga ke hari ini, Pemuda BA Johor dilihat sebagai pakatan yang paling efektif jika dibandingkan dengan pemuda BA di negeri-negeri lain. Tidak salah rasanya saya menyebut bahawa kita telah dijadikan contoh oleh rakan-rakan kita di negeri lain. Kerjasama yang dipupuk semasa kita berkerjasama dalam menangani krisis air di Johor pada tahun 2005 merupakan satu petanda bahawa kita mampu bekerjasama dengan baik. Walau bagaimanapun, perlu difikirkan bentuk kerjasama yang boleh kita lalui dan aktifkan bersama khususnya dalam menangani isu rakyat Johor.

Sebagai Pengerusi Pemuda BA Johor, saya yakin dan percaya kita mampu melangkah lebih jauh dan dengan pengukuhan perpaduan ini akan melahirkan satu sikap kebersamaan.

MENDEKATI GOLONGAN MUDA

Saudara dan saudari yang dihormati sekelian,

Kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa perubahan sikap pengundi muda dalam pilihan raya umum yang telah memberikan tamparan hebat kepada BA, sehingga ia menjadi satu faktor kejatuhan PAS/BA di Terengganu. Peralihan undi golongan muda telah mengubah sama sekali persepsi kita selama ini bahawa kita mempunyai keselesaan di saluran-saluran yang melibatkan pengundi muda. Soalnya, mengapakah ia berlaku dengan begitu mendadak sedangkan golongan muda inilah yang menjadi penggerak reformasi pada akhir 1990-an. Persoalan ini mesti dipandang serius oleh Pemuda BA Johor, khususnya untuk mencari punca dan pendekatan menanganinya.

Selepas pilihan raya 1999, Umno/BN telah merancang strategi dan melancarkan gerakan besar-besaran untuk merampas semula pengaruh yang terlepas ke tangan BA. Pengerahan semua jentera kerajaan yang disalahgunakan, penyekatan terhadap saluran-saluran maklumat kepada rakyat, mengekang kebebasan kakitangan awam, membudayakan kehidupan hedonisme kepada muda mudi dan mengongkong pemikiran muda-mudi. Mereka juga dengan bersungguh-sungguh menggerakkan Pemuda dan Puteri Umno untuk menawan semula hati pengundi muda. Ternyata strategi mereka membuahkan hasil apabila BA kehilangan negeri Trengganu dan semua kerusi Parlimen/DUN di Pahang, Perak dan Selangor.

Kerajaan pada masa yang sama mereka menaja dan membudayakan ‘kehidupan tanpa matlamat’ melalui pelbagai program hiburan. Mereka menjemput artis-artis asing dan mengadakan konsert-konsert muzik serta memperkenalkan bentuk hiburan baru menerusi program-program seperti Malaysian Idol, Who Will Win, Audition, Akademi Fantasia dan sebagainya.

Keruntuhan jati diri muda-mudi begitu jelas termasuk di IPTA-IPTA. Kemasukan Pemuda, Putera dan Puteri Umno serta proksi mereka seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) di universiti, penganjuran program hiburan dan sekatan ke atas program agama telah membunuh budaya intelektual secara terancang. Hasrat membina patriotisme melalui PLKN juga tidak berjaya sebaliknya menghasilkan pemuda-pemudi yang terlibat dengan pergaduhan, kecurian, perkauman, khalwat, zina, rogol dan sebagainya. Kerajaan BN juga cuba memperkenal idola baru kepada muda-mudi dengan memperkudakan ‘wira-wira negara’ atas nama patriotisme. Sesiapa yang tidak menyokong mereka diberikan label sebagai tidak patriotis.

Serangan menyeluruh terhadap cara hidup dan pemikiran muda-mudi ini memberikan impak yang begitu negatif sehingga muda-mudi yang berada dalam keseronokan berasa sangsi terhadap ketelusan perjuangan kita. Akibatnya telah kita lihat dan rasai dalam pilihan raya yang lalu. Pemuda BA Johor perlu merangka strategi dan melakukan perubahan pendekatan terhadap golongan anak muda untuk kembali mencapai kemenangan seperti tahun 1999 akan berulang.

PENUTUP BICARA

Walaupun perjalanan kita masih jauh tetapi bukan bermakna kita tidak mampu menggapai kejayaan. Jika kita berjaya mengaturkan pendekatan terbaik berasaskan kemantapan aqidah, saya penuh yakin dengan izin Allah SWT, tiada kuasa di atas muka bumi yang boleh menghalang kita mencipta keunggulan.

Sekali lagi saya mempertegaskan bahawa misi besar Pemuda BA Johor untuk menjadi “pembela dan penyelamat rakyat” akan dapat dilaksanakan dengan penuh kesungguhan oleh kepimpinan Pemuda BA di setiap peringkat. Marilah kita merapatkan diri kita dengan perjuangan rakyat, nasib rakyat dan denyutan nadi rakyat dengan jiwa besar dan keihklasan budi kita.

Sebagai akhir kalam, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong perjuangan Pemuda BA Johor khususnya kepimpinan Angkatan Muda Keadilan Johor yang sanggup bersama mengharungi perjuangan yang sengit. Marilah kita berazam dan menanamkan semangat untuk bekerja bersama dalam satu pasukan yang mantap untuk menjayakan hasrat dan matlamat kita untuk kesejahteraan dan kebaikan.

Kicauan Burung Menggamit Kenangan,
Sawah Bendang Kampung Halaman,
Kebersamaan Kita Membina Perpaduan,
Kesepaduan Kita Menjana Kebangkitan.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pengerusi Jawatankuasa Pemuda BA Negeri Johor
Konvensyen Pemuda BA Negeri Johor kali Pertama
Hotel Kelana, Skudai, Johor Bahru.
2 April 2006.

Sociable