April 4, 2006
Isu jambatan bengkok untuk mengantikan separuh dari tambak Johor menjadi semakin hangat.
Kalau sebelum ini antara syaratnya Singapura menuntut Malaysia menjual pasir dan membuka ruang udara untuk latihan jet pejuangnya…kini ia sudah melarat lebih jauh dari itu.
Singapura sudah cuba pula menafikan hak Malaysia membuat keputusan.
Isnin Menteri di Jabatan Perdana dan Menteri Luar Kedua, Raymond Lim memberitahu parlimen Singapura bahawa negara itu tidak akui Malaysia mempunyai hak membuat keputusan sendiri merobohkan tambak di kawasannya dan menggantikannya dengan jambatan separuh.
Antara lain beliau berkata sebarang langkah merobohkan tambak berusia 81 tahun itu di kawasan Malaysia akan melibatkan kedua-dua negara termasuk paip yang membekalkan air ke Singapura.
Apa reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada kenyataan seumpama itu yang dilihat oleh kalangan pemerhati politik agak keterlaluan? Inilah satu-satunya soalan yang dikemukakan wartawan dalam sidang akhbar selepas beliau selesai mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO lewat malam Isnin.
Beliau tenang menjawabnya.Katanya kerajaan telah menyerahkan kepada Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar mendapatkan penjelasan dari kerajaan Singapura mengenai kenyataan Raymond Lim itu.
Abdullah mengakui hakikat bahawa Singapura sentiasa bimbang mengenai soal bekalan air ke negara itu.
“Mereka ingat kita hendak memotong bekalan air dan biarkan mereka dahaga tanpa air…itu bukanlah dasar kita selama ini,”katanya. Perdana Menteri berkata beliau tidak berhajat untuk memberitahu apa-apa butir rundingan yang sedang dikendalikan oleh Syed Hamid dengan kerajaan Singapura mengenai soal jambatan berkenaan.
Namun begitu beliau memberi jaminan apa jua keputusan yang dibuat ia akan tetap dalam lingkungan mempertahankan hak dan kepentingan Malaysia.
Perdana Menteri memberitahu proses rundingan dengan Singapura ‘ has not been all that easy’ .
Bernama melaporkan Raymond Lim sebagai berkata berkata Singapura tidak dapat menerima bahawa Malaysia berhak membuat keputusan sendiri membina separuh daripada jambatan menggantikan Tambak Johor kerana tindakan itu juga mempunyai kesan terhadap republik itu.
Menurutnya pendirian itu diambil setelah pihak berkuasa Singapura mendapat nasihat pakar perundangan.
``Apa juga kerja besar di tambak itu, yang juga mempunyai paip bekalan air kepada Singapura, akan memberi kesan kepada Singapura dan Malaysia dalam beberapa perkara yang penting bagi kedua-dua negara,'' katanya.
Cadangan menggantikan tambak itu dengan sebuah jambatan, dengan kos di bahagian masing-masing ditanggung oleh negara masing-masing, kini dirundingkan antara Malaysia dan Singapura.
Malaysia berkata jambatan itu bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan lalulintas di tambak itu yang kini digunakan oleh 60,000 kenderaan setiap hari, tetapi dapat juga meningkatkan kualiti air di Selat Johor dan sekitarnya kerana jambatan yang baru itu akan membolehkan air mengalir di bawahnya.
Apabila perbincangan berlarutan tanpa sebarang persetujuan, Malaysia membuat keputusan meneruskan rancangannya membina jambatan itu di kawasannya sendiri. Keputusan membina separuh daripada jambatan itu, yang kini dikenali sebagai ``jambatan indah'', dianggap oleh Singapura sebagai boleh mendatangkan implikasi serius.
Malaysia berkata ia berhak membina separuh daripada jambatan itu kerana ia terletak dalam wilayahnya.
``Singapura telah meminta Malaysia menjelaskan pendiriannya secara rasmi berhubung jambatan separuh itu. Pada waktu yang sama, Singapura akan terus berunding dengan Malaysia tentang kemungkinan membina sebuah jambatan penuh bagi menggantikan tambak sedia ada, berdasarkan manfaat yang seimbang,'' katanya.
Lim berkata cadangan pembinaan sebuah jambatan penuh akan melibatkan perbelanjaan tinggi tanpa memberi banyak manfaat kepada Singapura.
``Bagaimanapun, atas semangat kejiranan, Singapura sedia menimbang cadangan Malaysia untuk menggantikan tambak sedia ada dengan sebuah jambatan penuh yang lurus sekiranya kedua-dua pihak mendapat manfaat yang setara,'' katanya.
No comments:
Post a Comment