06 April 2006

ISU TUNTUTAN TAMBAHAN SINGAPURA ; PENDIRIAN KERAJAAN MALAYSIA MASIH KABUR

Kenyataan Media
(6 April 2006)

TAJUK :

ISU TUNTUTAN TAMBAHAN SINGAPURA ; PENDIRIAN KERAJAAN MALAYSIA MASIH KABUR


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) masih lagi tertunggu-tunggu sikap kerajaan Malaysia terhadap isu jambatan baru yang akan menghubungkan Malaysia – Singapura. DPPNJ merujuk kepada kenyataan media DPPNJ yang telah dibuat pada 21 Mac 2006 dan memorandum kepada Perdana Menteri Malaysia melalui Menteri Besar Johor yang telah diserahkan pada 24 Mac 2006 yang lalu.

Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar menyatakan bahawa kabinet akan mengumumkan keputusan kerajaan terhadap isu tuntutan tambahan Singapura pada 22 Mac 2006. Namun setelah menunggu dengan penuh sabar, masih tiada apa-apa keputusan diumumkan.

Justeru, DPPNJ telah menyerahkan memorandum pada 24 Mac 2006 itu antara lainnya adalah untuk membantah cadangan penyerahan ruang udara dan penjualan pasir kepada kerajaan Singapura semata-mata untuk membina sebuah jambatan dan mendesak agar kerajaan mengumumkan keputusan kabinet dengan segera.

Pada 26 Mac 2006 pula, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi pendirian kerajaan bahawa projek pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor tidak akan ditangguhkan. Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kerja pembinaan jambatan indah itu akan diteruskan seperti yang dirancang. Menurutnya, tidak berlaku sebarang kelewatan dalam kerja-kerja pembinaan projek itu,. Namun begitu, beliau juga masih belum berani mengumumkan keputusan kabinet sama ada mahu menerima tuntutan tambahan Singapura tersebut.

Pada 3 April 2006 pula, Menteri di Jabatan Perdana dan Menteri Luar Kedua, Raymond Lim membuat kenyataan bahawa Singapura tidak dapat menerima bahawa Malaysia berhak membuat keputusan sendiri membina separuh daripada jambatan menggantikan Tambak Johor kerana tindakan itu juga mempunyai kesan terhadap republik itu. Beliau berkata sebarang langkah merobohkan tambak berusia 81 tahun itu di kawasan Malaysia akan melibatkan kedua-dua negara termasuk paip yang membekalkan air ke Singapura.

Singapura telah meminta Malaysia menjelaskan pendiriannya secara rasmi berhubung jambatan separuh itu. Pada waktu yang sama, Singapura akan terus berunding dengan Malaysia tentang kemungkinan membina sebuah jambatan penuh bagi menggantikan tambak sedia ada, berdasarkan manfaat yang seimbang.

Rakyat hari ini tertunggu-tunggu apakah sikap kerajaan ketika ini. Bayangkan, pembinaan akan diteruskan tetapi isu tuntutan tambahan masih belum terjawab. Apakah setelah siap jambatan tersebut barulah kerajaan akan mengumumkan apakah keputusan kerajaan ini. DPPNJ bimbang, ada sesuatu yang cuba disorokkan daripada pengetahuan umum.

Petang esok, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan menyerahkan memorandum atas isu yang sama. Kita akan lihat apakah reaksi kerajaan terhadap tindakan DPPP ini.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

1 comment:

joe penang said...

salam ukhwah
Ana mencadangkan Pemuda Pas, ABIM & JIM mengadakan bantahan ke atas konsert hotlik ni. http://www.hotlink.com.my/level2/hotlevel3.asp?aid=3294