26 April 2006

PLKN PERLU DIROMBAK DAN TINDAKAN UNTUK MENYAMAN PLKN DISOKONG

Kenyataan Media
(26 April 2006)

TAJUK :

PLKN PERLU DIROMBAK DAN TINDAKAN UNTUK MENYAMAN PLKN DISOKONG


Pertikaian terhadap keberkesanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berterusan dengan terjadinya kes kematian Allahyarham Haziq Bin Jaafar baru-baru ini. Peristiwa yang semestinya tidak pernah difikirkan akan terjadi akhirnya terpaksa ditelan walaupun sebelum ini telah terlalu banyak kritikan telah dilemparkan kepada perlaksanaan PLKN.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melihat bahawa kepincangan PLKN yang diharapkan untuk menanamkan semangat patrotisme dan cintakan negara semakin menuju kearah kepincangan yang mengerikan.

Kita tidak nafikan bahawa setiap yang baru pasti mempunyai kelemahan dan kelemahan itu mampu diatasi. Namun, peristiwa yang melanda PLKN sekarang ini membuktikan bahawa PLKN semakin menuju kehancuran sekiranya tidak bersedia untuk diubah. Jika sebelum ini timbul masalah pergaduhan, perkelahiran serta masalah disiplin dikalangan jurulatih, kes kematian sememangnya sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.

Ada beberapa perkara yang ingin DPPNJ bangkitkan. Pertamanya, adakah benar ketika ini setiap jurulatih dan pegawai yang terlibat di dalam PLKN telah pun ‘bersih’ daripada setiap kelemahan. Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pernah memaklumkan bahawa seramai 69 jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah dikenakan tindakan disiplin sejak program itu diperkenalkan tahun 2004. 45 orang yang diambil tindakan untuk Siri 1/2004, manakala 24 orang untuk Siri 2/2005. Mengikut maklumat daripada Berita Harian pada 11 Oktober 2005 melaporkan bahawa kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh jurulatikh PLKN ini aalah seperti berikut :-

· melakukan gangguan seksual 20 orang
· melakukan kekerasan membabitkan kecederaan 8 orang
· mengganggu perjalanan program 3 orang
· membawa keluar pelatih tanpa kebenaran 6 orang
· tidak mematuhi etika berpakaian 1 orang
· penipuan maklumat peribadi 2 orang
· salahguna kuasa 8 orang
· tidak mematuhi arahan pentadbiran kem 21 orang

Bagaimana pula dengan keadaan jurulatih yang sedia ada sekarang ni?. Apakah setiap jurulatih dipantau prestasi dan aktiviti mereka ata mereka hanya dibiarkan begitu sahaja.

Kedua, bagaimana pula dengan modul latihan yang diterapkan kepada peserta?. Apakah sebenarnya mesej yang cuba ditanam dalam minda peserta yang masih mentah ini?. Mengapakah pendekatan agama tidak dijadikan sebagai asas pembentukan akhlak remaja yang menjadi perserta ‘terpaksa’ ini?.

Sebab itulah, tidak pelik rasanya PLKN terus dipertikaikan oleh masyarakat.

Bagi membongkarkan kelemahan PLKN ini DPPNJ sangat menyokong penuh tindakan keluarga allahyarham yang bersedia untuk menyaman PLKN di atas kelemahan yang berlaku ini. Untuk tujuan itu, DPPNJ bersedia untuk menyediakan khidmat guaman. Perbincangan dengan Encik Jaafar telah pun dibuat, hanya menunggu keputusan daripada keluarga beliau.

Semoga kejadian kematian peserta PLKN akan menjadi titik tolak kepada perubahan kepada matlamat sebenar PLKN, bukannya menjadi medan mendoktrinkan peserta-peserta PLKN ini kepada UMNO/BN dan menyelamatkan remaja daripada terus dirosakkan.


Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments:

Sociable